“Fiq...”
Azree pandang muka Taufiq yang tenang saja
lagaknya tu. “Kau ni nak kahwin ke tidak sebenarnya ni?” soal Azree. Dia sudah lambai
tangan kepada pelayan restoran. Makanan di dalam pinggan masing-masing sudah
selesai masuk ke perut. Seperti biasa ada sesi minum air panaslah pula.
Untuk seketika Amy
sibuk meladeni anak-anaknya yang sudah comot dengan French-fries lenyek di muka. Bersepah-sepah di serata meja. Amy
bersihkan wajah dan mulut kembar dengan wipes.
Usai,
tanpa menunggu lama kedua-dua kembar itu sudah kembali melompat ke lantai. Bersorak girang.
Mahu main lagi!
Kini Amy beralih
pula memandang subjek yang menjadi fokus mereka malam itu. Sudah tidak tahu
hendak kata apa lagi. Gaya-gaya cakap Taufiq ni, macam tidak ada peluang untuk
Hidayah.
Taufiq dan Hidayah.
Heh, baru dia
sedar gabungan nama itu.Taufiq, Hidayah. Taufiq dan Hidayah. Nama kedua-duanya
pun bila disebut bersama sudah nampak restu dan manifestasi kebaikannya. Amboi,
imaginasinya melangit!
Mana tidaknya,
tiap waktu manusia berdoa supaya hidayah dikekalkan dan taufiq dikurniakan
berpanjangan dalam kehidupan hingga akhir hayat. Supaya hidup tetap di landasan
yang benar dan diredhai Allah. Semoga mendapat barokah dan dikurniakan segala
kebaikan. Aamiin, semoga Allah makbulkan.
Kalau taufiq itu
ertinya sesuatu yang diciptakan Allah untuk mendorong seseorang melakukan
kebaikan, hidayah pula adalah petunjuk yang diberikan oleh Allah kepada sesuatu
yang baik. Atau kata mudahnya, taufiq itu kekuatan yang dikurniakan Allah agar
manusia itu dapat melakukan amal soleh dan kebaikan, hidayah pula adalah
petunjuk atau keinginan yang diilhamkan Allah kepada hamba-Nya.
Taufiq dan
hidayah. Taufiq dan Hidayah? Hmm... dia berfikir lagi.
Kalaulah Hidayah
boleh memanifestasi maksud namanya, maka petunjuk dari keinginan Dayah yang
merelakan Amy membuka jalan perkenalan dengan Taufiq sudah kena benar. Sekarang
terpulang kepada Taufiq yang nampaknya belum diberikan taufik atau kekuatan untuk
bersedia memanjangkan usaha mereka ini kepada pembenihan dan pembuahan hasil.
Amy!? Apa sudah
jadi dengan kepalanya!? Dia geleng berkali-kali. Cuba menghentikan monolog daripada
terus menceceh dalam kepala. Perhatiannya kembali dia pusatkan kepada suami di
sisi dan Taufiq yang masih tenang menyuap makanan.
Banyak songeh
betullah Taufiq ni. Cikgu dia tak mahu. Doktor dia tak hendak. Yang kerja pejabat
pun dia tak ingin. QS lagilah dia tolak mentah-mentah. Sebenarnya, perempuan
macam mana yang dia mahu ni? Ada kecewa sedang berladung dalam hati Amy.
Kalau dia yang
tidak ada kena-mengena dalam perkara ini pun boleh terasa hampa, bagaimanalah
pula dengan Hidayah seandainya dia sendiri yang mendengar ayat-ayat selamba lagi
bisa daripada mulut Taufiq itu tadi.
Tetapi bila
melihat ke wajah lelaki itu, kecewa dalam hati berganti rasa kasihan pula.
Gesaan Azree tadi rupanya menyimbah suram ke wajah Taufiq walaupun senyumnya
masih tersungging. Amy tarik nafas perlahan-lahan.
“Abang Taufiq
jangan terasa hati ya. Amy cuma fikirkan
abang je. Amy dah anggap abang Taufiq ni macam abang Amy sendiri. Amy rasa
abang patut settle down. Kalau abang dah ada teman,
sekurang-kurangnya bila kita makan-makan macam ni, Amy ada kawan nak
borak-borak,” hmm… pandai pula mulut ni
berkata-kata. Counter-attack.
Wajah Taufiq
kekal tenang dalam senyum. Malah rona merah yang mewarna kulit muka sudah mula
mencair. Mengembalikan kejernihan pada kulit wajah dan riak.
“Bukan saya tak nak settle down. Tapi saya memang dah settle down pun kan
macam ni?”
“Settle
down yang kami maksudkan ni bukan setakat abang Taufiq hidup bahagia
seadanya begini. Tuhan dah jadikan manusia ini berpasangan. Kita kena ada teman
hidup bang, supaya ada teman nak berbual, bergaduh macam kitorang. Kan Yang?”
Azree hulur senyum tetapi cepat sahaja
mengalih pandang ke dalam wajah redup Taufiq. Mungkin seperti isterinya, Azree
juga mengharapkan jawapan yang positif tentang isu mencari teman hidup ini daripada
Taufiq.
Walaupun dia tidak mahu masuk campur dalam
urusan lelaki itu, tetapi bila difikirkan dalam-dalam, Taufiq memang harus
kahwin. Lagi cepat lagi bagus rasanya. Azree takut apa yang bergentayangan di
dalam fantasi mindanya sejak kebelakangan ini menjadi realiti pula.
“Fiq, kau kena juga
fikir tentang hari tua. Kalau kau betul-betul nak settle down, tapi tak ada calon, kami boleh tolong. Kawan–kawan Amy
pun ada lagi seorang dua yang masih single. Tapi bukan Latinno type la. Jawa mixed Cina ada. Tak pun yang ala-ala
Hindustan dan Arab pun ada juga,” dalam serius nadanya Azree sempat selitkan
seloroh. Dalam seloroh masih sempat pula dia panjangkan maksud sebenar
pertemuan mereka malam itu.
Tanpa memberi
jawapan balas, Taufiq meliar pandang lalu melambaikan tangan ke arah seorang
pelayan.
“Ya encik?” pelayan
yang kemas dengan apronnya itu bertanya ramah sambil memegang kemas pen dan
buku kecil di tangan. Siap sedia hendak mengambil pesanan tambahan.