7
"YA ALLAH... kenapa ni, Suri? Kenapa dipukul budak Dina ni?”
Osman yang baru saja memijak lantai rumah cemas mendengar teriakan Wardina Amni
di tengah rumah. Suriyana yang sedang merah padam mukanya kerana marah,
terperanjat dengan kehadiran Osman di situ.
“Eh, err… abang!” Penyapu lidi di tangannya dilempar ke
dinding. Dia mendekati Osman yang meluru mendapatkan Wardina Amni yang masih
berteriak kuat di tepi dinding. Anak itu mengongoi panjang.
“Cepatnya abang balik. Kata balik Khamis, ni baru Selasa.”
Suriyana berlembut lidah merapatkan tubuhnya ke tubuh Osman.
“Ni kenapa pukul anak sampai macam ni?” Nada suara Osman
keras dan menekan. Wajahnya menggambarkan rasa tidak puas hati melihat keadaan
Wardina Amni yang masih menggeletar ketakutan. Anak kecil itu didakap erat.
“Apa halnya, Suri? Kenapa ni?” tanya Osman lagi apabila
tiada sebutir perkataan pun keluar daripada bibir mungil isterinya itu.
“Alah, bang... budak tu tumpahkan nasi…”
“Hah, tumpahkan nasi sampai Suri pukul dia separuh mati?!”
Osman menengking kuat. Dia tidak berpuas hati dengan jawapan isterinya itu.
Matanya tajam ke kornea mata Suriyana sebelum merenung dengan penuh simpati
akan tubuh Wardina Amni yang berbintat kemerahan.
“Yang abang tengking Suri ni, kenapa? Salah ke Suri
mengajar anak?” Suriyana cuba membela dirinya.
“Suri, ni bukan mengajar anak. Ni dah kira mendera anak!”
marah Osman.
“Abang, kalau saya tak mengajar dia macam ni, esok-esok
dia buat lagi.” Suriyana masih tak mahu kalah berhujah.
Osman tidak berkata apa-apa lagi. Dia terperanjat besar
apabila esak tangis Wardina Amni sudah tidak kedengaran lagi di cuping
telinganya. Tubuh anak kecil itu terkulai. Wajahnya pucat lesi.
“Ya ALLAH, Dina. Bangun nak, bangun.” Osman cuba
menyedarkan anaknya itu, namun Wardina Amni langsung tidak menunjukkan sebarang
reaksi.
“Hah, sekarang Dina dah pengsan! Puas hati, Suri?” Suara
Osman kedengaran serak. Tubuhnya menggigil menahan bauran emosi. Perasaan
marahnya kini bertukar bimbang dan simpati merenung seraut wajah polos Wardina
Amni. Dia kemudian buru-buru mencepung tubuh Wardina Amni yang sudah lembik itu
dan melangkah kaki kalut, keluar dari rumah itu.
“Abang, abang nak ke mana tu?” tanya Suriyana kaget.
Osman tidak mengendahkan pertanyaan isterinya itu. Dia
gesa-gesa membuka pintu kereta dan membaringkan Wardina Amni di tempat duduk
belakang. Sepantas itu juga, dia melompat duduk di tempat pemandu dan segera
menghidupkan enjin kereta.
“Tak nak cakap, sudah.” Suriyana menjuih. Tak lama
kemudian, enjin kereta Osman kedengaran menderam pergi. Mungkin ke hospital,
mungkin juga ke klinik. Suriyana tidak mahu ambil peduli.
OSMAN hanya memandang Dr.
Hamidi melakukan rawatan ke atas anak perempuannya itu. Sungguh tak disangka
yang Suriyana bertindak seperti orang tak waras. Tak pernah dilihatnya isterinya
mengamuk sakan sehingga sanggup menjadikan penyapu sebagai objek untuk memukul
zuriat sendiri.
‘Sampai hati, Suri! Kesian Dina. Takkanlah masalah nasi
tumpah pun sampai jadi macam ni?’ Osman bersoal jawab dalam dirinya. Dia masih
tak percaya yang seorang ibu sanggup menghukum anaknya sekejam itu. Apa mungkin
Suri punya masalah lain sehingga beban masalahnya dilampiaskan ke tubuh kecil
ini?
