Yoshihisa kemudian sambung bersibuk-sibuk di jeti mengarah pekerja mengangkut. Yang anehnya, orang tua ini hanyalah pekerja seperti mereka asalnya. Bagaimana pula dia boleh mengarah-arah seperti bos di sini, lagikan pula dia tawanan Yato sebelumnya?
Yato datang bertemu Yoshihisa. Itu sahaja sudah menjawab soalan dalam hati Ryouji. Yoshihisa jelas membelotnya.
“Yoshihisa, aku telah suntik mereka.”
“Aku tahu, aku nampak tadi.”
“Pastikan mereka tidak melarikan diri. Hanya engkau yang mereka percaya. Atau mereka tanggung sendiri akibatnya.” Sebaik habis berpesan, Yato tersenyum sinis seraya berlalu.
Yoshihisa menyumpah-nyumpah Yato dalam hati. Siap engkau Yato. Aku akan putarbalikkan segalanya dan engkau akan aku pijak-pijak. Orangmu akan menjadi orangku, tunggulah. Engkau belum kenal siapa aku, ahli perniagaan yang pernah berjaya. Aku hanya gagal kerana Perang Boshin dan aku terlalu selesa langsung tidak membina jaringan kenalan dalam kerajaan Maharaja. Engkau mentah Yato, engkau perlu lebih belajar memahami manusia. Engkau masih muda. Mereka tidak berlegar di sekitarmu. Usah kaupandang rendah orang tua ini.
Yoshihisa mengenang kembali sewaktu dia ditangkap orang-orang Yato di pinggir hutan gelap. Dia mahu menawarkan dirinya bekerja untuk Yato agar dapat pulang selamat ke Jepun. Dia telah nekad meninggalkan Ryouji dan Hisamiko di pulau ini kerana mengetahui mereka sedang melarikan diri dari Maharaja. Dia tidak memberitahu lokasi beradik itu kepada Yato.
Namun, Yato dapat menghidu Ryouji dan Hisamiko pasti dari dalam hutan gelap melihatkan orang tua itu keluar dari situ. Tidak semena-mena, Ryouji dan Hisamiko keluar dari hutan mencari Yoshihisa sedang Yato dan Yoshihisa sedang berada di situ. Dengan menggunakan Yoshihisa, Yato mengalih perhatian Ryouji dan berjaya memerangkap keduanya dengan jaring.
Yoshihisa menggenggam penumbuknya melihatkan kegagalan rancangan itu. Mengapa engkau keluar dari situ Ryouji! Hisamiko! Bersusah-payah aku membantu kalian bersembunyi!
Dan aku bodoh melarikan diri tiba-tiba tanpa memberitahu mereka. Bukankah aku sama bodoh?
Tidak, aku melarikan diri agar mereka tidak menahanku. Aku tahu mereka baik orangnya. Mereka tidak akan melepaskanku, sedang aku mahu pulang. Jika aku terlepaskan kapal kami, entah bila aku boleh pulang ke Jepun. Yoshihisa cuba memenangkan dirinya dan mewajarkan keputusannya lari dari lubang itu.
Dahulu mujur sahaja kapal Belanda itu menyelamatkanku. Jika tidak, aku mungkin sudah lemas ditelan badai.
Yoshihisa dilepaskan Yato dan dibiarkan bekerja, sebelum diminta memandu arah kapal. Yato tahu, Yoshihisa sememangnya mahu pulang dan amat sayangkan nyawanya. Yato memberitahu dia tidak akan membunuh Yoshihisa kerana dia mahu Yoshihisa bekerja untuknya.
Namun Yoshihisa sedih dengan nasib dua beradik itu. Dia tidak tahu apa harus dilakukan demi membantu mereka, hanya isyarat wajah sahaja menjadi penghubung dari jauh. Mungkin, dia juga bersalah. Dia terlalu pantas melarikan diri dan menggerakkan naluri Yato yang sedang menunggu di luar hutan gelap.
Kalian, jangan cuba melarikan diri. Kalian telah disuntik racun itu! Bisik hati Yoshihisa sedang mata sekali-sekala memandang Ryouji dan Hisamiko di dek atas. Sekali-sekala dia memerhati Yato dan orang-orangnya agar tidak menimbulkan curiga mereka.
“Onii-san, aku fikir ada pisau tercicir di balik tong.” Hisamiko telah menghantar gelombang menggunakan deria di belakang hidungnya, demi mencari mana-mana pisau atau alatan logam di sekeliling. Tatkala gelombang itu bertemu mana-mana objek ia dipantulkan semula ke deria tersebut. Jika ia bertemu objek dari logam besi, isyaratnya sedikit berlainan dan Hisamiko mentafsir peralatan logam berada berhampirannya.
“Hah, mana mungkin kita boleh mengambilnya.”
