18
"MNGGU depan? Ayah long pun pergi
ya, nek?” soal Faizul Ikhwan.
“Ya, ayah long akan temankan nenek
di sana. Nenek pergi pun tak lama. Insya-Allah,
nanti bila nenek balik kita semua pergi jalan-jalan ya,” kata Juriah sambil
memandang satu per satu wajah cucunya.
Mardiah Amna, Faizul Ikhwan dan
Wardina Amni mengangguk faham.
“Tak lama tu berapa lama, nek?”
tanya Mardiah Amna.
“Insya-Allah. Dalam sebulan lebih. Nenek buat haji sekali dengan
umrah. Nenek sambut raya haji di sana,” sambung Juriah lagi. Hiba rasa mahu
meninggalkan cucunya apatah lagi baru
empat bulan Osman meninggal dunia.
“Belikan Diah gelang ya, nek?”
pesan Mardiah Amna.
“Ha’ah, nek. Dina pun nak,” kata
Wardina Amni menambah kata-kata kakaknya.
“Insya-Allah... nanti nenek belikan gelang yang boleh gulung-gulung
tu ya?” jawab Juriah sambil tersengih.
“Yeay!” Mardiah Amna dan Wardina
Amni bersorak.
“Budak lelaki takkan nak pakai
gelang, nek?” tanya Faizul Ikhwan melihat kegembiraan kakak dan adiknya.
Juriah, Mardiah Amna dan Wardina
Amni tergelak mendengar kata-kata Faizul Ikhwan.
“Nanti nenek belikan Zul kopiah
ya?” janji Juriah.
Faizul Ikhwan mengangguk faham
akan kata-kata nenek seraya mengucapkan terima kasih.
“Suri, Suri nak kirim apa mak nak
ke Tanah Suci?” soal Juriah sambil matanya memandang tepat ke wajah Suriyana.
Dari tadi menantunya itu tidak
menyampuk perbualan mereka. Suriyana nampaknya asyik menatap majalah yang
berwarna-warni di sofa sedangkan Juriah dan cucu-cucunya di beranda rumah.
Suriyana memanggung kepala
sekilas, membalas pandangan ibu mertuanya.
“Suri nak kirim doa supaya orang
yang tamak dan ambil harta anak yatim cepat-cepat sedar diri. Biar orang tu
dapat balasan setimpal di dunia ini sebelum dia mati,” kata Suriyana selamba.
Dia mencampakkan majalah di meja kopi dan mengangkat punggung ke biliknya.
Wajahnya nampak tegang.
“Astaghfirullah, Suri…” Juriah
terkejut besar. Kata-kata Suriyana ringkas, namun cukup menyiat-nyiat hatinya.
‘Ya Allah! Suri, kau masih marahkan mak? Kau masih berprasangka
buruk yang mak makan harta cucu-cucu mak? Subhanallah, Suri. Sungguh, mak tak
ada ambik walau satu sen pun harta anak-anak ni.” Juriah bercakap lirih dalam
hati.
Dia kemudian melepas pandang ke
wajah Mardiah Amna, Faizul Ikhwan dan Wardina Amni dengan mata yang
berkaca-kaca. Cucu-cucunya itu memandang sayu wajah Juriah seperti mengerti
akan sengketa yang wujud di antara emak dan neneknya.
“Nenek faham, mak masih sedih.
Pesan nenek, jangan tambahkan kesedihan mak ya? Diah, Zul, Dina… jadi anak yang
baik. Selama nenek ke Mekah, kalau ada apa hal minta aje tolong Mak Cik Ainon
mahupun Mak Long Kasnah. Nenek dah pesan kat mereka agar tengok-tengokkan kau
orang.” Suara Juriah sebak menahan segala rasa di dada.
“Yalah, nek...” jawab Mardiah
Amna, Faizul Ikhwan dan Wardina Amni serentak. Juriah memeluk tubuh ketiga-tiga
cucunya kejap- kejap.
“Malam ni, tidur rumah nenek ya?
Sebelum tu, kita jalan-jalan pusing KL, nak?” ajak Juriah kepada cucu-cucunya.
“Yeay! Nak, nak, nak!” jawab ke
tiga-tiga mereka dengan sorak riang.
“Tapi, pergi mintak izin emak dulu
ya,” kata Juriah membuatkan ketiga-tiga mereka mengangguk faham.
