8
"SUBHANALLAH! Apa dah jadi sebenarnya ni, Man? Dah berapa
hari Dina jadi macam ni?” tanya Juriah dengan perasaan sedih yang bukan
sedikit.
Wardina Amni yang bertubuh kurus itu nampak lena dalam
selimut tebal berwarna putih. Di mulutnya terdapat satu alat yang membantunya
bernafas dengan lebih berkesan. Di tangan kirinya pula ada jarum yang
menyambungkan wayar putih jernih ke beg plastik yang mengandungi cecair,
tersangkut di sebatang tiang.
“Dah tiga hari, mak,” jawab Osman lemah.
“Dah tiga hari, baru kau bagitahu mak?” Juriah terkejut
mendengar penjelasan Osman. Tanpa sedar, dia meninggi suara. Wajah Juriah
menggambarkan perasaan hampa, merenung wajah Osman yang dipalit rasa bersalah.
“Maafkan Man, mak. Man ingat tak serius mana keadaannya.
Tapi bila doktor kata kemungkinan besar ada masalah kat paru-paru, Man takut
mak. Man takut.” Osman menangis teresak-esak. Dipeluk tubuh Juriah, mencari
ketenangan di sebalik tubuh insan bernama ibu.
“Itulah, elok-elok dah mak jaga budak ni masa kecik-kecik
dulu, kau sibuk nak bawak dia balik. Kalau mak yang jaga, tak adalah jadi macam
ni.” Juriah membebel.
“Mak, Man takut kehilangan Dina. Man takut Dina akan
tinggalkan Man.” Osman meluahkan perasaan sedihnya.
“Hisy, jangan fikir macam tu, Man! Kita doa yang baik-baik
saja. Doktor sedang berusaha, berikhtiar untuk menyembuhkan dia,” pujuk Juriah
tenang meskipun dalam hatinya hanya ALLAH yang tahu betapa dia tersentap besar
mendengar kata-kata Osman itu.
Osman ternyata sedih dan tertekan. Kata-katanya seperti
orang berputus asa. Keadaan anaknya yang nampak tidak terurus itu membuatkan
Juriah semakin sebak.
“Dina, nenek datang, sayang…” Juriah merapati tubuh
cucunya itu. Dia berbisik di cuping telinga Wardina Amni. Namun, Wardina Amni
langsung tak bereaksi. Matanya tertutup rapat di sebalik wajahnya yang pucat.
“Apa kata doktor lagi?”
“Keputusan ujian makmal akan diketahui petang ni.”
“Man…” Satu suara menyapa gegendang telinga.
Osman berpaling. Mahmud hadir di antara mereka dengan
manik-manik peluh merenik di dahi.
“Dina kenapa, Man?” tanya Mahmud cemas. Dahinya berkerut.
Pandangannya tumpah ke seraut wajah Wardina Amni yang terkedang lesu di
perbaringan. Juriah di katil, di tepi Wardina Amni nampak berhiba. Kala mata
mereka beradu, Mahmud perasan, ada sisa air mata bergenangan di kelopak mata
ibunya.
“Doktor beritahu ada jangkitan kuman kat paru-paru dia.
Tapi keputusan makmal belum tahu lagi,” jelas Osman lemah.
“Dia demam ke sebelum ni?” tanya Mahmud ingin tahu.
Pertanyaan Mahmud itu sedikit sebanyak membuatkan Osman terdiam
seketika. Dia pun tidak tahu sama ada Wardina Amni demam atau sihat sepanjang
dia berada di luar kawasan. Setiap kali dia menelefon di rumah bertanya khabar,
tak ada pula Suriyana bercerita tentang sakit demam anaknya itu.
Sedikit sebanyak memikirkan perkara ini membuatkan Osman
teringatkan Suriyana di rumah. Sudah tiga hari, dua malam dia bermalam di
hospital ini. Namun, Suriyana langsung tak menjenguk mereka. Apa dah jadi
dengan bini kesayangannya itu? Berkecil hati sangatkah Suriyana kerana jerkahannya
tempoh hari? Berkasar sangatkah dia terhadap isterinya itu kalau nak
dibandingkan apa yang telah dilakukan Suriyana terhadap Wardina Amni?
