Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 22

22


SEPERTI semalam dan hari ini, Juriah masih menunggu Wardina Amni di tempat yang sama. Meskipun sekejap benar mereka bertemu saban hari, namun semua itu cukup untuk menghilangkan rasa rindu Juriah terhadap cucunya. Sebaik saja pulang dari sekolah, Wardina Amni terus mengikut Juriah ke sebuah restoran yang terletak berhampiran dengan sekolah.

Sejak setahun yang lalu, mereka bertemu secara sembunyi-sembunyi, khuatir Suriyana akan melenting tak tentu pasal lagi. Kalau hari minggu dan cuti sekolah, sekiranya Suriyana, Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan keluar, Wardina Amni juga akan keluar senyap-senyap dengan neneknya. Wardina Amni pulang sebelum mereka anak-beranak pulang ke rumah.

Kini segala kasih sayang hanya diraih Wardina Amni daripada Juriah. Segala makan minum, stok makanan di bilik stornya, belanja sekolah, pakaian, ditanggung Juriah secara senyap-senyap. Segalanya berjalan lancar tanpa pengetahuan mereka anak-beranak. Dan betapa pantas detik masa berlalu, Wardina Amni kini menginjak ke tingkatan dua.

“Dina nak makan apa hari ni?” tanya Juriah dengan penuh cakna sebaik saja seorang budak pelayan menghampiri meja makan mereka yang agak tersorok, di restoran itu.

“Nasi ayam dengan Milo suam,” jawab Wardina Amni ringkas.

“Nasi ayam dua, Milo suam satu dan kopi tarik satu.” Juriah membuat pesanan untuk menu makan tengah hari mereka. Budak pelayan itu berlalu.

“Macam mana belajar hari ni, okey?” tanya Juriah.

“Okey, nek. Alhamdulillah.”

“Kalau Dina ada apa-apa masalah, beritahu nenek. Kalau nak beli apa-apa barang keperluan, cakaplah,” pesan Juriah.

“Baik, nek. Terima kasih.”

“Kat rumah macam mana? Mak, kakak dan abang masih sama melayan Dina?”

“Macam tulah, nek. Lagipun balik sekolah, Dina terus masuk bilik. Dina tak berani nak makan, bersembang atau nak tengok tv dengan mak, kakak dan abang.”

“Stok makan malam Dina cukup?”

“Cukup. Biskut dan roti yang nenek bagi semalam masih ada.”

“Ni nenek belikan roti dan biskut. Makan malam pun kena cukup kenyang, baru boleh fokus belajar.”

“Yang semalam masih adalah nek.”

“Tak apa, jangan sampai terputus makanan kat bilik Dina tu. Tapi ingat pesan nenek. Hati-hati. Jangan sampai mak perasan, barang makanan yang Dina bawak balik hari-hari tu nenek kasi. Risau juga nenek, takut mak Dina melenting.” Juriah berpesan, risau juga mengenangkan hubungan mereka secara bersembunyi akan disedari Suriyana. Silap hari bulan, tubuh badan Wardina Amni juga menjadi mangsanya.

“Insya-Allah, semoga mak tak perasan. Dina masukkan dalam beg sekolah ni. Rasanya mak tak perasan. Tak tahulah,” jawab Wardina Amni sedikit bimbang apabila perkara itu ditanya Juriah kepadanya. Di rumah itu, meskipun Suriyana jarang-jarang menegurnya, namun apabila Suriyana membuka mulut, bererti ada sesuatu yang tak kena di mata emaknya.

“Dina, makan cu. Kita tak boleh jumpa lama-lama ni,” kata Juriah sebaik saja pesanan tiba.

Wardina Amni mengangguk. Melihat nasi ayam terhidang di depan mata, seleranya terbuka. Bayang wajah Suriyana hilang serta-merta. Sebaik saja lafaz bismillah dan doa makan dibaca, dia memulakan suapan.

“Ehem... ehem... sedap makan?” tegur satu suara.

Wardina Amni dan Juriah serentak memanggung kepala. Faizul Ikhwan memandang kedua mereka dengan wajah tegang. Wardina Amni tersentak. Kunyahannya terhenti.

“Eh, Zul?!” Suara Juriah bernada terkejut. Namun, dia teruja menerima kehadiran Faizul Ikhwan di situ. Sudah lama Juriah tidak bersembang dengan Faizul Ikhwan. Kalau bertembung di mana-mana, baik Faizul Ikhwan mahupun Mardiah Amna, sengaja melarikan diri daripadanya.

