Lampu lif tiba-tiba padam. Sesaat dua kemudian terbuka
semula. Lampu emergency pula tu. Lif sudah
statik. Sunyi seketika. Lagilah terasa seram sejuk tubuh.
Alamak! Apa
sudah jadi ni?
Amy telan liur.
Sudahlah dia betul-betul berdiri di hadapan pintu lif yang tertutup rapat. Di
belakangnya pula ada seorang lelaki yang berseluar panjang dan berkemeja biru
laut sedang bersandar sambil memeluk tubuh.
Sewaktu dia
masuk ke dalam lif itu tadi, dia perasan lelaki yang berkacamata itu tersenyum
kepadanya. Tapi Amy buat tidak tahu sahaja. Membalas senyum lelaki itu lagilah
tidak. Entah siapa-siapa yang dia beri senyum. Senyuman tu walaupun sebuah
sedekah, tapi berpadalah juga hendak diberikan kepada siapa. Kalau Amy
suka-suka balas senyuman lelaki tu, nanti dia ikut balik tak ke naya?
Apa yang dia
fikirkan ialah untuk cepat-cepat tekan butang lif dan turun ke lobi. Nak balik!
Dah malam. Nanti mesti Mama risau.
Amy dongak
memandang nombor-nombor di atas pintu lif yang tadi bercahaya. Kini sudah
padam. Jemari pantas menekan segala butang yang ada di tepi pintu lif. Malangnya
semua tidak berfungsi.
“Lif ni stuck. Kalau awak nak minta bantuan,
awak kena tekan butang loceng keselamatan tu. Handphone saya tak ada signal dalam ni. Handphone awak?”
Satu suara
kedengaran di belakangnya. Berderau darah mendengar suara lelaki itu. Dan-dan
tu lehernya kejang, takut untuk berpaling. Dia belek telefon bimbit. Mana
pernah Nokianya itu ada signal tiap kali masuk dalam lif.
Kemudian dia
terus melakukan seperti yang disarankan iaitu menekan butang yang ada simbol
loceng itu.
Ayok? Kenapa tak
boleh tekan? Butang itu keras. Stuck
juga ke?
“Lif ni memang
butang loceng kecemasannya tu dah rosak. Saya dah complaint dua tiga hari lepas, tapi diorang ni belum baiki
nampaknya.”
Erk!? Kalau dah
tahu loceng tu rosak, yang suruh dia
tekan tadi buat apa? Suka agaknya permainkan orang ye?
“Awak takut ke?”
Suara itu
menyoal lagi. Amy sudah rasa hatinya menggigil walaupun suasana mula terasa
suam. Penghawa dingin lif sudah tidak berfungsi juga ke? Ini namanya bala.
“Tak apa, saya kan
ada. Janganlah takut... insya-Allah sekejap lagi okay lah ni. Sebelum ni pernah juga sekali dua jadi. Lif ni juga.
Tapi tak lama, setakat setengah jam ke satu jam je, macam tu.”
Erk! Amy sudah
terasa mahu pengsan. Setengah jam hingga satu jam tu dia kata tak lama? Nak
mati apa, terkuap dalam lif empat segi ni!? Sudahlah panas. Lepas tu hanya ada
dua orang manusia pula di dalamnya. Bersama lelaki yang tidak dia kenal pulak
tu, ayok! Boleh kena tangkap khalwat. Lagipun boleh percaya ke lelaki ni?
Haruslah selepas
ini taubat dia tidak akan naik lif ini lagi. Walaupun semua lif yang lain itu
penuh, relalah dia walau harus marathon memanjat anak tangga sampai tingkat 18.
Janji dia tidak lagi terperangkap dalam kerosakan lif yang menakutkan seperti
ini.
Ya Allah,
selamatkanlah hamba-Mu yang lemah ini.
Teragak-agak Amy
mendongak dan melihat bahagian atas lif. Dalam salah satu filem Inggeris yang
pernah ditonton, ada aksi di mana hero dan heroin terperangkap di dalam lif
yang rosak. Mereka kemudian memanjat dan mengumpil bahagian atas lif itu. Lalu
mereka pun bebas! Happy ending kan?
Terkebil-kebil Amy
memerhati bahagian atas lif itu. Ligat otaknya memikirkan alternatif
menyelamatkan diri.
“Apa yang sedang
awak fikir tu? Ada cita-cita nak jadi wanita Bond juga ke? Tak payahlah, nanti kalau
awak jatuh, siapa yang susah? Saya juga...”
Erk! Kening Amy
hampir bercantum. Sarkastiknya nada? Hai, kalau di luar lif ni, mau dia balas
dengan ayat pedas sebaris dua.