SUDAH hampir sebulan Juriah
ke Mekah. Hampir sebulan lebih juga Wardina Amni hanya terkurung di rumah besar
itu. Cuti sekolahnya hanya dihabiskan dengan membaca buku dan terperap di dalam
bilik. Mujurlah juga kebosanannya terubat dengan buku cerita dan komik
peninggalan Osman.
Sebelum Osman meninggal, dia
menghadiahkan Wardina Amni sekotak besar komik dan buku cerita untuk
kanak-kanak dan remaja. Sedikit sebanyak, hadiah peninggalan arwah ayahnya itu
mengubat lara rindu buat insan tersayang, yang
telah pergi selama-lamanya.
Semalam, Wardina Amni ke sekolah
menengah, sama sekolah dengan Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan untuk kemasukan
pelajar tingkatansatu. Sekolah menengah itu cuma bersebelahan dengan
sekolah rendahnya. Keputusan peperiksaan UPSR yang didudukinya tempoh hari
telah menunjukkan yang dia memperolehi 5A.
Wardina Amni mendapat tawaran masuk ke sekolah berasrama penuh di
Kelang, namun tiada reaksi daripada Suriyana sama ada bersetuju dia dimasukkan
ke sana atau tidak.
Wardina Amni langsung tidak berani
bertanya memandangkan moodSuriyana kebelakangan ini sentiasa tidak
baik. Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan yang rapat dengan emak mereka pun tidak
berani hendak membuka mulut bertanya itu ini. Mujurlah sewaktu dia ke sekolah
menengah semalam, Mardiah Amna sudi menemaninya. Segala urusan pembiayaan
persekolahan pula diambil daripada tabungnya.
Mujurlah juga sebelum Juriah ke
Mekah tempoh hari, segala keperluan sekolah mereka adik-beradik diuruskan
neneknya. Pakaian sekolah menengahnya juga sudah siap dibeli Juriah. Juriah
turut meninggalkan wang tunai dan menabung duit di dalam bank untuk mereka
adik-beradik. Nenek mereka telah memasukkan duit sebanyak seribu seorang di
dalam bank Tabung Haji tanpa pengetahuan Suriyana.
“Jangan beritahu emak dulu yang
nenek ada masuk duit dalam Tabung Haji tau. Buku akaun tu simpan elok-elok. Tak
payah tunjuk kat emak tau,” pesan Juriah.
“Kenapa nek?” tanya Mardiah Amna
akan syarat neneknya itu. Faizul Ikhwan dan Wardina Amni berkerut dahi,
serentak memandang nenek mereka.
“Biar nenek saja yang bagitahu
sebab moodemak Diah masih tak baik,” jawab Juriah. Sebenarnya Juriah
tak mahu Suriyana tahu kerana bimbang duit itu akan disalah guna oleh
menantunya.
“Yalah nek,” jawab mereka tiga
beradik seakan mengerti akan niat baik neneknya.
“Kalau ada masalah dan terdesak
nak guna duit, nenek izin guna duit tu. Tapi manfaatkan betul-betul. Kalau rasa
tak penting nak beli sesuatu barang, tak usah membazir.”
Mardiah Amna, Faizul Ikhwan dan
Wardina Amni mengangguk faham.
“Hah, untuk Dina sebab dapat 5A,
nenek hadiahkan jam ni ya? Dina suka?” soal Juriah sambil menghulurkan seutas
jam tangan sebaik saja mereka berempat masuk ke sebuah kedai jam dan aksesori.
“Wah, cantiknya! Ada gambar tweety
lagi. Terima kasih, nek. Dina suka sangat.” Wardina Amni bersuara dengan
penuh rasa teruja. Jam tangan pemberian Juriah dikenakan di tangannya.
“Wow! Merah campur kuning,
kombinasi yang sangat menarik.” Mardiah Amna pula memuji.
“Diah dan Zul dah ada jam, kan?
Ambiklah barang apa yang perlu, nanti nenek bayarkan,” kata Juriah menyedari
air muka Mardiah Amna mengharapkan dibeli sesuatu buatnya. Faizul Ikhwan
sekadar menggeleng kepala.
“Hmm… tak apalah, nek. Lagipun
banyak dah nenek beli tadi. Kain, baju, beg sekolah baru, kasut baru, semua
baru. Terima kasih, nek sebab belanja kami.” Mardiah Amna menolak tawaran Juriah.