“Atta (jumpa pun). Di situ.” Hisamiko memuncung mulut ke satu pisau yang ditindih salah sebuah tong pada hulunya. Bilah pisau itu bengkok ke atas, mungkin disebabkan itu ia dibuang.
Ombak berolak menggoncang-goncang dek kapal yang masih sauhnya bertambat pada tebing pesisir yang ditinggikan, berbentuk batu-batu kerikil dalam jaring kotak. Ia kapal gabungan berkuasa stim dan punya layar juga. Saiznya tidak terlalu besar cukup memuatkan rombongan seramai seratus orang.
Beberapa tong terseret ke sana sini, ada yang terhoyong-hayang seperti orang mabuk tatkala kapal bergoncang. Tong yang menindih pisau itu teralih selepas beberapa kali goncangan menggerakkannya.
Ada sisa-sisa tali lebihan di bawah kaki Hisamiko. Hisamiko menyepak-nyepak tali itu sedikit-sedikit, bergabung dan menyelaras dalam susah-payah dengan daya goncangan kapal, sehingga satu hujungnya beransur-ansur mendarat di celah tong-tong yang berdiri. Mata masing-masing tak lekang dari memerhati orang-orang Yato yang sekejap ada sekejap hilang berbual entah apa.
“Tuhan bantulah kami. Bantulah kami. Hantarlah ombak yang boleh menganjak tong-tong itu.”
Seperti dimakbulkan doa Hisamiko, ombak datang lagi menggoncang dek. Ada satu tong kosong berguling dalam berdiri dan terhenti di atas tali. Hisamiko menarik tali itu dengan kaki yang masih di balik jaring, sehingga tong terjatuh dan menghentak pisau bengkok itu pada bilahnya. Pisau itu melambung dan Hisamiko menangkap dengan mulutnya. Dia memasukkan pisau itu ke dalam baju dan meleretkannya sehingga menuruni lengan yukata di belakang badan. Perlahan-lahan tangannya menarik keluar pisau dari lengan yukata dan menggunakannya menghiris tali pengikat.
“Arigatou, Miko.” Ryouji mengemaskan yukatanya sebaik meleraikan belitan terakhir. Jaring ditanggalkan. Mana-mana gentian jaring yang degil dipotong sahaja menggunakan tantou.
Ryouji dan Hisamiko bergerak perlahan-lahan agar cecair biru di dalam badan mereka itu tidak diserap banyak.
“Bagaimana onii-san?”
“Aku rasa sedikit berat. Namun usah risaukanku. Engkau bagaimana?”
“Aku rasa seperti biasa. Tiada apa-apa yang tidak kena.”
“Omaera!” Salah seorang orang Yato menyedari kedua mereka terlepas.
Hisamiko dan Ryouji terhenti langkah. Mereka serba salah. Jika berlari, serapan akan meningkat. Jika berhenti, maka sia-sialah usaha melepaskan diri.
Tiada jalan lain. Bisik Ryouji dalam hati. Sama ada sekarang atau kami tidak akan kembali ke sini, kerana mereka akan berlayar esok. Hisamiko harus aku pastikan benar-benar bersembunyi di pulau ini sebagaimana perancangan asal kami. Ia tujuan utama kami menyertai rombongan ini. Kami harus tinggal di sini. Kami tiada tempat lagi di Jepun.
Oh ya! Ryouji seolah-olah ditebak pencerahan. Dia tersenyum sambil memandang Hisamiko sedang Hisamiko tidak menyedarinya. Dalam kepala Ryouji ligat menyusunatur perancangan rahsia. Aku rela berkorban segala-galanya asalkan engkau selamat, Hisamiko. Walau nyawa sekalipun!
“Hisamiko, tiada jalan lain. Kita...” Ryouji menyerong bibir ke laut di bawah.
“Aku fikir gerakan renang lebih perlahan berbanding gerakan bertarung. Tiada cara lain Miko. Ikut arus dan kurangkan gerakan.”
Tiada cara lain Miko. Kita harus melarikan diri sekarang atau kita akan kembali semula ke Jepun di mana tentera Maharaja menanti untuk menangkap dan membunuh kita. Jika pun kita bersembunyi, kita hidup, namun kita tidak akan bebas dan akan sentiasa ketakutan. Lambat-laun, kita akan ditangkap jua. Aku tak mahu hidup begitu. Aku pasti engkau pun tak mahu hidup begitu. Kita sudah penat berlari. Aku mahu engkau hidup gembira sehingga ke akhir hayat.
Aku tidak percayakan Yato mahupun Yoshihisa. Dan aku juga mahu melindungimu dari menjadi ancaman kepada negara yang telah Maharaja bina itu. Akan aku buktikan bahawa ramalan Amaguri itu batil dan tidak akan berlaku.
Aku tidak pasti perancangan ini akan berjaya atau sebaliknya. Aku rela berjudi dengan nyawaku. Aku yakin Hisamiko, engkau pasti selamat.
Ryouji terjun dahulu, diikut Hisamiko.