5
"SUBHANALLAH! Apa dah jadi ni, Suri?” Juriah menerpa masuk
ke dalam rumah tanpa memberi salam. Dia pantas mendapatkan Suriyana yang sedang
menampar-nampar pipi dan mencubit paha anak kecilnya dengan penuh emosi geram.
Wajahnya bengis memandang Wardina Amni.
“Mak?!” Suriyana terperanjat bukan kepalang. Tangan Juriah
yang menepis tangannya itu membuatkan dia bagai tersedar daripada kemarahannya.
“Mak tak faham dengan kau ni, Suri! Apa budak kecil ini
tahu kalau kau cubit dia beratus kali pun. Kau sekadar sakitkan dia, Suri! Apa,
kalau kau cubit dia, dia boleh senyap?” Juriah mengomel sambil memangku bayi
kecil itu di ribanya. Marah dia dengan perangai menantunya itu.
“Sabar cucu nenek. Sabar!” Juriah mendakap tubuh bayi
kecil itu ke dadanya. Dia menepuk-nepuk punggung bayi itu, cuba mententeramkan
tangisannya.
Suriyana terdiam. Dia sekadar memandang kosong wajah
Juriah. Sesekali dia meraup wajahnya, mencari ketenangan.
“Kenapa ni, Suri? Kenapa? Apa sebenarnya yang berlaku?”
tanya Juriah ingin tahu kenapa
wajah menantunya nampak berserabut.
“Budak ni! Menangis, memekak! Serabut kepala otak Suri.
Kecik-kecik lagi dah menyusahkan orang. Huh!” bentak Suriyana.
“Dia tak sihat kut? Kembung perut gamaknya?” duga Juriah
sambil meraba-raba belakang tubuh bayi itu. Betis bayi kecil itu diurutnya
perlahan dengan harapan segala angin yang berada dalam perut anak itu segera
pergi.
“Arghhh!” Suriyana menjerit kuat sambil berlari ke
biliknya. Dia menghempas daun pintu sekuat hati.
Juriah tersentap lalu mengucap panjang. “Ya Allah, Osman. Sakit bini kau ni datang
lagi!” bisik Juriah seakan sedang berbicara dengan anaknya, Osman.
Jiwa Juriah kacau. Benaknya kusut memikirkan keadaan
Suriyana. Mujurlah dalam keadaan bingit sebegini, Faizul Ikhwan dan Mardiah
Amna yang sedang tidur di sofa, tidak terganggu tidurnya. Kalaulah mereka
berdua terbangun, menangis dan berteriak, pasti kian haru-biru jadinya.
“Ya ALLAH... tolonglah, kami Ya ALLAH! ENGKAU sembuhkanlah
penyakit Suri ni cepat-cepat.” Juriah berdoa sepenuh hati. Namun, teriakan
nyaring suara Wardina Amni membuatkan Juriah jadi semakin tak keruan.
“Perut budak ni okey aje. Menangis lapar agaknya,” gumam
Juriah.
“Mana pulak botol susunya?” Juriah bersoal jawab seorang
diri. Dia kalut mencari sekitar ruang tamu itu. Tiada.
“Oh, kat dapur agaknya...” Dia menduga seraya buru-buru ke
ruang itu.
JURIAH termenung lama di kerusi. Dia benar-benar kesal
atas apa yang berlaku ke atas Suriyana. Juriah teringat lagi, saat Suriyana
bertarung nyawa mahu melahirkan anaknya, dia tiada di rumah kerana masih di
pejabat. Kebelakangan ini, rezeki perniagaan mereka anak-beranak melimpah ruah.
Hari itu, dia benar-benar sibuk. Sejak pagi lagi, Juriah asyik menyemak
tempahan perabot daripada sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur. Tempahan itu dibuat mereka sejak seminggu
lalu.
Hari yang sama juga, pagi-pagi lagi dia menerima kunjungan
tetamu. Tetamu dari Ampang itu datang untuk melihat produk mereka. Setelah
begitu teliti perbincangan dibuat, akhirnya mereka telah menempah lebih 50 set
kerusi dan meja untuk sebuah restoran mewah yang akan dibuka tiga bulan dari
tempoh perbincangan dibuat. Rezeki yang tak disangka-sangka Juriah, bakal
melonjakkan keuntungan perniagaan mereka melebihi dua puluh peratus. Keterujaan
menerima limpahan rezeki daripada Allah
Yang Maha Memberi itu membuatkan dia lupa seketika akan menantu dan cucu-cucu
di rumahnya.
