6
10
tahun kemudian.
“ASTAGHFIRULLAHALAZIM,
Ya Allah...
biar betul apa yang aku nampak ni!” Mahmud bersuara hampir menjerit sebaik saja
mematikan enjin kereta di tepi jalan, dekat dengan pokok ketapang.
Mahmud keluar dari perut kereta dan menutup daun pintu
perlahan. Dia berjalan mendekati sebuah kereta putih di tepi jalan itu, kurang
20 meter di depan keretanya. Penghuni di dalam kereta itu seperti langsung tak
menyedari kehadirannya. Mungkin juga kereta yang diparkirnya terlindung di
sebalik pepohon yang berderet di tepi jalan.
Atau mungkin juga enjin keretanya berbunyi perlahan, bukan jenis mengaum
dan memekakkan telinga.
Biasan cahaya lampu jalan dan simbahan cahaya bulan
mengambang penuh memudahkan pandangannya. Sekali pandang, Mahmud perasan di dalam
kereta itu ada seorang perempuan memandangkan susuk tubuh dan rambutnya yang
panjang mengurai.
Benaknya laju memikirkan apa yang dibuat perempuan itu
dalam kereta tengah malam begini. Nampaknya perempuan itu bukan berseorangan.
Ada seseorang di sisinya yang tak begitu jelas susuknya. Susuk tubuh itu
terlindung di sebalik susuk tubuh perempuan tadi.
Mahmud menekan punat di jam tangannya, sekadar memperoleh
sedikit cahaya untuk terus menapak mendekati kereta itu. Jam tangannya jelas
menunjukkan pukul 1.30 pagi. Dia diterjah perasaan ingin tahu. Kenapa kereta
yang tersadai di bawah pokok itu berpenghuni pada waktu-waktu sebegini? Sesuatu
yang mencurigakan.
Setelah agak lama memerhati, matanya mengecam seorang
lelaki dan seorang perempuan di bahagian hadapan kereta itu. Dia yakin, akalnya
tidak silap. Kornea matanya tak mungkin tersalah pandang.
‘Budak-budak ni memang nakal tak bertempat. Tau nak
seronok aje!’ tempik hati Mahmud kuat. Rasa marah mula merusuh hebat
mengenangkan gejala sosial para remaja makin bernanah. Hajat hatinya yang mahu
ke rumah Osman ditangguhkan.
Mahmud terhendap-hendap melalui cermin belakang kereta.
Dia ingin melihat perbuatan mereka dengan lebih nyata. Kala dia semakin
merapati tubuh kereta itu dari bonet belakang, pandangannya kian jelas.
Pasangan di dalam kereta itu sedang bercumbu-cumbuan, berpeluk-pelukan melayan
nafsu berahi.
“Astaghfirullahalazim...” Dia mengucap panjang. Dia yakin,
pasangan itu bukan setakat bercumbu-cumbuan, malah lebih daripada itu.
Mahmud menampar kuat punggung kereta sebelum mengetuk
cermin kereta bertalu. Dia mahu bercakap dengan pasangan itu. Namun,
kedua-duanya nampak terkejut dan berdegil untuk tidak membuka daun pintu.
Malah, cermin kereta pun tak diturunkan.
Apabila enjin kereta dihidupkan, Mahmud terkejut bukan
kepalang. Kereta itu tergesa-gesa mengundur dan hampir melanggar tubuhnya.
Tidak lama kemudian, kereta Mitsubihi berwarna putih itu memecut laju.
Mahmud menjerit geram. Tindakannya gagal sama sekali. Dia
gagal untuk menegur pasangan itu, malah dia juga gagal mengecam raut wajah
mereka.
Mahmud meneruskan langkah ke perkarangan rumah Osman.
Pintu pagar rumah Osman yang tidak berkunci memudahkan hajatnya. Niatnya mahu
bertemu Suriyana dan mengambil fail perniagaan milik adiknya yang tertinggal.
Osman menelefonnya lewat tadi dan meminta dia ke rumahnya mengambil fail itu.
Osman sudah seminggu berada di Perak atas urusan jual beli perabot.
