WARDINA AMNI mengayuh basikal
tenang. Dia tidak kuasa mahu mengejar Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan yang sudah
jauh meninggalkannya. Hari ini, hari pertama sesi persekolahan bermula. Bersama
azam yang disematkan di jiwa, Wardina Amni mahu belajar bersungguh-sungguh. Dia
perlu gigih mendapatkan apa yang ditargetnya.
Hari ini dan seperti hari-hari
yang lalu, sikap Suriyana terhadapnya masih sama. Kebencian jelas di wajah
wanita itu. Suriyana nampak ketara menafikan haknya sebagai seorang anak di
rumah itu. Puas Wardina Amni menelek kertas surat beranaknya, cuba mencari
identiti dirinya. Tapi jelas tertulis di surat beranak itu, ayahnya bernama
Osman manakala ibunya bernama Suriyana. Sama seperti yang tertulis di surat
beranak Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan.
‘Tapi, kenapa layanan yang aku dan mereka dapat sangat
berbeza? Apakah kisah yang telah berlaku sehingga mak tak putus-putus memanggil
aku anak sial? Apa gamaknya cerita yang didengari Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan
daripada emak sehingga kemesraan kami selama ini bertukar dingin? Tak sangka,
begitu mudah kakak dan abang mula membenciku. Apa yang berlaku di zaman silamku
sehingga abang dan kakak pun tergamak memanggil aku dengan perkataan itu?’
“Mak, nak salam,” kata Mardiah
Amna sebelum memakai kasut di tangga.
Suriyana tersenyum dan menerima
baik salam yang dihulur anaknya itu. Ciuman bertalu-talu singgah di pipi kakak
sulungnya itu. Layanan Suriyana terhadap Faizul Ikhwan pun begitu. Mak dan
abangnya berdakapan mesra. Namun, sebaik saja Wardina Amni menghulurkan tangan
semata-mata mahu bersalaman dengan emaknya, Suriyana mengherdik kuat.
“Arghhh, nak pergi, pergi ajelah!
Tak payah nak salam-salam dengan aku.”
Wardina Amni terpempan. Tersirap
darahnya. Merah pedam mukanya menahan malu. Sesungguhnya, hanya dia saja yang
tak sedar diri, masih mengharap dikasihi wanita itu. Walhal dia sudah maklum,
selama ini pun, Suriyana tak pernah mahu menerima salam yang dihulurnya.
‘Kenapa? Kenapa aku saja yang tak
berhenti mengharap? Kenapa aku masih tak serik-serik menerima caci cercanya?
Kenapa aku kempunan sangat dilayan dan dibelai mesra seorang ibu padahal segala
harapanku punah bersama kata-katanya yang meremuk redam jiwa?’
“Ya Allah, betapa hebat dugaan yang ENGKAU turunkan untuk Dina.
ENGKAU berikanlah hamba-Muini
kekuatan Ya Allah melalui semua
ini,” doa Wardina Amni bersama rasa sebak yang menyesak dada.
Hatinya sayu kerana ke sekolah
tanpa duit belanja. Tadi, dia ke dapur hanya meneguk segelas air masak untuk
mengisi perutnya ke sekolah sedangkan Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan berselera
menjamu roti potong yang dicicah air Milo panas. Terliur Wardina Amni sehingga
menelan air liur sendiri. Tapi hatinya takut-takut mahu menyertai mereka di
meja makan itu. Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan langsung tidak mempelawanya.
Suriyana apatah lagi.
Duit di dalam tabungnya pula sudah
habis kerana digunakan untuk mendaftar masuk ke sekolah menengah. Dia pun tidak
tahu kepada siapa mahu mengadu nasib. Pergerakannya di rumah itu sangat terbatas.
Langkah kaki dan gerak lakunya sentiasa menjadi tumpuan sekalian mereka. Kalau
boleh, dia mahu menelefon Juriah, mengadu keadaan dirinya.
Mengikut perkiraannya, Wardina
Amni yakin, Juriah sudah pun pulang dari Mekah. Dia kepingin benar mahu bertemu
neneknya itu. Dia ingin memeluk tubuh Juriah kejap-kejap dan berkongsi cerita
bersama wanita itu. Kalau boleh, dia ingin tinggal bersama Juriah. Untuk apa
lagi dia terus tinggal di rumah itu kalau dirinya dibenci? Tapi apa yang harus
dilakukannya? Apa yang perlu dilakukan
agar dia bisa berhubung dengan neneknya itu?