“Betul ni tak nak apa-apa dah?”
tanya Juriah bersungguh-sungguh.
“Betul, nek. Dah banyak nenek
berhabis untuk kami,” kata Mardiah Amna sambil mengangkat tinggi plastik berisi
barang yang dibimbitnya tadi.
“Zul pun nak ucap terima kasih,
nek.”
“Sama-sama. Nenek berbelanja pun
untuk cucu-cucu nenek juga. Kalau dah tak ada apa-apa nak beli, jom nenek
belanja makan. Nak makan apa, ya?” tanya Juriah gembira melayani cucu-cucunya
selesai saja membayar harga jam tangan yang dibeli untuk Wardina Amni tadi.
“Ayam KFC!” sorak Mardiah Amna dan
Faizul Ikhwan serentak.
“Ayam KFC? Okey, jom, jom!” ajak
Juriah.
“Yeay!” Faizul Ikhwan dan Mardiah
Amna bertepuk tangan. Mereka berdua sudah berlari ke premis makanan segera itu
yang terletak hanya 20 meter di depan mereka.
Juriah hanya menggeleng kepala
mengenangkan cucu-cucunya. Namun, tidak bagi Wardina Amni. Perkataan KFC itu
seperti sebilah pedang yang menghunus tajam ke dadanya. Tanpa sedar, pedang itu
telah menikam tepat ke jantung dan hatinya. Kala itu juga rasa sebak menggunung
di jiwa. Air mata berjuraian lebat. Menyebut perkataan KFC, bayang wajah Osman
datang lagi.
“Eh, Dina! Kenapa tercegat kat
situ lagi?” laung Juriah menyedari Wardina Amni masih di depan kedai jam tadi.
Mendengar laungan Juriah, Wardina
Amni segera mengelap air mata.
Sepanjang berada di dalam premis
KFC tu, hati Wardina Amni bergelojak hebat. Mujurlah Juriah bagai mengerti
perasaannya. Juriah seperti dapat membaca segala apa yang berkocak hebat di
tasik hati Wardina Amni. Juriah bijak menenangkan perasaannya biarpun kata-kata
nenek tak mampu mengubat seleranya yang sudah ranap.
Petang
itu, rasa gembira bersama Juriah lenyap
dalam sekelip mata. Rasa hiba bertandang tanpa dipinta. Di sinilah hari-hari
terakhir dia menghabiskan waktu bersama Osman. Osman melayaninya makan ayam
goreng. Osman menyuapnya dan mereka
bergelak ketawa, berkongsi cerita. Osman turut memohon maaf kerana dia
benar-benar sibuk untuk meluangkan waktu bersama Wardina Amni sekeluarga.
Selesai makan, mereka pulang
dengan membawa bungkusan ayam goreng untuk emak, kakak dan abangnya. Sayang
seribu kali sayang, musibah menimpa mereka tanpa dipinta ketika dalam
perjalanan pulang ke rumah. Seraut wajah Osman yang kesakitan ketika ditikam
dengan sebilah pisau oleh perompak, cukup mengganggu fikirannya. Dia ketakutan.
Setiap kali tidur, mimpinya dibayangi wajah perompak itu. Suara perompak yang
menengking kuat, meminta rantai berlian, masih tergiang-giang di corong
telinga. Cukup mengganggu ketenangan perasaannya.
Arghhh, betapa payah untuk dia
melupakan itu semua! Wardina Amni teringat lagi. Peperiksaan UPSR yang
didudukinya dua bulan selepas kematian Osman. Kalau diikutkan semangat yang
kian berkubur bersama jasad ayahnya, dia hampir-hampir tidak mahu menghadiri
peperiksaan itu. Namun syukurlah, Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan begitu
menyokongnya. Juriah, Mahmud dan Hafiz, sepupunya begitu memberi semangat
kepadanya.
“Dina nak hadiah apa kalau dapat
5A UPSR?” tanya Osman ketika mereka dalam perjalanan ke bandar membeli ayam
goreng KFC.
“Hmm… Dina tak nak apa-apa ayah.
Dina cuma mahu ayah dan mak bangga dengan Dina. Cukuplah hadiah buku dan komik
yang bertimbun tu. Terima kasih banyak-banyak ya, ayah. Dina sayang ayah,” kata
Wardina Amni sambil mencium pipi Osman bertalu.