“Meh, makan dengan nenek,” ajak Juriah lembut sambil bangun mendapatkan tubuh Juriah.

“Arghhh, tak naklah! Buat apa makan dengan nenek?” jawab Faizul Ikhwan, menolak pelawaan Juriah kasar.

“Saja nenek nak belanja Zul. Zul kan suka nasi ayam,” pujuk Juriah lagi meskipun dia berkecil hati dengan kata-kata Faizul Ikhwan tadi.

“Kalau nasi ayam ni sedap pun, tengok muka nenek, Zul jadi mati selera.” Faizul Ikhwan masih berusaha membidas kata-kata Juriah.

“Abang, tak baik cakap nenek macam tu. Kecil hati nenek,” tegur Wardina Amni akan sikap abangnya. Dia yang sejak tadi hanya memandang, mula bersuara.

“Kau apa tahu, Dina? Kau tak tahu masalah mak dengan nenek. Kau tak pernah tahu kan, apa yang nenek dah buat kat keluarga kita?” marah Faizul Ikhwan sambil menjarakkan tubuhnya dengan tubuh Juriah.

“Zul, duduk sini. Cerita dengan nenek, apa yang mak beritahu Zul sampai macam ni sekali Zul marahkan nenek? Cuba terus terang dengan nenek.” Juriah masih berusaha menawan hati Faizul Ikhwan yang keras. Dia cuba mendekatkan tubuhnya dengan Faizul Ikhwan.

Namun Faizul Ikhwan berkeras hati, menepis pegangan tangan Juriah di lengannya. “Nak terus terang apanya, nek? Zul tak sangka, nenek yang Zul sayang selama ini, sanggup buat kami macam ni. Sanggup ambil harta benda ayah, walhal nenek tahu yang mak tak bekerja. Mak tak ada duit lagi selepas kematian ayah. Ada duit sikit-sikitpun, nenek dan ayah long nak kebas. Sampai hati kan, nenek buat semua ni kepada kami,” sambung Faizul Ikhwan lagi dengan nada suara yang keras menekan sambil menyapu air mata.

“Lailahailallah, Zul. Kenapa macam tu sekali Zul boleh fikir buruk-buruk pasal nenek? Semua tu tak benar Zul, sama sekali tak benar.” Juriah cuba mengubah tanggapan Faizul Ikhwan terhadapnya.

“Arghhh, sudahlah nek! Dan kau pun Dina, berani-berani jumpa nenek senyap-senyap ya? Tak faham-faham yang mak bengang dengan nenek. Pulak tu makan nasi ayam sedap-sedap. Patutlah selama ini balik sekolah, tak pernah makan dengan kita orang. Kau dah kenyang-kenyang makan dengan nenek, kan?” tempelak Faizul Ikhwan membuatkan Wardina Amni terdiam.

“Zul, semua ini salah faham. Nenek tak pernah pun buat seperti mana yang Zul cakap tu. Itu semua tak benar.” Juriah masih berusaha menjelaskan kedudukan yang sebenar.

“Hoi, Zul! Apa hal lagi tu?!” Satu suara kedengaran melaung.

Juriah, Wardina Amni dan Faizul Ikhwan serentak berpaling.

Mardiah Amna dengan wajah mencuka memandang ke arah mereka. Perasaannya sebal. Kelihatan dia sedang menjinjing sebuah beg plastik berisi tiga bungkus polesterina makanan. Mardiah Amna menggamit Faizul Ikhwan dengan muka geram, berisyarat, mengajak pergi dari situ.

Faizul Ikhwan pantas melangkah meninggalkan Juriah dan Wardina Amni. Juriah tercengang-cengang dengan perangai cucu-cucunya. Dulu mereka sangat peramah, mesra dan begitu menyayanginya. Tapi kini, apa dah jadi?

“Diah, Zul…” Juriah cuba mengejar demi mendapatkan cucu-cucunya. Namun, kedua-dua mereka sudah keluar dari restoran itu dan pantas mendapatkan basikal masing-masing.

Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna mengayuh basikal laju-laju. Mereka sudah pergi, langsung tak menoleh lagi.



“PATUTLAH balik dari sekolah tak pernah makan kat rumah pun. Rupa-rupanya dah kenyang makan kat luar. Makan sedap-sedap pulak tu, nenek belanja,” perli Faizul Ikwan sebaik saja Wardina Amni tiba di kaki tangga rumah.

