9
"AYAH,
Dina kena buat karanganlah. Apa kata ayah bagi cadangan?” beritahu Wardina Amni
sebaik saja melangkah masuk ke perut kereta.
Tengah
hari itu, mereka bertiga dijemput Osman pulang dari sekolah. Lazimnya, mereka
tiga beradik mengayuh basikal ke sekolah, tetapi disebabkan pagi tadi hujan
lebat, Osman menghantar mereka menaiki kereta. Tambahan pula, seminggu dua ini
tugasan kerjanya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor saja.
“Karangan
pasal apa, dik?” Mardiah Amna menyampuk.
“Tajuknya,
saya sayang keluarga saya.” Wardina Amni menjawab soalan kakaknya.
“Alah,
senang sangat tu! Masukkan watak ayah, emak, abang, kakak dan adik. Beritahu kenapa adik sayang keluarga. Sebab
mak dan ayah sangat sayangkan adik. Jaga kita dari kecil dengan baik. Belanja
kita makan sedap-sedap. Belikan kita kain baju yang cantik-cantik. Beri kita
pendidikan. Masa lapang, kita
adik-beradik main sama-sama. Belajar sama-sama. Dalam karangan tu, jangan lupa
tulis yang kami semua sangat sayangkan adik.” Mardiah Amna memberi buah fikirannya.
“Hah,
okey sangatlah tu!” jawab Faizul Ikhwan yang sejak tadi sekadar memasang
telinga.
“Dina
buatlah satu karangan dulu kat buku lain sebelum tulis dalam buku latihan
karangan. Lepas tu, ayah baca dan komen. Kalau ayah rasa perlu diperbetulkan,
Dina kena perbetulkan. Okey?” cadang Osman.
“Okey,
ayah.” Wardina Amni menjawab senang.
“Diah
dengan Zul cikgu bagi kerja sekolah tak?” tanya Osman kepada Mardiah Amna dan
Faizul Ikhwan.
“Hmm...
memang banyak ayah. Matematik, Bahasa Inggeris Karangan dan Bahasa Malaysia
Kefahaman. Aduh, banyaknya!” Mardiah Amna bersuara separuh mengeluh.
“Zul?”
tanya Osman.
“Zul
lagi banyak daripada kakak. Ada Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia Dan
Agama Islam. Aduh, penatnya! Zul nak main bola petang ni pun macam tak sempat
pulak,” rungut Faizul Ikhwan meluahkan perasaan.
“Mak
aii, banyaknya.” Osman menggeleng kepala mengenangkan rungutan Faizul Ikhwan
tadi.
“Itulah,
ayah. Pagi petang belajar. Penatlah macam ni.”
“Hmm...
jangan merungut, Zul. Lagi banyak kita merungut, lagi tulah kita rasa penat.
Yang penting, kena ikhlas dan buat yang terbaik. Kita kena bersungguh-sungguh
untuk jadi orang yang hebat dan berjaya. Orang yang banyak bersungut sebenarnya
dia telah membina satu ruang negatif dalam mindanya.
Ayah
harap, baik Diah mahupun Dina, jangan cepat mengeluh. Orang yang banyak
mengeluh dalam hidupnya ialah orang yang paling cepat berputus asa. Orang yang
cepat berputus asa, dia sedang menuju ke arah kekecewaan dan gagal. Ayah harap,
anak-anak ayah, jangan cepat rasa kecewa. Jangan takut gagal sebelum mencuba
sesuatu.”
“Wah,
semangat Diah dengar kata-kata ayah ni! Kan Zul, Dina?” balas Mardiah Amna
dengan perasaan teruja.
Wardina
Amni dan Faizul Ikhwan mengangguk macam burung tekukur. Bersetuju dengan
kata-kata kakak mereka.
“Ayah,
bila ayah keluar kerja lagi? Ayah asyik keluar tinggalkan kami,” tanya Wardina
Amni tiba-tiba lari daripada topik perbualan mereka. Suaranya yang tadi teruja,
kini bertukar serius dan sedih.
“Betullah,
ayah. Lepas adik balik hospital, kita tak pernah lagi keluar jalan-jalan. Asyik
duduk rumah, terperap. Belajar! Belajar! Belajar!” ulas Faizul Ikhwan akan
kata-kata adiknya.