“Encik Osman, anak encik ni ada masalah paru-paru. Kami
dapati ada jangkitan kuman di saluran pernafasannya. Jadi, pihak kami terpaksa
tahan dia di wad untuk pemantauan lanjut.”
Osman terangguk-angguk, tanda faham akan kata-kata Dr.
Hamidi itu.
“Ada sesuatu yang Encik Osman nak katakan tentang
luka-luka di badan anak encik ni?” Suara Dr. Hamidi yang garau itu kedengaran
serius. Wajahnya memandang tepat ke seraut wajah Osman.
“Saya baru pulang dari Ipoh ni. Sampai kat rumah, isteri
saya berteriak cemas, beritahu yang anak kami pengsan. Saya panik sangat,
sampai tak sempat nak tanya apa berlaku.” Osman mengarang cerita. Sekalipun
rasa bersalah kerana berbohong dan seperti dia tidak berusaha membela Wardina
Amni, tetapi dalam keadaan sekarang Osman terpaksa rela.
Dia tidak sanggup mendedahkan tindakan kejam Suriyana
sehingga anak bongsunya itu terpaksa menanggung bahananya. Sebagai seorang
suami, dia juga terpaksa melindungi aib isterinya sendiri.
“Betul ke ni, Encik Osman tak tahu apa-apa? Atau ada
apa-apa yang Encik Osman sembunyikan daripada saya?” Dr. Hamidi bertanya lagi.
“Betul, saya pun masih tertanya-tanya apa sebenarnya
terjadi kepada Dina.” Osman cuba berlagak tenang, menjawab pertanyaan demi
pertanyaan. Penipuan itu menumbuhkan rasa kesal yang bukan sedikit di jiwanya.
“Mujurlah lukanya tak serius dan encik cepat-cepat bawa
anak ni ke mari. Kalau tak, anak ni mungkin alami gangren.” Doktor itu bersuara
lagi.
“Gangren?”
“Ya, gangren boleh berlaku akibat kematian tisu secara
meluas akibat terputusnya bekalan darah dan akibat diserang bakteria. Saya
perhatikan banyak luka lama dan luka baru di seluruh badan anak encik.” Doktor
itu menatap wajah Osman serius.
Osman terkejut mendengar penjelasan doktor itu. “Luka lama
dan luka baru?” tanya Osman inginkan kepastian. Dahinya berkerut-kerut.
“Ya, banyak luka lama. Dan luka lama, kalau dibiarkan
tanpa rawatan, dikhuatiri akan ada jangkitan kuman. Ianya akan memudaratkan
kesihatan anak ni.”
“Oh...” Osman menghela nafas sukar. Penjelasan doktor itu
membuatkan degup jantungnya kencang. Menatap wajah Wardina Amni, perasaan
bimbang menggigit-gigit tangkai hatinya.
“Ibunya tak datang?” Dr. Hamidi masih berusaha mengorek
maklumat.
“Hmm... kami masih ada dua orang anak di rumah, doktor.
Sebab kelam-kabut tadi, saya mengambil keputusan datang ke sini seorang aje. ”
Osman menjawab dengan suara serak. Patah perkataan yang diucapnya
tersekat-sekat.
Dia memandang dan terus memandang akan seraut wajah
Wardina Amni yang terkedang lesu di katil putih itu. Osman sebak. Pandangannya
mulai berkaca-kaca. Air mata seorang ayah bergenangan di empangan, menunggu
masa saja untuk pecah dan terburai. Hancur luluh hatinya mengenangkan episod
sedih tengah hari tadi.
Hancur berkecai perasaan Osman mengenangkan sikap panas
baran Suriyana. Isterinya itu langsung tak ambil peduli akan untung nasib
Wardina Amni. Walau apa pun punca kemarahan Suriyana terhadap anak itu,
membalun anak separuh mati bukanlah jalan penyelesaiannya. Malah, Suriyana
sedikit pun tidak mempamerkan rasa bimbang melihat wajah pucat anak bongsu
mereka yang tiba-tiba terkulai dalam dakapannya tadi.