Sebenarnya, Juriah juga tidak menduga yang Suriyana akan
bersalin tiga minggu lebih awal daripada tarikh yang dijangka doktor. Mujurlah
ketika itu, Kasnah datang ke rumahnya. Dalam kesibukan meneliti tempahan,
hatinya berasa tidak enak memikirkan Suriyana dan cucu-cucunya. Dia bergegas
pulang. Kala memijak lantai rumah, mata Juriah terbeliak menyedari menantunya
itu sedang bertarung nyawa, mahu melahirkan Wardina Amni.
Menurut cerita Kasnah, talian telefon di rumah Juriah
terputus. Mungkin kerana malam tadi hujan lebat dan pokok telah menimpa kabel
telefon tersebut. Kata Kasnah lagi, pihak hospital tidak dapat dihubungi.
Mujurlah dalam keadaan panik, Kasnah ternampak Azizah, seorang jiran Juriah
untuk meminta tolong. Azizah buru-buru memanggil bidan dengan menaiki
motosikalnya.
Mujurlah ada Kasnah dan Azizah. Mujurlah Bidan Sauyah ada
di rumah saat dia diperlukan. Bayangkan kalau Kasnah tidak datang ke rumahnya
hari itu? Bayangkan kalau Azizah dan Bidan Sauyah tiada waktu itu? Tentu sekali
Suriyana beranak seorang diri di rumah. Tentu sekali sesuatu yang buruk akan
berlaku ke atas Suriyana mahupun cucunya. ‘Oh, betapa aku terlalai menjaga
perasaan Suri sehinggakan sepanjang tempoh pantangnya, Suri nampak begitu
tertekan. Dia nampak begitu membenci anak itu. Mungkinkah perasaan benci itu
sebenarnya kerana Suri mahu melampiaskan perasaan marah dan kecewa terhadap aku
mahupun Osman? Mungkinkah Suri berkecil hati dengan layanan dan kesukaran yang
terpaksa dilaluinya demi melahirkan Wardina Amni?
Juriah mengheret nafas sukar. Rasa benci dan dendam
Suriyana terhadap Wardina Amni begitu ketara. Daripada kaca mata Juriah,
Suriyana boleh mendatangkan ancaman akan keselamatan bayi itu. Kata-kata dan
caci maki Suriyana terhadap Wardina Amni cukup menggambarkan kebencian seorang
ibu terhadap anaknya.
Semalam, selepas 60 hari tinggal di rumah Juriah, Suriyana
begitu bertegas ingin pulang ke rumahnya. Katanya, dia sudah tidak selesa untuk
terus tinggal di rumah Juriah lagi. Biarpun sudah puas dipujuk, namun Suriyana
tetap bertegas dengan keputusannya. Selepas meneliti alasan Suriyana, Osman
terpaksa bersetuju. Juriah hanya menurut mana yang baik untuk menantunya.
Mungkin keputusan itu lebih baik untuk psikologi Suriyana.
Tetapi hari ini, Osman terpaksa ke luar negeri lagi. Dia
terpaksa ke Ipoh untuk memantau projek usahasama di sana. Juriah tiada pilihan apabila
terpaksa menyuruh Osman ke sana kerana pada masa yang sama Mahmud juga terpaksa
ke Singapura kerana beberapa urusan penting perlu diselesaikan.
“Mak, nanti datang rumah Man ya? Mak tolong tengokkan Suri
dan anak-anak. Baby kecik tu, risau pulak Man kalau ditinggalkan dengan
Suri,” pesan Osman berkali-kali. Berharap benar dia.
“Ya Man, mak akan pergi rumah Man. Kejap saja lagi, mak
akan bertolak,” jawab Juriah cuba menyenangkan perasaan anaknya.
“Itulah, mak suruh ambik pembantu, kau orang tak nak!”
Juriah teringat akan perbualannya dengan Osman dan Suriyana suatu ketika dulu.
Waktu itu, usia kandungan Suriyana baru beberapa bulan.
“Tak naklah, mak! Suri boleh uruskan rumah. Lagipun, Suri
rimaslah ada orang lain kat rumah ni. Tak ada privasi,” bantah Suriyana tidak
bersetuju dengan cadangan Juriah.
“Bukan masalah privasi tak privasi. Kurang-kurang ada
orang tengokkan Suri kat rumah sepanjang ketiadaan Man. Sepanjang Man keluar
bekerja. Kerja-kerja kat rumah pun ada orang uruskan. Suri boleh banyak
berehat,” pujuk Juriah.
“Tak payahlah, mak. Rumah ni Suri boleh uruskan,” kata
Suriyana masih tidak bersetuju dengan cadangan mertuanya.
“Suri, kita ambik pembantu rumah ya? Biar Suri boleh
berehat bila ada orang tengokkan anak-anak,” pujuk Osman lagi.
“Arghhh... terpulanglah! Kalau Suri kata tak nak, mak
dengan abang tetap dengan keputusan yang sama, kan?” Suriyana berlalu dengan
wajah mencuka. Nampak sangat dia tak bersetuju.