“Dahlah awak
pakai skirt. Kalau macam hari lain
yang awak pakai long pantstu, boleh
juga saya tolong tolak awak naik.”
Spontan dia
berpaling dan menjegilkan matanya ke arah lelaki yang masih tersenyum-senyum
itu. Amboi, macam makin rancak pula lelaki itu mengatanya.
“Nanti bertambah
pulak kerja pak guard tu. Mana nak repair lif, mana nak hantar awak pergi
hospital. Relax lah...”
Adoi! Amy sudah
mula panas hati. Kalau dia mahu relax
atau buat apa sekalipun dalam lif ni, suka hati dialah. Dia punya pasal. Tapi
Amy tak mahu! Amy cuma mahu balik. Amy sudah tidak tahan terkuap kepanasan di dalam
lif ini.
Amy merengus
sedikit keras. Dia pusing semula tubuhnya betul-betul mengadap pintu lif. Tidak
mahu pandang lelaki yang masih tenang di posisinya itu. Geram! Selepas beberapa
waktu suasana dilingkari sunyi, tiba-tiba kedengaran lagi suara itu berkumandang.
“Saya Azree.
Khairil Azree. Office saya di tingkat
21.”
Tak tanya pun!
Cebik Amy sambil menjulingkan mata. Mujur juga dia membelakangkan lelaki ituorang
yang dicebik.
“Awak ni Amy
kan? Amylia Suzanna? Saya selalu nampak awak. Awak kerja dengan Sophie & Z.
Co. kan?” soal lelaki itu lagi.
Tidak
semena-mena Amy tergaru kulit kepala. Hairan dengan kata-kata yang baru dia
dengar. Dari mana lelaki itu tahu tentang dia?
“Mana awak
tahu?” soal Amy serentak berkalih memandang lelaki itu. Riak Amy penuh curiga.
Bagaimana lelaki
itu tahu akan namanya? Tahu pula hari bila dia pakai apa segala. Amboi? Tak
apa, kalau lelaki ini memang berniat jahat, akan dia pukul kepala lelaki itu
dengan briefcasenya yang keras ini.
Biar pecah.
Kalau polis soal
siasat dia akan tegaskan bahawa ia hanya tindakan mempertahankan diri daripada
seorang lelaki yang... err... yang... hah! Lelaki sex-maniac! Lelaki pyscopath!
Itu pasti akan menjadi alibi yang kuat untuk membela diri.
Amy sudah
mempersiapkan kekuda kaki. Bersedia untuk bertindak pada bila-bila masa saja
yang perlu untuk mempertahankan diri. Seinci lelaki itu bergerak mendekatinya,
dia akan watchaaa lelaki itu sekuat
tenaga yang dia ada. Jangan cabar! Ini anak tunggal Shamsul Azhar dan Nur Dhila
Areena tau!
Sebaliknya lelaki
itu ketawa memandang Amy. Panjang pula tawa itu sehingga Amy menjadi cuak dan
gelisah. Kenapa pula dia ketawa? Dia sedang buat sesuatu yang lawak ke sekarang
ni?
“Awak dah
kenapa? Gaya macam nak buka bunga silat je?”
Tertelan liur dia
mendengar soalan itu.
“Relax lah Amy... saya bukan orang jahat.
Saya pun macam awak, terpilih untuk terperangkap dalam lif ni. Sooo kebetulan sangat. ”
Amboi! Suka hati
dia saja memanggilnya Amy! Macam sudah kenal dari kecil!? Dan perkataan so yang disebut panjang tu, kenapa?
“You know what...?” Lelaki itu sudah mula
meleraikan pelukan tubuh. Kini kedua tangannya sudah selamat diseluk ke dalam
kedua belah poket seluar panjang hitamnya.
“Honestly,saya memang selalu perhatikan
awak. Dah dekat dua tahun, kita pernah selalu naik turun dalam lif yang sama.
Ada juga berkali-kali hanya kita berdua je dalam lif, macam sekarang ni.
Bezanya waktu-waktu tu lif tak rosak.”
Erk!? Ya ke?
Terkedip-kedip mata Amy mendengar kata-kata itu.
“Jiran saya staff
di pejabat awak. Pernah sekali berkirim salam kepada awak melalui dia.
Malangnya salam saya tak berjawab. Offer
saya nak berkenalan pun awak tak sudi sambut.”
Hah!? Spontan
dia teringat kata-kata kawan pejabat setahun tahun lepas tentang seorang lelaki
yang mahu berkenalan dengannya. Ayok, ini ke orangnya? Alamak? Habislah! Dia
nak balas dendam ke ni? Hati Amy sudah bergoncang dengan kebimbangan.
