Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 21

Dia menoleh, namun pantas ditikam.

 

“Siapa...engkau...”

 

Namun soalannya tenggelam dengan darah membuak-buak di kerongkong. Dia lemas. Tangannya menekup perut yang bocor ditikam. Dia terduduk, tersandar pada pokok. Lisan cuba memunggah kata dari benak namun dilemaskan oleh darah yang melimpah-limpah. Jelas di matanya tubuh seorang lelaki sedang memegang tantou penuh kesan darah. Namun wajah lelaki itu kurang jelas kerana dilitup rambut panjang dan dibayangi pokok-pokok hutan yang tinggi dan berkanopi rapat menghalang sinar mentari.

 

“Mereka adalah mangsaku... mereka adalah mangsaku...” ujar lelaki yang memegang tantou itu perlahan.

 

“Mengapa engkau masuk campur... mengapa engkau masuk campur, ha? Rasakan...rasakan!” Bertalu-talu lelaki itu menikam Kazumasa sehingga terkulai, sehingga tiada lagi suara erangan kedengaran. Hanya unggas dan monyet menjadi saksi. Kazumasa pergi. Hisamine bernasib baik Kazumasa pergi lebih awal.

 

Dosa-dosa Kazumasa terkubur bersama jasadnya.

 

Tidak, semudah itukah dosa-dosanya terkubur?

 

Kazumasa adalah dendam Hisamine. Kazumasa juga dendam begitu banyak musuh, yang masih hidup mahupun yang telah pergi. Apakah mereka akan berpuas hati begitu sahaja tatkala mengetahui mangsanya dibunuh dan mati semudah ini? Sedang keperitan gadis-gadis mangsanya diseksa lelaki ini di atas kapal masih hidup dan belum benar-benar terbalas, hatta Kazumasa dicelup di dalam neraka untuk seribu tahun sekalipun.

 

Bayangan hitam yang besar menaungi melitupi lelaki berambut panjang mengurai yang memegang pisau berdarah tiba-tiba.

 

“Kuro, ini habuanmu untuk seminggu mendatang.” Ujar lelaki itu kepada bayang hitam, tanpa menoleh.

 

Bayang hitam menjengah dari gelap hutan menampakkan wajahnya seperti serigala, ia menyeringai seraya menganga, air liur meleleh dari celah-celah lidah dan gigi tajam. Ia mengapit rahangnya dengan sekali terkam pada leher Kazumasa dan menggonggongnya lari keluar dari hutan.

 

**

 

Kelapa-kelapa yang dipungut itu diletak di tepi khemah Hisamiko dan Hisamine. Seperti biasa Shiro akan menghentak kelapa itu pada batu sehingga terobek sabut. Kemudian dia akan menarik sabut-sabut itu sehingga menampakkan tempurung, dan dihentak lagi pada batu sehingga tempurung itu terbelah dua dan dia boleh menokak isinya. Dia melakukan untuk Hisamiko dan Hisamine.

 

“Wah, sedap juga. Aku tidak pernah meminum air pokok ini. Miko, buah apakah ini?”

 

“Aku pernah membaca. Buah ini tumbuh di negara di selatan Jepun dan tepi pantai di sana. Namanya dalam bahasa kita ialah yashi.”

 

“Hmm.” Hisamine meneguk air kelapa yang masih berbaki. “Ia tumbuh banyak di Luzon juga. Aku pernah melihatnya namun tidak pula berpeluang memakan mahupun meminum airnya.”

 

“Luzon?”

 

“Sebuah pulau di selatan. Penduduknya bertutur bahasa asing dari kita. Aku dibawa ke sana selepas dibeli pedagang Jepun yang berlabuh di Joseon. Dan kapal merekalah yang terdampar di sini sehingga aku bertemumu.”

 

Sou desuka.

 

Perbualan mereka terhenti seketika. Hisamiko cuba mengingat sesuatu, seperti soalan yang ditangguhkan disoal. Baru dia teringat. Dia menangguhkan soalan itu kerana Hisamine belum benar-benar sembuh dari kecederaannya.

 

“Mine, apa yang berlaku padamu selepas diculik di pasar itu?”

 

“Aku dilacurkan.” Jawab Hisamine, selamba dan ringkas. Tiada reaksi muram atau kecewa pada wajahnya, seolah dia telah lama menerimanya.

 

Hisamiko terkejut mendengarnya. Dia mendengar dari mulut lelaki yang menyerang itu namun tidak menyangka Hisamine benar-benar salah seorang dari pelacur mereka.