Wardina Amni segera menanggalkan kasut dan meletakkannya di rak.

“Makan apa, Zul?” tanya Mardiah Amna, buat-buat tak tahu.

“Nasi ayam,” jawab Faizul Ikhwan dengan nada perli.

“Wah, nasi ayam!” sambung Mardiah Amna pula sebaik saja Wardina Amni melintasi kedua mereka.

“Hei, Dina! Hari-hari ke nenek belanja kau makan? Kalau kami tak terserempak tadi sampai bila-bila pun kami tak tahu kan?” tanya Faizul Ikhwan.

“Hari-hari nenek belanja, mewahlah kau makan,” tokok Mardiah Amna pula.

Wardina Amni hanya terdiam dalam gugupnya mahu membalas kata-kata abang dan kakaknya. Dalam keadaan sekarang, dia takut mahu menjawab. Bukan takutkan abang dan kakaknya, tetapi khuatirkan Suriyana yang selalu menyinga tiba-tiba. Kalaulah Suriyana tahu yang dia bertemua Juriah secara sembunyi-sembunyi, apalah untung nasib dirinya.

“Esok pun nenek belanja makan ke? Aku rasa, mesti nenek bagi kau duit belanja banyak-banyak, kan?” tebak Faizul Ikhwan seraya merenggut kuat beg sandang Wardina Amni di bahunya.

Terkejut Wardina Amni bukan kepalang. Dia cuba merampas semula beg sandang itu, namun tindakannya dihalang Mardiah Amna.

“Kenapa main kasar dengan Dina ni?” tanya Wardina Amni tidak faham apabila Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan melayaninya sedemikian. Antara rasa kecewa dan terkilan, dia menahan tangis.

“Wah, ada roti, biskut!” komen Faizul Ikhwan sebaik saja mengeluarkan beberapa bungkus roti jagung bersaiz kecil dan biskut Marrie. Faizul Ikhwan mengoyak plastik pembungkus roti lantas melahapnya. Beg Wardina Amni dicampaknya ke lantai.

“Hoi, mana aci makan sorang-sorang macam ni!” marah Mardiah Amna sambil mencapai sebungkus roti di riba Faizul Ikhwan. Seperti mana Faizul Ikwan, Mardiah Amna melahapnya.

“Abang, kakak, pulangkan roti Dina,” pinta Wardina Amni, mohon dikasihi.

“Hei, Dina! Hari-hari kau makan senyap-senyap aje kat dalam bilik tu, macam aku tak tahu! Aku ambil sikit pun nak berkira. Arghhh!” omel Faizul Ikhwan sambil mencapai alat kawalan tv tanpa mempedulikan Wardina Amni lagi.

“Memanglah kau ni, kan. Kedekut tahi hidung masin. Dengan adik-beradik pun nak berkira,” kata Mardiah Amna pula, menyokong kata-kata Faizul Ikhwan.

“Kalau nak pun, mintaklah. Mana boleh main rampas-rampas macam tu. Roti tu untuk makan malam Dina. Malam-malam, Dina tak makan nasi pun macam abang dan kakak.” Akhirnya, Wardina Amni bersuara. Serak suaranya menahan sebak.

“Siapa suruh kau tak makan? Kau tu yang duduk berkurung dalam bilik, kenapa? Dah tahu masa makan, keluarlah!” balas Mardiah Amna, menyalahkan sikap Wardina Amni.

Wardina Amni mencapai beg sekolah dan berlari masuk ke bilik. Daun pintu dikunci kemas dan dia menyandar lesu di situ. Malas dia hendak melayan cakap-cakap abang dan kakaknya lagi. Lagi dilayan, hatinya kian terusik.

‘Kakak macam tak pernah tahu yang mak memang tak sukakan Dina. Semua orang dalam rumah ni memang tak sayangkan Dina. Tak pernah pun ajak Dina makan. Mak tak pernah pun bagi Dina duit belanja, tak pernah tanya pun perihal makan minum Dina seperti mana kakak dan abang. Dina duduk rumah ni macam orang mendatang.

Dina hanya tengok dari jauh, mengintai dari celah pintu saja setiap kali kalian makan. Dina rasa cukup terpinggir dengan kasih sayang kalian. Dina rasa terpulau di rumah besar ni. Kalau nenek tak ajak Dina makan hari-hari dan bagi Dina duit belanja, Dina pun tak tahu apa dah jadi dengan Dina. Mungkin Dina akan mati kebuluran.

