Nadia Asyila menekan brek dengan agak
mendadak apabila seseorang muncul di hadapan keretanya. Secara tiba-tiba sahaja
lelaki di hadapannya muncul sebaik sahaja keretanya membelok keluar dari pagar
banglo yang disewanya.
Dia memerhati raut wajah lelaki itu
dari dalam kereta. Masih ragu-ragu untuk keluar apabila lelaki itu seakan
mempunyai niat yang tidak baik. Pistol yang berada di pinggangnya diraba.
Terselindung di sebalik jaket coklat yang dipakainya.
Lelaki itu mendekat. Pandangannya
terus terarah kepada Nadia Asyila. Langkah kakinya menuju ke arah pintu
pemandu. Kakinya sedikit terenjut-enjut. Nadia Asyila berfikir seketika
seandainya dia pernah berjumpa dengan lelaki itu sebelum ini.
Seketika kemudian, dia pasti yang
mereka tidak pernah bertemu. Ini mungkin pertemuan yang pertama. Cermin
keretanya diketuk perlahan. Setelah ketukan yang ketiga, barulah Nadia Asyila
menurunkan cermin keretanya.
“ Inspektor, boleh kita bercakap
sekejap?”
Sekali lagi Nadia Asyila memerhati
raut wajah lelaki di hadapannya. Lelaki itu mengetahui tentang pekerjaannya.
“ Saya tak mempunyai niat jahat.”
Wajah itu sedikit kendur. Seakan
menginsafi akan sesuatu. Nadia Asyila mengangguk. Dia keluar dari kereta
setelah yakin yang lelaki itu bukan seorang yang berbahaya.
“ Saya Firdaus.”
“ Kita tak pernah berjumpa kan?”
Lelaki itu mengangguk.
“ Memang kita tak pernah berjumpa. Dan
untuk pertama kali juga saya mahu berdepan dengan kenyataan. Kebenaran yang
sememangnya pahit untuk saya telan.”
“ Apa maksud awak?”
Wajah lelaki itu keruh. Lebih keruh
dari yang awalnya. Seakan ada sebak yang cuba ditahan. Ditarik nafasnya dalam
dan dihembuskan perlahan. Mencari sedikit kekuatan.
“ Saya sebenarnya tak tahu macam mana
nak mulakan.”
“ Apa yang awak nak cakapkan
sebenarnya ni?”
“ Maafkan saya kalau saya membuang
masa inspektor. Saya janji yang apa yang bakal saya katakan tidak akan
merugikan inspektor.”
“ Okey, saya mendengar.”
“ Saya ada seorang ibu. Dunia saya
hanya ibu saya. Memang saya dah tak ada sesiapa dalam dunia ni. Ibu saya tenat.
Nazak di hospital. Doktor cakap yang kos pembedahannya seratus lima puluh
ribu.”
Dia berhenti seketika. Semakin sebak.
Nafas kembali ditarik. Cuba mencari ayat untuk dituturkan.
“ Saya orang miskin. Tak ada kerja
tetap. Mana saya nak cari duit sebanyak tu dalam masa yang singkat. Demi Allah,
kerana ibu saya, saya sanggup lakukan apa sekalipun. Melalui seorang kawan,
saya diperkenalkan kepada seorang perempuan. Perempuan tu begitu licik. Saya
dijanjikan duit pembedahan tu sekiranya saya sanggup melakukan kerja yang
diarahkan. Saya diberi dua keping gambar. Ini gambarnya.”
Nadia Asyila mengambil foto yang
berada di tangan lelaki itu. Riak terperanjat jelas di wajahnya. Dipandang
wajah lelaki yang berada di hadapannya. Lelaki itu mengangguk. Foto yang telah
bertukar tangan tadi adalah dirinya dan Iqmal Hisyam.
“ Apa yang dia mahu kamu lakukan?”
“ Dia nak kamu berdua mati.”
Sekali lagi wanita itu terperanjat. Dia
tidak menyangka itu yang terkeluar dari bibir jasad yang berada di hadapannya.
“ Kemalangan kamu dirancang.”
Nafas Nadia Asyila turun naik. Setiap
patah perkataan yang keluar dari bibir lelaki itu dirasakan amat berbisa.
“ Ya! Itulah kebenarannya. Sayalah orang
yang memandu lori yang melanggar kamu.”
Nadia Asyila memandang wajah itu
dengan pandangan yang tajam. Air jernih yang menitik di pipi lelaki itu seakan
tidak memberikan apa-apa kesan kepadanya.
“ Kau..”
“ Saya tahu. Izinkan saya habiskan.”
Nadia Asyila menelan liurnya. Dia
sebak dengan apa yang telah berlaku. Sebaknya semakin menggunung apabila
terbayang wajah Iqmal Hisyam yang terlantar koma. Terasa mahu ditumbuk wajah
lelaki di hadapannya kini.
“ Siapa dalangnya?”
Firdaus menunduk. Dia semakin sebak.
Ego lelakinya menghilang entah ke mana.
“ Setelah kejadian tu, saya melarikan
diri. Dua hari kemudian, saya cari perempuan tu. Apa yang dia cakap benar-benar
buat saya marah.”
“
Siapa dia dan dia cakap apa?”
“ Saya takkan dapat wang yang
dijanjikan kerana kamu berdua selamat. Malah, saya diugut bunuh sekiranya semua
yang berlaku terbongkar. Memang betina tu seorang yang kejam. Saya dah tak
takut dengan apa-apa sekarang. Hari ni, saya rela dihukum oleh undang-undang
dengan apa yang telah saya lakukan. Saya rela memberi keterangan untuk
perempuan tu.”
“ Kenapa?”
“ Saya dah tak kisah dengan segalanya.
Saya dah tak ada apa-apa dalam dunia ni. Semalam ibu saya menghembuskan
nafasnya yang terakhir setelah lama dia menderita kerana menunggu pembedahan. Saya
memang tak guna. Apa yang saya lakukan sebenarnya akan membuatkan dia lebih
menderita sekiranya dia tahu apa yang telah saya buat. Untuk seorang ibu yang
sedang menunggu saat kematian pun saya tak dapat lakukan apa-apa. Saya memang
anak tak guna.”
Luahan itu diucapnya dengan sepenuh
perasaan. Sudah tidak berdaya untuk dia berdiri. Lututnya mencecah bumi. Air
matanya laju menuruni pipi.
Nadia Asyila mengalihkan pandangannya
ke sebelah kiri bahu. Dipejamkan matanya untuk seketika. Empangan matanya juga
pecah. Dia turut terkesan dengan apa yang berlaku.
“ Siapa perempuan tu?”
“ Saya tak tahu namanya. Cuma, saya
ada gambarnya.”
Lelaki itu menekan-nekan punat telefon
miliknya. Mencari gambar yang dimaksudkan. Jumpa. Diunjukkan handphone itu ke
arah Nadia Asyila.
Untuk kali ini, Nadia Asyila mengucap
panjang. Memang dia tidak menjangka dengan apa yang dilihatnya.
Firdaus mengesat air jernih yang masih
bersisa dengan belakang tangannya. Selepas itu terus dihulurkan kedua-dua
tangannya kepada wanita di hadapannya.
Nadia Asyila mengeluarkan gari yang
berada di pinggangnya. Melakukan tugasnya. Setelah itu, mereka memasuki perut
kereta dan Nadia Asyila terus memfokuskan pemanduannya menuju ke balai.