Home Novel Cinta Kerana TAUFIQ versus HIDAYAH
CHAPTER 8 (ii)

Amboi?!

Begitu sahaja jawapannya? Drastik betul penolakan ni!

Alahai Taufiq, tidak tahukah dia kalau mereka berdua ini susah payah susun atur bicara?Siap plot yang bersistematik bagai. Tetapi ini baharu sahaja memulakan mukadimah, sepertinya seluruh jalan cerita dicantas habis.

“Aku ni lecturer. Kalau kahwin dengan cikgu nanti, tak ada benda lain dapat borak. Dia cerita tentang students diaaku cerita tentang students aku. Tentang buku, silibus, tentang sistem markah, tentang LCD, projektor semua tu…. hmm…” Taufiq tunjuk wajah tidak berminatnya.

“Tak ada variasi ye bang Taufiq?” sambut Amy dalam senyum kelat. Wajahnya sudah merenik peluh halus. Berapa kati cili burung chef ni letak? Dia yang hantu pedas pun terjelir lidah! Entah pedas cili atau pedas terasa dek penolakan Taufiq tadi?

“Kalau yang kerja office?” soal Azree pula.

Bila Taufiq terus diam dengan senyum yang masih bergaris, Azree menyambung, “Sebenarnya Fiq, si Amy ni hah sibuk sangat nak carikan kau jodoh. Janganlah pulak sangka kami ni busy body.

Seperti selalu, kalau tidak angguk atau senyum, Taufiq akan geleng. “Alah,aku faham. Tak kisah… dah ramai pun yang cuba nak match-make kan aku ni,” dengan Azree dia beraku-kau. Lain pula kalau bercakap dengan Amy, Taufiq akan bahasakan dirinya saya.

“Oh, kiranya abang Taufiq dah ada calonlah ni ye?” pintas Amy dengan pandangan mata ingin tahu.

Senyum.

Ya, senyum lagi. Sebab hatinya terasa damai setiap kali dipanggil abang oleh Amy. Dia geleng, “Tak adalah… cuma hari tu ada seorang ni, majistret. Sekali dua keluar bersama. Lepas tu fikir-fikir, tak jadilah. Tak lalu asyik diperhati dek orang.”

“Majistret? Abang Taufiq, bestlah tuAdventurous life tau! Mesti ada banyak cerita tentang mahkamah, siasatan, pendakwaan dan pembelaan di mahkamah,” balas Amy teruja.

Wajah Amy dipandang Taufiq, dalam-dalam. Mahu saja dia katakan bahawa citarasa dan kesukaan setiap manusia itu tidak sama. Mengenali dan dating dengan wanita mahkamah itu sekali dua, dia rasa hidupnya skema amat. Serius. Tak tahan. Dia mahukan suasana cerita dan gempita dengan perbualan santai tetapi berisi. Seperti.. err… ya, seperti ketika bersama Amy.

“Ke... abang Taufiq pernah... errr... broken hearted? Cubalah cerita sikit, itupun kalau abang Taufiq tak kisah lah kan,” usik Amy walaupun ada nada takut-takut saat melontar tanya. Manalah tau kena sergah dengan Taufiq sebab cuba cungkil kisah lama.

Tak lekang senyum Taufiq. Kemudian perlahan dia berkata, “Mana ada, saya tak pernah ada special GFF pun.”

Mulut Amy sudah buat huruf O. Begitu juga Azree. Mereka berdua saling berpandangan dan bahasa mata mengatakan ’apa nak jadi dengan projek kita ni?’.

“Hmm… kalau doktor, nak?” Azree menyoal lagi.

Mereka sudah ibarat main nak-nak pulak. Ini manusia ke barang yang sedang diperdagangkan?

“Hish, tak mahulah. Nanti setiap waktu dia check aku sana sini, rimas lah.”

Telan liur sahajalah mereka berdua mendengar alasan paling tidak logik yang pernah mereka dengar itu.

Quantity Surveyor?”Amy pula menyusul tanya.

“QS?” hampir tersedak Taufiq yang sedang menyisip baki air lemonadenya. 

“Lagi tak nak! Nanti kerja dia asyik ukur saya je.“

Dapat isteri QS nanti asyik ukur dia pula?

Heh! Kalau isteri yang kerja tukang jahit, mahu agaknya Taufiq ini buka langkah seribu. Lari lintang-pukang tak cukup tanah. Ngeri bila membayangkan kena potong sana-sini kemudian dijahit macam watak Ali Baba lakonan Pak Aziz Satardalam cerita lagenda P.Ramlee yang bertajuk Ali Baba Bujang Lapuk itu.

Tanpa sedar Amy dan Azree yang saling berpandangan dengan dahi berkerut itu, meletuskan tawa panjang. Sampai mahu luruh air yang bergenang dalam pelupuk. Macam-macamlah lelaki seorang ini.

Previous: CHAPTER 8 (i)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.