Sepanjang Osman berada di rumah, layanan Suriyana terhadap
Mardiah Amna, Faizul Ikhwan dan Wardina Amni nampak sama saja. Tidak pernah pun
Osman perasan yang Suriyana melayan kasar anak itu. Sementelaah pula Wardina
Amni tidak pernah pun mengadu Suriyana melayannya dengan buruk. Begitu juga
Rokiah, pembantu rumah mereka tidak pernah mengadu itu ini kepada Osman.
Status Rokiah hanya pembantu separuh masa di rumah mereka.
Rokiah masuk kerja seawal lapan pagi dan meninggalkan rumah itu sekitar jam
empat petang. Tugas Rokiah mengemas rumah dan memasak untuk mereka sekeluarga.
Kerja-kerja membasuh, menyidai, melipat dan menyerika pakaian tergalas di bahu
Rokiah. Begitu juga menjaga tanaman hiasan, kolam ikan dan halaman rumah. Namun
sekiranya Osman ada di rumah, Rokiah tidak diizinkan datang oleh Suriyana. Kata
Suriyana, dia mahukan masa yang privasi untuk bersama suami dan anak-anak.
“Man, kalau ada masalah paru-paru biasanya petanda awalnya
masa kecik-kecik dulu ada lelah. Sebelum-sebelum ni, Dina ada lelah ke?” Mahmud
bertanya lagi mengejutkan lamunan perasaan Osman yang ralit berfikir tentang
Suriyana.
“Rasanya tak ada lelah pun sebelum ni,” jawab Osman.
“Mak rasa pun Dina sihat aje masa kecilnya. Tak ada sakit
apa pun,” tokok Juriah yang sejak tadi langsung tak menyampuk perbualan
anak-anaknya.
Mahmud yang mendengar jawapan kedua mereka cuma mengangguk
serius.
“Tak apalah, Man. Insya-ALLAH, kes ni tak serius. Dina ni
budak kuat. Dia mesti boleh lawan apa saja penyakit dalam tubuh dia,” balas
Mahmud dengan nada penuh semangat. Dia merapatkan tubuhnya ke katil. Dahi anak
saudaranya itu disentuh. Rambut Wardina Amni yang panjang separas bahu itu
dielusnya lembut.
“Dina, ayah long datang ni.” Mahmud cuba bercakap dengan
Wardina Amni. Namun seperti tadi juga Wardina Amni masih lagi membisu. Mahmud
kemudiannya berbisik sesuatu ke telinga Wardina Amni. Butirnya tak jelas di
telinga Juriah mahupun Osman.
“Eh, Man... Suri mana? Dari tadi tak nampak pun?” tanya
Juriah menyedari menantunya tiada di situ.
Osman dan Mahmud saling berpandangan mendengar pertanyaan
Juriah itu.
Dalam keadaan serba salah, Osman menjawab. “Dia kat rumah,
mak. Biarlah dia berehat pulak. Bergilir-gilir jaga Dina. Karang tak
pasal-pasal pulak dia kena darah tinggi. Suri kan tak boleh stres.” Laju saja
mulut Osman mereka cerita.
Dia pun tak tahu kenapa dia tega berbohong dengan emak
sendiri kerana isterinya. Yang penting, Osman tak mahu memburukkan Suriyana
apatah lagi Mahmud ada di situ. Baru beberapa hari lepas mereka bertegang urat
kerana Suriyana. Kerana Suriyana jugalah, dia seperti melancarkan perang dingin
terhadap abang sendiri.