Hujung minggu, abang dan kakak selalu diajak keluar, tapi Dina? Mak tak pernah mempelawa Dina, jauh sekali nak membeli itu ini buat Dina. Mak tak pernah pun tanya pasal sakit demam Dina biarpun berminggu-minggu Dina terbaring kat dalam bilik tu. Abang dan kakak pun sama. Tak pernah pun kisahkan Dina.

Kring! Kring! Bunyi jam loceng di hujung tilam, membuatkan Wardina Amni tersentak. Begitu jauh dia mengelamun sehingga jarum jam sudah berdetik ke angka tiga. Dia bingkas bangun dan segera keluar dari bilik itu menuju ke bilik air. Wardina Amni mahu mengambil air sembahyang dan mengerjakan solat. Ketika berjalan masuk ke bilik, dia perasan rumah itu sunyi sepi. Suara dari peti tv juga sudah senyap.

Di atas meja makan, di ruang dapur kelihatan sebungkus polisterina makanan. Wardina Amni yakin, pasti itu nasi ayam yang dibeli Mardiah Amna untuk Suriyana. Di restoran tadi, Wardina Amni jelas yang Mardiah Amna menjinjing tiga bungkus polisterina makanan.

‘Kenapa tiga, bukan empat walhal penghuni di dalam rumah ini ada empat? Sebab yang seorang itu adalah aku. Mereka tak pernah pedulikan aku dan seperti tak mengakui kewujudan aku. Emak, Dina dapat merasakan betapa begitu banyak hak Dina dalam rumah ini dinafikan.

Ya Allah... Ampuni hamba, Ya Allah. Andai masih panjang umurku di bumi-Mu ini, Ya Allah... ENGKAU berilah hamba peluang untuk mengecap bahagia. Untuk aku mengecapi indahnya tawa ria. Untuk aku diterima mereka. Ya Allah, andai kata emak, kakak dan abangku sudah tidak menerimaku di rumah ini, ENGKAU bukakanlah pintu hati mereka agar menerima baik hasrat nenek untuk membawa aku tinggal dengannya.

Ya Allah... ENGKAU lembutkanlah hati emak, Ya Allah. Aku tidak mahu terus-menerus menanggung seksa diperlakukan macam-macam oleh emak sendiri. Aku tidak mahu rasa kasihku kepada mereka akan bertukar rasa benci dan dendam. Aku tidak mahu menjadi anak yang derhaka, Ya Allah. Dengarkanlah doa hamba Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Sama’, Ya Basar, ’ doa Wardina Amni bersungguh-sungguh sambil berlalu ke biliknya.

Sejadah di ampaian dibentangnya. Telekung sembahyang dikenakan ke tubuhnya. Dia cuba mencari khusyuk di alam solatnya. Dia mahu berbicara dengan DIA, Tuhan Yang Maha Pencipta.



USAI  saja mengerjakan solat zohor dan berdoa, Wardina Amni merebahkan badan di tilam usang itu. Hari ini, badannya berasa sangat letih dan fikirannya kian celaru bersama rasa debar yang semakin beritma kuat. Perutnya berasa lain macam. Tekaknya berasa mual. Tubuhnya berasa sedikit hangat dan kepalanya dirasakan berdenyut-denyut.

Bermacam-macam persoalan ada di fikirannya, membuatkan dia gelisah tidak menentu. Ingin sekali dia melayan lelap untuk seminit dua, tapi kelopak matanya berdegil untuk terkatup. Dia cuba sedaya upaya membuang segala rasa yang memenatkan jiwa dan mindanya, namun seperti terlalu payah untuk dibuang.

Tiba-tiba, seraut wajah Juriah menerjah di benak fikirannya. Wardina Amni terbayangkan wajah neneknya yang nampak sangat tertekan dan beremosi tadi. Juriah menangis sebaik saja Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna tidak mengendahkan panggilannya. Kata-kata Faizul Ikhwan jelas menuduh Juriah. Wardina Amni yakin benar yang neneknya itu berkecil hati dengan kata-kata abangnya, juga sikap tak endah Mardiah Amna.

“Nek, sabar ya. Bertenang, malu orang tengok.” Wardina Amni bersuara separuh berbisik, cuba mententeramkan perasaan Juriah apabila keadaan neneknya mula menarik perhatian pengunjung di meja bersebelahan mereka, di restoran itu.

