12
"ABANG
mintak maaf sangat-sangat Suri kalau selama ni abang ada buat Suri tak senang.”
Osman mengatur ayat cuba memancing perhatian isterinya itu.
“Suri
tak senang? Apa maksud abang?” tanya Suriyana. Kata-kata Osman itu cukup
membuatkan matanya yang terpejam, tercelik kembali.
“Abang
nak mintak maaf dengan Suri sebab abang tahu akan kelemahan abang. Abang
kesiankan Suri. Suri tentu merana sebab abang, kan?”
“Abang,
sudahlah. Tak usah diungkit-ungkit lagi hal ni. Kalau Suri merana, abang pun
sama kan? Kita sama-sama merasainya. Dan bagi Suri, semua ni dah takdir. Kenapa
pulak tiba-tiba abang nak ungkit semua ni?” tanya Suriyana sambil memeluk
bantal, menyandar badan di kepala katil.
“Entahlah,
Suri... abang hanya fikirkan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada Suri.
Tapi sayang, abang tak mampu.” Suara Osman kedengaran kesal. Ada rasa sebak
singgah di hati mengenangkan tradegi kemalangan jalan raya beberapa tahun dulu.
Peristiwa sedih itu mengakibatkan dia menjadi lelaki yang ‘tidak berdaya’. Puas
sudah dia berubat, namun usahanya hanya sia-sia belaka.
“Usah
dikesal, bang. Kita dah cuba sedaya upaya. Bagi Suri, cukuplah abang sentiasa
berada di sisi Suri. Itu jauh lebih bermakna buat Suri.”
“Bahagianya
abang mendengar kata-kata Suri.” Osman meluahkan perasaannya. Dalam sebak, dia
merangkul tubuh isterinya itu.
“Terima
kasih, sayang. Abang percayakan, Suri. Tolong, jangan persiakan kasih sayang
abang. Tolong jaga kepercayaan abang terhadap Suri baik-baik,” bisik Osman
dengan suara serak.
Antara
sebak yang menguasai jiwa lelakinya, kata-kata Osman kedengaran beramaran di
cuping telinga Suriyana. Dia sayangkan Suriyana sepenuh hati, namun rasa curiga
yang berkocak hebat di tasik hati membuatkan dia tidak keruan. Namun, demi
sebuah hubungan yang berlandaskan kesetiaan dan kepercayaan, Osman tidak mahu
buru-buru membuat pertuduhan. Sejujurnya juga dia belum bersedia menghadapi
sebarang kemungkinan.
“Abang
kenapa sedih sangat ni?” tanya Suriyana apabila sedar yang suaminya itu sedikit
sugul.
“Entahlah.
Mungkin sebab abang akan ke luar daerah lagi. Hati abang sayu sangat nak
tinggalkan Suri dan anak-anak.”
“Lah,
Suri okey aje bang. Bukan tak biasa kami ditinggalkan. Sayang isteri
tingal-tinggalkan. Abang tinggalkan Suri sebab sayang Suri, kan?” jawab
Suriyana memujuk resah di dada Osman.
Osman
tersenyum. Sedikit sebanyak kata-kata Suriyana melegakan perasaannya. “Abang
pergi pun tak lama. Dalam seminggu ke sembilan hari. Kalau ada perubahan nanti,
abang cerita,” jelas Osman.
Suriyana
hanya mengangguk faham.
“Tarikh
anniversary kita dah tak lama. Suri nak hadiah apa?” tanya Osman dengan
nada ceria. Dia berusaha mahu mengubat rasa gundah di dada. Dia nekad mahu mengusir
perasaan jahat yang mula membelit tubuhnya.
“Hadiah?
Hmm… abang nak bagi Suri apa?” Suriyana mempamerkan wajah terujanya. Dia
merapatkan tubuhnya ke tubuh Osman. Topik baru mereka mengujakan perasaan.
Suriyana menyandarkan badannya ke dada Osman.
“Suri
bagitahulah. Suri mintaklah apa saja hadiah termahal yang Suri mahu. Kalau
abang mampu tunaikan, insya-ALLAH akan abang tunaikan.” Osman menutur lembut
sambil mengelus rambut Suriyana yang cantik beralun.
“Betul
ke ni, bang?” tanya Suriyana bersungguh-sungguh. Wajahnya berseri-seri. Matanya
bersinar-sinar melihat mata Osman yang redup memandangnya.
Anggukan
beria Osman membuatkan Suriyana bertepuk tangan. Dia kegembiraan. Otaknya
mencongak-congak, memikirkan apa gerangan hadiah termahal yang akan dimintanya
daripada Osman.
“Hmm…
kalau Suri mintak rantai berlian, mampu ke abang?” tanya Suriyana.
Osman
terdiam seketika.
“Tentu
boleh, sayang. Lagipun, memang itu yang abang fikir nak bagi Suri.”