“Okey, ayah sayang Dina juga. Ayah
bangga dengan anak ayah yang comel dan bijak ni. Ayah yakin, suatu hari nanti,
Dina pasti berjaya. Insya-Allah,
semoga cita-cita Dina nak jadi pengacara
tv akan berjaya. Berusaha dan belajarlah bersungguh-sungguh,” pesan
Osman.
Amanat terakhir Osman itu disemat
erat di dadanya. Meskipun hatinya walang mengenangkan pemergian Osman, Wardina
Amni tetap tabahkan hati.
“Eh, dik! Kau baca buku apa tu
sampai menangis bengkak-bengkak macam ni?” soal Mardiah Amna sebaik saja
melabuhkan punggung di sisi adiknya. Wardina Amni tersentak. Dia cepat-cepat
mengesat sisa air mata di pipi.
“Hisy, mana ada kak! Tak nangis
pun,” balas Wardina Amni akan teguran kakaknya tadi. Dia bangun daripada
perbaringan dan duduk rapat di sisi Mardiah Amna.
“Yalah tu. Takkan baca buku
penyiasatan dan thriller macam ni boleh buat kau menangis teresak-esak,”
komen Mardiah Amna sambil mencapai buku cerita di tangan Wardina Amni.
“Dina teringatkan ayah, kak. Bukan
sebab buku ni,” luah Wardina Amni sambil memandang wajah Mardiah Amna yang
sedang membaca sinopsis di belakang kulit itu. Kata-kata Wardina Amni itu
membuatkan raut wajah Mardiah Amna berubah sama sekali.
“Kakak pun rindukan ayah juga,”
balas Mardiah Amna sebak. Mereka berpelukan erat.
“Ececeh! Siap berpelukan pulak?
Apa hal ni?” tanya Faizul Ikhwan sebaik saja hadir di situ. Kereta kawalan
jauh bersama remote control
dipeluk erat di dadanya.
“Tak ada apalah, Zul. Hal
perempuan aje,” balas Mardiah Amna sebaik saja Faizul Ikhwan mendekati tubuh
kedua mereka.
“Dina rindukan ayah,” luah Wardina
Amni.
“Apahal nak rindu-rindu pulak?
Bukan kau ke sabit laki aku mati, hah?!” Satu suara lantang kedengaran dari
muka pintu biliknya.
Wardina Amni terkejut bukan
kepalang. Menggigil-gigil tubuhnya melihat seraut wajah Suriyana yang mula
menyinga. Dipegang kuat tubuh Mardiah Amna mencari kekuatan.
“Mak…” panggil Wardina Amni dengan
suara yang terketar-ketar.
“Siapa mak kau? Siapa mak kau,
hah?!” marah Suriyana sambil menarik tubuh Wardina Amni daripada pelukan
Mardiah Amna.
Mardiah Amna tercengang-cengang
dengan perilaku luar biasa Suriyana. Wajah Suriyana yang tegang dan masam
mencuka itu membuatkan dia takut untuk mempertahankan adiknya.
“Mak, kenapa ni? Kenapa buat adik
macam ni?” soal Faizul Ikhwan cuba membela Wardina Amni.
“Zul, Diah… kalau tak kerana adik
kau yang sial ni, ayah kau orang tak mati, tau!”
“Mak, jangan cakap adik macam tu!”
Giliran Mardiah Amna pula membela adiknya.
“Hei, Diah! Adik kau ni bukan hari
ini aje menyusahkan aku, tapi sejak dia dilahirkan ke dunia ni lagi. Nasiblah
kau orang berdua tak mampus sebab tulah dia, faham?!”
“Mak, adik…”
“Kau diam, Zul! Karang dengan kau
sekali makan penampar aku!” herdik Suriyana sambil mengheret kasar tubuh
Wardina Amni keluar dari bilik itu.
Di tengah ruang tamu, Suriyana
menolak tubuh Wardina Amni. Terhenyak tubuh kecil itu. Badannya menggigil-gigil
menahan segala rasa yang beraja di tubuh.
“Mak, maafkan Dina kalau Dina ada
buat salah.” Wardina Amni merayu, mohon dimaafkan.
“Woiii, kalau aku maafkan kau,
rantai berlian tu dapat semula ke kat aku?” bentak Suriyana. Berang nampaknya
dia dengan rayuan anak bongsunya itu. Dibalun belakang tubuh Wardina Amni
bertalu-talu dengan tangannya.