“Man, tadi abang ke rumah kau. Kata Diah dan Zul, kau dah
banyak hari tak balik rumah. Kata mereka lagi, Suri baru aje keluar jumpa
kawan. Dia orang pun tercengang-cengang bila aku tanya kenapa tak pergi jenguk
Dina kat hospital. Zul kata, mak tak bagitahu yang Dina masuk hospital. Bila
abang tanya, tahu tak ke mana Dina pergi, Diah cakap mak bagi tahu yang Dina ke
rumah nenek.” Mahmud bercerita panjang lebar.
“Eh, abang buat apa pergi rumah Man?” tanya Osman
terkejut. Cerita Mahmud itu cukup membuatkan air wajahnya berubah. Sesekali dia
memandang wajah Mahmud, sesekali dia memandang wajah Juriah. Ternyata dia
dihambat rasa bersalah. Dia sudah menipu tadi dan kali ini dia seperti
terperangkap dengan muslihat sendiri.
“Oh, masa mak telefon abang bagitahu Dina masuk hospital
tadi, abang memang dah nak keluar. Niat nak pergi rumah Alias. Bininya Alias
mengandung, mengidam nak makan ikan pekasam. Tu yang dia kirim masa abang ke
Perak tempoh hari. Dalam perjalanan ke rumah dia, abang lalu kat rumah kau.
Masa tulah abang nampak si Zul naik basikal, baru balik dari kedai. Abang pun
singgah kejap tanya khabar.”
“Lah… ya ke?” Osman bersuara separuh mengeluh.
“Sebenarnya, bang... kami sengaja tak nak bagi tahu Zul
dan Diah. Bukan apa takut dia orang risau,” jawab Osman lagi.
“Kau kata malam tadi Suri yang jaga Dina. Tapi macam mana
pulak Zul kata kau dah banyak hari tak balik rumah? Pulak tu, Zul bagitahu yang
emaknya baru keluar jumpa kawan?” tanya Mahmud keliru.
Osman terdiam dalam meneliti butir percakapannya dengan
Mahmud tadi. Ternyata, pembohongan kali pertama akan menciptakan lebih banyak
pembohongan.
“Hmm... ada baiknya kalau kau bagitahu aje Diah dan Zul tu
pasal Dina ni, Man. Kesian budak-budak tu tak tahu yang adiknya sakit, sampai masuk
hospital.” Juriah yang sejak tadi tidak henti mengusap kepala Wardina Amni
memberi cadangan.
“Mak tak rasa yang pelajaran budak-budak tu akan
terganggu. Lagipun kesian Dina, dia pun rindu nak dengar suara kakak dan
abangnya.” Juriah bersuara lagi sambil memandang tepat ke wajah Osman.
Osman mengangguk faham akan kata-kata Juriah itu.
“Sementara mak dan abang ada kat sini, Man keluar makan sekejap ya.” Osman
berlalu keluar sebelum sempat Juriah dan Mahmud memberi jawapannya.
“Mak, Mud rasa Man tu macam ada yang tak kena aje kan?”
tanya Mahmud kepada Juriah separuh berbisik apabila diyakininya yang adiknya
sudah berlalu ke kantin. Ingin saja dia mempersoalkan tentang Suriyana dan
kisah pertemuannya dengan Faizul Ikhwan tadi.
“Alah Mud, apa lagi?! Dia nak kita ni fikir hal yang
baik-baik saja tentang keluarga dia. Tentang Suri. Mak tahu, Osman tak mahu
bininya nampak buruk di mata kita. Hah, itulah... kalau dah sayang bini sangat!
Lagipun, mak tak rasa pun Suri nak berjaga malam tidur kat
hospital ni, Mud oiii! Mak tengok gaya Man tu, dah tak terurus langsung,” komen
Juriah bagaikan mengerti segala apa yang bermain di benak Mahmud.
“Hah, yang kau pulak, kenapa ke mari tak diajak Kasnah
sekali?!”
Kini, giliran Mahmud pula diajukan soalan oleh Juriah.
Kornea matanya tepat memanah ke kornea mata anak sulung itu. Mahmud sedikit
tersentap kala mata mereka beradu. Sebaik saja Juriah menjuihkan bibir, Mahmud
sekadar menghela nafas sukar.
