Home Novel Cinta Kerana TAUFIQ versus HIDAYAH
CHAPTER 4 (iii) EDITED

Amboi! Hidayah larik senyum tipis. Masih tidak panggung kepala meskipun sudah begitu panjang lebar Amy bersyarah. Hai, begitulah Amy. Nampak orangnya sentiasa happy go lucky.Adakalanya kepala gila-gila atau dia panggil bengong. Tetapi bila sudah sekali Amy menutur kata nasihat maka akan terlihatlah peribadinya yang jarang-jarang dia keluarkan itu.

Amy dan lidahnya. Amy dan ayatnya. Amy itu juruaudit yang dua puluh empat jam mengadap nombor dan angka. Mana dia belajar buat ayat jiwa-jiwa ala-ala motivasi begitu? Hmm.. patutlah orang kata membaca itu gedung ilmu!

Setiap butir kata-kata Amy dia hadami. Diakui semua bicara Amy benar. Tidak ada apa salahnya pun pada kata-kata itu. Sesungguhnya dia sendiri mengetahuinya. Namun menjadi manusia, lumrahnya seringkali khilaf dan lupa. Sejak awal bersahabat, mereka akan saling menasihati dan mengingatkan satu sama lain. Itu antara fungsi sahabat ya...

“Kalau kau kata aku ni bahagia, alhamdulillah. Memang setakat ni aku dan Azree bahagia hidup bersama. Tak ada manusia yang menolak bahagia, orang gila pun tak nak tau!” Amy gelak pendek.

“Esok lusa, tak tahu lagi bagaimana. Dugaan Tuhan kita tak boleh jangka. Tapi janganlah sampai kau rendah hati dan rendah diri mengatakan diri kau tu tak sebahagia orang-orang yang dah berkeluarga macam kami ni. Bahagia atau tidaknya setiap manusia tu tak sama. Setiap orang tu tak sama ukuran dan bahagiannya dalam hidup ni, Dayah...”

Amy hela nafas. Wajah Hidayah yang menekur memandang mee di dalam pinggannya itu mengundang rasa sayu dalam hati. Sebagai seorang sahabat dan wanita, dia memahami serta mengerti gelodak jiwa Hidayah. Siapalah yang tidak mahu hidup berteman?

“Setidaknya kau patut bersyukur kerana walaupun masih single, kau bahagia juga. Kau ada mak ayah, ada keluarga, ada aku!” Amy ceriakan suaranya.

“Sekarang ni kau asyik tanya, ‘kenapalah aku ni tak kahwin-kahwin lagi?’. Tapi kita tak pernah fikir yang sepanjang hidup kita ni sebenarnya penuh dengan perkataan kenapa, kalau. Cuba kau fikir, kalaulah kau dah kahwin sekarang tapi kau tak bahagia. Suami kau jahat, suka berpoya-poya, dera kau, tak mengamal cara hidup Islam yang sebenar-benarnya. Mesti kau akan kata dalam hati, ‘kan lebih baik aku tak kahwin!’.”

Hish, Amy ni ke situ pula! Detus hati Hidayah. Menakutkan je. Mintalah dijauhkan Tuhan.

“Tak pun cuba kau fikir, katalah kau dah kahwin bertahun-tahun tapi belum dikurniakan walau seorang pun anak. Apa yang kau akan rasa? Kau akan kata, ‘kenapalah Tuhan tak bagi aku anak?’. Kan?”

Amy diam. Mengambil waktu. Kesemua sepuluh jari-jemari tangannya yang halus dan runcing itu disulamkan sesama sendiri. Amy akan sentiasa menjadi sahabat Hidayah. Akan bantu dengan upaya yang dia ada. Kata-kata perangsang, sokongan dan akan selalu di samping Hidayah pada saat diperlukan.

Yang penting buat masa ini, Hidayah harus tenang. Harus akur dan pasrah dengan bahagian hidup yang telah Allah berikan kepadanya. Kalau hati Hidayah tidak tenang, bagaimana hidupnya akan bahagia? Hari-hari fikirkan tentang nasib diri. Tak ada faedah. Dia mahu Hidayah kuat. Dia mahu Hidayah lalui hari-hari yang mendatang dalam hidup ini seadanya.

Yang lain itu hanya memerlukan usaha.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.