Hairannya, kenapa saat Osman dan Juriah mahu
menyenangkannya, Suriyana pula menentang? Juriah tak faham dengan keputusan
Suriyana. Osman lagi tak faham!
“Mak, Suri nak keluar!” Suara Suriyana yang meninggi itu
membuatkan Juriah terkejut. Baru tadi dia teringatkan kisah lama Suriyana, kini
Suriyana tercegat di depannya. Suriyana sudah bersiap cantik. Faizul Ikhwan dan
Mardiah Amna juga kemas berpakaian, mahu diajak keluar.
“Nak ke mana?” tanya Juriah.
“Suri nak beli barang. Barang Suri banyak dah habis!”
“Yalah. Suri nak mak temankan?” tanya Juriah lagi.
“Tak apalah. Mak tolong jagakan budak tu ya? Suri pergi
tak lama.” Juriah mengangguk membenarkan. Suriyana pun berlalu, meninggalkan
Juriah yang hanya memerhati tayar kereta milik menantunya bergolek pergi.
‘Pergilah Suri. Pergilah ambil angin luar. Mungkin dapat
membantu Suri berasa tenang.’ Hati Juriah berbisik, cuba memahami perasaan
Suriyana.
“Ya Allah,
lindungilah diriku, anak-anakku, menantu-menantuku dan cucu-cucuku. Lindungilah
kami semua walau di mana saja kami berada. Satukan hati-hati kami agar
kebahagiaan menjadi milik kami selamanya.” Juriah berdoa bersungguh-sungguh.
Bayi kecil didakap erat.
SURIYANA
memaut stereng kereta kejap-kejap. Hatinya nekad mahu ke
rumah Mak Itam. Banyak perkara yang dia perlu bicarakan dengan wanita itu. Dia
mahu meluahkan segala gundah-gulana di hatinya. Dia mahu berkongsi cerita akan
hidupnya yang dirasakan tidak gembira lewat kebelakangan ini. Layanan Osman
sangat berbeza terhadap dirinya. Osman nampak tidak berminat untuk bersamanya.
Osman nampak jemu mahu bermesra-mesraan dengannya. Tumpuan Osman diberikan
sepenuhnya kepada anak kecil itu. Tidur malam Osman bersama anak kecil itu di
bilik lain, bukan di kamar tidur mereka.
“Abang tak mahu tangisan anak ni akan mengganggu tidur
Suri! Suri kan penat. Suri juga kata, Suri tak boleh dengar budak menangis
sebab tulah abang bawa Wardina tidur bilik ni.”
“Abang... tapi sampai bila kita akan tidur di bilik
berasingan macam ni?”
“Sampai Suri boleh terima Dina. Sampai Suri benar-benar
sihat dan tak rasa terganggu dengan kehadiran Dina.”
“Suri memang dah sihat, bang. Suri dah habis pantang pun.
Suri... Suri rindukan abang,” luah Suriyana sambil melabuhkan punggung di
hujung katil, dekat dengan tubuh Osman. Sesekali, matanya tajam menujah ke
wajah bayi mereka yang masih dalam bedungan. Anak itu lena di atas katil bayi.
Osman pula tidak lepas mengusap rambut bayi itu. Lebat dan hitam bak arang.
“Abang, Suri rasa abang terlalu memberi perhatian kepada
budak ni,” luah Suriyana tak berpuas hati. Osman terlalu asyik menatap wajah
Wardina Amni. Dia langsung tak memanggung kepala, membalas tatapannya.
“Abang, jom kita tidur. Suri dah habis pantang ni.” Suriyana
mengajak lagi. Suaranya lunak lembut, cuba memesrai suaminya.
“Anak ni, macam mana?”
“Lah, bayi tu kan tengah tidur. Biarkanlah dia lena.” Hati
Suriyana tergores. Osman sudah berbaring sambil menepuk-nepuk badan bayi itu di
katilnya. Permintaan Suriyana seperti tidak penting di telinganya.
“Abang
kenapa ni? Abang macam dah tak berminat dengan Suri aje?” tanya Suriyana cuba
mengawal nada suaranya. Dia mengetap gigi geram.
“Kenapa sayang cakap macam tu? Suri rasa abang macam tu
ke?”
“Ya, Suri rasa abang dah terlalu jauh berubah. Abang
abaikan perasaan Suri. Suri sedih dengan sikap abang.” Suriyana bersuara penuh
emosi. Air mata bertitisan di pipi.
Osman terbangun dan spontan memeluk belakang Suriyana.
“Syhhh! Jangan menangis, sayang. Dah! Dah! Jangan menangis
ya? Abang benar-benar mintak maaf kalau ada sikap abang yang buat Suri terasa
hati. Kalau Suri rasa abang telahmengabaikan
Suri. Abang tak sengaja dan semua tu berlaku tanpa abang sedar. Maaf ya,
sayang!” Osman cuba memujuk.
