Home Novel Cinta Kerana TAUFIQ versus HIDAYAH
CHAPTER 7 (ii)

Saat terpandang kelibat Taufiq yang sedang keluar dari perut Protonnya, gemuruh di dada Amy semakin kencang. Degupan jantung pun makin laju. Dag dig dug dah ni.

Terasa seperti dia pula yang hendak meluah ayat-ayat cinta di hadapan Taufiq. Heh, sebenarnya samalah tu. Dia sekarang ini sedang mewakili Hidayah. Dan bukankah Hidayah pun memang sudah menjadi sebahagian dari dirinya?

Dua orang lelaki itu bersalaman sejurus sebelum berdakap ala Arab. “Makin handsome abang aku sorang ni!” Amy dengar pujian dalam sapaan suaminya itu.

Hai, bila Amy terpandangkan senyuman di bibir berkumis tipis Taufiq yang memang ditujukan untuknya itu, bagai hendak runtuh siling jantung. Yalah, memang betul kata Azree. Seperti makin handsomepula si Taufiq ni. Ataukah kerana mereka berdua telah dipengaruhi oleh emosi dan aura misi love-planning dan match-making ini?

Aduhai Dayah... bertuahlah badan kalau dapat bertemankan Taufiq ini. Sudahlah tampan, bijak, berkerjaya, berhemah, murah senyuman, sopan, lemah lembut pula orangnya. Nak pendekkan ayat, semua standard piawaian Dayah ada pada Taufiq.

“Amylia,” tegur Taufiq sambil memandang tepat wajah Amy. “Sihat?” soal Taufiq perlahan sambil mengambil Rayzel dan Rayyan di kiri kanan tangannya.

Oh, Dayah... tengoklah! Kekanda Taufiq yang hendak kami kenenkan dengan kau ini perkasa orangnya. Setakat angkat Rayzel dengan Rayyan yang baru 10 kilo setiap seorang tu, senang-senang sahaja. Cuba tengok dia boleh angkat kau ke tidak nanti Dayah ooii! Amy mengikik dalam hati.

“Sihat, bang. Abang Taufiq?”

Sebuah senyuman mesra berserta sebuah anggukan kecil Taufiq berikan sebagai jawapan. Azree ambil Rayyan lalu didukung sedang Rayzel dibiarkan bersama Taufiq. Lalu di belakang kedua lelaki itu, dia melangkah beriring Ning dengan hati yang aduh, susah hendak dijelaskan dengan kata-kata akan rasanya.

Mereka duduk di dalam ruangan berpenghawa dingin. Lebih privacy. Lagipun si Rayyan dan Rayzel boleh bergerak ke sana-sini tanpa mengganggu pelanggan restoran yang lain. Anak-anak lelaki yang sedang aktif mengulit hidup, begitulah.

Syukur Ning serasi. Belum lagi nampak Ning tertekan dengan kerenah anak-anak mereka yang aktif dan keletah itu. Malah Ning pula yang lebih ketawanya meladeni mereka berdua.

Ning mula mengekor Rayyan dan Rayzel yang sudah turun ke lantai. Bergerak ke sana-sini. Saat Taufiq meneliti menu, Amy dan Azree saling bertukar pandang. Sekejap-sekejap Amy kelip-kelipkan mata, tanda menyuruh Azree buka mulut. Kemudian cepat-cepat Azree kejip-kejipkan pula matanya, tanda nanti dulu!

Sewaktu mereka bermain-main mata begitu, pandangan Taufiq singgah tepat ke wajah Amy. Mujur tidak tersedak dia. Dengan senyum yang lebar dari biasa dia hulur tanya, “Abang Taufiq nak makan apa?”

“Amy?”

Begitulah selalunya. Mesti kena tanya pada Amy baharu boleh buat keputusan. Samakah tekak mereka berdua? Ataupun tanyalah pula pada si Azree. Citarasa lelaki manakan sama dengan citarasa orang perempuan.

“Entah, awak Yang?” Amy pass batton kepada Azree pula. Nanti Azree kata lagi dia lupa suami di sebelah.

“Kakak!” terdengar Ning memanggil.

Terbantut pandangan matanya yang tadi dihala ke arah Azree. lalu cepat-cepat Amy bangun mendapatkan Ning dan si kembar. Azree yang melihat Rayyan dan Rayzel berebut robot kecil itu tergelak kecil sambil memandang Taufiq yang masih senyum memerhatikan.

“Rayyan! Rayzel!” Amy merapati kembarnya.

“Janganlah rebut-rebut. Kan setiap seorang ada robot masing-masing? Nah… ni Rayzel punye… dan ini, Rayyan punye. Main sama-sama ye nak,nasihat Amy kepada kembar itu setelah duduk di atas lantai. Balik nanti harus tukar baju lagilah gamaknya budak-budak ini.

Jangan gaduh-gaduh ye. Mummy dengan Daddy nak berbual dengan UncleFiq, okay?”

Rayyan dan Rayzel sengih sambil menganggukkan kepala memandang Mummy mereka. “Mummy!” panggil si kembar serentak sambil mengangkat dan menunjukkan robot mereka kepada Amy.