“Wow,
terima kasih bang!”
“Tapi,
janji dengan abang. Suri akan menyayangi abang sehingga ke akhir hayat Suri.
Tiada cinta yang lain di hati Suri melainkan untuk abang.”
“Yalah,
bang. Mana ada lagi cinta yang lain selain untuk abang!” tegas Suriyana.
“Betul
ke ni, sayang?” Osman inginkan ucapan kepastian. Dia mahu melihat ketulusan
isterinya berkata-kata.
“Yalah,
bang. Sumpah! Hanya abang di hati Suri. Suri tak mungkin dan takkan khianati
cinta kita selama ni. Hanya abang di hati Suri, satu-satunya. Percayalah!”
Suriyana mengikat janji.
Kata
janji Suriyana bagai benar belaka. Jadi, harus bagaimana untuk dia melayan rasa
curiganya lagi?
RASA
sedih dan
kecewa bertali-temali dalam diri Osman. Dia benar-benar rasa tercabar, namun
tidak berdaya mahu menidakkan segala apa yang dilihat di depan matanya tadi.
Hubungan mereka bukan setakat berpegangan tangan, malah berpeluk-pelukan manja
dan berdakapan mesra berjalan ke bilik hotel. Apa lagi nak dikatakan apabila
seorang wanita dan lelaki berdua-duaan dalam bilik hotel pada waktu begini?
Sudah
dua jam masa berlalu. Osman masih menunggu dengan penuh sabar di dalam kereta,
di kawasan parkir hotel. Dia mahu menyiasat dan melihat dengan mata kepala
sendiri kisah kecurangan seorang isteri. Malam ini, dia telah mengatur semuanya
dengan lebih teliti. Mujurlah dia terfikir untuk menyewa kereta demi melicinkan
pergerakannya. Sejak dari rumah lagi, Suriyana dan lelaki itu langsung tidak
sedar yang diri mereka sedang diintip. Rancangannya sudah berjaya membongkar
kegiatan maksiat isteri sendiri.
‘Ya
ALLAH, hanya Tuhan yang tahu
betapa perasaan ini tersentap hebat! Sukar mahu berdepan dengan hakikat yang
menyakitkan ini. Ya ALLAH, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, tabahkanlah
hatiku.
Tetapkan
imanku, Ya ALLAH. Kuatkan hati ini untuk menerima setiap ujian-Mu. Aku tidak mahu terlalu mudah kecewa
dan berputus asa, Ya ALLAH. Aku mahu selesaikan semua ini dengan sebaiknya.
Astaghfirullaalazim! Ya ALLAH, aku tidak pernah rasa betapa hebatnya rasa sakit
di jiwa ini. Rasa luka ini terlalu dalam, Ya ALLAH!’
Dalam
resah berbaur marah dan kecewa, Osman masih memujuk dirinya agar terus
bersabar. Dia cuba untuk berzikir dengan sepenuh hati. Dia berusaha keras, cuba
mengusir segala rusuhan perasaan yang membuatkan tubuhnya menggeletar hebat.
Dia beristigfar panjang agar TUHAN menetapkan imannya daripada bertindak di
luar kewarasan manusia normal.
Kalau
diikutkan rasa marah yang mendidih-didih, ingin sekali dia merodok perut lelaki
yang begitu berani membawa isterinya memanjat tangga hotel itu. Biar saja dia
digelar pembunuh daripada menyaksikan kecurangan isteri dan jantan keparat yang
entah dari mana asalnya itu.
Kini,
Osman sedar... dia terlalu taksub dengan kasih sayang Suriyana. Matanya buta
hanya kerana cinta palsu Suriyana. Sedikit pun dia tak menduga sedemikian sikap
Suriyana di belakangnya. Selama ini, dia menganggap Suriyana permaisuri hatinya
yang memegang cinta suci mereka dengan penuh tulus dan setia. Tapi sayang,
detik ini terbukti sudah. Suriyana bukan saja menikamnya, malah telah membunuh
jiwa raganya. Sesungguhnya, hanya ALLAH Yang Maha Tahu, betapa remuk hatinya
dengan perlakuan Suriyana. Semangatnya benar-benar lumpuh.
Tanpa
sedar, Osman menangis. Dia tahu kerana kekurangan dirinya, maka Suriyana tega
mencari kekasih baru. Tergamak Suriyana berzina, menanggung dosa seumur hidup.
Kasih sayang yang tulus suci hanya untuk wanita itu ternyata sudah
dipijak-pijak rakus oleh isterinya sendiri. Entah sudah berapa lama Suriyana
memperbodohkan dirinya, dia pun tak tahu.
Malam
ini, terang lagi nyata maruahnya sudah dipijak-pijak isterinya sendiri.