‘Sampai hati, Suri! Tergamak Suri memperlakukan Dina
begini. Janganlah terlalu diturutkan sangat bisikan syaitan iblis tu. Mereka
hanya tahu menghasut. Mereka nak memporak-perandakan rumah tangga kita saja.
Andai kata abang terlewat tadi, mungkin keadaan Dina bertambah teruk. Abang tak
boleh nak bayangkan sebarang kemungkinan,’ keluh Osman. Semangat jiwanya
bagaikan terbang jauh dari tubuhnya.
“Bersabarlah, Encik Osman. Banyak-banyaklah berdoa semoga
penyakit anak encik tak serius. Pihak kami akan berusaha sedaya upaya untuk
merawatnya.” Dr. Hamidi menepuk bahu, cuba menenangkan perasaannya.
Osman tersentak. Segala paparan yang terlayar di skrin
mindanya tentang Suriyana, lenyap serta-merta.
Perasaan sebak sudah tidak tertanggung lagi. Rasa kasih
dan sayangnya terhadap Wardina Amni setanding rasa cintanya yang tidak pernah
padam buat Suriyana. Tapi kenapa setelah sekian lama Suriyana berubah sikap?
Apakah penyakit angin meroyan yang pernah merajai tubuh isterinya itu
bertandang lagi?
“MALAM ni? Hisy, mana
boleh! Dia dah balik. Kalau you tak kena kerat 18, silap hari bulan I pulak
yang kena cincang!” marah Suriyana kepada pemanggil.
Zack terkejut dengan jawapan Suriyana itu. “Lah, you kata
dia balik lusa?” tanya Zack mahukan kepastian.
“Entah... mimpi apa pulak dia balik awal ni? Tak hujan,
tak ribut… tiba-tiba aje tersembul dalam rumah,” luah Suriyana tak senang.
“Alah, dia rindukan you lah tu! I cemburu ni.” Suara
pemanggil itu kedengaran serius.
“Hmm... tak ada maknanya rindu dia pada I. I ni macam
patung cendana aje kat bilik tu malam-malam. Dia tu bukan boleh buat apa pun,”
jawab Suriyana lagi. Keras dan kasar bunyi bahasanya.
“Aik, Suri... lain macam aje bunyinya! Takkan you tak enjoy
suami dah balik rumah?” Suara Zack kedengaran menempelak.
“Alah, Zack... boleh tak you jangan ulang hal yang sama.
Bosanlah I sembang pasal dia.” Kemarahan Suriyana kian memuncak.
“Jadi, malam ni rancangan kita tak menjadilah? I dah rindu
sangat dengan you ni. Rindu nak ehem, ehem…”
“I pun rindu sangat kat you ni.” Suriyana membalas. Manja
dan menggoda.
“Mak, mak…” Mardiah Amna yang tiba-tiba hadir di tepinya
membuatkan raut wajah Suriyana berubah.
“Hah, kenapa?!” soalnya tak puas hati. Marah nampaknya dia
kerana perbualannya bersama Zack terganggu.
“Tu hah, Mak Cik Ainon datang.” Mardiah Amna menjawab
sambil berlalu ke dalam bilik. Berkecil hati nampaknya dia, dimarahi Suriyana.
“Eeii, nak apa perempuan tu?! Selalu sangat menyibuk jaga
tepi kain orang lain,” rungut Suriyana berang.
“Kenapa sayang? Lain macam aje bunyinya? You marahkan
siapa?” Suara Zack kedengaran sayup-sayup memujuk Suriyana yang seperti sudah
hilang mood. Hajat hati Zack mahu bermesra-mesraan di telefon itu
nampaknya terbantut sudah.
“Entah, perempuan mana datang rumah I. Tak tahu agaknya I
tengah sibuk,” bebel Suriyana lagi.
