Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 20

20


MALAM yang sunyi, Wardina Amni terbangun daripada lenanya. Kelopak matanya yang berat dibuka perlahan, cuba mengecam keadaan.

“Ya Allah, aku di mana?” Dia bercakap sendirian dan cuba bangun daripada perbaringan. Keadaan bilik itu agak gelap. Sejalur cahaya yang terbias masuk ke bilik membuatkan dia dapat mengagak, tubuhnya kini berada di dalam bilik stor di rumah mereka. Bilik itu adalah paling hujung di antara deretan bilik di rumah mereka, berdekatan dengan ruang dapur.

Wardina Amni meraba kepalanya yang masih berat. Dadanya terasa sakit dan sesak, sukar sekali untuk dia bernafas. Perlahan-lahan dia mengengsot, cuba bangun dan mencari suis lampu bilik itu. Meskipun sukar dan dadanya masih perit, digagahkan jua demi mengumpul sisa-sisa tenaga yang masih ada.

Sebaik saja bilik stor itu sudah terang-benderang, Wardina Amni terkejut bukan kepalang. Semua barang miliknya dari bilik yang pernah dikongsi Mardiah Amna sebelum ini, berselerak di situ. Kain bajunya, buku-buku dan semuanya.

“Kenapa ni?” Dia bersoal jawab sendiri. Tak faham apa sebenarnya yang telah terjadi.

Wardina Amni menguak daun pintu biliknya. Dia mengintai keluar. Hening malam menceritakan penghuni rumah itu mungkin sedang lena. Dia menjengketkan kaki, melilau-lilau mengecam keadaan dalam rumah itu. Takut bercampur bimbang bertembung dengan Suriyana.

Dia ingin ke dapur, mahu meneguk sedikit air putih. Selesai meminum dua gelas besar air masak, Wardina Amni menatap jam tangannya. Jam sudah berdetik ke angka dua pagi. Rupa-rupanya sudah lama dia ketiduran. Mungkin kerana tubuhnya kelelahan akibat dibalun Suriyana siang tadi. Wardina Amni melangkah dengan berhati-hati. Dia memegang tombol pintu, mahu masuk ke bilik Mardiah Amna. Namun, pintu itu dikunci dari dalam.

‘Kak, kenapa dikunci pintunya?’ bisik Wardina Amni seraya gesa-gesa kembali ke bilik stor tadi. Dia tak berani hendak mengetuk pintu bilik itu, khuatir akan mengejutkan Suriyana. Kalau Suriyana terbangkit daripada tidur, maka dia akan menempah bala lagi.

HARI sudah siang-siang tanah. Sayup-sayup kedengaran ayam berkokok nyaring. Wardina Amni membuka kelopak matanya yang masih berat. Lesu di tubuhnya membuatkan dia tak berdaya untuk bangun. Seluruh urat sarafnya dirasakan sakit. Tubuhnya berasa hangat. Demamkah aku? soalnya sambil meraba dahi sendiri.

“Dina, bangun!” Satu suara nyaring kedengaran menerjah ke cuping telinganya.

“Kak…” Terkejut Wardina Amni apabila suara Mardiah Amna begitu lantang memaksanya bangun. Mardiah Amna menepuk punggungnya kuat, beberapa kali.

“Kau jangan buat-buat tak sihat. Aku kata bangun, bangunlah!”

“Kak, kenapa tiba-tiba marah Dina ni? Sakitlah…” Wardina Amni kehairanan dengan sikap Mardiah Amna.

“Bangun, aku kata bangun! Jangan nak jadi puteri raja pulak kat rumah ni,” arah Mardiah Amna seraya menarik kuat tangan Wardina Amni, memaksanya bangun.

“Dina rasa macam nak demam aje, kak...” adu Wardina Amni.

“Aku tak peduli. Kau nak demam ke, batuk ke, tapi mak yang suruh aku kejutkan kau,” beritahu Mardiah Amna.

Wardina Amni tersentak. Bahasa yang digunakan Mardiah Aman kedengaran keras di telinganya. Kakaknya itu tak pernah beraku engkau sebelum ini.