Wardina Amni terkenangkan Rokiah.
Wanita itu tidak kelihatan lagi di rumah mereka. Mungkin Rokiah sudah
diberhentikan Suriyana hanya kerana Rokiah masuk campur dengan hal keluarga
mereka. Rokiah dimarahi kerana membela nasibnya. Episod kisah duka, semusim
lalu bermain-main di fikirannya. Kebencian Suriyana terhadapnya kian melangit tinggi.
Pon! Pon! Pon!
Wardina Amni terkejut besar.
Khayalannya tentang Suriyana, Juriah dan Rokiah lenyap serta-merta. Dia
memalingkan muka mencari arah dari mana datangnya hon yang bertalu-talu itu.
Kenapa pula dia dihon walhal kedudukan basikalnya berada di garisan selamat?
“Dina!” Satu suara kedengaran
berteriak kuat.
Wardina Amni menarik brek tangan
serta-merta. Pandangannya bertaut dengan mata Juriah membuatkan dia terkejut
berbaur rasa teruja. Baru sebentar tadi dia teringatkan Juriah. Kini, neneknya
itu berada di depan mata.
Wardina Amni terkocoh-kocoh
menongkat basikal di tepi jalan, dekat dengan rumput. Juriah memakir kereta di
tepi Wardina Amni. Gesa-gesa Juriah keluar dari perut kereta dan mendakap erat
tubuh cucunya.
“Sayang cucu nenek!” Juriah mencium
Wardina Amni.
“Nenek!” jerit Wardina Amni
kegembiraan. Hanya itu yang mampu diungkapkan. Entah mengapa, pelukan itu
seperti meledakkan segala rasa yang bersatu di jiwa. Rasa rindu yang
membuak-buak selama ini disirami air mata. Mereka saling bertangisan.
“Cucu nenek apa khabar?” soal
Juriah sebaik saja perasaannya tenang.
“Baik, nek...” jawab Wardina Amni
ringkas.
“Betul ke baik ni? Mak layan Dina
dengan baik ke?” tanya Juriah tanpa berlengah.
“Mak, kakak dan abang macam
pulaukan Dina. Macam Dina ada buat salah besar,” adu Wardina Amni.
Selama ini, tidak pernah seorang
pun bertanya khabar tentang dirinya. Apabila Juriah bertanyakan perkara ini,
dengan mudah dia membuka mulut. Biarpun adakalanya dia perasan yang jiran
mereka Ainon ada mengintai-ngintai ke arah rumah mereka, namun sikap Suriyana
ternyata menghalang tindakan Ainon.
Wardina Amni yakin, Ainon prihatin
akan keadaan dirinya. Hubungan di antara dia dan Ainon memang mesra semenjak
hayat Osman masih ada lagi. Wanita itu selalu menghulurkan buah tangan buat
dirinya. Namun kini, hubungan mereka benar-benar terbatas. Sikap Suriyana yang
macam kera sumbang, langsung tidak membuka pintu pagar meskipun Ainon acap kali
datang memberi salam, mahu bertandang ke rumah mereka.
Dia tahu, Suriyana sengaja mengunci
pintu pagar itu agar tiada sesiapa pun tahu akan layanan buruk emak terhadap
dirinya.
“Hari tu, nenek ada datang ke
rumah Dina. Dina ke mana?” soal Juriah mengenangkan hari dia ke rumah Suriyana
dan menantunya itu langsung tak mengizinkan dia bertemu cucu-cucunya.
“Datang rumah Dina? Bila?” soal
Wardina Amni berkerut dahi.
“Dua minggu lepas. Beberapa hari
lepas nenek balik dari Mekah.” Juriah memberitahu.
“Oh, Dina demam nek! Seminggu
lebih juga,” cerita Wardina Amni sebak. Ingin saja diluahkan kepada Juriah yang
dia demam lantaran teruk dibalun emaknya. Tapi segalanya tidak terluah di
tekak. Perasaan sedih cuba ditahannya memandangkan dia ingin ke sekolah tanpa
mengenangkan lagi kisah duka itu.
