Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 8

“Kalian, aku fikir kita sedang diekori.” Hisamiko memberitahu perlahan, berdasarkan bunyi yang dikesan telinganya yang tajam itu. Ryouji dan Yoshihisa kaget. Tangan Ryouji dan Hisamiko masing-masing memegang hulu pedang, bersedia dengan segala kemungkinan.

 

Tomare, omaera! (Berhenti, kalian!),” kedengaran suara seorang lelaki memanggil mereka bertiga dengan kasar.

 

“Lari!” Yoshihisa memecut disusuli Ryouji dan Hisamiko. Orang-orang yang memanggil mereka mengejar di belakang. Semakin mereka jauh di dalam hutan itu, semakin gelap sekitaran kerana tiada lagi jamung, dan rimbunan dedaun hutan membayangi cahaya bulan.

 

“Yoshihisa...Yoshihisa...” Ryouji memanggil Yoshihisa dengan suara separa berbisik.

 

“Aku di sini. Di mana Hisamiko?”

 

 “Aku di sini.” Suara Hisamiko kedengaran di balik belukar bersetentang dengan mereka. Ryouji dan Yoshihisa di bahagian yang sama, manakala Hisamiko berada di sebelah lain denai itu.

 

“Kalian.” Yoshihisa bersuara separa berbisik. “Kita harus berpecah. Dengar sini baik-baik. Nampak di atas sana? Naik tebing tinggi itu, dan temui aku di hutan gelap.”

 

“Hutan gelap?”

 

“Ya. Kanopi hutan itu rapat menjadikan bahagian bawahnya gelap sepanjang masa. Aku akan menunggu kalian di sebatang pokok berbuah seakan momo dengan cahaya terang.”

 

“Cahaya terang?” Duga Hisamiko.

 

“Di situ kanopinya lebih renggang dan membenarkan cahaya masuk. Mujur malam ini bulan mengambang, kalian manfaatkanlah.”

 

“Baiklah.”

 

“Kalian jangan lupa malapkannya. Atau mereka akan mengesanmu. Hanya terangkan pabila perlu.” Yoshihisa menyerahkan pelita yang dipegang.

 

“Bagaimana dengan engkau?”

 

“Aku arif kawasan ini. Gelap mana sekalipun aku masih tahu arah. Cahaya bulanpun terang malam ini cukup membantuku.”

 

“Yoshihisa, berhati-hati.”

 

“Kalian pun. Mata ne!”

 

**

 

Ryouji, Hisamiko dan Yoshihisa telah berada di hutan gelap. Orang-orang Yato berjumlah dalam sepuluh orang terus mengejar.

 

Sebaik Ryouji tiba di pokok itu yang terang disinar rembulan, Hisamiko sudah berdiri di situ. Yoshihisa tiba kemudian dan terus mengarahkan mereka berdua mengikutnya. “Mari!”

 

Mereka menuju ke satu lubang. Yoshihisa masuk dahulu diikuti Ryouji dan Hisamiko.

 

“Lubang apakah ini Yoshihisa?”

 

“Aku tidak tahu. Aku pernah bersembunyi di sini sewaktu dikejar musuhku.”

 

“Musuhmu?”

 

“Ketika rombongan aku ke sini dahulu, rakan sekapalku cuba membunuhku namun aku berjaya melepaskan diri.”

 

Omaera! Ryouji, Hisamiko! Yoshihisa! Keluar kalian! Usah berangan melarikan diri!” Laung Yato. Butirnya tidak jelas di telinga Hisamiko yang sedang menumpu, namun dia tahu itu suara Yato.

 

“Yato berada tidak jauh dari sempadan hutan di tebing tinggi.” Maklum Hisamiko kepada mereka berdua. Cahaya bulan menerjah masuk dari kanopi yang renggang menerangi malap lubang masuk tempat mereka sedang bersembunyi.

 

“Agak engkau dalam berapa orang?” Soal Ryouji.

 

“Sekitar sembilan ke sepuluh orang begitu, berdasarkan jumlah pedang dan pahat.” Jawab Hisamiko berdasarkan deria istimewanya yang boleh mengesan besi. Hanya pasukan pelindung yang boleh membawa pedang, sedang selebihnya yang membawa pahat adalah pelombong yang belot kepada Yato dan sekongkolnya. “Yato paling hampir dengan sempadan hutan.”

 

Sebentar. Aku bilang ada lebih dari tiga bilah pedang. Tidak mungkin. Ini bermakna ada dalam kalangan para pelombong yang turut membawa pedang! Jika demikian, maka semua pembelotan ini telah dirancang awal-awal lagi! Getus Hisamiko.

 

Sementara itu di luar hutan gelap...

 

“Sebentar Yato. Aku nampak sesuatu.” Bisik Katamori, salah seorang orang kanan Yato.

