Segalanya gelap. Segalanya kaku. Segalanya berbau hanyir darah dan tembelang belerang dan ubat bedil. Bunyi tembakan demi tembakan bertalu-talu yang memekakkan kini termati. Hanya deru angin laut dan bunyi desiran ombak memukul pesisir dan gemersik daun-daun hutan diterjah bayu mengisi suasana.
Satu tembakan pun tidak mengenai Hisamiko. Seolah sekelip mata, ratusan tentera gugur dibelah perut dan leher satu-persatu oleh gadis berpedang itu. Sepantas kilat pergerakannya, sehinggakan Yoshihisa hanya dapat melihatnya jelas selepas Hisamiko bertenggek di atas pokok kelapa di hadapannya usai melakukan pembunuhan besar-besaran itu.
“Siapa engkau?!” Pekik Hisamiko.
“Ini aku, Yoshihisa. Engkau tidak mengenaliku Hisamiko?”
“Aku tidak pernah mendengar nama itu. Nyah engkau dari pulau ini dan usah kembali lagi ke sini.”
“Sungguh engkau tidak pernah mendengar namaku? Ini aku Yoshihisa. Orang tua yang pernah ke mari bersamamu, bersama abangmu. Engkau tidak ingatkah?”
“Usah kaupaksa aku ulangi. Nyah sekarang!”
Yoshihisa berundur dalam keberatan, meninggalkan mayat-mayat tentera bergelimpangan dengan darah membanjiri pepasir pantai. Tangannya menggigil.
Tadi, Hisamiko muncul tiba-tiba dan melibas pedangnya melulu. Mereka terpaksa melepaskan tembakan. Namun semakin ditembak, semakin Hisamiko mengganas. Makhluk berbulu putih itu juga membunuh tatkala ada tentera cuba melintas di hadapannya. Ia hanya duduk memerhati dan membantu Hisamiko pabila perlu.
Hisamiko yang dilihatnya itu bukan lagi Hisamiko yang dulu. Tiada lagi kebaikan yang dapat diterjemah dari wajahnya. Hanya kebencian. Hisamiko telah dikuasai kebencian yang mendalam terhadap dunia. Kebencian yang cukup kuat untuk membelenggunya di pulau ini tanpa perlu sihir Kaisenjyo yang dahulu menyekatnya dan Shiro.
Sungguh engkau tidak mengenaliku Hisamiko? Soalan itu berulang dalam kepala Yoshihisa tatkala dia melangkah longlai menuju ke bot sedang seluruh tubuh tua menggigil.
Shiro yang berada di bawah Hisamiko berpaut pada batang kelapa, mencuit kaki umanori-nya.
Hisamiko terjun dan Shiro menyambut dengan belakang badannya. Shiro terbang dengan Hisamiko di belakangnya menuju ke kapal tentera di tengah laut.
Mereka mendarat di atas kapal hitam, Hisamiko berdiri di atas belakang Shiro yang merangkak di atas keempat kakinya di atas dek utama kapal yang menempatkan meriam.
Para tentera terpaku. Mikio melihat dari jauh Yoshihisa mendayung botnya kembali ke kapal. Di kejauhan para tentera yang mendarat di pesisir telah bergelimpangan sebagai mayat. Mikio melopong.
Syaitan apakah yang menyerang kami di sana?
Hisamiko mengeluarkan Saishi-tou-nya dan menghunus ke arah para tentera di atas dek utama. Pandangan Mikio beralih ke arah Hisamiko dan Shiro.
“Kaisenjyo... apakah dia ini Kaisenjyo? Yang diramalkan ahli sihir Amaguri?” Terpacul soalan dari mulut Mikio.
Salah seorang pegawai Mikio yang menjaga meriam bertanyakannya, “Siapa Kaisenjyo?”
“Ia gadis yang tahu bertarung dan mempertahankan pulau terasing dari dicerobohi. Jika kita tidak menghalangnya dia akan kembali ke Jepun dan membunuh Maharaja.”
Sebaik Mikio menghabiskan kata-kata, lehernya ditikam. Di balik mayat Mikio yang rebah, Hisamiko berdiri dengan pedang Saishi-tou-nya masih menitikkan darah.
“Engkau terlalu banyak bercakap, pengawai tentera Maharaja. Aku tidak ingin langsung kembali ke Jepun. Namun engkau terlalu mempercayai Amaguri yang entah siapa itu, yang wajahnya pun engkau tak pernah lihat. Kalian terlalu mempercayai ahli sihir itu!” Pekiknya.
“Kerana ketaksuban kalian, aku dan abangku dihalau sehingga kami terpaksa melarikan diri ke sini. Aku dan abangku telah bersabung nyawa mempertahankan Maharaja namun apakah ini balasannya kepada kami? Madu diberi tuba dibalas! Andai....andai aku dan abangku masih di tanahair sudah pasti abangku masih hidup...”
Rakan tentera Mikio masih tergamam dan ketakutan seolah tidak mendengar kata-kata Hisamiko. Tatkala Hisamiko terleka dalam melankolinya, salah seorang sempat mengalihkan meriam dan menghala ke arah Hisamiko, dan pantas cuba menembaknya, namun Hisamiko pantas melompat dan menusuk pedangnya ke leher pencucuh meriam itu.
Yoshihisa tiba di kapal. “Hisamiko, hentikan!” Laungnya segera.
Yoshihisa termengah-mengah memanjat naik ke atas dek.
“Hisamiko, hentikan semua ini.”
Hisamiko merenung Yoshihisa. Tatkala seorang lagi tentera cuba menembak dengan pistol, Hisamiko mengelak dan membunuhnya dengan sekali libas pedang. Ramai tentera mulai curiga dengan upaya masing-masing dan ketakutan lantas mengambil kesempatan bersembunyi. Darah membanjiri dek kapal, mayat-mayat tentera bergelimpangan. Dek kapal lengang serta-merta, yang tinggal hanya meriam dan pelurunya. Hanya Yoshihisa yang masih berada di atas dek.
Yoshihisa tergamam. Hisamiko langsung tidak mempedulikan tegahannya. Hisamiko bahkan begitu mudah membunuh.
“Kalian lupakan rancangan kalian dan nyah dari perairan ini segera!” Hisamiko melaung amaran kepada tentera yang mencicit lari ke dek bawah. Dia kembali ke belakang Shiro, merenung Yoshihisa tanpa mengapa-apakannya, seraya terbang kembali ke pulau.
Yoshihisa tidak berganjak. Tatkala meriam lengang, dia bingkas bangun menggagahkan tubuh tua itu ke bahagian pencucuh meriam. Dia memasukkan peluru dan bahan api. Dia mengambil pencucuh dan bersedia menyalakannya. Dia mengambil teropong dari mayat seorang pencucuh meriam dan menyarung pada kepalanya. Dia mengamati ruang udara demi mengesan lokasi Shiro. Amarah menguasai orang tua ini. Segala arahan Maharaja luntur dari benak, yang kini terisi api kemarahan menggelojak setelah melihat ratusan tenteranya ditumpaskan hampir sekelip mata.
Gadis ini bukan lagi Hisamiko. Dia syaitan, dia sebenar-benar syaitan seperti ramalan Amaguri yang bersipongang di serata jagat raya Jepun. Dialah Kaisenjyo sebenar! Laung Yoshihisa dalam hatinya.
DAMMM! Bunyi meriam berdentum selepas Yoshihisa menyalakannya. Peluru itu hanya sipi memintas Shiro yang sedang membawa Hisamiko terbang. Yoshihisa mendengus geram. Melihatkan keberanian Yoshihisa, anggota tentera lain keluar dari dek bawah dan kembali ke meriam masing-masing.
“Ayuh, kita bunuh sahaja gadis itu.” Saran salah seorang tentera.
“Chotto matte omaera. (Tunggu sebentar kalian.)”
“Nande, Chikuma-san (Ada apa, Chikuma)?”
Chikuma, salah seorang tentera di situ, mendekati Yoshihisa.
“Yoshihisa, bukankah Maharaja menghalang kita membunuhnya?”
“Engkau perhati bukan tadi?! Bagaimana ratusan tentera kita dibunuh di pantai? Dan di atas kapal ini begitu ramai yang mati? Apa engkau ingat kita masih boleh menangkapnya? Dia syaitan, usah kita bawa pulang syaitan begini ke Jepun!”
“Ini.” Salah seorang tentera menyuguh sebuah kotak kecil yang panjang. “Yoshimura yang kaupecat itu masih mahu membantumu.”
Yoshihisa melopong sebaik membukanya. Ia peluru berisi racun sama yang telah membunuh Ryouji. Racun yang semakin mudah diserap tubuh jika mangsanya bergerak banyak. Namun Yoshihisa tidak mudah terpedaya.
“Apa kaubilang aku boleh menangkapnya dengan racun ini? Hei, Chikuma, gadis itu telah disuntik benda sama dahulu dan dia masih hidup!”
“Bukan itu maksudku! Dengar sini Yoshihisa, kita akan menggunakan racun ini menyuntik anjing putih itu.”
“Selepas itu kita akan merelakan diri dibunuh gadis itu? Chikuma, gadis itu tidak akan berenggang darinya!”
Chikuma terdiam sejenak.
“Perancanganku begini, kita harap dia leka sebaik anjing putih itu melemah. Dalam lekanya, kita akan menangkap dengan senjata biasa, seperti jaring atau pisau dan pistol bagi mencederakan dan menyukarkan dia melarikan diri. Yoshihisa, kepantasan hanya boleh ditumpaskan dengan kelekaan.”
“Ya, jika anganmu itu benar-benar berlaku.”
“Yoshihisa kita tiada pilihan lagi. Gadis itu mesti ditangkap dan pulau ini mesti ditakluki. Apakah engkau mahu pulang dengan tangan kosong? Dengan begitu ramai bala tentera yang sudah dikorbankan ini? Bukankah kau yang mencadangkan penaklukan ini kepada baginda?”
Yoshihisa terdiam. Dia terpaksa akur dengan keadaan yang menuntut dari semua arah. Dia benar-benar diperangkap keadaan. Semua tentera yang masih berbaki merenung kepadanya. Yoshihisa adalah ketua mereka. Dia nakhoda dan dia juga ketua penakluk misi ini. Hisamiko boleh sahaja membunuhnya namun Yoshihisa sungguh beruntung. Tidak, seluruh pasukan tentera itu beruntung ketua mereka masih dipanjangkan umur.
“Kita akan mengikut perancangan Chikuma. Sasaran utama kita ialah anjing putih itu. Selepas itu kita akan menangkap Hisamiko. Dan kalian akan meneruskan penaklukan pulau ini sebaik Hisamiko sudah berada dalam kurungan kita.”
Ikuzo!
**