“Tak apalah, sayang. You pergilah layan tetamu you tu.
Suara dia bagi salam jelas kat telinga I ni. Nanti bila-bila, I telefon youlagi.”
“Okeylah Zack, bye!” Klik.
“Hah, kak! Apa hal datang rumah Suri ni?” Suriyana
bercekak pinggang. Rimas nampaknya dia melihat Ainon yang terjengul-jengul
mengintai ke dalam rumah dari celah kekisi dinding beranda, di tepi tangga.
“Kalau ya pun, jawablah salam akak dulu. Memberi salam tu
sunat, menjawab salam itu bukan ke wajib?” Ainon berbasa basi, mahu mengambil
hati Suriyana yang nampaknya tidak senang dia hadir ke situ. Suriyana langsung
tidak mempelawanya naik.
“Lah, akak datang rumah Suri petang-petang ni sebagai
ustazah ke? Suri tak ada masa nak dengar ceramah akak tu. So, straight to
the point.”
“Akak nak tanya, Dina ada kat rumah tak?” soal Ainon.
“Kenapa akak sibuk nak cari dia pulak?” tanya Suriyana
agak terkejut.
“Sajalah tanya. Sejak pagi tadi akak keluar, tak nampak
pun kelibat dia. Biasa hari cuti sekolah, bukan main riuh-rendah rumah Suri.
Hari ni senyap pulak.”
“Dina keluar dengan Man,” jawab Suriyana acuh tak acuh.
Malas hendak melayan cakap-cakap Ainon. Wajahnya jelas menggambarkan riak
kurang senang.
“Yalah, Suri. Akak datang ni nak bagi buah mangga harum
ni. Beli banyak kat bandar tadi.” Ainon
mengunjukkan plastik berisi buah mangga itu kepada Suriyana.
“Terima kasih.” Suriyana menyambut pemberian Ainon.
Dia kemudiannya melangkah masuk ke dalam rumah, tidak lagi
mengendahkan jirannya yang masih tercengang-cengang dengan layanannya itu.
Ainon yang masih tercegat di tepi tangga hanya menggeleng
kepala mengenangkan sikap Suriyana. Perlahan dia mengheret langkah pulang ke
rumahnya.
“HELO!” Suriyana mengangkat gagang telefon, malas.
“Suri, abang ni. Dina kena tahan wad. Abang bermalam kat
hospital malam ni,” beritahu Osman sebaik saja suara Suriyana bergema di corong
telefon.
“Kena tahan wad?” Suriyana menelan liur. Terkejut dia
dengan perkhabaran Osman itu.
“Ya, lain kali fikir sebelum bertindak.” Suara Osman
kedengaran sinis menegurnya.
Suriyana tidak menjawab. Dia terdiam dalam resahnya.
“Kalau jadi kes polis macam mana? Suri boleh dituduh
mendera, tau?” gertak Osman lagi, meluahkan rasa tidak puas hatinya. Marahnya
masih hangat membara mengimbas saat-saat Wardina Amni diperlakukan kejam oleh
ibunya sendiri.
“Abang tak tahulah, jembalang mana yang sampuk Suri sampai
Suri hilang akal macam tu. Suri tahu tak, Dina tu ada masalah yang lebih
serius. Dia ada masalah pernafasan. Ada jangkitan kuman kat paru-paru dia.
Ingat, Suri! Kalau jadi apa-apa kepada Dina, abang takut abang tak mampu nak
maafkan Suri. Abang…”
Kedengaran gagang telefon dihentak kuat sebelum sempat
Osman menghabiskan kata-kata.
Osman mendail lagi. Beberapa kali. Namun, talian telefon
rumahnya tidak berangkat. Osman tahu, Suriyana malas mahu melayan
cakap-cakapnya lagi.
“Arghhh! Dina! Dina! Dina! Rimas aku, rimas!” bentak
Suriyana sambil berlalu ke bilik. Tak pasal-pasal disebabkan anak itu, Osman
berkasar dengannya. Entah mengapa, rasa marah, benci dan dendam terhadap anak
itu semakin meluap-luap.