Sekejap lagi, dia pula akan menyusul untuk sama-sama
menghadiri beberapa mesyuarat penting di sana. Nak tak nak, dia terpaksa ke
rumah Osman untuk mengambil fail yang mengandungi dokumen penting yang akan
dibincangkan dalam mesyuarat pada hari esok.
Mahmud meneruskan langkah ke rumah Suriyana dengan
perasaan marah yang meluap-luap. Rasa geram dan tercabar masih bermain-main di
hujung dadanya yang berbahang. Fikirannya masih memikirkan tentang kereta putih
dan pasangan di dalamnya. Sedikit sebanyak, dia juga kesal kerana buru-buru
mengetuk cermin kereta berkenaan walhal dia sepatutnya mengajak beberapa saksi
untuk turut sama melihat perbuatan mereka. Perbuatan mereka perlu dihukum.
Setibanya di rumah Osman, Mahmud memberi salam dan
mengetuk daun pintu bertalu. Rasa kesal menghambat jiwa bertandang ke rumah
adik ipar dan anak saudaranya pada tengah malam buta begini. Kehadirannya bisa
mengganggu tidur penghuni rumah. Esok
pula, mereka bersekolah.
Mahmud menunggu dengan penuh sabar. Ketukannya yang kuat
semakin dikuatkan. Dia terpaksa juga menunggu salah seorang daripada penghuni
rumah berkenaan terjaga dan membuka daun pintu untuknya. Jenuh sudah salam
diberi, namun tiada tanda-tanda yang daun pintu akan dikuak penghuninya.
“Suri, oh… Suri!” Mahmud melaung dari luar rumah sambil
tangannya terus mengetuk daun pintu bertalu. Dia berharap benar penantiannya
berbaloi. Sepuluh minit berlalu, ternyata usahanya sia-sia saja.
Mahmud mengeluh berat. Dia tidak kuasa mahu menunggu
terlalu lama apatah lagi perjalanannya perlu diteruskan. Namun apakah bentuk
alasan yang akan diberi kepada Osman pada esok hari? Fail itu penting untuk
melancarkan mesyuarat mereka.
Agak jemu berada di beranda rumah, Mahmud turun ke tanah
dan meninjau-ninjau ke dalam rumah. Kelihatan rumah itu agak cerah kerana ada
cahaya lampu yang terpasang. Cuma keadaannya sunyi sepi. Sah, semua penghuninya
tidur mati. Mahmud tiada pilihan. Dia
mengetuk salah satu bilik yang paling dekat dengan tempatnya berdiri. Dia tidak
tahu siapa yang tidur di kamar itu,
tetapi dia terpaksa rela mengejutkan penghuninya.
“Suri, oh Suri!” Mahmud menepuk kuat dinding bilik rumah batu
separuh kayu itu dengan harapan Suri akan terjaga daripada lenanya.
“Ya ALLAH, kenapa semua orang tak sedar suara aku kuat
macam ni?” keluh Mahmud berputus asa.
“Zul, oh Zul…” Mahmud menampar kuat tingkap bilik itu.
Berulang-ulang dengan harapan salah seorang anak saudaranya tersedar daripada
tidur. Walaupun kehadirannya pada waktu lewat begini adalah tidak wajar, namun
keadaan sekarang benar-benar mendesak!
“Diah, oh Diah! Buka pintu kejap. Ayah long datang ni.
Penting!” laung Mahmud lagi. Sekalipun dia mengutuk tindakan sendiri, namun dia
tiada pilihan lagi. Dia pun menerima panggilan telefon daripada Osman sekitar
jam 11.30 malam memintanya mengambil fail itu.
“Alah, bang... nak buat macam mana, dah tertinggal. Saya
pun baru perasan ni, hah! Esok nak tunjuk kat klien. Saya ingat dah masuk dalam
beg ni, rupa-rupanya tertinggal.” Osman bersuara kesal sewaktu menelefonnya
tadi.
“Dah lewat sangat ni, Man... nak gi umah kau lagi. Tak
sedap pulak rasanya ganggu anak bini kau tidur.”