 

“Selepas aku ditangkap di utara Honshu, kami dibawa ke Joseon. Di sana aku dan kanak-kanak lain dilatih para senpai (senior) menjadi gadis geisha sehingga cukup umur. Sebaik umurku mencecah enam belas, aku disuruh melayan lelaki. Tidak lama selepas itu, aku dibeli pedagang Jepun yang singgah di Joseon. Mereka membawaku bersama rakanku dalam pelayaran.”

 

“Aku pernah cuba melarikan diri. Namun aku diikat dan dipukul sehingga perutku sakit-sakit.” Hisamine mengangkat sedikit rambut yang menutupi dahinya. “Ini parut kesan dipukul.”

 

“Hisamiko, aku fikir Tuhan telah menyelamatkanku, dengan menghantar ribut dan kapal kami terdampar di sini. Separuh kapal kami pecah dipukul badai dan separuh anak kapal kami hilang ditelan samudera. Semua rakanku hilang. Sedang rakan lelaki itu, aku lihat cuma tiga orang yang selamat sampai ke sini bersamanya.”

 

“Lelaki yang mengejarmu tempoh hari?”

 

“Ya, Kazumasa namanya.”

 

Petangnya, mereka cuba menangkap ikan. Hisamiko yang pernah mengikut abangnya mengail kini mengaplikasi pengetahuannya. Ikan-ikan yang ditangkap diletakkan di dalam satu bulatan yang dipacak batang buluh panjang di sekelilingnya.

 

“Bagaimana engkau akan memakannya Hisamiko?”

 

“Aku tidak pernah memakannya. Aku tidak memakan daging mentah.”

 

“Habis kautangkap untuk siapa?”

 

“Shiro. Upahnya membantu kita membina rumah.”

 

“Habis selama ini kaumakan apa?”

 

“Itu.” Miko menunjuk ke arah buah-buah seperti momo di pohon-pohon di tepi onsen, tumbuh lebat berwarna merah kuning.

 

“Apakah aku boleh memakan ikan-ikan ini?”

 

“Ya, ambillah. Apakah kautahu bagaimana menghidupkan api?”

 

“Hah? Hisamiko, engkau sudah lama di sini namun masih belum tahu menghidupkan api?”

 

Sou. Aku hanya makan buah.”

 

Hisamine mengeluh. Dia mengambil dua batang buluh.

 

Dia meminta Hisamiko membelah buluh itu dengan Saishi-tou-nya. Hisamiko melakukannya tanpa banyak soal. Matanya memaku pada Hisamine penuh tanda tanya. Setiap gerakan Hisamine diperhati. Ke mana batang tubuh Hisamine beranjak dia ekori.

 

Mine mengumpulkan daun-daun kering dan kayu-kayu kering kecil. Dia mengambil satu sisa batang buluh kecil dari binaan rumah mereka, dan menggosok muncung batang buluh kecil itu kepada bahagian dalam buluh yang sudah dipotong, dari atas ke bawah, di mana kayu dan daun kering tadi diletakkan di bawahnya. Mula-mula asap muncul, dan kemudian percikan bunga api dari debu buluh terkumpul di bawah dan menyalakan daun dan kayu kering, menghasilkan api. Selepas anak api mula terhasil, Hisamine meminta Hisamiko meletakkan kayu-kayu kering yang lebih besar. Api terhasil oleh tangan manusia buat pertama kali di lembah ini akhirnya.

 

“Mana kaubelajar semua ini Mine-chan?”

 

“Aku melihat pemerdagang kami melakukannnya ketika kami terkandas di pulau terpencil berhampiran Luzon. Ada banyak buluh di situ. Hah, sekarang kita boleh membakar ikan!” Hisamine ketawa kecil. Hisamiko turut sama.

 

Mereka makan dengan lahapnya. Sudah lama Hisamiko tidak merasa ikan bakar. Kenangan memakan ikan saba bakar bersama abangnya sewaktu acara musim panas 1872 di Hidagawa kembali menerpa benak. Waktu itu dia tercekik tulang. Mujur abangnya menyuap nasi onigiri sehingga tulang itu berjaya dilepaskan. Jika tercekik di sini apa boleh mengganti onigiri? Hisamiko memandang buah merah kuning. Oh, buah itu.

 

“Mine, berhati-hati dengan tulang.”

 

“Hmm.” 

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov