Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 30

30


"WAH! Wah! Wah! Bukan main seronok kau tidur siang-siang buta ni, ya?” marah Suriyana dengan suara yang cuba ditahan-tahan. Badan Wardina Amni dihempuknya dengan bantal beberapa kali.

Wardina Amni terjaga daripada tidurnya. Terkejut dia bukan kepalang. Wajahnya serabai. Dalam pandangan matanya yang berpisat-pisat, dia terduduk di tilam itu. Wardina Amni cuba bangun mencari kekuatan, melawan kelesuan tubuhnya.

“Bangun! Aku kata bangun, bengap! Apa hal yang lembik bebenar ni?” herdik Suriyana. Dia tak senang melihat keadaan Wardina Amni begitu. Sesekali dia melilau ke muka pintu, khuatir Juriah dan Mahmud tahu perilaku buruknya terhadap Wardina Amni.

“Dina dah siap masak semuanya, mak. Pinggan mangkuk dah cuci. Kain baju pun dah siap basuh. Dah sidai. Menyapu pun sudah. Bagilah Dina berehat kejap, mak. Badan Dina letih sangat ni.” Wardina Amni bersuara lirih, memohon simpati Suriyana.

Suriyana merengus kasar. “Hei, aku kata bangun, bangunlah! Kejap lagi, aku nak tengok kau dah bangun!” Suriyana beramaran keras. Dia keluar dari bilik Wardina Amni menapak ke biliknya.

Wardina Amni melawan kemalasan tubuh. Dia sedaya upaya membuka pelupuk matanya yang berat. Tubuhnya langsung tak bermaya. Bukan hanya sebab sakit perut lantaran datang bulan, tetapi juga kesan dibalun beberapa hari lepas. Atas alasan kecuaiannya mengotorkan baju di atas tanah juga, Suriyana tidak mengizinkan Wardina Amni makan sekalipun dia yang bertungkus lumus memasaknya.

Mata Suriyana melingas memerhatikannya melakukan semua kerja. Jadi, dia tak berani untuk curi-curi makan di siang hari khuatir nasibnya bertambah buruk. Sejak empat hari lepas, dia hanya makan sekali sehari, itu pun tika hening malam. Waktu semua penghuni rumah itu sudah jendera, dia akan curi-curi mengambil makanan dan makan di biliknya.

Malam tadi, tika hujan sedang lebat menggila bersama angin taufan yang menderu-deru, Wardina Amni terbangun daripada tidurnya. Lenanya terganggu lantaran perutnya berkeroncong minta diisi. Seharian semalam, sebutir nasi pun tak masuk ke mulutnya. Pagi tadi, dia hanya minum air putih bersama beberapa keping biskut jagung.

“Dina, buat apa tu?” tegur Faizul Ikhwan, memecah kesunyian malam.

Wardina Amni tersentak bukan kepalang. Dia yang baru saja menuang kicap di atas nasi putih di dalam pinggan, menelan liur pahit. Rasa bimbang menyelubungi segenap tubuhnya, khuatir dimarahi Faizul Ikhwan. Apakah Faizul Ikhwan akan memberitahu Suriyana perilakunya itu? Melentingkah ibunya nanti?

“Dina lapar, bang! Satu hari ni belum makan!” jawab Wardina Amni tergagap-gagap, minta difahami.

“Eh, nak makan, makanlah! Siapa marah?” Faizul Ikhwan membalas lembut.

Wardina Amni tersenyum lega. Sehari dua ini sikap Faizul Ikhwan amat disenanginya. Abangnya itu telah menyebelahinya tika dia dikenakan Mardiah Amna. Malah, hari ini dan semalam, Faizul Ikhwan langsung tidak menunjukkan sikap panas barannya lagi.

Wardina Amna cepat-cepat menyimpan botol kicap dalam peti ais. Dia kemudian menuang air masak lantas gesa-gesa beredar ke biliknya. Malam itu, dia menghabiskan sepinggan nasi putih berlaukkan kicap dengan penuh lahap. Hanya Tuhan saja tahu betapa dia kebuluran seharian itu.

Wardina Amni melangkah kaki perlahan, kembali ke ruang dapur itu. Dia membasuh tangan dan pinggan secepatnya. Dia tidak mahu mendatangkan sebarang bunyi yang akan mengejutkan lena Suriyana. Andai kata dia terkantoi mengambil makanan lewat malam itu, kemungkinan besar Suriyana akan menghukumnya lagi. Dan pasti bentuk hukuman itu akan membuatkannya terus-terusan terseksa.