“Tadi saya ada telefon rumah mintak Suri tunggu abang
datang, tapi telefon rumah tak berangkat. Yalah, dah lewat ni. Mungkin Suri dan
anak-anak dah tidur. Tak apalah, abang pergi aje rumah. Ketuk pintu tu
kuat-kuat, nanti terjagalah mereka. Fail tu warna merah emas, ada dalam laci
paling atas kat bilik perpustakaan.”
“Kau ni, Man... macam-macamlah. Nantilah abang pergi,”
rungut Mahmud, terpaksa bersetuju demi kepentingan bersama.
“Alah, lagipun abang kan lalu kat rumah Man juga nak ke
Ipoh ni. Tolong ya, bang,” pujuk Osman penuh mengharap.
Mahmud mengheret nafas lega apabila lampu bilik berkenaan
dipasang penghuninya. Seraut wajah Osman yang terlayar-layar di depan mata
terbang begitu saja. Bunyi daun tingkap nako dibuka seseorang membuatkan Osman
memanggung kepala.
Seseorang mengintainya dari celahan tingkap.
“Siapa?” Satu suara garau menyoalnya.
“Zul, ayah long ni.” Mahmud memperkenalkan diri apabila
dirasakan suara Faizul Ikhwan di situ.
“Ayah long?” Suara Faizul Ikhwan kedengaran dalam tanda
tanya. Mungkin tidak percaya kehadirannya di situ, pada jam sebegini.
“Ya, Zul. Buka pintu sekejap. Ayah long datang nak ambil
fail. Ayah pesan,” jelas Mahmud.
Tidak lama kemudian, lampu di beranda rumah dipasang
menyebabkan kawasan itu terang-benderang. Daun pintu utama juga dikuak.
“Zul ingatkan, Zul bermimpi tadi.” Suara Faizul Ikhwan
kedengaran berbasa-basi melayani kehadiran ayah saudaranya itu. Tangannya
menenyeh bola mata yang masih berpisat-pisat menahan kantuk.
“Maaflah, Zul. Ayah long datang ni nak ambik fail ayah.
Dia telefon tadi. Katanya fail tu dalam bilik perpustakaan. Dalam laci paling
atas,” jelas Mahmud tanpa berlengah menyampaikan hajatnya ke situ.
“Ayah long masuklah ambik fail tu dalam bilik kerja ayah.
Zul nak ke tandas. Dah tak tahan, nak terkencing sangat ni.” Faizul Ikhwan
memberitahu.
Tanpa menunggu jawapan daripada Mahmud, Faizul Ikhwan
gesa-gesa berlalu ke dapur, mahu menunaikan hajat. Mahmud pula melangkah masuk
ke dalam rumah Osman menuju ke bilik perpustakaan merangkap bilik kerja
adiknya.
Rumah itu sunyi sepi. Hening malam menceritakan setiap
penghuninya larut dalam lena yang panjang. Masing-masing agaknya terbuai dalam
mimpi indah.
“Jumpa ke failnya, ayah long?” soal Faizul Ikhwan
tiba-tiba hadir di belakangnya. Mukanya nampak basah. Mungkin membasuh mukanya
sewaktu ke bilik air tadi.
Mahmud hanya menggeleng. Wajahnya berkerut. “Ayah beritahu
ayah long, fail tu dalam laci paling atas. Tapi tak ada pulak sebarang fail
berwarna merah emas di sini. Confiuspulak ayah long,” terang Mahmud
sambil menggaru kepalanya. Puas sudah diselongkar satu per satu laci dalam
bilik kerja berkenaan.
“Aduh, macam mana ni?! Nak tak nak, kena cari jugak malam
ni. Ayah long dah nak bertolak ke Ipoh ni,” gesa Mahmud seraya memandang tepat
ke wajah anak bujang Osman.
Faizul Ikhwan melilau-lilau di sekitar bilik itu. Setiap
buku yang kemas berbaris di rak dibeleknya satu per satu. Dari rak paling bawah
sehinggalah rak paling atas. Namun, usaha mereka nampaknya sia-sia belaka.