“Mud tak merancang nak ke mari mak,” jawab Mahmud lesu.
“Ermmm, ya la tu Mud! Mak pun tak tahu, kenapa la… baik
Suri mahupun Kasnah, dua-dua anti sangat dengan budak Dina ni. Kau dengan Man
pun, sama je Mud. Dua-dua duk bela perangai bini yang entah apa-apa,” komen
Juriah dengan wajah tak puas hati. Mahmud langsung tidak menjawab meskipun
kata-kata emaknya itu cukup membuatkan dia berkecil hati. Baginya adalah lebih
baik dia berdiam diri saja dari membuat sebarang komen.
Mahmud tidak mahu bertegang urat dengan Juriah hanya
kerana Kasnah. Lagipun, mereka kini di wad yang menempatkan tubuh Wardina Amni
yang sedang sakit. Cakap-cakap mereka sebegini hanya akan mengganggu rehat anak
saudaranya itu. Meskipun Wardina Amni nampak sedang lena, tetapi mungkin dia
berada dalam keadaan separuh sedar dan mendengar setiap butir perbualan mereka.
Kasihan anak malang itu.
‘Percayalah, Dina. Walaupun mak Dina mahupun mak long Dina
tak sayangkan Dina, tapi ayah long tidak begitu. Ayah long sangat sayangkan
Dina seperti anak ayah long sendiri,’ bisik Mahmud seraya melemparkan pandangan
ke seraut wajah polos Wardina Amni yang masih tak bergerak sejak tadi.
“SAMPAI hati awak, Suri.
Sehari pun Suri tak datang jenguk kami kat hospital,” luah Osman sebaik saja
menapak masuk ke kamarnya. Kelihatan Suriyana sedang mengetip kuku di birai
katil.
“Alah, bang... Suri datang ke tak datang ke, tak mengubah
keadaan! Suri bukannya doktor yang boleh sembuhkan sakit budak tu.” Suriyana
bersuara selamba.
“Astaghfirullahalazim, Suri. Sungguh abang tak sangka,
Suri sanggup cakap macam ni. Suri kan emaknya?” Osman menjegilkan matanya
memandang Suriyana.
“Bang... kalau abang tak ingatkan Suri pun, Suri tak lupa
hal ni. Suri memang emaknya. Dina tu
anak Suri, anak kita. Itu dah kenyataannya. Suri yang beranakkan dia, 12 tahun
lalu. Macam mana abang boleh fikir Suri lupa? Kut abang tu nyanyuk tak
tahulah.” Suriyana sinis menjawab. Langsung tak dipanggung kepalanya, memandang
wajah Osman yang merah padam.
“Suri!” Kemarahan Osman kian memuncak. Kata-kata Suriyana
jelas menunjukkan yang isterinya itu langsung tidak menghormatinya sebagai
seorang suami. Malah pandai pula menjawab.
“Eh, abang tengking Suri ni, kenapa?! Abang tahu tak, kita
ni selalu sangat bergaduh pasal budak Dina tu!” bentak Suriyana. Berang
nampaknya dia kerana Osman makin meninggikan suara. Tindakan Osman yang menegur
sikapnya membuatkan tubuhnya makin berangin taufan.
“Tapi sekurang-kurangnya ambillah berat pasal dia, Suri.
Kasihan Dina!”
“Ayahnya kan ada? Apa, susah sangat ke nak jaga budak
tu? Lagipun kat hospital tu ada doktor
dan jururawat tolong jagakan. Selama ni, Suri jaga budak tiga orang tu, tak
pernah pun mengungkit. Selama abang tinggalkan kami, Suri tak bising pun. Sakit
demam kami, susah payah kami, ada abang ambil tahu? Suri ni, bang... alahan itu
ini, kejang kaki masa mengandung dulu, abang ada kisah?