“MAK ITAM, nampaknya dia
dah tak macam dulu lagi. Asyik berkasar aje dengan saya.” Wanita cantik itu
meluahkan perasaan gundahnya.
Mak
Itam yang sudah beruban penuh itu hanya tersengih mendengar cerita wanita itu.
“Mak Itam jangan sengih-sengih aje. Sakit hati saya ni
bila dia dah mula nak meninggi suara. Apa, ubat Mak Itam dah tak power
lagi ke?” Wanita itu sengaja mahu menduga Mak Itam. Dia tahu, Mak Itam pasti
tak suka dirinya diperlekehkan. Sekejap lagi, Mak Itam akan memberinya penawar
yang diinginkan.
“Eh, tak pernah ada orang yang datang jumpa aku ni balik
dengan kecewa! Tak merungut-rungut macam kau ni! Hisy…” marah Mak Itam dengan
kata-kata wanita itu.
Kini, giliran wanita itu pula tersenyum mendengar
kata-kata Mak Itam. “Hahaha... sebab saya tak nak kecewalah saya datang jumpa
Mak Itam ni. Cuma saya nak yang lebih power. Tak kisah berapa pun
harganya. Saya nak dia tu dengar cakap saya. Tunduk apa yang saya arahkan. Saya
rimaslah Mak Itam, dengar dia membebel.”
“Tulah, aku pesan suruh datang tiga bulan sekali, kau
datang lima bulan sekali. Mana nak berkesannya, oiii!” tempelak Mak Itam.
Wanita itu sekadar mencebik, menyedari kesilapan sendiri.
“Apa-apalah...yang penting barangnya kena siap cepat. Takut nanti dia balik
rumah saya tak ada, dia bising pulak.” Wanita itu bersuara gundah. Tak sabar
nampaknya dia mahu menamatkan urusan penting dengan wanita tua itu.
“Barangnya ada kau bawak?” Mak Itam bertanya.
Wanita yang cantik bersanggul tinggi itu menghulurkan
barang yang dimaksudkan.
Tak lama kemudian, suasana suram di dalam bilik kecil itu
mula berasapkelun dengan asap kemenyan.
Bau kemenyan yang menusuk hidung membuatkan wanita itu terbatuk-batuk kecil.
Mak Itam nampak begitu khusyuk melayan jampi manteranya.
Wanita cantik yang duduk berhadapan dengan Mak Itam itu
berkerut dahi. Bahasa yang digunakan Mak Itam langsung tak difahami biji
butirnya. Sekali dengar macam bahasa Siam. Dua kali dengar macam loghat Jawa
Timur. Berkali-kali dengar, dia sudah tak reti nak mengandaikan bahasa apa.
‘Arghhh, peduli apa aku dia nak guna bahasa Tamil ke
Urdhu, Kantonis ke Hokkien, yang penting misi aku mesti berjaya! Man, kau ingat
aku ni siapa? Jangan sesekali nak memperbodohkan aku. Aku tahu macam mana nak
menundukkan kau, jantan!’ Wanita cantik itu berbisik dengan penuh bongkak di
dalam hatinya.
“Nah! Balik ni terus tabur sekeliling bilik. Jangan
dilengahkan. Kena cepat bertindak. Kalau dia tu asyik nak marah saja, maknanya
penawar tu dah tak mustajab lagi. Yang lain-lain tu, kau faham sendirilah.” Mak
Itam berpesan.
Wanita cantik itu tersenyum lebar. Hajatnya sudah
kesampaian. Malam nanti pasti semua masalah akan selesai.
“Saya faham, Mak Itam. Saya faham. Terima kasih.” Wanita
itu berlalu seraya menghulurkan beberapa keping duit bernilai tiga ratus
ringgit.
“Ingat, setiap perjanjian kita ada pantang larangnya.”
“Ya, saya ingat. Saya pergi dulu.” Wanita itu pun berlalu
meninggalkan Mak Itam yang tersenyum kerising menerima habuan hari ini.