“Penatlah macam ni, ayah long. Mungkin ayah letak tempat
lain kut?!” soal Faizul Ikhwan separuh merungut. Dia seperti berputus asa
mencari sesuatu yang belum ditemuinya. Sudah hampir 20 minit mereka
mundar-mandir di bilik itu.
“Kejap ya, ayah long. Zul kejutkan mak. Mungkin mak ada
alih fail tu dan simpan kat mana-mana.” Faizul Ikhwan memberi cadangan.
Mahmud hanya mengangguk macam burung tekukur, setuju
dengan cadangan anak saudaranya itu. Biasanya isteri yang tahu di mana barang
suaminya. Mungkin dialih di mana-mana.
“Ayah long, mak tak ada kat biliklah!” Suara Faizul Ikhwan
kedengaran bertempik dari bilik emaknya.
Mahmud berlari mendapatkan Faizul Ikhwan yang bersuara
cemas.
“Hah?! Ya ke?” tanya Mahmud ingin kepastian. Dahinya
berkerut seribu. Memang Suriyana tiada di biliknya.
“Pergi mana?” soal Mahmud melihat wajah Faizul Ikhwan yang
penuh teka-teki.
“Hairan! Mak tak cakap apa-apa pun,” balas Faizul Ikhwan
akan pertanyaan Mahmud tadi.
“Ke ada emergency?” soal Mahmud lagi.
“Zul pergi intai bilik Diah dengan Dina. Manalah tau
kut-kut mak Zul tidur kat situ?” tebak Mahmud.
Faizul Ikhwan akur akan saranan Mahmud itu. Perlahan dia
memulas daun pintu bilik Wardina Amni dan Mardiah Amna. Adik dan kakaknya tidur
dengan lena sekali. Hampa dirinya kerana ternyata Suriyana tiada bersama
mereka.
“Ada ke maknya, Zul?” tanya Mahmud.
Faizul Ikhwan sekadar menggeleng. Namun benaknya ligat
diserang pertanyaan demi pertanyaan.
“Aik? Ke mana pulak Suri ni?” Mahmud berbutir.
“Selalu ke mak kamu hilang malam-malam Zul?” tanya Mahmud,
menyoal siasat.
“Entahlah, ayah long. Tadi Zul tidur dalam jam 11.00, emak
ada lagi kat depan tengok tv.
Jangan-jangan emak kena culik tak?” Faizul Ikhwan menduga. Cuak dia
mengenangkan sebarang kemungkinan buruk berlaku kepada emaknya.
“Kalau kena culik, rumah ni mungkin ada ciri-ciri
diceroboh masuk. Masa Zul buka pintu ayah long datang tadi, pintu depan tu
berkunci elok, kan?” soal Mahmud cuba mententeramkan rasa bimbang Faizul
Ikhwan.
“Ha’ah... tadi semuanya okey aje. Tak ada pulak ciri-ciri
rumah ni dipecah masuk.” Faizul Ikhwan bersetuju akan kata-kata Mahmud.
“Ayah long ingat dia ada hal kat luar. Kita doakan emak
selamat ya? Insya-ALLAHlah tu. Tapi, kalau tak ada hal penting, takkan dia tak
balik lagi jam gini?” Mahmud memberi buah fikiran cuba meredakan perasaan
Faizul Ikhwan yang kian merusuh. Air wajah Faizul Ikhwan menggambarkan riak
tidak senang. Mungkin anak muda itu khuatir akan keselamatan emaknya yang entah
ke mana.
“Abang, ayah long, kenapa ni?” Satu suara halus menyampuk
perbualan mereka. Wardina Amni hadir di ruang itu dengan wajah mengantuk.
“Maaf, sayang. Ayah long dah buat semua orang terbangun.”
“Kenapa ayah long datang malam-malam ni?” soal Wardina
Amni seraya merapati tubuh Mahmud.
“Ayah long datang nak ambil fail ayah warna merah. Dina
ada nampak tak?”
“Yang tu ke?” soal Wardina Amni sambil menunjuk ke satu
arah. Mahmud berjalan ke arah rak kabinet tv.