Suri nak tanya abang, abang ada tak masa Suri susah payah beranak tiga orang anak kita? Tahu pun susah
jaga anak, kan? Macam tulah yang Suri rasa pada saat abang tak ada di sisi
Suri. Macam mana tertekannya Suri, tau?” ungkit Suriyana, menyemburkan
kata-kata. Langsung tak dipedulikan hati Osman yang kian tergores.
“SAKIT apa, dik? Abang tak tahu pun?” tanya Faizul Ikhwan
dengan wajah ingin tahu.
“Doktor bagitahu, adik ada jangkitan kuman kat paru-paru.”
Wardina Amni menjawab pertanyaan abangnya.
“Lah, kenapa mak bagitahu yang adik ke rumah nenek?” soal
Mardiah Amna.
“Aik, ya ke?! Takkan mak tak tahu kut,” balas Wardina Amni
akan kata-kata kakaknya itu.
“Entah, mak macam relaks aje. Kalau dia tahu adik masuk
hospital takkan dia tak pergi tengok adik kut.” Giliran Mardiah Amna pula
berhujah.
“Tak apalah, kak.” Wardina Amni membalas meskipun hatinya
pedih mengenangkan sikap Suriyana terhadap dirinya.
Emaknya ternyata tak menyukainya. Malah, mungkin
membencinya. Dia pun tidak tahu kenapa dan tidak pernah bertanya kenapa dia
mendapat layanan sedemikian. Hanya Wardina Amni saja yang tahu betapa dia
menyimpan perasaan sedih, kecewa dan tersinggung dengan kasih sayang Suriyana
terhadapnya.
Kasih sayang yang penuh palsu itu ditampilkan di depan
Osman dan adik-beradik yang lain menyebabkan Wardina Amni tidak tahu, harus
kepada siapa dia berkongsi perasaan sedih itu. Di belakang mereka, dia tidak
ubah seperti budak suruhan yang sering kali membuat kesilapan demi kesilapan.
Bahananya hanya dia yang menanggung segala beban keperitan.
“Tu bekas jarum ke, dik?” soal Mardiah Amna.
“Eeii… lebam tangan kau, dik!” komen Faizul Ikhwan.
“Ha’ah, sakit kak, abang. Doktor ambik darah kat sinilah.
Doktor masukkan air pun kat sini juga,” cerita Wardina Amni tentang kesakitan
yang ditanggung.
“Aduh, kesian kau ya, dik!” luah Faizul Ikhwan simpati.
“Tulah, abang tak datang pun hospital tengok adik.”
“Ehem... ehem…” Satu suara mengejutkan perbualan mereka
bertiga.
Ketiga-tiga mereka serentak berpaling ke muka pintu bilik.
Wardina Amni terperanjat besar melihat Suriyana yang tiba-tiba hadir di bilik
itu, di sisi abang dan kakaknya. Entah kenapa, melihat mata Suriyana yang
mencerlung garang, perutnya menjadi kecut tiba-tiba.
“Kenapa mak tak cakap pun adik masuk hospital?” soal
Mardiah Amna sebaik saja Suriyana melabuhkan punggung di sisinya.
“Mak tak mahu Diah dengan Zul susah hati kalau tahu Dina
sakit,” jawab Suriyana seraya mengusap rambut Mardiah Amna.
“Dina dah okey?” soal Suriyana lembut. Nada suaranya
kedengaran ikhlas dan cukup menyejukkan hati Wardina Amni. Entah kenapa, wajah
Suriyana yang mencerlung tadi kini bertukar sebening wajah yang mendamaikan.
Kata-kata Suriyana yang berbau cakna itu sedikit sebanyak membuatkan hatinya
senang.
WARDINA AMNI berasa lega sangat. Suriyana tidak lagi
menyuruhnya membuat itu ini. Sepanjang seminggu berada di rumah kerana Osman
melarangnya ke sekolah, selama itulah dia dapat merehatkan badan. Ternyata
kepulangan ayahnya di rumah itu membuatkan perasaannya terhibur.