“Sejak Dina dilahirkan, abang tak pernah nak pedulikan
Suri lagi. Diah dan Zul pun abang abaikan!”
Luahan Suriyana itu membuatkan Osman tersentap. Berkerut
dahinya cuba menghadam kata-kata Suriyana.
“Abang macam tu ke?”
“Ya! Tengok sekarang! Abang buat Suri macam tunggul kayu
mati, kan? Apa, perut Suri dah buncit? Wajah Suri dah tak berseri sejak pantang
ni sampai nak tengok wajah Suri pun tak bernafsu? Siang malam abang asyik kelek
budak tu, tapi Suri dan anak-anak yang lain langsung abang tak ambil peduli!”
Suriyana teresak lagi.
“Oh, maafkan abang, sayang. Abang tak bermaksud macam tu!”
“Suri tahu, kalau tak kerana budak tu pun, mungkin sebab
abang dah punya perempuan lain. Abang dah ada pengganti Suri, kan?” Suriyana
masih meluahkan perasaannya. Dia mahu Osman tahu yang hati perempuannya sudah
terluka.
“I love you, sayang,” ucap Osman. Dia memeluk tubuh
Suriyana kejap-kejap ke tubuhnya.
“Abang, sesiapa pun boleh mengungkap kata-kata tu. Tapi,
perlakuan abang tu cukup penting untuk menterjemahkan perasaan abang terhadap
Suri.” Suriyana bersuara dengan nada keras menekan. Dia berusaha untuk bangun
dan meleraikan pelukan kejap Osman di tubuhnya.
Osman bingkas bangun dan memaut lengan Suriyana yang
nampaknya sudah mahu keluar dari bilik itu.
“Sayang, sebenarnya abang pun rindukan Suri sangat-sangat.
Tapi, abang hormatkan keadaan Suri. Abang mahu tubuh Suri sihat sepenuhnya.
Abang tahu Suri dah habis pantang, cuma abang tak mahu mementingkan perasaan
abang semata-mata. Abang fikir Suri belum bersedia...” bisik Osman. Tangannya meramas
lembut tangan Suriyana. Bau badan Suriyana yang harum semerbak membuatkan dia
terkhayal seketika. Sememangnya sudah lama dia tidak mencium bau-bauan sewangi
itu daripada tubuh Suriyana.
Suriyana tersenyum dengan kata-kata Osman itu. Dia berasa
bahagia kala Osman mula memesrainya. Namun, rengekan suara bayi itu membuatkan
khayalan di benak masing-masing terhenti. Perasaan masing-masing yang hanyut
dibuai rindu berbulan-bulan, terhenti tiba-tiba. Tangisan Wardina Amni
menganggu saat romantis pasangan suami isteri itu.
Osman meleraikan pelukan tubuh Suriyana di tubuhnya kala
rengekan bayi itu bertukar tangisan nyaring.
“Dina menangis, sayang,” beritahu Osman meskipun tangisan
itu jelas menerobos cuping telinga kedua-dua mereka.
“Eeii!” Suriyana menahan perasaan marah dan geram. Hatinya
tiba-tiba membara mendengar tangisan bayi itu. Baru saja dia nak melayan
perasaannya yang terawang-awang bersama Osman, kini hajat hatinya sudah
terbantut.
“Dina lapar susu gamaknya. Suri tak nak susukan Dina?”
tanya Osman sambil mengangkat tubuh bayi kecil itu ke ribanya.
Suriyana merengus kasar. Kata-kata Osman itu seperti
memperlinya.
“Suri kan ibunya. Susu ibu baik untuk antibodi bayi.
Kesihatan Suri pun akan semakin baik,” pujuk Osman cuba meredakan ketegangan di
wajah isterinya. Wajah Suriyana memerah.
“Nak susukan budak tu? Huh, tak kuasa Suri! Abang layanlah
anak kesayangan abang tu sampai ke pagi. Suri nak tidur!” Suriyana menghentak
kaki sebelum keluar dari bilik itu. Daun pintu dihempas sekuat hati. Suriyana
berteriak geram.
Dan hari ini, Osman keluar negeri lagi.
‘Tiada apa yang istimewa ditinggalkan abang melainkan
ciuman dan pelukan. Abang seperti tidak pernah mengerti naluri hati Suri. Suri
rindukan belaian abang. Mengertikah abang akan perasaan Suri?’ Hati Suriyana
mendongkol. Dia menampar-nampar stereng kereta, berusaha membuang segala rasa
kecewa di dada. Ingatannya tentang peristiwa malam tadi membuatkan dia tidak
mahu bertangguh ke rumah Mak Itam.