 

Mata mereka berdua terbeliak tatkala melihat satu kelibat yang amat besar, seperti binatang berbulu berwarna hitam – hanya itu yang sempat mereka rakamkan kerana kepantasan pergerakannya dan kelam dinihari yang menghalang – memasuki hutan gelap dari pelantar tebing tinggi. Mereka sempat memerhati pokok-pokok di hutan itu bergoyang-goyang dan ada bunyi dahan patah.

 

“Aku bilang baik kita berundur dahulu.” Cadang Yoshimura, seorang lagi orang kanan Yato. Wajah masing-masing pucat lesi seperti baru memakan limau nipis.

 

“Ya. Kita berlima. Termasuk Daisuke dan Kensho.”

 

“Lima lagi?” Yoshimura menghala muka ke arah lima orang mereka yang masih di belakang.

 

“Kita akan hantar mereka masuk ke hutan itu sebagai percubaan.” Yato menyeringai. Lagipun lebih berkurang ahli rombongan ini, lebih besar pecahan hasil dari emas itu akan memasuki kantungku, getusnya.

 

“Idea yang bagus.” Sahut Katamori. “Aku setuju.” Memanglah dia setuju, kerana fikirannya pun sama sahaja denga bosnya Yato.

 

Atas arahan Yato, lima dari mereka yang baru tiba diarahkan masuk ke dalam hutan gelap untuk mengesan lokasi Ryouji, Hisamiko dan Yoshihisa. Mereka agak keberatan, melihatkan keadaan hutan itu yang gelap dan suasana dinihari yang menyeramkan. Namun oleh kerana Yato paling berkuasa di sini, mereka terpaksa akur. Tatkala mereka mulai memasuki hutan, Yato, Katamori dan Yoshimura menyeringai.

 

“Yato, apakah berbaloi kita menangkap mereka? Dengan lima nyawa kita bazirkan dalam hutan itu...” Terdetik Katamori bertanyakannya.

 

“Selepas kita pulang ke Jepun, kita akan datang lagi ke sini untuk mengaut emas-emas itu sehingga habis. Jika kita biarkan budak dua ekor itu tinggal di sini, mereka akan mengganggu kerja-kerja kita.”

 

“Apakah engkau mahu membunuh mereka?”

 

“Yoshihisa? Tidak. Yoshihisa amat penting, aku mahu membawanya pulang sekali ke Jepun. Dia berpengalaman selok-belok pulau ini, bahayanya, manfaatnya semua di dalam kepala. Bahkan dia boleh menjadi jurukemudi gantian kita.”

 

“Jurukemudi gantian? Apa maksudmu?”

 

“Nanti aku beritahu.”

 

“Dan budak dua ekor itu?”

 

“Pun aku tidak mahu bunuh. Aku mahu gadis itu. Dan abangnya juga amat berguna, seni bertarungnya.”

 

“Hah, engkau pun maklum kemahiran bertarungnya. Dan engkau yakinkah budak dua ekor itu boleh ditangkap? Mereka Okuhida, Yato. Okuhida. Petarung Maharaja yang tidak terkalahkan.” Tegur Katamori cuba memahami kewajaran menangkap dua Okuhida itu.

 

“Aku ada cara. Disebabkan itu aku selidik latar semua ahli pasukan pelindung sebelum ke sini.”

 

“Hah, sedangkan kau sendiri dari pasukan itu.” Katamori berseloroh.

 

Yato tersenyum mendengar ironi yang diperkatakan Katamori.

 

Yato meneruskan berbicara mengenai perancangannya, “Jika mereka cuba melarikan diri, aku akan membiarkan mereka mati. Yoshimura, engkau ada bawa racun baru itu?”

 

Katamori kebingungan. Racun? Racun apa pula?

 

“Ya, Yato. Engkau bertanyakan soalan ini dua kali dalam satu malam sahaja.”

 

“Jadi, apakah kau ada masalahnya dengannya?” Yato menjegil seolah mengugut. Sengaja mahu dia uji pengikutnya itu.

 

“Erm, tidaklah.”

 

“Jadi Yoshimura, apakah racun yang kau bawa itu?” Sampuk Katamori.

 

“Ia diolah dari aotsuyu untuk petarung kaminari. Lebih cepat kesannya. Tentera Maharaja bercadang menggunakannya ke atas Shirasaka Ayame namun dia telah mati dahulu sebelum ia berjaya dihasilkan.”

 

“Kadar resapan meningkat jika yang disuntik bergerak.” Sambung Yato sekadar mahu menunjukkan bahawa dia tidak lupa penerangan racun itu yang pernah diberikan Yoshimura.

 

Yoshimura sekadar mengangguk perlahan mengiyakan. Dia menambah, “Dan racun itu akan hilang dan melenyap melalui pernafasan selepas dua hari dengan syarat mereka tidak banyak bergerak.”

 

“Ya. Racun yang amat sesuai untuk insurans. Insurans bagi memastikan tawanan akur jika mereka berjaya melepaskan diri dari belenggu tali kita. Namun itu tidak bermakna kita tidak perlu mengikat mereka langsung.”

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov