2
MALAM itu, sudah sepinggan
betik muda dilahap Suriyana. Betik yang dihiris nipis-nipis itu dicicah dengan
kicap yang dicampur dengan sedikit cuka, garam, belacan, cili dan gula. Tanpa
sedar juga, dia hampir menghabiskan sebiji betik itu. Beberapa biji buah cermai
juga dicampur ke dalam pencicah. Digaul-gaul mesra buah cermai itu dengan
menggunakan sudu sebelum sebelum disumbat ke dalam mulut. |
|
“Hmm… sedapnya!” Suriyana
bercakap seorang diri.
“Mak!” panggil Mardiah Amna
sambil menepuk-nepuk paha Suriyana.
Terkejut Suriyana dengan
kehadiran anaknya. “Ya sayang, kenapa? Nak ni?” acah Suriyana mahu menyumbat
sehiris betik ke mulut Mardiah Amna.
Mardiah Amna
menggeleng-geleng kepala.
“Asam,” kata Mardiah Amna
lagi dengan mimik muka, kononnya menahan masam.
“Eh, eh... pandai pulak
Diah sebut masam ya?” Suriyana tersenyum melihat gelagat Mardiah Amna yang mula
berlari-lari bersama Faizul Ikhwan. Sesekali kedua-dua beradik itu mengelilingi
meja makan di dapur itu, sesekali mereka berkejaran di ruang tamu rumah.
“Diah, jangan ajak adik
berlari. Karang jatuh!” Suriyana bertempik dari ruang dapur.
Namun, anak-anak kecil itu
langsung tidak mengendahkan kata-katanya. Masing-masing tergelak-gelak, seronok
bermain kejar-kejar. Mardiah Amna gembira kerana Faizul Ikhwan tidak dapat
mengejarnya. Setelah letih berlari, Mardiah Amna berhenti seketika dan
berbaring di sofa rumah. Faizul Ikhwan turut berbaring, meniru gaya kakaknya.
Tak sampai seminit berbaring, masing-masing bangun dan berlari lagi.
Berkejar-kejaran sampai berpeluh-peluh tubuh badan mereka.
“Aduh, tak reti duduk diam
langsung!” komen Suriyana dari ruang dapur sambil memerhatikan anak-anak yang
semakin aktif berlari.
“Anak-anak yang aktif tu
sebenarnya sihat, Suri.” Suara Osman tergiang-giang di cuping telinga. Osman
selalu berpesan begitu setiap kali Suriyana melarang anak-anaknya berlari.
Mengenangkan Osman, entah
kenapa perasaannya tiba-tiba menjadi tidak enak. Suara wanita dan suaminya
berbual, kedengaran mesra di corong telefon siang tadi. Cemburukah aku? Aku
isterinya, masakan tidak! Suara hatinya berteriak.
“Uwaaa… uwaaa!”
Suara teriakan Faizul
Ikhwan mengejutkan mainan perasaan Suriyana. Roda fikirannya tiba-tiba terhenti
kala melihat Ikhwan yang sedang meraung itu.
“Mak! Mak! Mak!” Mardiah
Amna pula tak berhenti-henti memanggil Suriyana.
Suriyana berlari, meluru
mendapatkan anak-anaknya. Dia terkejut melihat tangan Faizul Ikhwan memegang
dahinya yang benjol. Hidungnya berdarah.
“Astaghfirullahalazim,
Zul... Tulah, mak dah pesan jangan seronok sangat berlari. Kan dah jatuh.”
Suriyana merungut sambil mendukung tubuh Faizul Ikhwan. Dia cuba menenangkan
anaknya itu. Belakang tubuh Faizul Ikhwan diusap lembut. Dahinya yang benjol
dan hidung yang berdarah membuatkan perasaan Suriyana menjadi bimbang.
“Adik jatuh kat mana?”
tanya Suriyana kepada Mardiah Amna.
“Kat situ…” jawab Mardiah
Amna dengan wajah takut seraya menuding jari ke muka pintu.
Suriyana menarik nafas
berat. Mungkin Faizul Ikhwan tersemban di situ, tempat yang ditunjuk Mardiah
Amna. Faizul Ikhwan masih tidak berhenti menangis, malah tangisannya bertambah
kuat. Mungkin luka dan benjolan itu membuatkan kepala anaknya berdenyut-denyut
sakit.
“Jangan menangis, sayang.
Jangan menangis! Mak bawa Zul pergi klinik ya?” pujuk Suriyana sambil melihat
jam di dinding rumah. Pukul 9.00 malam. Dia harus segera membawa Faizul Ikhwan
ke klinik biarpun malam kian larut. Di benaknya runsing memikirkan kesan jangka
panjang akibat kepala anaknya yang terhantuk itu. Faizul Ikhwan mungkin demam,
mungkin muntah atau mungkin juga ada pendarahan dalaman yang tidak diketahui.
“Adui, Diah dengan Zul ni
buat mak betul-betul takutlah!” bebel Suriyana lagi sambil menuntun tangan
Mardiah Amna. Anak itu akur menurut langkah emaknya menuju ke bilik tidur.
Faizul Ikhwan di dukungan Suriyana masih tak berhenti menangis.
Suriyana gesa-gesa
mengambil dompet dan buru-buru keluar dari bilik itu. Kunci kereta yang
tersangkut di paku, di tepi pintu utama dicapai. Dia mahu segera sampai ke
klinik. Suriyana tidak mahu sebarang kemungkinan buruk akan berlaku kepada
Faizul Ikhwan.
SURIYANA merebahkan badan
di tilam seusai saja mandi dan berpakaian tidur. Kekalutan ke klinik membawa
Faizul Ikhwan tadi membuatkan badannya berpeluh. Malam ini, dia benar-benar
berasa letih. Mengenangkan apa yang berlaku kepada Faizul Ikhwan, dia serik untuk
membiarkan anak-anaknya berkejar-kejaran lagi. Di rumah besar itu, dengan
pelbagai jenis perabot dan barang hiasan kaca, dikhuatiri akan memberi ancaman
terhadap anak kecil.
Suriyana mengiringkan
badan, menghadap wajah anak-anaknya yang comel. Sesungguhnya, setiap kali
bersama Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna, kehidupannya dirasakan cukup sempurna.
Keletah anak-anak memang menghiburkan. Berada bersama mereka, kesunyian
lantaran selalu ditinggalkan Osman kini bertukar menjadi riuh-rendah. Hari-hari
Suriyana dirasakan semakin sibuk demi menguruskan rutin harian anak-anak.
Lima tahun melayari rumah
tangga bersama Osman, hidup Suriyana dirasakan semakin bermakna. Osman, seorang
suami yang terlalu baik. Lelaki itu banyak mengajarnya erti kehidupan. Osman
juga bagaikan penyelamat kehidupan sulitnya lewat waktu dulu. Malah, Osman
jugalah menyuluh dirinya agar tahu memilih jalan yang salah dan benar.
Namun entah mengapa saat
ini, memikirkan perihal Osman, jantung Suriyana beritma laju. Butir perbualan
Osman dan wanita misteri itu masih tergiang-ngiang di telinga. Ketenangan
Suriyana malam ini bagai dikacau-kacau. Benaknya mula laju memikirkan perihal
Osman yang bermalam di hotel. Berseorangankah suaminya atau berteman?
Suriyana menyandar tubuh di
kepala katil. Bantal tidur suaminya dipeluk ke dada. Bayang wajah Osman
bersilih ganti dengan bayang wajah seorang wanita jelita. Wajah wanita yang
hanya wujud di khayalannya. Apakah Osman sedang bermesra-mesraan dengan wanita
lain di Terengganu, saat dia bersendirian menguruskan anak-anak di rumah?
Memang Suriyana tahu Osman
ke Terengganu kerana mahu mengembangkan bisnes peninggalan arwah ayah
mertuanya. Tetapi nalurinya kuat mengatakan yang suaminya ada hubungan dengan
wanita lain. Adalah sesuatu yang tidak mustahil kalau suaminya bekerja dan pada
masa yang sama bercuti dengan perempuan lain. Sambil menyelam, suaminya itu
minum air.
“Arghhh!” Suriyana memegang
kepalanya yang berdenyut kuat. Kusut kepalanya memikirkan perihal Osman
sehingga pandangannya berpusing-pusing. Dia pening.