Cintanya sudah dilempar ke tempat yang jijik dan penuh hina. Ternyata wanita
yang disanjunginya itu sudah berpaling daripada cinta mereka hanya kerana
tuntutan nafsu serakah. Suriyana sudah terjerumus dalam perangkap syaitan dan
iblis.
Ya
ALLAH, Kuatkan imanku untuk menyaksikan semua ini, Ya ALLAH. Ampuni hamba-Mu,
Ya ALLAH. Aku berdosa kerana gagal menjadi pemimpin terbaik buat isteriku. Aku
lelaki dayus, Ya ALLAH. Aku sudah menemui jawapannya. Aku gagal membimbing
Suriyana menjadi insan yang jauh lebih baik daripada sejarah lampaunya. Gagal,
gagal sama sekali!
“EH,
abang dah sampai?” Lunak suara Suriyana menyambut kepulangan Osman di muka
pintu. Dia mencapai beg kerja suaminya. Tangan suaminya dikucup mesra.
“Suri
apa khabar?” tanya Osman sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah. Dia
memaniskan wajah, cuba berlagak mesra dengan isteri kesayangannya itu meskipun
hatinya sudah hancur lebur. Sedaya upaya dia cuba gagahkan sisa-sisa semangat
yang masih ada. Senyuman manis Suriyana yang menyambut kepulangannya seakan
mengejek-ejek dirinya.
“Baik-baik
saja, bang. Suri rindukan abang sangat-sangat. Terasa begitu lama abang
tinggalkan Suri dan anak-anak,” jawab Suriyana ceria.
“Betul
ke ni? Betul ke Suri rindukan abang?” tanya Osman sambil melabuhkan punggung di
sofa, di tengah rumah. Tawar hatinya ingin berbicara mesra, namun dia perlu
belajar untuk menjadi seorang pelakon sehebat lakonan isterinya itu.
“Eh,
betullah abang! Abang tahu tak, sehari abang tinggalkan Suri, jiwa Suri rasa
terseksa. Abang tahu tak, siang malam Suri berdoa agar abang cepat-cepat
pulang. Suri rindu sangat-sangat. Takkan abang tak faham perasaan Suri? Cinta
Suri hanya untuk abang. Tiada dua, tiada tiga. Anak-anak pun bukan main sibuk
tanyakan abang,” jawab Suriyana tenang dan manja. Dia memandang seraut wajah
suaminya dengan pandangan yang mencerminkan ketulusan. Keikhlasan.
Osman
hanya mengangguk mengiakan. Betapa bijaknya Suriyana mengatur ayat. Mana tak
perasaan Osman mudah mencair selama ini?
“Suri
pergi simpan beg abang ni kejap. Abang duduklah sementara Suri buat air.” Lemah
lembut tutur kata Suriyana. Dia mengatur langkah, meletakkan beg kerja suaminya
di dalam bilik perpustakaan.
Osman
tersenyum hambar. Betapa indahnya kata-kata yang diucap isterinya itu. Manis
bak madu. Hampir saja dia terpujuk dengan kemesraan dan keramahan wanita itu
melayaninya. Andai kata dia tak tahu siapa sebenarnya Suriyana, tentu saja dia
tewas dengan perasaan marah dan kecewa yang tersimpan buat wanita itu.
Tidak
lama kemudian, Suriyana kembali di situ. Dia melirik pandang akan seraut wajah
Osman yang tak lepas memandangnya.
“Abang…”
panggil Suriyana manja dan penuh menggoda.
Osman
tersentak. Cepat-cepat dia melemparkan senyuman buat Suriyana.
“Kejap
abang. Suri buatkan air. Tentu abang dahaga, kan?” Suriyana gesa-gesa ke dapur.
Dia nampak bersungguh mempersembahkan layanan terbaik buat Osman.
Osman
tersenyum dan cuba untuk tersenyum. Dia sedaya upaya menyembunyikan gelodak
rasa di jiwa. Entah mengapa, kala itu perasaan sebak mula menguasai segenap
inci tubuhnya. Mengenangkan babak laku Suriyana di belakangnya, hatinya bagai
dihiris-hiris. Di rumah, di depannya, Suriyana begitu baik melayaninya. Kalau
diikutkan logik akal, langsung tidak munasabah isterinya itu sanggup
mencuranginya.
Diam-diam
Osman akui, betapa lakonan mantap Suriyana setanding lakonan hebat Seniwati
Siput Sarawak dalam setiap filemnya. Tiap gerak laku isterinya itu begitu
berkesan di hati. Betapa menjadinya lakonan primadona cantik itu di pentas dunia. Terasa begitu bodoh dirinya sehingga terlalu
mudah dia dipermainkan wanita yang mendapat tempat teratas di carta hatinya.
‘Ya
ALLAH, tega sekali Suri memperlakukan abang semua ni,’ bisik hati Osman lirih.