“Kakak kenapa berkasar dengan Dina?” tanya Wardina Amni tak faham dengan nada suara Mardiah Amna yang meninggi itu.

“Sebab aku marahkan kau. Kata mak, kau memang menyusahkan dia. Kau banyak porak-perandakan keluarga kita,” tuduh Mardiah Amna.

“Astaghfirullahalazim. Kakak pun dah termakan kata-kata mak ke?” Wardina Amni bersuara lirih, tak sangka Mardiah Amna turut berprasangka buruk terhadapnya.

“Bangun Dina, bangun. Selama ini, aku tak pernah terfikir yang kau punca kematian ayah. Betul kata mak, kalau tak sebab kau yang beria ajak ayah ke bandar hari tu, ayah takkan mati ditikam perompak. Rantai berlian emak pun tak akan hilang begitu saja,” herdik Mardiah Amna.

“Kak, semua itu ketentuan ALLAH. Dina pun tak harap semua ni berlaku. Takkanlah akak tak tahu yang Dina pun sayang ayah kita.” Wardina Amni bersuara mohon dikasihani.

“Kau memang banyak menyusahkan mak. Kau banyak bagi mudarat kepada keluarga kita. Selama ni, aku tak tahu kenapa mak selalu kata kau anak sial, anak tak guna, tapi mulai hari ni, aku percaya.” Mardiah Amna menghamburkan kata-kata yang mencincang lumat hati adiknya.

“Sampai hati akak kata Dina macam ni. Sampai hati kak boleh percaya dengan kata-kata mak…”

“Kalau kami tak percaya dengan kata-kata mak, kami nak percaya dengan siapa lagi? Kau?” Suara Faizul Ikhwan kedengaran sinis, cukup menampar perasaannya.

“Abang…”

“Mulai hari ni, kau duduk dalam stor ni. Dan mulai hari ni juga, kalau nak tinggal kat rumah ni, mak cakap kau tak payah pergi sekolah. Duduk rumah, buat kerja rumah. Jadi orang gaji kami,” sambung Faizul Ikhwan.

Perasaan Wardina Amni semakin calar-balar. “Abang kenapa cakap Dina macam ni?” soal Wardina Amni tak faham. Racun apa yang diguna Suriyana sehingga sebegini rasa benci Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna kepadanya?

“Sebab mak kata kau... arghhh! Malas aku nak menyebutnya!” bentak Faizul Ikhwan dan berlalu meninggalkan Wardina Amni yang terkulat-kulat sendirian.

“Ya Allah, apa dah jadi dengan semua penghuni rumah ni? Ya Allah... tolonglah Dina. Hamba-Mu ini benar-benar tak berdaya melalui semua ni, Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.” Tanpa rela, air mata bercucuran lebat.



“MAK datang nak jumpa cucu-cucu mak, Suri. Bukalah pintu ni,” rayu Juriah bertalu.

“Dia orang yang tak nak jumpa mak, bukan Suri paksa pun,” jawab Suriyana selamba dari atas tangga rumah. Pintu pagar yang bermangga langsung tak dibukanya apatah lagi menjemput mertuanya masuk ke rumah.

“Kau tak jemput mak masuk ke rumah Suri? Biar mak bincang dengan cucu-cucu mak tu. Mungkin mereka salah faham,” pujuk Juriah lembut. Mudah-mudahan hati Suriyana yang keras bisa mencair.

“Mak, anak-anak Suri, cucu-cucu mak tu dah besar. Dah belasan tahun. Boleh fikir mana buruk baik. Boleh beza mereka yang berniat buruk, siapa yang berniat baik. Siapa yang bolot harta ayah anak yatim ni…”

“Suri! Lagi-lagi itu yang kau ungkit. Mak betul-betul tak faham dengan kau ni. Harta mana yang kau maksudkan? Harta mana yang Osman ada lagi? Mak pun tak tahu. Cukup-cukuplah prasangka buruk Suri terhadap mak. Izinkanlah mak jumpa dengan cucu-cucu mak.” Juriah bersuara dengan nada tersekat-sekat.

Hancur berkecai harapannya mahu bertemu anak-anak peninggalan arwah Osman. Sikap kepala angin Suriyana ternyata menjurangkan hubungan seorang nenek dengan cucu-cucunya.