“Alahai, kesiannya cucu nenek!”
komen Juriah sambil mengusap belakang cucunya itu.
Wardina Amni tidak berkata
apa-apa. Namun perasaannya sayu membuatkan tangisannya payah untuk reda.
“Ni datang sekolah, dah makan
belum?” tanya Juriah penuh cakna.
Wardina Amni hanya menggeleng.
“Kalau nenek nak ajak pergi makan
pun, takut tak sempat. 7.30 dah nak masuk kelas. Ni, dah 7.15.” Juriah bersuara
kesal sambil menatap jam di tangannya.
Wardina Amni hanya mengangguk,
bersetuju dengan kata-kata neneknya itu.
“Mak bagi duit belanja tak?”
Wardina Amni hanya menggeleng
kepala dan gelengannya itu bersambut gelengan juga oleh Juriah. Hati Juriah
diserbu rasa kasihan yang melimpah terhadap Wardina Amni.
“Ada duit?” tanya Juriah seraya
memandang wajah polos Wardina Amni.
“Duit nenek beri hari tu,
cukup-cukup aje untuk Dina buat bayar yuran pendaftaran sekolah. Semua dah
habis,” adu Wardina Amni lagi.
‘Semua dah habis? Alahai,
kesiannya cucuku!’ Juriah melepaskan nafas berat mendengar cerita Wardina Amni.
Liur di tekak terasa pahit.
“Nenek nak tanya ni, duit yang
nenek masukkan dalam Tabung Haji dah guna belum?” soal Juriahmenahan perasaan sedih.
“Belum, nek. Dina tak pernah ke bandar
lagi selepas hari tu. Dina pun tak tahu nak bagi alasan apa kalau mak tanya nak
buat apa ke bandar. Dina tak berani nak bohong mak, nanti tak pasal mak
mengamuk,” jawab Wardina Amni dengan perasaan tertahan-tahan.
Juriah sebak. Kata-kata Wardina
Amni membuatkan perasaan sedihnya tersayat pilu. ‘Aku dah agak, Suri. Kau
memang sengaja dera perasaan budak ni. Kau layan dia macam apa,
mentang-mentanglah…’
“Nek, Dina pergi dulu ya? Dah
lambat ni. Hari ni kan, hari pertama Dina sekolah menengah.” Wardina Amni
meminta izin sambil meraba tangan Juriah, mahu bersalaman. Dia perlu segera ke
sekolah dan menyambung perjalanannya yang terhenti tadi.
“Ya, ya… dah lewat ni. Nah, ambil
duit ni! Buat belanja sekolah.” Juriah gesa-gesa membuka zip dompetnya dan
menghulurkan beberapa keping duit berwarna merah dan hijau.
“Eh, banyaknya nek!” Wardina Amni terkejut menerima pemberian
Juriah sebanyak itu.
“Tak apa, nenek ikhlas. Buat
belanja, yang lebihnya simpan baik-baik ya? Buat belanja esok-esok. Tapi ingat,
jangan sampai mak tahu,” pesan Juriah panjang lebar.
Wardina Amni mengangguk faham dan
berlalu setelah mengucapkan terima kasih kepada neneknya itu.
Juriah mengelap sisa air mata yang
masih galak menitis. Hilangnya kelibat Wardina Amni di sebalik selekoh,
rindunya kepada gadis itu datang lagi. Belum pun puas dia bersembang dan
bertanya khabar akan cucunya itu, masa begitu mencemburui mereka. Malah, Juriah
baru teringat akan gelang yang dibelinya dari Tanah Suci Mekah untuk cucunya
itu. Dia benar-benar lupa pasal itu. Diam-diam Juriah memasang tekad, dia ingin
sekali membela nasib Wardina Amni.
Apa pun yang berlaku, Wardina Amni
harus dikeluarkan dari bumbung rumah Suriyana. Kasihan anak itu. Jiwanya akan
terganggu dengan sikap dan layanan buruk daripada seorang ibu juga daripada
kakak dan abangnya. Hati perut Suriyana bukan hari ni saja diketahuinya. Keras pedal
Suriyana sudah bertahun difahaminya. Cuma benaknya ligat berfikir, apakah
strategi yang paling berkesan untuk mengambil Wardina Amni daripada tangan
menantunya itu?