Home Novel Cinta Kerana TAUFIQ versus HIDAYAH
CHAPTER 6 (iii) EDITED

Terasa ada jemari menepuk pipi. Terkelip-kelip mata Amy bila wajah Azree begitu dekat dengan wajahnya.

“Ni awat? Dah kat Langkawi ka, kat Jasin? Ke dah sampai nun sinun?” usik Azree sambil menunjal pundak hidung Amy yang mancung itu. Orang sedang bertanya, dia boleh melamun entah ke mana-mana, getus hati Azree.

“Abang tanya, awat awak suruh dia balik mengajar belah sini?” Azree mengulang soalannya sambil kembali menyandar ke sofa.

“Sebab nak suruh dia cari boyfriend lah!”

Ups, tiba-tiba sahaja alasan yang langsung tidak sempat singgah di benak penapisan itu meluncur keluar dari mulut. Kemudian dia sengih sendiri memandang muka suaminya yang berkerut.

Tertelan liur Azree seperti bangau telan ikan kecil dibuat dek Amy. Alah, sajalah tu mahu perli isterinya. “Huh, apa kat Langkawi dah pupus spesis manusia lelaki ka?”

Azree yang sedang tersengih nakal itu Amy jeling sekilas. Dia sudah tidak minat hendak buat lawak atau dengar jenaka Azree. Ini bukan masa yang sesuai. Saat ini Amy ada suatu topik hangat dan berat untuk dibincangkan bersama dengan suaminya itu.

“Ayang… sebab tu lah saya nak bincang ni. Nak carikan calon suami untuk Hidayah!”

Terbeliak mata Azree. Macam kat percaya dengan apa yang dia dengar.

“Saya tak tahu pulak Hidayah tu anak perempuan awak. Saya ingat dia BFF awak dari zaman universiti nu! Huish, payah... payah... umur lagu ni saya dah kena fikir pasal nak kahwinkan anak perempuan. Bila masa kita beranakkan Hidayah tu? Rasanya si Rayyan dengan Rayzel pun terkejut sakan kalau depa tahu ada kakak baya Mummy depa ni!”

Azree pandang Amy dengan mata bulat dan muka nakalnya. Amy pula sudah menyepetkan mata mendengar lawak bersahaja Azree itu. Ni hendak marah ke hendak cium Azree sampai pengsan?

Namun saat mata berpautan, hati geramnya mereda. Tidak semena-mena meletus tawa mereka berdua. Selepas seketika, bila penat sudah hinggap, tawa mereka akhirnya reda.

“Yang… saya ingat nak kenen-kenenkan dia dengan… err.. dengan....” Amy buat gaya manja, lukis garis-garis dengan jari telunjuknya pada kulit lengan Azree. Nak minta tolong dengan orang kena buat baik sikit. Cakap pun kena manja-manja extra-miles. Bodek dan ambil hati dulu, hu hu.

“Dengan sapa? Dengan abang ke?” Azree sengih nakal.

Adoi! Amy rasa hendak tepuk mulut suaminya itu. Minta jauh simpang empat puluh empat. Simpang empat puluh empat? Hish, sikit sangat tu. Alang-alang ada simpang, baiklah minta yang lebih banyak simpang-siurnya. Simpang beribu-ribu sampai berjuta-juta lemon ke, ya tak? Biar langsung tak jumpa.

Alahai, entah apa akan jadi dengan dia kalau Hidayah sungguh-sungguh mahukan Azree. Mahu terbalik dunianya Amy rasa. Tapi tak apa haih! Hidayah sendiri dah buat pengesahan lisan tak hingin bertarik rambut dengan dia. Amy urut dada, sabar ajelah dengan Azree ni!

“Awak nak ke?” jeling Amy.

Untuk seketika Azree diam dengan bibir yang tersenyum penuh makna. Sedang mata Amy masih lurus mencerun pandang sisi wajah lelaki itu. KemudianAzree menoleh mencari wajah isterinya itu.

Pandangannya bertaut dengan renungan Amylia Suzana. Jemarinya langsung dibawakan ke pipi putih itu. Diusap-usap lembut seketika. Helaian rambut yang bertamu di tepi pipi itu dia selak ke tepi telinga. Azree sayang sangat dengan pemilik wajah ini.

“Sejak abang lafazkan akad, aku terima nikahnya Amylia Suzanna Binti Shamsul Azhar, abang sudah janji dengan Tuhan. Kalau diizinkan Dia, abang hanya mahu lalui kehidupan di dunia ini dengan awak seorang,” perlahan dia menutur kata. Renungannya tidak pernah sedikitpun lepas dari panahan mata itu.

Untuk beberapa detik itu Azree sedar sudah ada mata air yang mula bergenang di pelupuk mata yang indah itu.

“Kalau boleh sampai syurga pun abang tetap mahu dengan awak. Sebab… awaklah bidadari dunia dan akhirat untuk abang,” hujung telunjuknya diketuk perlahan puncak hidung yang mancung itu.

Dan bila ada setitis air jernih gugur ke pipi itu lalu menimpa hujung ibu jarinya, Azree tersenyum lalu berkata, “Tapi kalau awak nak payung emas, abang redha je. Lagipun Hidayah tu bukan orang lain, kawan baik awak juga kan?”

Bila Azree nampak bibir Amy bergerak-gerak seakan hendak protes, cepat-cepat dia sambung katanya, melencong sedikit, “Hah, awak tak nak ke tulis novel? Letak tajuk, Sahabatku Maduku. Mesti catchy. Ni tak, asyik baca buku orang je...” ujar Azree selamba sambil berkalih kedudukan tubuh dan silangan kaki.

Mendengarkan usikan itu Amy tertawa halus sambil mengesat airmata. Alah, dia tahu bicara yang awal itu lebih jujur dari Azree. Yang terbaru ini hanyalah usikan. Azree kan suaminya? Sehingga saat ini dia sudah faham hati budi lelaki itu. Cuma, esok lusa tidak tahulah. Semoga Allah akan sentiasa merestui cinta dan kasih sayang mereka sampai Jannah.

“Awak nak kenenkan dia dengan siapa ni sebenarnya?” akhirnya Azree bertanya sambil bangun menarik kemejanya keluar dari pelukan kepala seluar panjang hitamnya.

Sudah jam 7.35 malam. Melayan Amy bercakap soal BFF dunia akhiratnya itu, sampai esok pun tidak habis. Dia mahu segera naik ke atas dan membersihkan diri untuk menunaikan solat Maghrib. Ni dah jadi makruh, melewatkan waktu.

“Nanti kita ajak Abang Taufiq dinner kat luar malam esok. Boleh tak?”

Pantas Azree menoleh ke wajah Amy yang masih duduk sambil mendongak sedikit memandangnya. Hah, dah taulah tu apa yang ada dalam kepala perempuan seorang ini. Lalu Azree gelengkan kepalanya dalam senyuman.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.