“Okey,
kalau macam tu hujung minggu ni kita pergi jalan-jalan. Kita berkelah, nak?”
“Horeyyy!”
Mereka tiga beradik menjerit kesukaan. Riuh gamat suara mereka dalam kereta
Osman.
Osman
tersenyum meleret mengenangkan kerenah anak-anak.
“Hari
ni mak ke ayah yang masak?” tanya Faizul Ikhwan lagi.
“Mak
Cik Kiah,” jawab Osman selamba.
“Mak
Cik Kiah? Biasanya Mak Cik Kiah tak datang kalau ayah ada kat rumah,” kata
Mardiah Amna.
Osman
tergelak kecil mendengar jawapan Mardiah Amna.
“Mak
Cik Kiah memang ada datang tadi. Tapi sekejap aje. Dia datang mengemas,
menyapu, mencuci dan sidai pakaian. Lepas siram pokok bunga mak, ayah izinkan
dia pulang.” Osman seronok berkongsi cerita dengan anak-anaknya.
“Jadi,
siapa yang masak hari ni?” Faizul Ikhwan ingin tahu.
“Cuba
teka?” tanya Osman semula ingin menceriakan suasana.
“Ayah,”
jawab Wardina Amni.
“Ya,
ayah,” sokong Mardiah Amna pula.
“Ha’ah,
mestilah ayah. Kalau ayah ada kat rumah mesti hari-hari lauk sedap. Ayah pandai
masak. Mak tu, asyik masak nasi goreng kicap aje,” luah Faizul Ikhwan.
“Hisy...
tak sedap ke mak masak, Zul?!” Osman menduga perasaan anaknya.
“Mak
Cik Kiah masak lagi sedap, ayah,” beritahu Mardiah Amna berterus terang.
“Lah,
ya ke?” tanya Osman mendengar cerita Osman.
“Ha’ah...”
Anak-anak menjawab serentak.
“Berterima
kasih dan bersyukurlah. Mak dah cuba buat yang terbaik untuk kita semua.” Osman
mengingatkan anak-anak.
“Yalah
ayah. Mak pun sedap juga masak. Tapi ayah masak, lagi sedap.” Faizul Ikhwan
jujur bercerita, meluahkan perasaannya.
“Yalah,
ayah...” Mardiah Amna dan Wardina Amna pula mengiakan kata-kata Faizul Ikhwan.
Mungkin mahu menjaga hati Osman.
Osman
tersenyum melihat wajah anak-anak.
“Hari
ni masak lauk apa, ayah?” tanya Mardiah Amna.
“Hari
ni, ayah masak istimewa untuk anak-anak ayah yang rajin dan bijak. Sup daging
campur cendawan, telur dadar dan kangkung goreng belacan. Okey, tak?” tanya
Osman dengan penuh semangat. Sesekali matanya memanah ke atas jalan raya.
Sesekali matanya menyorot pula ke setiap wajah anak-anak yang ceria.
“Wow,
sedapnya! Terbau-bau sup daging ayah tu,” komen Wardina Amni.
“Aduh,
lapar sangat dah rasanya perut Diah ni!” kata Mardiah Amna pula menyambung
komen adiknya.
“Ha’ah,
Zul pun rasa lapar sangat ni,” tokok Faizul Ikhwan pula.
Osman
tertawa kecil. “Okey, ayah bawak kereta laju-laju supaya lagi cepat balik
rumah.”
“Yeayy!”
Mereka tiga beradik bersorak riang.
OSMAN
menapak memasuki bilik anak gadisnya. Dia menghidupkan suis lampu dan
melabuhkan punggung di birai katil Mardiah Amna. Lazimnya, kalau dia berada di
rumah, sebelum tidur Osman akan bersalam-salaman dengan anak-anaknya. Dia akan
mencium pipi anak-anak sebelum tidur. Dan malam ini, dia akan melakukan hal
yang sama.
“Dah
lena tidurnya.” Osman berbisik perlahan sambil merenungi wajah anak-anaknya
yang sudah menginjak remaja.