Wardina Amni buru-buru memadam lampu di ruang dapur itu dan kembali ke biliknya. Namun, dahinya berkerut melihat susuk tubuh Faizul Ikhwan yang tercegat di depan pintu biliknya. Faizul Ikhwan seperti sedang menunggunya. Tajam mata Faizul Ikhwan memandangnya. Ke atas ke bawah tak berkelip.

“Abang ni kenapa?” tanya Wardina keliru.

“Abang nak masuk bilik Dina.” Dia mendahului langkah ke bilik adiknya itu.

Wardina Amni panik dengan senyuman abangnya itu.

“Masuk!” arah Faizul Ikhwan.

Wardina Amni tercengang-cengang dengan arahan Faizul Ikhwan. Dia masih tak berganjak dari situ.

“Aku kata masuk, masuklah!” Suara Faizul Ikhwan kedengaran keras dan menekan. Lengan Wardina Amni ditarik kuat, memaksa adiknya itu masuk ke dalam bilik.

Wardina Amni diserbu ketakutan melihat abangnya mengunci pintu. Benaknya dapat menduga yang Faizul Ikhwan menyimpanniat buruk. Tindakan Faizul Ikhwan yang menanggal baju dan melemparkannya di tilam usang itu membuatkan jantung Wardina Amni berdegup kencang. Aliran darah mula beredar pantas ke segenap tubuhnya. Hatinya berbisik yang Faizul Ikhwan ingin melakukan sesuatu. Niat jahat yang bersarang dalam kepala abangnya itu membuatkan dia ketakutan dan ingin segera melangkah pergi dari situ.

“Kau nak ke mana?” tanya Faizul Ikhwan dengan suara membentak. Berang dia dengan tindakan Wardina Amni yang berlari mahu membuka pintu, Faizul Faizul Ikhwan mencengkam kuat tubuh Wardina Amni. Dihenyak tubuh adiknya ke tilam.

“Abang, jangan macam ni. Mengucap bang, mengucap!” Wardina Amni menenangkan abangnya itu dengan juraian air mata.

“Tolong! Tolong!” Wardina Amni menjerit sekuat hati.

Biarpun dia bukan sesiapa di rumah itu, namun dia berharap benar Suriyana mahupun Mardiah Amna akan hadir ke situ. Manalah tahu kehadiran mereka berdua akan membantutkan perilaku jahat Faizul Ikhwan kepadanya.

“Jeritlah, dik! Jerit! Hujan lebat macam ni, semua orang sedap tidur. Lagi sedap tidur, kalau kau temankan aku.” Faizul Ikhwan kian merapati tubuh adiknya itu dengan senyuman lebar.

“Dina tak nak! Dina tak nak!” jerit Wardina Amni apabila Faizul Ikhwan mula memegang tangannya. Dia sedaya upaya menepis tangan abangnya kasar. Tubuh Faizul Ikhwan ditolaknya sekuat hati.

“Alah, suka-suka. Nanti kau pun seronok.” Faizul Ikhwan ketawa berdekah-dekah menatap wajah Wardina Amni dalam kesuraman suasana bilik. Tindakan Wardina Amni itu langsung tidak mengganggu-gugat niat jahatnya.

“Tolonglah, tolonglah. Kasihankanlah, Dina... bang.” Wardina Amni merayu dan merayu, mengharapkan Faizul Ikhwan insaf akan tindakan gilanya itu.

Namun, rayuannya sudah tidak laku di telinga Faizul Ikhwan. Abangnya kian mampir dan Faizul Ikhwan sudah pun menindih tubuh Wardina Amni. Sedaya upaya Wardina Amni cuba meloloskan diri. Namun segalanya sia-sia. Tenaga lelaki Faizul Ikhwan mengatasi kudrat seorang gadis kurus seperti Wardina Amni.

Wardina Amni menangis dan terus menangis mengenangkan maruahnya kian musnah direnggut abang kandungnya itu. Biliknya yang tak seluas mana itu bakal menyaksikan tubuhnya menjadi santapan Faizul Ikhwan yang sudah hilang akal.

“Gila! Abang memang gila!” Wardina Amni meludah, hampir terkena ke wajah abangnya itu. Marahnya dia bukan kepalang tatkala Faizul Ikhwan sudah berani meraba-raba bahagian sensitif tubuhnya.

“Kenapa marah-marah?” Faizul Ikhwan cuba berlembut, memujuk seraya mengesat cairan ludah di pipinya. Dia cuba menahan perasaan marah yang bergelojak nafsu ghairah.

“Arghhhh!” jerit Wardina Amni, masih cuba menolak tubuh Faizul Ikhwan. Dia bermati-matian cuba menyelamatkan diri. Sesungguhnya, Wardina Amni sudah rimas dan hampir kelemasan dengan cubaan Faizul Ikhwan untuk mencumbuinya.

“Kau tak suka? Aku suka!” jawab Faizul Ikhwan dengan suara ketawa berdekah-dekah.

Namun menyedari malam kian lewat, dia mengawal tawanya. Dia tak mahu perbuatannya itu disedari Suriyana mahupun Mardiah Amna. Mujurlah bilik Wardina Amni di bahagian dapur, jauh dari bilik Suriyana mahupun Mardiah Amna.

“Jangan, bang! Jangan! Dina adik abang!” teriak Wardina Amni lagi berulang-ulang mohon simpati. Serak suaranya. Basah lenjun wajahnya meratap menangis, mengharapkan syaitan iblis dan anak-pinaknya yang menghasut abangnya itu akan beredar pergi.

Faizul Ikhwan sudah tak peduli. Dia makin asyik melayani berahi yang mula merajai di segenap tubuhnya itu. Direntap seluar tidur Wardina Amni kasar lantas dibaling ke dinding. Wardina Amni menjerit dan terus menjerit. Faizul Ikwan ketawa nyaring seperti dirasuk syaitan. Ternyata dia keghairahan mendengar teriakan adiknya itu. Seronok dan geramnya dia apabila ikan segar terhidang di depan mata.

Wardina Amni menumbuk dan terus menumbuk belakang badan Faizul Ikhwan. Meskipun sesekali tindakannya itu dibalas kasar abangnya, dia sedaya upaya mahu mempertahankan maruahnya. Kala dia merasakan yang celana kecilnya direntap abang kandungnya itu, dia mengongoi panjang. Sungguh tak disangka sebegini kejam perlakuan Faizul Ikhwan terhadap dirinya. Abangnya memang tak berhati perut. Sesungguhnya, layanan baik Faizul Ikhwan kebelakangan ini punya maksud tersendiri.

‘Ya ALLAH, tolong hamba-Mu, Ya ALLAH. Hamba tak berdaya diperlakukan sebegini. Hamba tak mampu melawan syaitan durjana ini, Ya ALLAH. Dengarlah doa hamba, Ya ALLAH…’ Doa Wardina Amni bersama linangan air mata.

“Eeii... darah?!” Suara Faizul Ikhwan kedengaran terkejut.

Dia meleraikan pegangan tangannya yang kejap di tubuh Wardina Amni tadi. Faizul Ikhwan terbangun dan gesa-gesa mencari pakaiannya. Dia mengenakan pakaian selengkapnya sebelum buru-buru keluar dari bilik itu.



“EEII, bangunlah lembap! Pemalas, tak boleh harap!” Suriyana menarik tubuh Wardina Amni, memaksa anak gadisnya untuk bangun.

Wardina Amni tersedar daripada lamunan panjangnya. Sesungguhnya, kisah duka semalam membuatkan air mata berembesan tanpa disedari. Suara Suriyana yang menengking itu melenyapkan seraut wajah Faizul Ikhwan, manusia bertopeng iblis itu.

“Eh, kau ni kenapa hah? Asyik menangis, menangis, menangis! Aku suruh kau bangun pun nak berduka lara. Cepat! Kemas tempat tidur tu, bengap!” arah Suriyana geram. Diluku kepala Wardina Amni bertalu.

“Suri!” tempik Juriah membuatkan Suriyana tersentak. Mahmud di belakang Juriah dengan muka merah pedam menerpa masuk ke bilik stor itu.

Wardina Amni terkejut melihat susuk tubuh wanita bergelar nenek dan ayah saudaranya tiba-tiba berada dalam biliknya. Wajah kedua mereka yang amat dirinduinya. Inilah orang-orang yang diharap akan membela nasib dirinya. Alhamdulillah, akhirnya mereka datang juga!

“Astaghfirullahalazim, Dina cucuku!” teriak Juriah sambil menerpa ke tubuh Wardina Amni. Mereka saling berpelukan. Tanpa sedar, air mata bercucuran laju.

