Setelah bercuti hampir dua minggu,
Nadia Asyila kembali meneruskan tugasnya sebagai seorang anggota polis. Dia
menolak cuti sebulan yang diberikan. Sekarang sudah genap seminggu dia berada
di dalam pejabat. Dia mahu menyibukkan dirinya tanpa memikirkan masalah yang
selalu menyinggah dalam hidupnya.
Setiap hari dia akan terus mengunjungi
hospital mental yang dihuni oleh Iqmal Hisyam. Dia tidak pernah jemu dan takkan
jemu. Usahanya sentiasa berganda. Dia mahukan Iqmal Hisyam yang dulu. Dia mahu
meraih kembali ingatan Iqmal Hisyam terhadap dirinya.
Dia mahu merasakan kehangatan cinta
yang telah lama diisikan oleh lelaki itu untuknya. Dia mahu Iqmal Hisyam
kembali. Terus menyemai cintanya. Kali ini dengan suasana yang berbeza.
Dia akan turut sama menyemai cinta
bersama lelaki itu. Segala harapan fantasi lelaki itu akan dijadikan realiti
olehnya. Dia mahu lelaki itu muncul kembali dengan jiwa yang riang. Tersenyum
menyambut huluran cintanya.
Dia akan pastikan yang tiada sesiapa
yang akan menghalang kebahagiaan itu. Itu adalah dunia mereka. Tempat mereka
bersandar dan bertakhta. Untuk satu masa yang akan wujud nanti dan kekal untuk
selamanya.
Nadia Asyila tersentak dari anganannya
apabila bahunya disentuh lembut. Senyuman dihulurkan buat Syazwan yang juga
sedang tersenyum memandangnya.
“ Apa yang kau fikirkan?”
“ Tak ada apalah!”
“ Jangan berangan yang bukan-bukan
sudahlah.”
Diangkat sedikit keningnya
mengisyaratkan sesuatu yang nakal. Nadia Asyila melebarkan senyumnya.
“ Aku tak ada masa nak fikirkan semua
tu. Lainlah kau.”
“ Aku pun tak ada masa.”
Akhirnya mereka sama-sama tergelak.
“ Nadia”
“ Emm”
“ Kami semua rindukan kau yang dulu.
Yang sentiasa riang walaupun penuh dengan masalah. Kami mahukan kau yang
begitu. Kami merinduinya. Bukan sahaja kawan-kawan kita tapi staf dalam
pejabat ini pun mahukan semua itu. Kami
gembira kau dah kembali. Tapi bukan dengan diri kau yang lain. Kami rindukan
senyuman ikhlas kau.”
“Kenapa? Selama ni aku tak cukup
senyum ke?”
“ Bukan selama ni. Tapi semenjak kau
kembali. Kau terlalu asyik dengan kerja kau. Langsung tiada kemesraan.”
Nadia Asyila mendengus lembut. Dia
sebenarnya sedar akan semua itu tapi dia tidak tahu dan seakan tidak pandai
untuk memulakannya. Untuk mencari punca di mana permulaan. Dia sendiri
merindukannya.
“ Maafkan aku.”
“ Kami bukan mahukan kata maaf. Kami
Cuma mahukan keriangan kau. Jangan sesekali buatkan semua staf merasa segan dan
takut untuk bermesra dengan kau. Kembalikan diri kau yang dulu. Hanya itu yang
kami mahukan.”
“ Aku…”
“ Aku faham dengan setiap kesulitan
yang kau alami. Tapi jangan serahkan diri kau dalam kesempitan itu.
Perlahan-lahan cuba keluar. Kami akan membantu.”
“ Aku sememangnya bertuah kerana
mempunyai sahabat seperti kamu semua. Aku sepatutnya bersyukur dengan apa yang
aku ada. Selama ini aku hanya menghayati kenikmatan masalah tanpa memikirkan
yang aku ada sahabat seperti kamu semua. Yang sentiasa cuba untuk membuat aku
bahagia. Tidak terus karam dengan setiap rasa yang membunuh jiwa.”
Bahu Nadia Asyila ditepuk penuh mesra.
Sedikit air jernih yang keluar disapu lembut dengan belakang tangannya. Bersama
mata yang sedikit kabur, senyuman dilemparkan untuk Syazwan.
“ Jangan bebankan fikiran kau.
Berfikiran terbuka mulai sekarang. Jom lunch. Dah sampai masa. Aku tengok dua
tiga hari kau abaikan masa makan tengah hari. Terlalu asyik menyibukkan diri.
Sampai aku nak tegur pun takut.”
“ Aku bukannya mayat hidup.”
“ Tapi kau mati hidup kembali.”
Pantas Nadia Asyila menyiku perut
lelaki itu. Geram dengan kata-katanya. Ketawa yang kedengaran juga seakan
menyindirnya. Gurauan itu disambutnya dengan senyuman. Berfikiran terbuka. Itu
yang lelaki itu mahukan.
“ Mungkin itu yang buatkan staf kita
segan dan takut nak tegur kau.”
Mereka sama-sama tergelak dan
beriringan menuju ke pintu keluar untuk mendapatkan makan tengah hari.
Mereka menjamu selera di restoran yang
terletak berhadapan dengan balai polis. Nadia Asyila menanggalkan topi yang
dipakainya. Dia mengenakan topi itu memandangkan dia tidak mengenakan pakaian
seragam. Lebih selesa begitu.
“ Syazwan. Aku ingat nak gugurkan
semua dakwaan yang tentang Syam. Cubaan untuk membunuh aku. Aku nak gugurkan
dakwaan tu. Aku mahu hukuman terhadap jenayah yang dia lakukan diringankan. Aku
akan minta peguam yang terhebat mewakilinya.”