Perlahan Amy
bergerak dan berkalih posisi tubuh. Kali ini dia berdiri memandang lelaki itu.
Berdebar jantungnya dengan segala rasa bimbang yang menerjah.
“Hah ye ke?
Err... tapi masa tu saya tak tahu awak orangnya yang nak berkenalan dengan
saya...” nada suara Amy bergentar.
Lelaki yang kata
namanya Khairil Azree itu tersenyum dan ketawa pendek.
“So, sekarang dah tahu, macam mana? Boleh
saya berkenalan dengan awak sekarang?” lelaki itu hulur bicara dan salam
perkenalan dengan bersahaja.
Amy telan liur.
Dia tekuni wajah berkulit bersih dengan rambut lurus berpotong kemas itu. Kaca
matanya menjadikan lelaki itu nampak matured.
Hmm.. boleh tahan juga.
“Apabila ada orang
yang menghulur salam perkenalan dan persahabatan, tak baik kalau tidak
dipedulikan. Kita ni semuanya manusia, hamba yang hidup di muka bumi Allah ni.
Jadi tak eloklah kalau nak sombong-sombong sangat. Dulu-dulu pun sebelum kita
lahir ke dunia ni, awak dan saya mungkin sudah pernah ditemukan oleh Tuhan.
Entah-entah masa tu kita main bola atau main masak-masak sama-sama kot kat
taman syurga...” lelaki itu tersenyum begitu tenang memandangnya.
Alahai, macam
cerita Hindustan lah pulak. Amy julingkan matanya ke atas. Tiba-tiba lif
berbunyi seakan sedang bergerak. Pantas Amy memerhati nombor-nombor yang sudah
mula bergerak itu. Alhamdulillah. Terlepaslah jua dia dari sengsara dan
kebimbangan hati.
Perbualan mereka
mati di situ. Masing-masing menekuni nombor-nombor yang menurun di atas pintu
lif sehinggalah pintunya terbuka di lantai lobi bangunan. Mereka berdua
melangkah keluar dengan rasa lega. Syukur tiada sebarang perkara yang tidak
diingini berlaku.
Entah mengapa di
hadapan pintu lif itu, Amy serba-salah untuk meneruskan langkah. Terkesan
dengan bicara lelaki itu tadi. Err... pesanan Khairil Azree.
“Err... En.
Azree...” dia memanggil dengan teragak-agak.
“Saya?”
“Sorry ya kalau saya menyinggung perasaan
awak masa tu, dulu tu...” alahai, kenapa dia jadi cair dan lembut hati ni? So sudden?Kena spellke apa?
Azree senyum dan
geleng. Seolah hendak kata, tak apa... saya tak marah dan saya tak tersinggung
pun. Sebaliknya saya suka sangat! Buatlah selalu-selalu. Heh!
“Err... En
Azree...”
“Ya?”
“Saya Amy.
Amylia Suzanna Shamsul Azhar.”
Tak kisahlah
walaupun dia tahu Azree sudah tahu namanya. Kiranya dia sedang melalui sesi
perkenalan itu sekali lagi. Untuk menebus kembali sikapnya setahun yang lalu
itu.
“Nama mak awak
tak nak sebut sekali?”
Erk!? Amy
terkujat.
Azree ketawa.
“Sorry... okay, saya Khairil Azree.”
Amy telan liur.
Masih terkujat dengan soalan ala-ala sindiran lelaki itu tadi.
“Amy, esok boleh
kita lunch sama?”
Pelawaan drastik
Azree itu benar-benar buat Amy terkesima. Amboi, cepatnya? Tak bermukadimah
tanya orang ada masa luang ke tidak. Namun entah kenapa seperti ada tangan yang
menolak kepalanya agar mengangguk.
Azree senyum
lagi. Puas hati dengan responds positif itu.
“Err... Amy...”
“Ya?”
“Boleh tak esok
dan hari-hari seterusnya awak pakai seluar panjang je? Saya rasa awak nampak lebih
sopan dan manis begitu. Tak eloklah pakai skirt,
ketat pula macam tu. Amy kan seorang Muslimah. Walaupun tak semestinya nak
kena pakai tudung dan baju kurung, tapi menutup aurat tu wajib bagi orang Islam.”
Amboi ayat!? Tak
tapis. Pipi Amy sudah kepijaran. Bengang pun ada, malu pun iya juga mendengar
tazkirah percuma di depan pintu lif bawah sinaran lampu lobi bangunan.
“Paling tidak
pun, simpanlah sikit untuk saya, boleh kan?”
Erk!?
Amboi ayat yang
akhir itu betul-betul buat Amy terkedu. Hampir-hampir nak tersimpuh atas
lantai. Lemah tempurung lutut.