“Mak fikir Suri ni berprasangka, kan? Ya, Suri memang jahat mak, tapi Suri tak pernah makan harta yang bukan hak Suri. Suri tak pernah makan harta anak-anak yatim. Mak ingat dengan pergi Mekah tu, semua dosa mak terampun? Mak ingat dengan gelaran hajah yang mak terima tu, anak-anak Suri akan maafkan nenek mereka?” Suriyana bersuara lantang seperti Juriah itu bukan sesiapa dengannya.

“Ya Allah... tergamak kau Suri, cakap mak macam ni?” Juriah mengurut dadanya yang dirasakan perit.

“Astaghfirullahalazim… Kak Juriah, Suri. Kenapa ni, bertekak anak-beranak?” Satu suara menegur kedua mereka. Terkocoh-kocoh Ainon datang mendapatkan Juriah yang nampaknya pucat menahan sakit.

“Ni lagi sorang. Tak habis-habis jadi penyibuk rumah tangga orang,” marah Suriyana dengan mata mencerlung.

“Suri, kau ni kenapa?” tanya Ainon sambil memegang belakang badan Juriah yang nampak sebak.

“Apa yang kenapa?” tanya Suriyana sambil bercekak pinggang. Nada suaranya menengking kuat membuatkan Ainon dan Juriah tersentak.

“Kenapa tergamak kau layan mak mentua macam ni?” balas Ainon dengan nada keras dan menekan.

“Dia berhak pun dapat layanan macam ni. Akak apa tahu? Arghhh, sibuklah! Ni urusan kami anak-beranak. Tak payah nak masuk campur!” bentak Suriyana. Bengang dia dengan kehadiran Ainon di situ.

“Takkan perkara ni tak boleh dibawa berbincang, Suri?” Ainon cuba berprovokasi. Melimpah rasa kasihan di hatinya melihat wajah Juriah yang berladungan air mata. Wanita tua itu teresak-esak menahan sedu di dadanya.

“Eeii, harap muka aje cantik, tapi bongkak, sombong! Jom, kak... berehat kat rumah saya dulu,” ajak Ainon.

Juriah menggeleng kepala, menolak pelawaan Ainon. “Aku rindu nak bertemu cucu-cucu aku, Non. Aku ada belikan hadiah yang mereka pesan dari Mekah ni, hah.” Juriah menunjukkan beg plastik yang dibimbitnya kepada Ainon.

“Suri, akak merayu. Bagilah mak mentua kau ni jumpa cucu-cucunya. Kesian dia, datang dengan hajat besar. Kau layan dia macam ni, berdosa Suri.”

“Arghhh, banyak membebellah, Kak Ainon ni!” bentak Suriyana rimas.

“Diah, Zul… mari sini. Tu, nenek kau orang nak jumpa,” laung Suriyana memanggil Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan.

“Diah tak nak jumpa nenek. Nenek jahat!” Mardiah Amna yang menjenguk mukanya sekejap di beranda itu, berlari masuk ke dalam rumah.

“Zul pun tak nak jumpa nenek lagi!” tempik Faizul Ikhwan sekuat hati.

Suara Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan yang menjerit lantang itu cukup mengejutkan Juriah dan Ainon.

Terpinga-pinga Juriah dengan kata-kata mereka.

“Diah, Zul…” teriak Juriah sekuat hati, namun semuanya sia-sia saja. Kelibat cucu-cucunya tidak kelihatan lagi.

“Mak tengok, cucu sendiri pun dah tak suka neneknya,” sindir Suriyana sinis dan berlalu masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, pintu rumah itu terkatup rapat.

“Suri, aku nak jumpa cucu-cucu aku. Diah, Zul, Dina…jangan buat nenek macam ni.” Juriah menangis hiba.

“Sabar, kak. Sabar, Insya-Allahakan ada penyelesaiannya,” pujuk Ainon seraya memapah tubuh Juriah yang kini lembik ke rumahnya.

“Sampai hati kau Suri, tuduh mak macam ni. Sampai hati kau hasut anak-anak supaya benci aku.” Juriah menangis dan menangis lagi.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.