“Hmm... kalau mak nak ambil cucu mak yang malas ni, ambillah. Saya tak ralat pun. Duduk rumah ni bukannya nak menolong kita. Reti buat tahi mata aje. Mak tengoklah!” Suriyana masih tak surut memburukkan Wardina Amni. Dia mahu pergi dari situ dengan wajah masam mencuka. Perasaan marahnya tak lepas dengan kehadiran Juriah.

“Hei, Suri! Kau memang dah tak waras, kan? Sanggup kau menganiaya anak sendiri. Sanggup kau kurung Dina dalam stor ni padahal rumah ni ada enam bilik? Sampai dah kurus meleding macam ni kau buat si Dina ni. Patutlah aku cari hari tu dalam semua bilik tak ada!” tengking Mahmud sambil tangan kirinya memegang bahu Suriyana. Tangan kanannya diangkat tinggi, mahu menampar wajah Suriyana.

Suriyana menepis perlakuan Mahmud sambil menjeling tajam ke arah Wardina Amni.

“Kalau Abang Mahmud berani pukul saya, saya telefon polis sekarang. Sudahlah datang tak berjemput, berani pulak nak pukul Suri?” ancam Suriyana, mahu membela dirinya.

“Kau pergi telefon polis sekarang. Pergi! Biar pihak polis tahu yang kau tu memang perempuan sewel. Tergamak kau dera anak sendiri, kan? Kau sumbat dia dalam stor yang sempit dan berdebu macam ni? Kau suruh dia buat macam-macam. Ni yang kami nampak, yang kami tak nampak? Agaknya dah puas hati kau balun dan lanyak anak ni. Hei, Suri... kau ni kenapa, hah?! Dah tak ada sifat perikemanusiaan lagi ke? Ikutkan hati aku, kau memang kena dengan aku Suri, memang kena!” tengking Mahmud, menghamburkan segala emosi marah dan geramnya. Tangannya sudah dekat benar dengan muka Suriyana.

“Ayah long! Tolong jangan pukul mak!” pujuk Wardina Amni cuba mententeramkan Mahmud.

“Sudahlah, Mud. Sudahlah. Jangan bergaduh lagi,” tokok Juriah pula bersama air mata yang bercucuran. Tubuh kurus Wardina Amni tak lepas daripada pelukan kejapnya.

“Tengok, anak yang kau benci ni masih nak bela kau, Suri. Masih sayangkan kau, tak diizinnya aku pukul kau!” kata Mahmud dengan perasaan sebak. Perasaan marahnya bertukar hiba memandang seraut wajah pucat Wardina Amni.

“Huh!” Suriyana merengus kasar dan pergi dari situ.

“Nek, ayah long, Dina rindu sangat pada nenek dengan ayah long,” luah Wardina Amni dengan sedu-sedan menyesak jiwa. Sebak di dada kian bermaharajalela.

“Nenek pun sama, sayang. Rindu sangat kat Dina.” Juriah membalas hiba.

“Ya Dina, ayah long pun rindu dan sangat risaukan Dina. Kami pernah ke mari cari Dina, tapi kenapa Dina tak menyahut?” balas Mahmud sebaik saja mendapatkan Wardina Amni. Air mata anak itu disapunya dengan perasaan sebak yang menggunung.

“Dina tahu, nenek dan ayah long pernah ke mari cari Dina, tapi masa tu, stor ni dikunci. Mulut Dina disalotep mak. Tangan dan kaki Dina berikat. Macam mana Dina nak menyahut?” balas Wardina Amni dengan suara tersekat-sekat. Air mata berlinangan lagi.

“Ya ke ni? Astaghfirullahalazim…” Juriah dan Mahmud serentak beristigfar panjang. Terkejut mereka mendengar cerita Wardina Amni.

Kepala Wardina Amni terangguk-angguk dalam tangisannya yang masih belum surut.

“Mak, kalau mak nak bawa balik Dina, mak boleh bawa balik sekarang. Tak usah buat drama air mata kat sini. Eeii, rimas saya!” Suriyana muncul lagi di situ dengan suara keras menekan.

Juriah terangguk-angguk faham seraya membantu Wardina Amni bangkit dari situ.

“Kau memang gila Suri, gila!” maki Mahmud sekuat hati sambil memimpin tubuh Wardina Amni yang masih lemah.

“Ya, Suri memang gila. Suri gila pun sebab mak dan abang yang buat Suri gila. Mak dan abang ambik semua harta Man sehingga hidup kami jadi papa kedana,” jawab Suriyana lancang, membalas kata-kata Mahmud.

