Home Novel Cinta Kerana TAUFIQ versus HIDAYAH
CHAPTER 4 (ii) EDITED

Lesbian?!

Amy dan Hidayah sama-sama menggeliat kegelian.

“Aku nak je tahu siapa yang mula-mula buat cerita tu? Geram aku. Suka-suka mulut dia je buat fitnah. Sampai sekarang tak minta ampun lagi dengan kita. Esok lusa mati, tunggulah aku kat padang mahsyar,” seranah Hidayah.

Hujung jari Amy mengesat air jernih di hujung pelupuk. “La, kau tak ampunkan lagi ke manusia tu?” Amy tertawa pendek. Geli pula hatinya melihat rona Hidayah.

“Tak baik tau, Dayah. Maafkan je lah dia. Aku dah tak kuasa nak simpan buku tiga lima tu lama-lama. Makin lama makin tebal, nilainya terkumpul dan berganda. Accumulated. Tak mahu aku, berat.”

Mereka ketawa lagi.

“Kalaulah dia datang sekarang mengaku, aku nak bawa dia pergi rumah kau. Biar dia tengok suami dengan anak-anak kau. Hah, aku nak tanya dia, lesbian ke ni kahwin dengan jantan? Dah beranak pinak pun!? Geram...” tidak habis lagi geram Hidayah. Terpamer jelas pada rona wajahnya.

“Dah lah. So, macam mana sekolah baru? Best?” Amy tukar tajuk perbualan mereka.

Hidayah herotkan bibir ke kiri dan ke kanan.

“Ramai kawan tak?”

Hidayah herotkan lagi bibirnya dengan mata yang mengecil memandang Amy. Beria sungguh Amy menatapnya kala itu. Tekun menunggu jawapan. “Kawan? Heh, cakap je lah yang kau nak tanya pasal potential boyfriend. Kan?” selar Hidayah.

Dia berpindah sekolah pun kerana idea Amy. Suruh pindah sekolah belah-belah sini, supaya lebih banyak peluang untuk berjumpa dengan ramai orang. Mana Amy dapat idea tu pun dia tak tahu. Dia pula sama jadi mak angguk kepada cadangan Amy tu.

Tersengih-sengih Amy diselar begitu. Dia ingin berkata sesuatu tetapi air muka Hidayah menyebabkan hasratnya tergendala. Terbantut. “Dayah... kenapa ni? Kau ni nampak sedih je? Kenapa? Tak nak share dengan aku...?”

“Tak ada apalah Amy. Terfikir pasal hidup aku ni, apa nak jadi. Umur dah makin tinggi, tapi tak ada orang pun yang sudi. Kadang-kadang aku rasa hidup ni tak adil tau kat aku...” Hidayah hela nafasnya sambil menguis-nguis lesu mee goreng di pinggan.

“Orang selalu kata, perempuan yang baik akan dapat jodoh dengan lelaki yang baik. Orang selalu kata, perempuan kena jaga diri dan maruah. Kalau tak, nanti tak ada orang nak. Tapi, aku? Kadang-kadang bila tengok kawan-kawan semua dah bahagia dengan keluarga masing-masing, aku rasa sepi sangat. Sedih...” tokok Hidayah dengan nada yang lebih rendah.

“Janganlah macam tu Dayah. Kau kena percaya jodoh dan pertemuan itu hak Allah. Dia yang tentukan. Janganlah kau kesal dengan diri sendiri dan pertikaikan kerja Tuhan. Tak baik...”

Hish, Amy rasa tidak sedap sungguh dengan ayat yang dia edit dan lafazkan itu. Macam bunyi ayat dalam buku. Tapi hendak buat bagaimana? Memang itulah susun atur yang standard. Ayat buku yang memang sudah elok. Bahasa yang elok tak kan mahu dicarca-marbakan pula?

“Dalam dunia ni Allah jadikan setiap sesuatu berpasangan. Malam dengan bintang, syurga dengan neraka, baik ada buruk, hari ni ada esok, Adam dengan Hawa.” Tiba-tiba teringat akan sesuatu, “Eh, kau tengok tak cerita Adam dan Hawa yang sedang main kat TV sekarang?” melencong.

“Tengok...” jawab Hidayah perlahan.

“Menyampah aku dengan si Ain tu. Dah ada lelaki yang baik dan sayangkan dia, sanggup tunggu dia bertahun-tahun, dia boleh lagi buat kepala batu macam tu. Dia ingat dia seorang je perempuan dalam dunia ni? Suka sangat main tak nak-tak nak, menchik-menchik you segala. Kalau betul tak nak, pass je lah Aaron Aziz alias Adam Mukhriz tu kat aku! Tu pun kalau si Adam Mukhriz tu nak kat aku lah kan,” tukas Hidayah dengan wajah kelatnya.

Terkedu Amy. Rasa hendak ketawa tetapi tak terhambur. Tak sampai hati. Heh, novel cinta konon tak suka baca. Bila kisah dalam novel cinta tu diadaptasi ke skrin televisyen, dia juga yang mentonton beria-ia. Penuh emosi lagi. Ceh! Amy senyum senget dengan hati yang sedang rancak mengata Hidayah.

“Itu cerita dia, biarlah. Semua orang dalam dunia ni ada kisah hidup masing-masing. Macam aku kata tadi, Tuhan ciptakan setiap sesuatu dalam dunia ni berpasangan. Macam Adam dan Hawa tu, sirahnya pun Hawa itu diciptakan daripada tulang rusuk kiri Adam,” Amy buka sejarah Islam.

So, kau kena ingat yang kau tu pun adalah sebahagian dari tulang rusuk kiri seorang Adam. Cuma kita tak tahu siapa Adam kau tu. Bagaimana orangnya, di mana dia, bila kita akan bertemu dia.”

Nada Amy serius. Begitu juga riaknya. Serius dalam tenang. Hidayah malas hendak pandang muka Amy. Takut hanti gerimis dalam diri makin lebat. Nanti kebasahan pula lantai hati.

“Sabarlah. Senjata kita orang Islam ni sabar, doa dan usaha. Kau mintalah dengan Dia supaya didekatkan dan dipertemukan jodoh yang baik. Kan lebih elok daripada kau duduk monyok macam ni, cakap bukan-bukan. Tak baik, nanti makin nipis iman. Silap haribulan meroyan...”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.