“Aku ni kenapa? Berdosa
memikirkan macam-macam perihal jahat suami sendiri!” marah Suriyana kepada
dirinya.
“Tapi kalau betul macam
mana? Suamiku pun tak pernah mempelawa kami anak- beranak mengikutnya ke luar
daerah? Seperti dia tidak mahu rahsianya bocor!” Suara-suara jahat mula bergema
di telinganya. Suara-suara yang mendorongnya berfikiran jahat terhadap suami
sendiri.
“Cukup! Cukup! Cukup!”
Suriyana memekup telinganya dengan bantal, tidak mahu terus melayani bisikan
jahat itu. Menyimpan perasaan curiga hanya boleh mengundang fitnah. Bahananya,
dia juga berdosa. Kepalanya juga sakit dan pening hanya kerana memikirkan
perkara yang tak sepatutnya.
“Argghhh, semua yang
berlaku itu bersebab. Tak mungkin Osman sanggup menduakanku,” pujuk Suriyana kepada
dirinya sambil mulutnya terkumat-kamit membaca surah al-Fatihah, al-falaq,
Annas, al-Ikhlas dan ayat Qursi. Harapannya segala kejahatan yang mula merasuk
hati segera berambus pergi.
JURIAHmenapak masuk
ke dalam rumah. Sudah puas dia memberi salam, namun tiada jawapan yang
kedengaran di telinganya. Pintu depan rumah itu terbuka luas. Pintu pagar juga
tidak berkunci, mengizinkan dia masuk dengan mudah ke rumah anak menantunya
itu.
“Assalamualaikum, Suri.
Suri!” Dia memanggil-manggil nama Suriyana.
“Zul, Diah...” Juriah
berlari masuk ke dalam rumah apabila suara raungan cucu-cucunya kuat di
telinga.
“Ya Allah, Suri!” panggil Juriah sebaik saja menapak ke dalam
bilik Suriyana. Menantunya itu nampak terbaring lemah di katil. Mardiah Amna
dan Faizul Ikhwan meraung di sisi ibu mereka. Juriah segera mendukung tubuh
Faizul Ikhwan yang sudah berpeluh. Air mata cucunya itu mengalir lebat.
“Lah… kenapa dengan dahi
Zul ni?” tanya Juriah dengan nada terkejut. Dibelek-beleknya wajah Faizul
Ikhwan.
“Zul, jangan menangis.
Jangan menangis, Diah. Nenek datang ni,” pujuk Juriah menenangkan tangisan
kedua-dua cucunya.
“Suri, Suri kenapa ni?”
Juriah cuba menepuk bahu Suri di pembaringan itu. Namun, Suri langsung tidak
membuka matanya.
“Ya Allah, kenapa Suri? Suri sakit kepala ke? Demam ke?” tanya
Juriah sambil meraba-raba dahi dan tengkuk Suriyana.
“Suri, mak datang ni. Suri
tak sihat ke?” tanya Juriah lagi sambil menepuk-nepuk bahu Suriyana
mengharapkan menantunya itu sedar daripada tidurnya. Turun naik nafas Suriyana
masih nampak teratur.
“Mak...” Suriyana membuka
matanya perlahan. Dahinya berkerut-kerut menyedari ada Juriah di biliknya.
“Suri tak sihat ke?” tanya
Juriah penuh cakna. Dia duduk di birai katil sama memicit-micit kepala
menantunya. Tubuh Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna masih di ribanya.
“Suri sakit kepala mak,”
balas Suriyana perlahan.
“Allah…demam gamaknya. Badan kau ni panas, Suri,”
Suriyana tidak berkata
apa-apa. Batuk-batuk kecil terlantun keluar daripada tekaknya.
Suriyana pun tidak tahu apa
yang telah berlaku kepada dirinya hari ini. Bangun saja dari tidur subuh tadi,
tekaknya tiba-tiba mahu bersarapan roti canai. Selesai mandi dan bersolat
subuh, dia mengejutkan anak-anak. Selesai memandikan mereka dan bersiap,
Suriyana terus keluar membawa anak-anaknya bersarapan. Di sebuah restoran, di
tepi jalan, dua butir roti canai telur dilahapnya dengan penuh nikmat bersama
dua gelas besar teh tarik pekat manis. Rasa roti canai dan teh tarik itu amat
menyelerakan.
Suriyana pun hairan kenapa
seleranya berbeza hari ini walhal dia bukanlah penggemar roti canai. Teh tarik
yang pekat manis jarang sekali diambilnya. Selepas makan, Suriyana sengaja
membawa anak-anak bersiar-siar, mengambil angin pagi di bandar. Mereka juga
pergi ke pam minyak, memandangkan jarum meter tangki minyak keretanya
menghampiri ke huruf E.
Selesai saja mengisi
minyak, tekak Suriyana berasa mual. Bau petrol yang tengit dan busuk mula
menyerang rongga hidungnya. Dalam keadaan kurang selesa menahan mual dan
pening, Suriyana memecut kereta laju dan pulang ke rumah. Keluar saja dari
perut kereta, Suriyana berlari memanjat anak tangga. Dia kemudian bergegas ke
bilik air kerana perasaan mualnya semakin menjadi-jadi. Di bilik air, dia
memuntahkan segala benda yang dimakannya tadi.
Kepalanya berdenyut-denyut
kuat. Terasa macam sebongkah bata diletak di atas kepalanya. Terasa macam
seguni beras diletak di atas badannya. Letih lesu tubuhnya membuatkan dia tidak
berdaya untuk bangun.
“Kita ke hospital ya?” kata
Juriah sambil terus memicit-micit lengan Suriyana.
Suriyana diam. Kisah pagi
tadi lenyap daripada benaknya. Dia hanya memerhati anak-anak di riba nenek
mereka.
“Si Zul dan Diah lapar kut,
mak... Dah tengah hari ni, tak makan apa-apa lagi,” sambung Suriyana lagi
melihat anak-anak yang kian senyap dengan tangisan.
Faizul Ikhwan dan Mardiah
Amna, masih dengan botol susu kosong di mulut masing-masing. Usia Faizul Ikhwan
baru mencecah setahun setengah manakala Mardiah Amna tiga tahun. Kedua-dua
beradik itu hanya memandang wajah ibu mereka yang pucat lesi.
“Nek, mak... uwek! uwek!”
cerita Mardiah Amna kepada Juriah. Mardiah Amna turun dari riba neneknya dan
menunjukkan keadaan Suriyana yang muntah-muntah di bilik air. Anak kecil itu
memegang perut dengan badan menunduk, mulutnya mengulangi lagi perkataan uwek,
uwek yang pernah disebut emaknya pagi tadi. Faizul Ikhwan turut meniru gaya
kakaknya.
“Suri muntah ke tadi?”
tanya Juriah memahami apa yang ingin disampaikan Mardiah Amna kepadanya.
Suriyana mengangguk,
mengiakan pertanyaan mertuanya.
“Oh... sejak bila muntah-muntah
ni, Suri?” tanya Juriah lagi, terkejut dengan anggukan Suriyana.
“Pagi tadi, mak.” Suriyana
menjawab lemah. Dia masih belum berdaya untuk bangun dan berdiri.
“Man tahu ke keadaan Suri
ni?” tanya Juriah.
Suriyana hanya menggeleng.
Melihat gelengan Suriyana, Juriah menggeleng kesal. Dia kesal kerana membiarkan
Suriyana melalui keadaan ini tanpa perhatian dirinya.
Juriah jatuh kasihan
mengenangkan nasib menantunya dengan anak kecil ini. Pasti segala apa yang
berlaku kepada Faizul Ikhwan juga kerana menantunya itu tidak sihat. Tidak
sihat untuk menjaga dirinya, harus bagaimana untuk Suriyana menjaga
cucu-cucunya yang masih kecil dan agresif itu? Hati tua Juriah pantas meneka.
Menantunya itu bermungkinan besar hamil lagi.
“Mak! Mak! Mak!” Faizul Ikhwan
memukul-mukul badan Suriyana dengan botol susunya.
Suriyana faham, anaknya itu
sudah lapar susu.
“Mak, tolong buatkan susu
untuk Zul. Suri tak larat nak bangun,” pinta Suriyana tidak bermaya.
“Yalah, yalah. Alahai,
kesiannya cucu-cucu nenek. Patutlah nenek tak sedap hati aje bila teringatkan
kau orang semua. Mak mintak maaf, Suri. Mak kalut sikit sehari dua ni. Sejak
Kakak Kasnah kau kena tahan wad, mak asyik berulang ke hospital. Kata doktor,
kandungan Kasnah bermasalah.” Juriah bercerita.
“Oh, ya ke? Kesiannya, Kak
Kasnah. Dahlah bertahun menunggu nak dapat anak. Saat nak bersalin, bermasalah
pula.” Suriyana bersuara perlahan mendengar cerita ibu mentuanya. Di dahinya
tergaris kerutan.
“Suri berehatlah dulu. Mak
pergi buatkan susu untuk cucu-cucu mak ni. Kalau Suri nak makan, mak ada bawa
bubur nasi ayam. Suri nak tak? Biar mak suapkan,” tanya Juriah.
“Tak apalah, mak. Tekak
Suri ni pahit semacam aje. Mak tolong tengokkan Diah dan Zul ya?” pinta
Suriyana.
“Yalah, lepas mak bagi Diah
dengan Zul makan, mak bawa Suri ke hospital, ya?” kata Juriah.
Suriyana hanya mengangguk
lesu dengan cadangan Juriah.
“Nek! Nek!” Mardiah Amna
yang bersuara halus menarik-narik kain Juriah.
“Nek! Nek! Nek!” Giliran
Faizul Ikhwan pula menarik kain Juriah, mengikut cara kakaknya. Masing-masing
kemudian memukul-mukul tubuh Juriah dengan botol susu.
“Oh, ya ya! Cucu nenek nak
susu. Jom, nenek buatkan!” Juriah beredar keluar dari bilik itu menuju ke
dapur.
Mardiah Amna dan Faizul
Ikhwan berlari mengikut langkah neneknya.
WAJAH Suriyana nampak
terkejut. Berita yang diterima daripada doktor sakit puan itu membuatkan dia
terperanjat besar. Sungguh tak disangka yang dia mengandung lagi. Perasaannya
bergalau-galau. Antara tak bersedia dan cuba menolak ketentuan takdir, dia termenung
lama di hadapan doktor.
‘Aduh, takkan seawal ini
aku mengandung lagi? Si Diah dan Zul masih terlalu kecil. Letih menjaga
anak-anak ini, apakah aku kuat untuk menjaga anak dalam kandungan ini pula?’
Hati kecil Suriyana mengeluh.
“Tahniah, puan! Jangan
terlalu stres. Jangan buat kerja yang berat-berat ya? Makan vitamin dan asid
folik mengikut waktunya.” Doktor sakit puan itu berpesan sebelum menulis
sesuatu di slip ubat.
Suriyana tersenyum tawar
menerima ucapan itu. Sebenarnya, dia ingin berbincang dengan doktor sakit puan
itu yang dia belum bersedia untuk mengandung lagi. Namun, kerana Juriah berada
di sisinya ketika itu, niatnya dibatalkan.
“Puan berdua, sila tunggu
di luar. Sekejap lagi nombor akan dipanggil untuk ambil ubat-ubat ni,” kata
doktor itu. Wajahnya mengukir senyuman memandang Suriyana dan Juriah yang duduk
bersebelahan.
“Diah dengan Zul nak dapat baby,”
kata Juriah kepada Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna yang setia di ribanya.
“Yeay!” Mardiah Amna
bertepuk tangan. Dia faham akan cerita neneknya. Faizul Ikhwan turut bertepuk
tangan, teruja melihat wajah kakaknya yang berseri-seri.
Doktor wanita itu dan
Juriah tersenyum meleret melihat keletah anak-anak. Hanya Suriyana masih
berperang dengan perasaan sendiri.
“Jaga diri ya, puan...”
pesan doktor itu lagi.
Suriyana tersenyum tawar
dan beredar keluar dari bilik itu selepas mengucapkan terima kasih.
SURIYANA mengeluh panjang.