“Mak, maafkan Dina, mak. Maafkan
Dina.”
“Aku benci kau! Kau memang anak
tak guna!”
“Mak, sampai hati mak cakap Dina
macam ni. Janganlah mak cakap Dina macam ni. Mak, tolonglah jangan benci Dina.
Dina sayangkan mak. Dina mintak maaf...” Suara lirih Wardina Amni langsung tak
meruntuhkan tembok batu di hati Suriyana yang keras pejal.
“Aku benci kau, Wardina Amni! Aku
benci kau.” Muka Suriyana semakin merah padam. Matanya mencerlung marah dan tangannya tak berhenti daripada
terus memukul tubuh kurus anaknya itu.
“Sakit, mak! Sakit. Abang, kakak…
tolong Dina! Dina sakit!” Wardina Amni merayu lagi.
Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan
hanya memerhati tanpa berbuat apa-apa. Masing-masing ketakutan, menikus melihat
perubahan mendadak Suriyana. Ternyata emak mereka sudah naik hantu dan mengamuk
sakan memukul tubuh Wardina Amni seperti orang tak waras.
“Abang, kakak, tolong Dina...”
“Mak, jangan buat adik macam ni,
mak...” rayu Mardiah Amna, memeluk tubuh adiknya.
“Mak, adik sakit tu. Lepaskan
adik, mak... lepaskan adik.” Faizul Ikhwan pula menangis mengenangkan kesakitan
Wardina Amni. Lengan Suriyana dipegangnya kuat dengan harapan Suriyana akan
berhenti daripada terus memukul Wardina Amni.
“Masuk bilik kau orang. Sekarang!
Nanti tak pasal-pasal kau orang kena lempang dengan aku!” tengking Suriyana
sekuat hati. Kemarahannya kian mendadak melihat Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna
mahu membela Wardina Amni.
Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna
ketakutan melihat tangan Suriyana yang sudah diangkat tinggi seperti mahu
memukul mereka pula. Masing-masing segera bangun dan pergi dari situ. Mardiah
Amna dan Faizul Ikhwan hanya mampu memandang dari muka pintu bilik dengan penuh
rasa simpati.
“Kau memang menyusahkan aku.
Benar-benar menyusahkan. Aku sebenarnya tak pernah berharap untuk kau hidup di
muka bumi ini. Kau memang menyusahkan hidup aku!” tempik Suriyana sekuat hati
mencaci anak bongsunya itu. Tangannya masih tak berhenti memukul badan Wardina
Amni.
Setiap butir kata yang terpacul
daripada mulut Suriyana seperti racun yang terpaksa ditelan Wardina Amni.
Tubuhnya tiba-tiba menjadi tidak bermaya. Semangatnya melayang-layang entah ke
mana. Segala kesakitan yang bermaharajalela di tubuhnya bertambah sakit dengan
setiap tutur kata yang dihambur Suriyana.
Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna
sudah berlari masuk ke bilik, tidak sanggup melihat keadaan adik mereka.
“Jangan balik lagi ke sini! Aku tak pernah ada
dan takkan sesekali ada anak macam kau.” Suriyana mengheret tubuh Wardina Amni
keluar dari rumah itu ke beranda.
Wardina Amni terkapai-kapai,
berusaha meloloskan pegangan kejap Suriyana di tubuhnya. Kulit mulusnya
bertambah sakit dan melecet. Tubuhnya diseret kasar membuatkan kakinya tersepak
bendul pintu. Sisa-sisa tenaga masih tinggal sedikit cuma.
“Ya Allah, puan... kenapa dipukul anak ni?” Rokiah yang sedang
menyapu dedauan yang berguguran di laman rumah, menerkam naik ke beranda rumah.
Suara teriakan Wardina Amni mengejutkannya sehingga tanpa sedar penyapu di
tangannya, dibaling entah ke mana.
Rokiah cuba menghalang tindakan
Suriyana yang tak sudah-sudah memukul tubuh anak itu. Wardina Amni nampak lemah
tak bermaya.
“Sudah puan, sudah! Kasihan anak
ini,” rayu Rokiah.