“Aku rasa hidup kau ni dah terlalu mewah, Suri. Macam mana kau boleh cakap papa kedana? Jangan esok-esok kau jadi papa kedana betul, barulah padan dengan muka kau tu!” Sinis Mahmud menempelak.

“Kalau Suri jadi papa kedana, abang sukalah?! Memang abang dan mak merancang nak buat Suri papa kedana, kan? Nak buat Suri anak-beranak merempat, kan?”

“Aduh! Makin dilayan perempuan sewel macam kau ni, makin kusut kepala otak aku ni, Suri!”

“Siapa perempuan sewel?” tengking Suriyana.

“Eh, tanya aku pulak?! Kaulah,” jawab Mahmud dengan suara mengejek.

“Abang Mahmud keluar, keluar dari rumah Suri!”

“Kalau aku tak nak keluar?”

“Suri kata keluar, keluar!”

“Kau ingat aku takut dengan ancaman kau? Kalau aku repot polis pasal kau mendera anak, kau boleh tidur beralaskan lengan kat simen lokap malam ni, tahu?” Mahmud mengancam.

“Keluar!” tempik Suriyana macam orang histeria. Mahmud langsung tak menunjukkan reaksi terancam dengan pekikan Suriyana itu.

“Mahmud! Suri! Sudah, jangan bergaduh lagi!” tempik Juriah, cuba mententeramkan ketegangan yang masih tak surut antara anak dan menantunya.

Mahmud dan Suriyana terdiam.

“Suri, memang kami dah nak keluar dari rumah ni pun,” kata Juriah dengan perasaan yang tak tertahan. Rasa kecewa dihalau Suriyana membuatkan dia tidak mahu berada lebih lama di situ.

“Mud, bagi mak cek tadi,” pinta Juriah.

Mahmud akur dan menghulurkan cek itu kepada Juriah.

“Nah, Suri ambil cek ni! Mak harap, Suri jangan mengungkit-ungkit lagi pasal harta peninggalan Man lepas-lepas ni. Mak kira, segala apa yang Suri pinta daripada kami, hari ni dah selesai.”

“Banyak ni mak kata selesai? 100 ribu ni, kira selesai?” Suriyana masih tak berpuas hati meskipun cek sudah berada di tangannya.

“Habis, kau nak ke tak nak? Kalau tak nak, aku ambik balik cek tu,” gertak Mahmud.

“Naklah!” jawab Suriyana bengang meskipun cek itu kini di tangannya. Direnung cek itu lama-lama. Entah apa yang difikirkannya.

Juriah hanya menggeleng kepala mengenangkan sikap Suriyana. “Suri, ni duit mak. Bukan duit Man atau sesiapa. Harta Man yang mana Suri maksudkan, mak tak tahu-menahu.”

“Huh, yalah tu!” Suriyana masih bernada tak puas hati.

“Ek eleh... berterima kasihlah kalau orang dah bagi tu! Jangan tak sedar diuntung lagi,” perli Mahmud membuatkan wajah Suriyana menyinga lagi. Namun, dia tak menjawab kata-kata Mahmud.

“Dina, tinggal dengan nenek ya?” ajak Juriah kepada Wardina Amni.

Wardina Amni tercengang-cengang mahu memberi jawapan. Hatinya ingin berkata ya, tapi mulutnya terkunci rapat untuk berkata-kata. Tubuhnya gementar melihat Suriyana yang masih tercegat di antara mereka.

“Kalau nak pergi, pergilah! Cepat kemas bilik ni. Bawa semua pakaian kau!” kata Suriyana tegas, seakan mengerti apa yang bermain di minda anak bongsunya itu. Suriyana pun berlalu dari situ, menuju ke biliknya.

“Betul ke ni nek, ayah long?” tanya Wardina Amni separuh berbisik. Dia inginkan kepastian daripada Juriah.

“Ya, cepat kemas,” jawab Juriah, menggesa Wardina Amni bergerak pantas, mengemas barangnya.

“Cepat! Dina nak bawa barang yang mana? Biar ayah long tolong. Sebelum mak Dina berubah keputusan, baik kita cepat-cepat pergi dari sini. Mak Dina tu bukan boleh percaya sangat. Dina pun tahu, kan? Kalau anginnya datang, dia boleh bertindak di luar kawalan. Payah kita!” Mahmud menawarkan diri dengan nada suara terkawal. Dia tak mahu Suriyana tiba-tiba muncul kembali dan mendengar perbualan mereka. Dia malas nak bertegang urat lagi dengan Suriyana.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.