Dia keresahan memikirkan hari-harinya. Berita yang diterima daripada doktor
siang tadi membuatkan dia terkejut. Dia sungguh tak menyangka dan tak bersedia
untuk mengandung secepat ini. Entah bagaimana dia boleh terlupa tentang kitaran
haidnya yang sudah lama lewat. Doktor mengesahkan yang kandungan kini berusia
dua bulan. Dan dia boleh tak perasan akan perubahan selera makannya sehari dua
ini adalah kerana pembawakan budak. Mungkinkah kesibukan mengurus Mardiah Amna
dan Faizul Ikhwan membuatkan dia terlupa untuk mencatat tarikh kedatangan
sahabat baiknya itu?
Suriyana mengusap perutnya
perlahan. Hatinya bertukar sayu mengenangkan anak-anak. Kasihan Mardiah Amna
dan Faizul Ikhwan kalau keadaan kesihatannya berterusan begini. Mengandungkan
bayi barunya sehingga sembilan bulan, menuntut pengorbanan yang cukup besar.
Semuanya terpaksa dilalui dengan ikhlas dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
Sedangkan untuk melalui semua itu, perasaannya kini seperti serba terpaksa.
Malam yang hening itu,
Suriyana berasa begitu sunyi. Anak-anak sudah lama jendera. Juriah pula sudah
lama pergi ke hospital setelah mendapat berita yang Kasnah, birasnya sudah
selamat melahirkan seorang anak lelaki. Suriyana sangat gembira dengan berita
itu. Abang ipar dan birasnya itu sangat berharap untuk punya zuriat sendiri.
Setelah sepuluh tahun menunggu, baru hari ini mereka dianugerahkan cahaya mata.
Suriyana ingin sekali
berada di sisi Kasnah dan Mahmud. Dia ingin menatap wajah anak saudaranya itu.
Namun, dalam keadaan sekarang, dia hanya mahu berehat. Dia tidak mahu mengambil
risiko memandu seorang diri ke Kuala Selangor. Manalah tahu, mualnya datang
lagi atau kepalanya tiba-tiba pening semasa memandu. Mahu menumpang kereta mentuanya,
dia tidak mahu menyusahkan Juriah yang akan menghantarnya pergi dan balik.
Lagipun, biarlah Juriah menemani Kasnah saja saat ini. Kasnah pasti memerlukan
sokongan mentuanya.
“Tak apalah, kalau bukan
hari ini, mungkin esok lusa aku boleh tengok anak Kak Nah.” Suriyana bercakap
seorang diri. “Arghhh… kalau mengandung segala aktiviti menjadi terbatas!”
Mengenangkan itu semua, Suriyana berasa bosan.
Jam dinding berdenting
sebelas kali. Spontan, kepala Suriyana terpaling ke arah jam di biliknya itu.
Malam kian lewat, namun penantiannya seperti sia-sia saja. Dia mengharapkan
Osman akan menghubunginya.
Harapannya juga, Osman sudi
membisikkan kata-kata rindu buatnya. Dia rindukan mersik suara Osman yang
bertanya khabar dirinya dan anak-anak. Tapi sayang, cukup malam ini, sudah tiga
malam Osman ke Terengganu. Selama tempoh itu, hanya sekali Osman menelefonnya.
Terlalu sibukkah suaminya itu sehingga tidak punya waktu untuk menelefon dan
bertanya khabar dia anak-beranak?
Hati Suriyana tiba-tiba
berdendang pilu. Hatinya tercalar dengan sikap Osman. Dia menangis dan menangis
sepuasnya membayangkan suaminya itu dalam pelukan wanita lain. Dia menangis
mengenangkan kesulitan masa depann sekiranya Osman menduakannya. Sedangkan dia?
Dalam keadaan berbadan dua, Suriyana tahu dia tidak mampu melayani Osman.
Badannya sering letih lesu ditambah pula dengan kesibukan melayani kerenah
anak-anak yang masih kecil. Dirinya sudah tak terurus lagi. Kala itu, di manakah
dirinya dicampak Osman? Bernilaikah dirinya di mata Osman?
‘Aduh! Kenapa jahat sekali
pemikiranku waktu ini? Kenapa sejauh ini hatiku resah memikirkan abang? Abang,
tolong pulihkan perasaan Suri agar tidak terus-menerus mencurigai abang. Tolong
kembalikan kepercayaan Suri terhadap abang. Suri tak suka dihambat curiga. Suri
sayangkan abang. Suri sayangkan keluarga kita. Abang, pulanglah.’