Mardiah
Amna berkongsi bilik dengan Wardina Amni. Katil masing-masing disusun secara
bertentangan. Osman tersenyum sendiri sambil melabuhkan punggung di birai katil
Mardiah Amna. Mardiah Amna nampak lena dalam pelukan patung beruang, sama saiz
dengan dirinya. Rambut Mardiah Amna yang lurus melebihi paras bahu itu dielus
lembut. Rasa kasih melimpah ruah merenungi wajah anak sulungnya itu. Osman
menghadiahkan satu ciuman di pipi anaknya itu seraya mengucapkan selamat malam.
Dia
kemudian berpindah pula ke katil Wardina Amni. Merenungi seraut wajah Wardina
Amni, hati Osman berasa bahagia. Wajah polos Wardina Amni yang berkulit putih
itu mewarisi kecantikan wajah Suriyana. Gadis itu nampak sempurna dan jauh
lebih bersopan kalau hendak dibandingkan dengan Mardiah Amna yang periang dan
lincah.
Syukurlah,
hubungan adik-beradik ini nampak mesra. Mereka saling membantu dan menyokong
antara satu sama lain. Jarang sekali Osman nampak anak-anak ini bercakaran
mahupun berselisih pendapat. Mereka sentiasa bersepakat.
“Selamat
malam, sayang.” Osman mencium pipi Wardina Amni seraya membetulkan selimut di
hujung kaki anak bongsunya itu. Dia mengambil bantal peluk di tepi dinding
lantas dialih lebih dekat dengan tubuh anaknya itu.
Tiba-tiba
Osman terpandang sebuah buku nota kecil sebesar tapak tangan orang dewasa
terperosok di tepi dinding. Buku itu mengingatkan dia akan janjinya kepada
Wardina Amni siang tadi.
“Aduh,
macam mana aku boleh lupa pulak ni?! Kesian, aku janji nak komen karangan yang
dia buat. Sorry Dina, kalau ayah tak ada urusan penting tadi, mesti ayah
tak lupa dan ada masa nak tengok anak-anak ayah buat homework,” bisik
Osman kesal.
Osman
tidak jadi mahu meninggalkan bilik anaknya itu. Buku nota itu ternyata menarik
perhatiannya, lantas dicapainya buku itu. Sudah lama dia tidak membelek buku
karangan Wardina Amni. Meskipun anak itu baru darjah enam, tapi gaya
penulisannya matang dengan idea yang bernas. Wardina Amni pernah menghantar
sebuah cerpen ke majalah Bintang Kecil. Cerpennya tersiar dan menurut cerita
anak-anak, di perhimpunan sekolah Wardina Amni dipanggil ke atas pentas untuk
membacakan cerpennya.
Pihak
sekolah juga telah mengumumkan ucapan tahniah kepada Wardina Amni kerana telah
mengharumkan nama sekolah. Dalam diam, Osman bangga dengan kelebihan yang
dimiliki anaknya itu. Ternyata Wardina Amni berbakat dan punya potensi untuk
menjadi seorang penulis berjaya suatu hari nanti. Kini, ada masa-masanya Osman
perasan yang Wardina Amni mula sibuk menulis pada waktu lapang. Anaknya itu
terus menggilap bakatnya dan begitu aktif menghantar cerpennya ke majalah
Bintang Kecil.
Osman
membelek halaman pertama buku nota yang berkulit keras itu. Rasanya Osman tak
pernah melihat buku itu sebelum ini. Mungkin buku ini adalah coretan hati anak
gadisnya kerana kulit depan buku tersebut tertulis perkataan diari. Osman
berasa serba salah sama ada meneruskan niatnya membaca tulisan anaknya itu atau
sebaliknya. Namun, akalnya pantas
memberitahu. Tak salah seorang ayah mengetahui isi hati anak-anak. Selama ini
pun, kesibukan bekerja membuatkan masa bersama anak-anak agak terbatas.
Osman
tersenyum sendiri. Di halaman kedua buku itu, sekeping gambar mereka sekeluarga
ditepek di situ. Gambar itu diambil mereka ketika hari raya dua tahun lepas.
Masing-masing nampak ceria dan senada dalam pakaian berwarna biru perak. Di
bawah gambar itu, tercoret tulisan tangan. Keluarga bahagiaku. Semoga
kebahagiaan ini abadi selamanya.
