Home Novel Cinta Kerana TAUFIQ versus HIDAYAH
CHAPTER 3 (i) EDITED

Amylia masih tersenyum sendirian membaca semula semua mesej dengan Hidayah tadi. Kerusinya dia pusing-pusingkan ke kiri dan ke kanan perlahan-lahan.

Mereka berdua memiliki memori zaman belajar yang sangat manis bila dikenang-kenang. BFF sejati walau ukuran rupa paras dan fizikal, mereka berdua sangat kontra. Orang kata Amy comel dan manis. Ala-ala Chinese lookbegitu. Ya lah, dia mewarisi sedikit darah nenek belah Mamanya.

Sebab itu sekali pandang sahaja orang sudah tertarik dengan pesona paras Amy. Sekali pandang juga akan buat si pemandang menoleh lebih dari sekali. Lebih dari dua kali pun ada. Yang tertoleh berkali-kali sampai terteleng... ada juga.

Hidayah pula tinggi lampai yang bertudung litup. Wajah Hidayah ala-ala kacukan Arab-anak Mami. Hidung mancung, kulit hitam manis dan mata redup yang dalam. Senang cerita mereka berdua umpama tahi cicak. Seorang cerah dan manis manakala seorang lagi hitam manis dan sederhana parasnya.

Itu bab rupa. Bab sikap dan sifat, pun sama juga. Ada bezanya. Amy suka makan coklat dan menonton VCD Hindustan. Hidayah rajin menelaah pelajaran. Setiap kali musim peperiksaan tiba, berbuihlah mulutHidayah berleter menyuruh dia study.

Selalunya perkara-perkara bertentangan akan mewujudkan perbezaan dan konflik. Namun perbezaan itulah yang menjadikan mereka lebih bertoleransi dan saling melengkapi. Mungkin kerana mereka berkongsi sikap saling sayang-menyayangi dan menerima diri masing-masing seadanya, membuatkan mereka serasi bersahabat.

Rapatnya mereka di kampus dulu, belangkas pun agaknya boleh dapat tempat naib juara je. Ke mana-mana berdua. Makan berdua, ke kuliah dan tutorial berdua, duduk bersebelahan.

Berjogging dan berekreasi pun bersama. Outing lagilah wajib bersama-sama. Balik kampung pun memang sama-sama. Jalan-jalan pegang tangan dan peluk-peluk bahu.

Bilik tidur Amy jadi hotel kedua Hidayah. Begitu juga sebaliknya. Tidur pun sekatil dan kongsi satu selimut.

Hish! Awal-awal dulu teman-teman sebilik mereka kerut kening juga dengan keakraban mereka itu. Lama-kelamaan mereka jadi alah bisa tegal dek biasa.

Rupa-rupanya keakraban mereka yang menewaskan belangkas itu menjadi buah mulut. Entah dari mana datangnya desas-desus mengatakan mereka berdua mempraktis hubungan songsang. Mereka dikatakan lesbian.

Lesbian?!

Mulut siapa tak bayar premium insurans tu? Manusia mana yang tak tahu dosa dan hukuman bagi orang yang menyebar fitnah? Tak ingat Tuhan ke apa?

Kes itu mengheret mereka berdua ke hadapan Puan Siti Hajar, warden asrama mereka. Mereka fikir akan dapat leteran. Atau hukuman. Alih-alih mereka diberi pesanan seorang ibu dalam kata-kata nasihat penuh hikmah yang berbekas dalam hati.

Puan Siti Hajar berkata dalam tunakan renungan yang lembut, "Saya tahu kamu berdua BFF. Saya percaya apa yang saya dengar tu tohmahan. Walau apapun, saya berharap kamu menjaga tatasusila pergaulan. Sesama perempuan pun, kita tertakhluk kepada adab dan peraturan yang digariskan oleh agama, hatta dalam konteks aurat sekalipun.”

“Bersahabat itu adalah perkara mulia di sisi Islam. Ada hadis Rasulullah diriwayatkan, sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang baik terhadap temannya. Tak salah kita akrab, tapi ada batas-batas yang perlu kita pelihara. Sebagai orang Islam, kita bukan sekadar menjaga diri sendiri, tetapi juga perlu pelihara saudara-saudara yang lain.”

Amy kerling Hidayah. Hidayah singgung lengan Amy. Sempat lagi mereka saling mencuit dan mengusik.

“Seperti apa yang sedang berlaku ni, walaupun kamu berdua bersahabat kerana Allah, tapi kadang-kadang kelalaian kita walaupun sedikit akan menyebabkan manusia di sekeliling kita memandang serong.Mereka berprasangka.Bila mereka bertutur tentang apa yang mereka anggap, sedangkan perkara tu tak benar, ia akan jadi fitnah. Bila jadi fitnah, orang itu berdosa. Tapi kita harus fikir pula, siapa yang membuatkan dia berdosa? Kita. Sebab kita lupa bahawa cara kita itulah yang telah membuatkan orang itu berkata tidak benar tentang kita.”

Bibir mereka sudah mula bergerak-gerak hendak memprotes, namun Pn Siti Hajar lebih cepat menyambung kata, “Saya tak kata kamu salah. Allah itu Maha Mengetahui. Memang tak mudah nak jaga hati dan pandangan semua manusia ke atas kita. Asalkan kita tak buat apa-apa yang dilarang, kita ikhlas dan benar, tak perlu nak bimbang dengan pandangan orang lain. Tanggungjawab kita adalah untuk menjadi muslimah yang baik. Kita mohonlah kepada Allah supaya tak jadi bahan fitnah dan kezaliman manusia. Kamu tau kan syaitan itu sangat opportunist? Syaitan tak pernah melepaskan walau satu pintu. Walaupun yang hanya terbuka setengah inci. Dia tetap akan pesongkan anak cucu Adam dan Hawa.”

Terangguklah mereka berdua mendengar tazkirah itu. Barangkali benar keakraban mereka telah membuat mata-mata lain menjadi serong dan hati-hati lain menjadi iri. Bermula saat itu, baik Amy mahupun Hidayah sentiasa mengekalkan adab dalam persahabatan mereka.

Perkara utama yang mereka ubah adalah tabiat suka tidur sekatil. Kalau Amy bermalam di bilik Hidayah atau sebaliknya, satu helai toto akan dibentang di tengah-tengah bilik. Dan akhirnya mereka akan berkukuk-kikik sampai ke pagi mengulang kisah itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.