Fail berwarna merah emas itu ada di atas rak yang paling atas.
“Lah, siapa letak kat sini?” tanya Mahmud kehairanan
sebaik saja fail itu sudah berada di tangannya. Dibelek-beleknya isi kandungan
fail itu.
Wardina Amni hanya menggeleng.
“Dina nampak fail tu masa Dina sapu habuk kat kabinet tu,”
jelas Wardina Amni.
“Betul ke tu failnya, ayah long?” soal Faizul Ikhwan
sambil menguap panjang.
“Ya, betullah ni. Alhamdulillah...” jawab Mahmud setelah
membelek-belek fail berkenaan.
“Okeylah, pergilah sambung tidur. Esok sekolah. Ayah long
pun nak teruskan perjalanan ni. Ayah long pergi dulu ya Zul, Dina. Kunci pintu
ni baik-baik,” pesan Mahmud sebaik saja menyalami kedua anak saudaranya itu.
Faizul Ikhwan dan Wardina Amni mengangguk faham.
Tidak lama kemudian, Mahmud pun membolos masuk ke dalam
perut kereta. Beranda rumah itu kembali gelap seperti mana dia baru tiba tadi.
Mahmud kemudian gesa-gesa menghidupkan enjin kereta memandangkan malam kian
beredar ke hening subuh. Dengan lafaz bismillah, dia menekan pedal minyak,
meneruskan perjalanan membelah kepekatan malam.
Baru sekejap dia beredar dari kawasan itu, tiba-tiba
matanya tertikam dengan silauan lampu tinggi dari sebuah kenderaan yang datang
dari arah bertentangan. Kelajuan kenderaan itu sederhana, namun tindakannya
yang langsung tidak menurunkan lampu tinggi itu membuatkan Mahmud geram
sendiri. Dari dalam cermin, dia mengintai kenderaan yang kian mengecil daripada
pandangan mata. Sebuah kereta dari model Mitsubishi berwarna putih membelok ke
kawasan rumah Osman.
“Eh, tu kereta tadi tu!” Mahmud bercakap sendirian sambil
memberhentikan kenderaan di bahu jalan. Secara tiba-tiba, benaknya laju berlari
memikirkan perihal Suriyana.
Rasa ingin tahu semakin kuat menerpa akalnya. Dia menatap
jam di pergelangan tangan. Pukul 2.30 pagi. Masih tidak terlewat kalau dia
berpatah balik dan melihat siapa gerangan penghuni kenderaan itu.
Tanpa berlengah lagi, Mahmud nekad berpatah balik dan
memandu di bawah kelajuan paling minima. Lagi pula jarak keretanya dengan
tempat yang ingin dituju terlalu dekat.
Dia meneruskan perjalanan dengan penuh cermat. Lampu
kenderaan sengaja dipadamkan sebaik saja memasuki kawasan kediaman Osman
sekeluarga. Dia memberhentikan kenderaan di bahu jalan, tidak jauh dari tempat
dia memarkir kereta tadi. Beberapa batang pokok ketapang yang tumbuh meliar di
jalanan itu seperti melindungi kereta Mahmud daripada dicam mereka. Mahmud
tidak mahu kehadirannya disedari mereka. Dia mahu mengambil masa dan terus
memerhati.
Ternyata tekaannya tepat. Kereta Matsubishi berwarna putih
itu membelok masuk ke laman rumah Osman dan diparkir betul-betul di depan rumah
adiknya. Lima minit berlalu, tiada seorang pun yang keluar dari perut kereta itu.
Sepuluh minit menunggu, dia bertambah gelisah. Kesabarannya teruji. Sia-siakah
usahanya? Perlukah dia mengulangi perbuatannya, mendekati tubuh kereta dan
mengetuk cermin kereta itu? Patutkah tindakannya itu? Tidak! Kali ini dia hanya
ingin mengecam dan memerhati tindak tanduk mereka.