“Hei, Kak Kiah... aku tengah
mengajar anaklah! Biar dia tahu susah senang hidup ni. Biar dia tahu betapa aku
sengsara punya anak seperti dia! Kau jangan menyibuk, boleh tak?” marah
Suriyana.
“Tapi kalau nak mengajar anak pun,
takkan macam ni sekali puan pukul dia. Budak ni kecik lagi, puan. Sabarlah...”
“Kak Kiah ke tepi! Nanti dengan
Kak Kiah sekali kena balun dengan penyapu ni...” Suriyana mencapai seberkas
penyapu lidi di kaki tangga. Penyapu yang digunakan Rokiah tadi.
“Puan balunlah Kak Kiah, kalau
puan rasa itu boleh meredakan perasaan marah puan terhadap anak ni.”
“Eeii... Kak Kiah jangan nak sibuk
dengan hal keluarga saya boleh tak?! Dah! Dah! Kak Kiah boleh berambus!”
Suriyana menolak kasar tubuh Rokiah.
Terhenyak tubuh wanita itu ke
lantai. Rokiah mengaduh perlahan sambil meraba tulang punggungnya yang sakit.
Pada masa yang sama, tangan
Suriyana masih tak lepas memukul tubuh Wardina Amni. Kini dengan menggunakan
penyapu lidi pula. Campur tangan Rokiah itu ternyata menambahkan lagi kemarahan
Suriyana.
“Aduh! Sakit mak, sakit! Ampuni
Dina, mak. Maafkan Dina.” Wardina Amni merayu dan terus merayu mohon dibelas
kasihan. Ternyata, hati Suriyana begitu keras untuk menerima suratan takdir dan
melampiaskan segala tekanan terhadap anak itu.
“Sekarang kau keluar, berambus
dari rumah ni!” tengking Suriyana sekuat hati.
“Puan, janganlah berkasar macam
ni. Kasihanilah anak ni!” Rokiah mendekati tubuh Wardina Amni yang sudah lesu,
tak bermaya itu. Didakapnya tubuh Wardina Amni.
“Arghhh! Aku peduli apa kalau dia
mampus sekalipun!” Suara Suriyana lantang bak halilintar membelah bumi.
Dalam dakapan Rokiah, Wardina Amni
kelelahan. Dia tercungap-cungap menahan nafas. Matanya yang kabur dengan air
mata kini bertukar gelap-gelita. Pening kepalanya bertukar menjadi berat bak
dihempap objek yang besar.
“Dina, Dina...” Rokiah
menggoncang-goncang tubuh Wardina Amni mengharapkan anak itu membuka matanya.
“Puan memang kejam, kejam! Apa
dosa anak ini sehingga sebegini buruk layanan puan terhadap dia?!” Rokiah
memberanikan diri menentang Suriyana yang sudah menyinga itu.
“Arghhh! Kau berambus, Kiah. Kau
berambus dari rumah aku, sekarang juga! Kau tak tahu hujung pangkal cerita,
jangan nak tunjuk pandai. Jangan nak bela budak ni!”
“Mengucap, puan... kenapa sampai
macam ni puan membenci anak ni? Bukan ke anak ini darah daging puan?”
“Sudah, Kiah! Baik kau berambus!
Berambus!” tempik Suriyana macam orang dah kena histeria. Tubuh Wardina Amni
yang sudah terkulai di riba wanita itu ditarik kasar dan dihenyaknya ke lantai.
Terpinga-pinga Rokiah dengan tindakan Suriyana. Sungguh tak disangka, sezalim
itu Suriyana melayan anaknya.
Suriyana masuk ke dalam rumah.
Sekejap cuma dia keluar ke beranda itu dengan segugus kunci di tangan.
“Puan! Jangan, puan!” Rokiah
meraung kuat apabila Suriyana mengheret tubuhnya ke pintu pagar rumah.
“Dah, berambus! Jangan datang lagi
ke rumah aku!” tempik Suriyana sambil menolak kuat tubuh Rokiah.
Rokiah terperosok ke luar pagar,
dekat dengan deretan pokok palma.
“Ya Allah, puan. Mengucap puan, mengucap! Saya tak kisah kalau
puan layan saya macam ni, tapi kasihanilah anak puan tu...” Rokiah menangis
panjang, masih berusaha masuk ke halaman rumah. Namun secepat itu juga,
Suriyana memangga pintu pagarnya.
“Puan, buka pintu ni puan.
Kasihanilah Dina...”