Macam tu lah! Come, bagi Mummy sayang lima!” Anak-anaknya berebut-rebut menciumnya dengan sayang lima versi Amy - cium pipi kanan, pipi kiri, dahi, puncak hidung dan bibir. Amy pelajari dari buku novel Dosa Semalam tulisan Adilla Tasha yang pernah dia baca tidak lama dulu tentang sayang empat, lalu dia ubahsuai jadi sayang lima pula.

Be good boys, okay…” pesannya lagi.

Azree dan Taufiq sedang rancak berbual nampaknya. Sesekali terdengar hilai tawa bernada besar lelaki-lelaki itu. Hai, Azree… kata tidak pandai nak borak dengan Taufiq.Boleh je pun… saja nak angkut isterinya ini ke mana pergi.

“Amboi, besarnya gelak. Cerita apa?” usik Amy sambil tersenyum. Kembali duduk di kerusinya.

“Tak ada apa. Biasalah, cerita orang lelaki,” balas Taufiq sambil tersenyum.

Mata Taufiq melirik lagi ke wajah Amy. Dalam hati terbit lagi rasa kagum terhadap isteri temannya ini. Sudah acapkali dia beritahu Azree tentang betapa bertuahnya lelaki itu memperisterikan wanita seperti Amylia Suzana.

Pertama kali bersua saat diperkenalkan oleh Azree dulu, Taufiq sudah menyenangi Amy. Orangnya peramah dan periang. Senyumannya buat hati Taufiq terbuai-buai tenang.

Setelah beberapa kali bertemu Taufiq mendapati antara dirinya dan Amy ada begitu banyak persamaan. Mereka sama-sama suka membaca, travelling, sukakan perkara-perkara yang melibatkan seni dan kreativiti. Malah pelbagai persamaan lagilah. So coincidence chemistry.

“Cerita orang lelaki eh? Hah! Ni mesti cerita nak kahwin lagi ya?” bidik Amy. Harap-harap mengenalah hendaknya dengan tepat. Gelas yang berisi jus tembikai yang sudah diletakkan oleh pelayan di hadapannya itu dia tarik lebih hampir.

“Amylia…”

Aduhai, nada suara Taufiq memanggil namanya begitu, Azree pun boleh kalah. Romantik sangat. Nasib baik sahaja dia sudah sah jadi isteri kepada Azree, kalau tidak mahu cair juga hati perempuannya ini.

Azree pernah kata tidak hairan dengan cara dan nada suara Taufiq itu. Memang sejak di universiti lagi cara Taufiq begitu. Jangankan memanggil nama perempuan sampai mereka boleh luruh jantung. Kalau Taufiq panggil yang spesis lelaki sekalipun, boleh meremang bulu roma juga, katanya.

“Saya ni kan belum kahwin. Macam mana pula hendak kahwin lagi?” usik Taufiq sambil lurus memandang Amylia sebelum mengalih pandangan ke arah kembar yang sedang bermain.

Serentak Azree dan Amylia berpandangan dalam senyum lebar. Jalan sudah terbentang luas ni. Cepat bersedia! Lampu dah kuning tu! Mereka saling mengejipkan mata.

“Tu lah pasal, cepat-cepatlah kahwin abang Taufiq!” cepat-cepat Amy masuk jarum.

Taufiq tersenyum walau tanpa mengalih wajah. Penat memandang keletah Rayyan dan Rayzel tadi, dia halakan pula mata memandang gelas minuman di hadapannya.

Sepasang suami isteri itu tersengih-sengih bila melihat kulit wajah Taufiq yang putih kuning sudah merona merah. Namun masih tidak nampak tanda-tanda Taufiq mahu melanjutkan bicara tentang hal itu.

“Err…” Amy pandang wajah Azree seketika. Teragak-agak hendak meneruskan ayat yang memang sudah dari semalam mereka rancang berdua.

Bila Azree kejip-kejip mata tanda suruh dia teruskan, Amy telan liur sesaat. Hei, gemuruh jiwa ni. Kenal baru setengah tahun, jumpa pun baru tiga empat kali dia sudah buat Taufiq itu macam abang sendiri. Buat misi bantuan jodoh untuk Hidayah, konon-konon dia sudah tahu hati budi lelaki itu. Kalaulah dia salah percaturan, rentung jadinya.

“Err… bang, agak-agaknya kan… apa ciri-ciri wanita pilihan abang ye? Manalah tahu kalau-kalau kami boleh tolong carikan ke?”

Spontan Taufiq tergelak. Muka merahnya tambah menyerlahkan ketampanan Taufiq. Hai, handsomenya lah abang yang seorang ini. Takkan lah masa mengajar di kolej tu tidak ada walau seorang pensyarah mahupun pelajar perempuan yang jatuh hati padanya?

Sedangkan Azree yang baharu sekali dua bertemu Taufiq di kolej tempat dia mengajar tu pun, pernah kata macam hendak buat part-time course je di sana. Anak-anak gadis di sana kata Azree, daring gila. Seksi habis. Banyak bahagian yang terdedah dari yang tertutup. Bahkan tak cukup terdedah, ditayang lagi biar nampak jelas.

Hish! Bila paha sudah lebam-lebam dicubit Amy, baharu Azree taubat tak mahu lagi bercakap tentang hal itu. Alah, Azree cakap sahaja yang lebih. Sahaja hendak menyakat. Rumahtangga mereka memang penuh dengan sakat-menyakat, gigit-menggigit dan cubit- mencubit. Penambah perisa kasih sayang.

Previous: CHAPTER 7 (i)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.