“Ya ALLAH, kuatkanlah imanku. Aku tak mahu bersangka buruk
terhadap Suri. Dia isteri adikku.” Mahmud berdoa bersama rasa gundah yang bukan
sedikit. Matanya masih memanah ke arah kereta itu.
Harapannya, sesiapa pun dari dalam perut kereta itu agar
segera keluar. Dia mahu tahu siapa gerangan mereka. Dia tak sanggup membiarkan
segala persoalan yang ligat bermain di benaknya itu membuatkan hatinya tidak
tenteram.
“Ya ALLAH… Suri?! Betul ke Suri tu?” Mahmud bersoal jawab
sendiri. Tubuh Suriyana yang baru saja keluar dari perut kereta menuju ke
tangga rumah semakin jelas kelihatan.
Lampu kereta yang sedia terpasang, menyuluh tubuh Suriyana
yang sedang menapak ke tangga rumah. Wanita cantik itu nampak anggun bergaya
dalamsolekannyayang cukup sempurna.
Dari kaca mata Mahmud, wanita itu nampak begitu seksi dan
menggoda. Bisa menggetarkan jiwa seorang lelaki. Apabila Suriyana tiba di
beranda, dia melemparkan senyuman manis buat lelaki yang sedang melambainya
dari cermin kereta yang terkuak. Sebelum melangkah ke dalam rumah, Suriyana
mengisyaratkan bahasa tubuh pada lelaki tadi.
“Allahuakbar! Allahuakbar!”
Dalam ketar menahan segala rasa di dada, hatinya tidak henti berzikir agar
diberi ketenangan menyaksikan semua itu. Segumpal rasa geram dan bercampur
kecewa mengenangkan sikap seorang isteri bernama Suriyana.
“Macam ni rupa-rupanya kau, Suri! Osman sibuk dengan
urusan bisnes, kau sibuk melayan jantan. Perempuan jenis apa kau ni, Suri?!”
marah Mahmud seraya menghidupkan enjin kereta dan meneruskan perjalanan ke Ipoh
dengan hati yang mendongkol.
“MAN... kau dengan Suri
macam mana? Okey?” tanya Mahmud di meja makan itu. Malam itu, selesai sudah
segala perbincangan penting yang melibatkan urusan bisnes keluarga mereka
bersama beberapa syarikat baru. Mereka semua sudah pulang ke hotel penginapan
masing-masing. Yang tinggal hanyalah mereka dua beradik.
“Eh, bang? Tiba-tiba aje abang tanya saya pasal Suri?
Kenapa?” Osman mengajukan soalan kepada Mahmud. Dia kehairanan.
“Abang rasa, ada baiknya kau kurangkan masa berada di luar
kawasan. Kau kena lebih luangkan masa bersama isteri dan anak-anak.” Mahmud
mengemukakan buah fikirannya. Sejak kejadian malam tadi, dia kebingungan
memikirkan perihal Suriyana yang berlaku curang di belakang Osman.
“Alah, bang. Saya cari rezeki untuk isteri dan anak-anak
juga. Niat yang baik, ALLAH akan mudahkannya. Lagipun selama ni, tak pernah
pula Suri merungut saya ni sibuk. Dia faham, bang.” Osman menjawab. Air kopi
dihirupnya tenang. Cara dia memberi jawapan menggambarkan betapa tidak pernah
ada rasa curiga tumbuh di hatinya terhadap Suriyana.
“Abang kerap keluar, Kak Nah bising ke? Atau dia fikir
abang ada cawangan baru?” Osman bertanya dalam nada bergurau.
Mahmud tersenyum tawar melihat senyuman dan gelengan adiknya itu. Harus bagaimana untuk
dia berterus terang perihal Suriyana di belakang adiknya itu? Perlukah dia
menceritakan semuanya? Percayakah Osman? Silap hari bulan hubungan mereka
adik-beradik yang berantakan.
“Eh, bang... takkan sehari semalam tinggalkan Kak Nah tu
dah termenung panjang kut?” usik Osman kepada Mahmud.
Mahmud tersentak. Dia memaniskan wajah memandang wajah
Osman. ‘Kalaulah kau tahu Man, apa sebenarnya yang memberatkan fikiran abang
ni?’ Mahmud mengeluh dalam hati.