Syazwan hanya membisu. Tiada apa yang
dapat diperkatakannya. Direnung tepat ke wajah wanita itu. Nadia Asyila seakan
memahaminya.
“ Aku akan buat semua tu apabila
keadaannya dah kembali normal.”
“ Aku sokong kau Nadia. Tapi…”
“ Aku yakin yang semuanya akan menjadi
baik dalam masa terdekat. Doakan kami akan bersatu.”
“ Aku tak pernah lupa untuk mendoakan
apa yang terbaik untuk kau. Dugaan Tuhan hanya Dia yang tahu bila akan ada
kesudahannya. Kau perlu terus berdoa dan berusaha.”
“ Aku takkan pernah jemu untuk semua
itu.”
“ Nampaknya kau dah betul-betul
menyintainya.”
“ Aku bersyukur kerana diberi peluang
untuk menyintai seseorang sepertinya. Dia seorang lelaki yang baik. Dia memang
baik. Terlalu baik. Apa yang dia lakukan cuma satu kesilapan. Hanya satu
kesilapan. Dia memang seorang yang baik.”
Kata-kata yang dilafazkan agak
beremosi.
“ Aku percaya setiap apa yang baik
mesti akan direstui oleh yang esa.”
“ Kau sentiasa di samping aku. Thanks
Syazwan.”
“ Itulah gunanya kawan. Bukan je masa senang
tapi untuk masa susah juga.”
Mereka bertemu pandangan dan saling
melemparkan senyuman. Mendoakan supaya persahabatan itu akan terus berkekalan
dengan penuh setia.
“ Apa peningkatan yang ada pada
dirinya sekarang doktor?”
“ Masih sama Nadia. Mungkin kita perlu
fikirkan satu cara untuk mengembalikan ingatannya. Tapi I tak mahu cara itu
akan memberinya tekanan yang lebih kuat. Kita perlu lakukan perlahan-lahan.
Seperti mengungkit sedikit demi sedikit kenangan hidupnya. Mungkin apa yang
terindah dalam hidupnya. Mungkin secara normal dia tidak mendengar tetapi
hatinya akan memberi reaksi kepada apa yang kita cakap.”
“ Apa agaknya cara itu doktor?”
“ Mungkin kenangan kamu berdua. Dan
mungkin juga you boleh mengulang kembali kenangan yang mengindahkan dirinya
sebelum dirinya berkeadaan begitu. Kenangan yang terdekat. Tapi jangan terus
menjurus ke arah itu. Lakukannya secara halus.”
Nadia Asyila termenung seketika. Dia
memahami apa yang dimaksudkan oleh doktor muda itu. Kejadian di gudang adalah
perkara yang terbaik. Namun, bagaimana cara halus yang perlu dia lakukan? Dia
bingung.
Memang sukar untuk bermain akal dengan
seorang pesakit mental yang mengalami tekanan jiwa yang sebegini. Risau
memikirkannya. Apakah cara yang terbaik?
“ Terima kasih doktor.”
Tangan dihulur sebagai tanda untuk dia
beredar. Dia mahu mengisi ruang langkahnya untuk menuju ke arah Iqmal Hisyam.
Dia merindui lelaki itu.
Di sebalik cermin, Nadia Asyila
memerhatikan lelaki yang dicintainya. Lelaki itu turut sama memandangnya.
Menggerakkan kepala ke kiri dan kanan. Dia seakan senang dengan wajah itu.
Wajah yang selalu datang kepadanya.
Dia tidak merasakan keasingan apabila
wanita itu berada bersamanya. Dia boleh senyum dengan senang. Tapi dia tidak
tahu siapa wanita itu. Fikirannya kosong dan dia selalu berada di dalam
dunianya sendiri.
Langkah Nadia Asyila diatur.
Perlahan-lahan mendekati lelaki itu. Senyumannya terukir apabila tangan lelaki
itu mengawang-awang kepadanya untuk segera mendekati.
Nadia Asyila mencapai tangan Iqmal
Hisyam dan memegangnya perlahan-lahan. Lelaki itu merenung wajah yang memegang
tangannya dan kemudian menariknya kasar. Tersentap seketika jantung Nadia
Asyila.
“ Jangan risau. Dia takkan lakukan
sesuatu yang berbahaya kalau dia rasakan tiada seseuatu yang mengancamnya.”
Nadia Asyila tersentak lagi apabila
mendengar suara doktor muda itu di belakangnya.
“ Tapi tadi dia senyum dengan saya.
Melambai pada saya lagi. Dan sekarang bila saya mendekatinya dia seakan mahu
saya menjauh.”
“ Sabarlah! Keadaannya memang akan bertukar-tukar
begitu. Dia memang suka lakukan apa yang dia rasa dia mahu lakukan.”
Nadia asyila mengeluh. Sesekali dia berfikir
yang dia seakan-akan sudah semakin mendekatkan dirinya dengan lelaki itu tetapi
keyakinannya mampu runtuh dalam sekelip mata. Dia bingung.
“ Doktor.”
“ Apa dia?”
Doktor muda itu merenung pandangan
mata Nadia Asyila yang seakan-akan mahu memberitahu sesuatu kepadanya.
“ Boleh ke kalau saya bawa dia
bersiar-siar luar daripada tempat ni?”
Tiada jawapan daripada doktor muda
itu. Terdiam seketika. Tunduk memandang lantai seakan berfikir. Seketika
kemudian dia berdehem.
“ Boleh! Tapi bersyarat.”
Keceriaan terpancar di wajah wanita
itu.
“ Apa Syaratnya?”
“ I akan temankan you all.”
Nadia Asyila tersenyum gembira. Dia
bersetuju dengan syarat itu. Sekurang-kurangnya Iqmal Hisyam akan bebas untuk
seketika. Bebas daripada tempat yang mengurungnya.