Home Novel Cinta Kerana TAUFIQ versus HIDAYAH
CHAPTER 7 (i)

Yang, saya takutlah...”adu Amy dengan nada gusar.

Sesekali menoleh ke arah Rayyan dan Rayzel yang sedang bermain di tempat duduk belakang ditemani Ning. Senget–benget tudung Ning ditarik-tarik si kembar.

“Awak ni… semalam awak juga yang beria-ia nak jumpa dia. Misi bantuan mencari jodoh lah, apalah... kan?” giat Azree.

“Lagipun apa yang awak nak takutkan dengan abang Taufiq awak tu? Awak dengan dia kan dah macam isi dengan kuku? Kawan yang mesra,” usik Azree lagi.

Amy muncung dengan mata terkebil-kebil. Tersenyum Azree melihat gaya isterinya itu. Dia menyambung kata lagi, “Tak apalah, kita cuba tengok respond dia dulu. Insya-Allah okay kot.”

Okay kot? Amy tanya dalam hati.

Tak tahu mengapa dia berasa tidak sedap hati. Takut-takut reaksi Taufiq nanti tidak seperti yang diharapkan. Mengecewakan. Paling teruk kalau kulit muka Taufiq yang putih bersih itu bertukar merah macam buah delima menahan marah. Nanti dia kata mereka busy-body. Hal tepi seluar dia pun mereka mahu selidik.

Beza usia Taufiq itu dalam dua tahun sahaja dari Azree. Kalau Azree sekarang sudah 37 tahun, pastinya usia Taufiq sekitar 39 tahun. Masih boleh dikategorikan sebagai muda belia kan?

Dan yang membuatkan Taufiq menjadi subjek utama misi mereka ini adalah kerana lelaki itu masih HSA – handsome, single and available. Cukup padanlah kalau hendak dia kenenkan dengan Hidayah.

Padanya, Taufiq seorang calon suami yang serba lengkap pakej. Orangnya tinggi dan sasa.Dada bidangnya membuatkan Taufiq begitu bergaya bila berdiri dan berjalan. Riak Taufiq yang senantiasa tenang menyerlahkan lagi keperibadian dan kelelakiannya.

Tambah pula kulit Taufiq yang putih bersih itu mengalahkan kulit Amy sendiri. Lagipun bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti swasta terkemuka, pastinya Taufiq itu punya intelektual dan karisma yang baik.

Sekali fikir, Taufiq memang sudah sesuai benar kalau hendak dia gandingkan dengan Hidayah. Ibarat tanduk bersendi gading. Ibarat permata diikat dicincin. Bak kata P.Ramlee, ’kalau dinda cincin, kandalah jarinya’. Hailah... tak romantik ke tu?

Tetapi selepas dua, tiga dan empat kali difikirkan, hai... jawabnya memang tak payah fikir lagi dah! Perfect picture. Sudah sangat-sangat secocok mereka berdua itu jika digandingkan bersama sebagai raja dan ratu sehari nanti.

Tengok, Amy sudah berangan-angan melihat sahabatnya bersanding dengan abang Taufiq di atas pelamin. Hish, jauh lagi tu Amy! Chaiyok! Kita usaha kasi mereka jadi sampai kahwin. Sengih Amy lebar menyisih rasa gemuruhnya.

Hidayah pasti bersetuju dengan pilihannya ini. Di mana lagi akan Hidayah cari lelaki seperti abang Taufiq? Merantau jauh-jauhpun belum tentu boleh jumpa spesis macam ni, tau!

Lagi pula takkanlah dia mahu carikan calon yang tidak baik untuk sahabatnya itu. Dibuatnya kalau mereka jadi kahwin dan rumahtangga mereka porak-peranda, siapa juga yang susah? Amy inilah juga.

Kalau sudah dia susah, Azree pun tidak boleh tidak, akan wajib susah sama. Sebab pasal Amy dan Azreelah, Hidayah dan Taufiq berkahwin. Tapi, errr... kalau suatu hari mereka berdua ditakdirkan bercerai, adakah itu juga pasal Amy dan Azree? Tak patut... tak patut...

Dilihatnya Azree sibuk membelek telefon bimbit yang kemudian dia letak ke telinganya, “Mana Fiq? Ahah, tempat yang biasa kita makan tu. Kau parking kat tempat biasa je, ada kosong lagi kat sini.”

Err... Taufiq sudah sampai ke? Dalam hati Amy ada gemuruh hebat. Terasa gerun dia kali ini bila hendak berjumpa dengan Taufiq, senior kuliah suaminya yang sudah rapat dengan mereka sekeluarga itu.

Selalunya tidak pula dia berasa begini. Mereka sudah biasa berjumpa. Kerana tiap kali Taufiq ajak mereka keluar makan, Azree pasti akan bawa dia dan anak-anak. Awal dulu pernah juga dia menolak. Tetapi Azree kata kalau hanya dia dan Taufiq berdua, mereka akan diam kebanyakan masa sepanjang sesi makan malam. Azree jadi mati kutu sebab tidak pandai hendak berbual dengan seniornya itu. Kononnya kelu lidah. Ceh!

Tetapi kalau Amy ada bersama, suasana akan jadi lain kata Azree. Lebih hidup dan meriah. Ya? Hmm… tak hidup dan tak meriah apanya kalau dah diangkut bersama si kembar mereka itu. Memang gamat suasana dengan suara mereka sahajalah.

Bukan sekadar meriah, pernah meletup pun restoran tu dulu bila R kuasa dua menolak kerusi merempuh pintu kaca. Nasib baik pintu kaca itu jenis yang berkualiti tinggi. Kalau tidak, mahu bersepai dan berderai. Silap haribulan pemilik restoran itu akan siap-siap pegang sepanduk depan muka pintu restoran sebagai amaran mereka sekeluarga dilarang masuk lain kali! Hiks!

Heh, si kembar pula yang dia jadikan alasan. Sedang dia sendiri tahu kalau bertemu dengan Taufiq, semua perkara dan isu akan menjadi bahan cerita mereka. Dari A menjangkit sampai ke Z, semua mereka ulas dan perkisahkan.

Kerap juga Azree perli dia setiap kali pulang dari makan malam dengan seniornya itu. Azree kata Amy kalau sudah berborak dengan Taufiq, sampai suami di sebelah pun boleh terlupa.

Azree ni pun! Mana ada lupa… dia tahulah si Azree itu ada di sisi. Tetapi memang benar dia sangat asyik kalau sudah memulakan perbualan dengan kawan baik suaminya itu. Taufiq pandai bercerita. Gaya macam pendiam, tapi bila sudah buka mulut, hmm... lepas semua.

Lagipun salah Azree jugalah. Cuba kalau Azree participate lebih sikit, sudah tentu sesi borak itu tidak nampak mengetepikan dia sangat. Ini tidak, Azree lebih suka tengok wajah Amy dan wajah Taufiq ikut giliran mereka bercakap. Menyampuk hanya sesekali. Macam kera sumbang di antara mereka berdua pula lagaknya si Azree.

Azree juga selalu kata Taufiq tampak lebih selesa dan ceria kalau Amy ada bersama. Sebabnya Amy memang suka melayan Taufiq. Sentiasa ada cerita untuk dibualkan. Taufiq pula bila Amy sudah buat sebaris ayat, dia buat satu perenggan. Vice versa.

Hai, pelik. Dia kan orang luar, lainlah seperti Azree dan Taufiq yang memang sudah kenal lama sejak dari zaman universiti dahulu. Tetapi sebaliknya, dia pula yang seolah-olah sudah mengenali Taufiq lima puluh tahun lebih lama berbanding Azree.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.