“Manalah Man tahu masalah abang, kalau abang tak berkongsi
cerita,” sambung Osman bagai mengetahui yang ada sesuatu sedang mengocak
ketenangan hati Mahmud. Sedikit pun Osman tidak terdetik memikirkan segala
keresahan yang bersarang di jiwa Mahmud adalah kerana Suriyana.
“Kita kena percayakan mereka, bang. Man tahu, abang risau
tinggalkan kakak sorang-sorang kat rumah, kan? Abang takut kakak berlaku curang
terhadap abang ke?” tebak Osman. Nada suaranya yang tadi bersenda kini bertukar
serius.
Tercengang-cengang Mahmud mendengar perkataan curang yang
terlontar daripada mulut adiknya itu. Sedikit sebanyak, hatinya tersayat.
“Abang tak pernah terfikir yang kakak kau akan buat begitu
pada abang. Nauzubillah! Cuma abang minta Man percaya cakap abang. Man kena
simpan sikit rasa curiga terhadap Suri. Man jangan seratus peratus percayakan
dia!”
“Lah, apahal bercerita pasal Suri pulak ni? Kenapa Man
kena curigai dia? Kami tak pernah bermasalah pun. Masalah kami hanya kerana
Suri tak senang dengan mak. Suri menganggap ada jurang yang menyebabkan
kemesraan mereka terbatas. Itu saja!”
“Kau kena percaya cakap abang, Man. Abang rasa Suri tu…”
Mahmud mahu menceritakan perihal apa yang dia nampak malam tadi, namun dia
teragak-agak memandangkan wajah Osman kian merah padam.
“Curang dengan Man? Ada jantan lain? Abang jangan buat
cerita! Abang jangan berani-berani burukkan Suri!” Suara Osman keras
menengking.
“Man, aku ni abang kau. Takkan aku tergamak nak mereka
cerita, Man?!”
“Tolonglah, abang... jangan termakan hasutan orang. Bukan
hari ni saja orang bercerita tentang Suri, burukkan dia, tapi sejak kami berkahwin lagi!”
“Tapi kau kena dengar dulu apa yang abang nak bagitahu
ni!” Mahmud cuba bertegas.
“Sudahlah, bang. Man tak percaya dan takkan percaya. Dulu,
orang burukkan dia sebab pernah bekerja kat kelab malam, lepas tu fitnah pulak
dia bekas pelacur. Tapi, Suri tetap membuktikan dia perempuan suci. Dia masih
dara pada malam pengantin kami, bang. Macam mana lagi dia nak buktikan
kejujuran dia? Sudah-sudahlah, bang. Fitnah tu akan menganiaya banyak pihak!”
“Kau cuba tuduh abang buat fitnah ke Man?!”
“Sudahlah, bang. Man tak mahu bertekak dengan abang pasal
Suri lagi. Man dah penat lalui semua ni. Cukuplah kalau abang sudi mendoakan
kebahagiaan rumah tangga kami. Kasihanilah Suri. Dia dah banyak menderita hanya
kerana menjadi isteri saya, bang.” Osman
sudah pun bangkit meninggalkan Mahmud yang masih terkulat-kulat sendiri
di meja itu.
Mahmud menggeleng kepala mengenangkan sikap Osman. Serabut
kepalanya memikirkan hal Suriyana sejak malam tadi tidak berkurangan, malah
kusutnya makin sukar dileraikan. Mahmud menghela nafas berat. Dia gagal
meyakinkan Osman tentang sikap buruk Suriyana di belakang adiknya itu.
Memikirkan semua itu, Mahmud kesal sendiri. Dia sepatutnya mengumpulkan bukti
untuk membuka mata Osman, bukan setakat bercakap.
Mahmud meraup wajahnya, mencari ketenangan dalam
memikirkan permasalahan adiknya. Perlahan-lahan dia bangkit dari kerusi, melangkah
longlai ke bilik penginapan. Otaknya sudah terlalu tepu. Dia mahu merehatkan
badan seketika.