“Ya, Dina. Nenek okey aje,” kata Juriah melindungi segala perasaan yang mula mendera jiwanya. Betul kata Wardina Amni, malu kalau orang tengok. Lagi malu, kalau orang luar tahu mereka anak-beranak bertelagah.

Juriah cuba menyambung makan tengah harinya dengan tidak berselera. Wardina Amni nampak jelas tentang itu. Kasihan Juriah, hajat neneknya tidak kesampaian untuk memujuk hati Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan. Kemesraan mereka lewat musim lalu, kini pudar dimamah waktu. Wardina Amni faham akan sekeping hati Juriah yang merindui kerenah manja cucu-cucunya. Seperti mana Wardina Amni juga, begitu merindui sikap penyayang abang dan kakaknya.

Wardina Amni pun tidak tahu, kenapa begitu cepat abang dan kakaknya berubah persepsi terhadap dirinya. Dia pun tidak faham, kenapa sikap mesra dan penyayang mereka, tiba-tiba menjadi kasar dan keterlaluan? Segalanya berubah selepas kematian Osman. Wardina Amni yakin, semua ini dipengaruhi Suriyana. Tentu sekali, Suriyana telah meracuni fikiran abang dan kakaknya.

“Dina! Dina!” Suriyana melaung kuat.

Wardina Amni tersentak bukan kepalang. Baru sekejap cuma fikiran buruknya terhadap emak sendiri melekat di minda, tiba-tiba pula dia dipanggil Suriyana.

“Hei, Dina! Meh sini! Suara Suriayana kedengaran makin dekat, menerjah ke corong telinganya. Tubuh Wardina Amni tiba-tiba menggeletar hebat. Bayang-bayang tubuh Suriyana terpamer di bawah pintu biliknya bersama tumbukan di daun pintu. Bertubi-tubi. Semakin kuat dan kuat.

Buk! Buk! Buk!

“Dina, buka pintu ni! Buka!” teriak Suriyana.

Tubuh Wardina Amni semakin menggeletar. Kecut perutnya. Tangkai jantungnya bagaikan mahu tercabut, mengenangkan Suriyana akan mengamuk bila-bila masa.

“Dasar anak tak sedar diuntung. Aku beri madu, tuba yang kau balas!” Suara Suriyana kedengaran menjerit-jerit dari luar pintu biliknya.

Buk! Buk! Buk! Kaki Suriyana menendang daun pintu kuat.

“Aku kata buka pintu ni! Bukalah!” jerit Suriyana, menghamburkan segala rasa marah yang beraja di jiwa.

Wardina Amni teragak-agak mahu bangun. Antara ketakutan, dia turut memikirkan risiko yang mengundang bala sebaik saja daun pintu dibuka. Kalau dia tidak membuka pintu dan melayan marah emaknya, dia yakin kemarahan Suriyana semakin berapi-api.

“Dina!” Suara Suriyana bertambah lantang bak guruh.

Wardina Amni cuba melawan ketakutan dalam dirinya. Dia nekad memegang tombol pintu dan membukanya. Kalau dia terus membisu, tidak mengendahkan arahannya, bermakna dia tega mencabar kemarahan Suriyana. Suriyana boleh membuka daun pintu bilik itu kerana kunci untuk setiap bilik di rumah itu ada di simpan di dalam sorok almari, di ruang tamu.

Pang! Pang! Pang!

Tubuh Wardina Amni tiba-tiba terhenyak ke lantai. Bersama tamparan bertalu-talu di pipinya, tubuhnya ditolak kasar. Antara sakit, pening dan terpinga-pinga dengan tindakan Suriyana, pandangan mata Wardina Amni menjadi gelap dan kabur. Dia cuba melawan segala kesakitan, apabila telinganya berdengung kuat.

“Mak,” panggil Wardina Amni lemah seraya memegang kepalanya.

Dia cuba mohon dikasihi. Namun bertubi-tubi Suriyana memukul tubuhnya dengan batang penyapu lidi. Kata-kata kesat dan caci maki Suriyana tidak jelas di telinganya, namun Wardina Amni faham di sebalik raut wajah emaknya yang menyinga.

“Ampunkan Dina, mak! Ampunkan Dina.” Hanya itu yang mampu diucapkan sebelum dadanya dirasakan sangat perit. Nafasnya sukar dihela.

Seketika, fikirannya dirasakan melayang-layang bersama tubuhnya yang terawang-awang. Pandangan matanya terus gelap. Dia terkulai lesu di lantai itu.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.