Perasaannya makin tak tertahan. Rasa sebak makin menyesak dada. Kepalanya
tiba-tiba berasa tepu yang amat sangat.
“Eh,
abang nampak tak sihat aje! Abang okey tak ni?” tanya Suriyana penuh cakna.
Wajahnya nampak cemas. Dia pantas melabuhkan punggung di sisi suaminya itu.
Gelas berisi air sirap di tangannya, diletak di atas meja kopi. Dahi Osman
dirabanya.
“Abang
okey. Mungkin penat sikit,” jawab Osman tidak mahu Suriyana susah hati.
“Minum
sikit, bang. Biar lega panas badan abang tu.” Suriyana menyuakan gelas ke mulut
suaminya.
Osman
akur menghabiskan segelas air sirap itu.
“Abang
pergilah berehat, tidur. Jom, Suri pimpin abang ke bilik.” Suriyana membantu
suaminya untuk bangun.
Osman
tak berkata apa-apa. Dia hanya menurut langkah kaki isterinya.
Menyedari
jari-jemari Suriyana yang sedang memegang tangannya kejap-kejap, entah kenapa
dirinya bagai dihempas tsunami perasaan yang cukup hebat. Hati sanubarinya kian
merusuh. Segalanya sudah tidak terkawal lagi. Segala emosi sedih dan kecewa,
makin lebat menggayuti setiap tangkai jantung hatinya. Sungguh, betapa dia
tidak rela untuk memikirkan hal Suriyana lagi. Cukuplah fikiran jahatnya
merasuk dia untuk membenci wanita itu. Meskipun tidak rela dan masih cuba menolak
sebuah realiti, ternyata tubuhnya mula mengusung sengsara.
Benar
kata orang, memendam rasa membuatkan jiwa merana. Antara cinta, kasih dan
sayang yang mulai ranap, Osman terlalu takut memikirkan kebencian yang
menyala-nyala di dadanya. Memikirkan sebuah kehidupan di hari mendatang juga
kemaafan buat Suriyana, akalnya benar-benar buntu.
Kalau
selama ini dia sudah bergelar lelaki dayus, adakah sepanjang hayatnya dia mahu
menanggung dosa akan sikap isterinya itu? Bukankah baik kalau dilepaskan saja
isterinya itu? Tapi, mampukah dia sedangkan perasaan sayangnya masih berbaki?
‘Suri,
apakah Suri benar-benar sayangkan abang? Apakah Suri gembira kalau abang sakit
dan cepat-cepat mati? Abang pun tak tahu, apakah layanan Suri terhadap abang
tika ini benar-benar ikhlas atau palsu semuanya? Hati abang sakit, Suri. Sakit
yang amat sangat bila Suri seksa abang dengan cinta dusta Suri. Sungguh abang
tak sangka Suri tergamak menjadi seorang yang hipokrit! Suri memang hipokrit!’
tempik Osman, bergema kuat dalam tubuhnya yang mula menggigil.
“Dah,
abang jangan fikir apa-apa lagi. Tak elok kusutkan kepala abang fikir yang
bukan-bukan. Abang tidurlah. Nanti bila anak-anak balik, Suri kejutkan abang.
Kita makan sama-sama,” pujuk Suriyana bagai dapat membaca fikiran Osman yang
sedang berserabut. Dia kemudian membantu membaringkan tubuh Osman.
Osman
memejam mata rapat-rapat. Dia tidak berkata apa-apa untuk membalas kata-kata
isterinya. Kala Suriyana menutup kembali daun pintu kamar tidur mereka, hatinya
berasa sungguh sayu. Dia bagaikan terasing. Laksana terlempar di sebuah pulau
sendirian, begitulah tak ubah cintanya di hati Suriyana.
Isterinya
itu sudah pun membuang cintanya jauh-jauh. Kepura-puraan itu punya maksud yang
tersendiri. Suriyana tidak pernah menuntut hubungan mereka diputuskan kerana
Osman bisa memberikan kemewahan material kepadanya. Itulah yang Osman faham
akan perangai isterinya.
Osman
cuba mengheret nafas dalam. Entah sampai bila dia mampu bertahan menyimpan
segala rasa ini sendirian, hanya Al Khalid saja Maha Tahu. Dia pun tidak pasti,
apakah kesabarannya masih berbenteng kukuh di sanubari? Entah, mungkin tika ini hatinya sekeras batu,
tapi hari esok mungkin ada kemaafan buat Suriyana.
Osman pun tidak tahu apakah jalan terbaik yang perlu dipilihnya? Memikirkan hal
anak-anak, mengajarnya agak tidak terlalu terburu-buru membuat keputusan. Dia
perlukan ketenangan. Sedikit rasa tenang memberikan impak yang baik untuk
setiap keputusan yang waras dan adil.