Osman
membaca setiap patah perkataan yang ditulis Wardina Amni. Anak ini memang
mencoretkan luahan hati di setiap bilah hari yang dilaluinya. Kebanyakannya
adalah kisah tentang sekolah. Cerita tentang dirinya yang mendapat keputusan
cemerlang dalam peperiksaan. Kisah kegembiraan dan pujian yang diterima
daripada guru dan kawan-kawan. Ada juga cerita tentang rajuk dirinya dengan
Faizul Ikhwan kerana abangnya sengaja mengusik dirinya.
Satu
demi satu helaian buku itu dibaca Osman dengan penuh khusyuk. Kala matanya
tertancap perkataan yang mencoretkan namanya, dia tersenyum kerising. Ayat-ayat
yang ditulis Wardina Amni mencuit hatinya.
***
Dia lelaki kacak
dan penyayang. Dina sayang sangat kat dia. Dan Dina tahu dia pun sayang sangat
kat Dina. Ayah, I love you and miss you!
***
Sudah dua minggu
ayah keluar bekerja. Rasa rindu pada ayah tak tertanggung lagi. Kalaulah Dina
boleh terbang, Dina mahu terbang mencari ayah. Dina nak peluk ayah lama-lama.
Nak ajak ayah jalan-jalan dan makan ais krim kat taman. Dina sayang sangat kat
ayah. Ayah baik sangat layan Dina dan kami semua.
***
Tadi ayah
telefon, tanya khabar kami. Wah, Dina suka sangat! Ayah bagitahu tadi, lusa
ayah akan balik. Kami dah plan sesuatu untuk ayah, surprise on your birthday!
Osman
cuba mengimbas kembali surprise yang dimaksudkan. Ya, suatu hari ketika
dia pulang dari Utara Semenanjung Malaysia, malamnya mereka sekeluarga
menyambut ulang tahun kelahirannya. Suriyana membeli kek hari jadi. Mereka
sekeluarga menjamu selera malam itu bersama sate, nasi himpit dan kuih-muih.
Sebagai kejutan untuknya, anak-anak menyediakan hadiah. Hadiah yang diterima
Osman daripada Wardina Amni berupa mugseramik yang bertulis, I love
papa. Mug itu masih disimpan baik di dalam almari hiasan di tengah
rumah.
Osman
meneruskan bacaan. Matanya yang pedih dan kantuk tadi segar-bugar. Terhibur dia
seketika. Dia meneruskan bacaan demi bacaan. Catatan ini benar-benar menarik
perhatiannya.
***
Hari ini dalam
kelas cikgu mahu semua murid bercerita tentang cita-cita dan impian. Semua
orang punya impian untuk menjadi orang yang berjaya. Ada yang mahu menjadi
doktor, peguam, jururawat, juruterbang, guru, askar dan macam-macam lagi. Dina
pun mula berkongsi cerita dengan cikgu dan kawan-kawan untuk menjadi seorang
pembaca berita.
Siapa pembaca
berita yang paling awak minat? Cikgu tanya. Dina jawab, mestilah Wan Zaleha
Radzi. Tapi ada satu hal yang Dina tak bagi tahu cikgu. Dina nak jadi seorang
penulis buku kanak-kanak dan novel remaja. Hahaha... berangan aje Dina tu,
kan? Sebab tulah Dina tak cerita kat cikgu dan kawan-kawan, Dina takut dia
orang ejek Dina.
“Oh,
nak jadi pembaca berita. Lepas tu ada angan-angan nak tulis buku kanak-kanak
dan novel remaja,” komen Osman sambil sesekali menatap wajah Wardina Amni
sebelum meneruskan bacaan. Buku nota yang berhalaman 365 muka surat itu hampir
separuh sudah dibacanya.
***
Dina tidak tahu
kenapa dengan tiba-tiba saja hari ni emak marah-marah. Emak nampak tension aje.
Mulut mak tak habis membebel semasa kami makan bersama tadi. Dina takut sangat
dan cepat-cepat habiskan nasi dalam pinggan. Kata emak, jangan sesiapa buat hal
kalau tak nak emak marah. Dina tahu, kalau emak mengamuk pasti Dina teruk kena.
Dina takut. Abang dan kakak pun takut sangat. Bila mak cakap macam tu, semua
orang diam. Mak merenung tajam, macam marahkan Dina. Tapi, Dina tak tahu
kenapa. Dina pun takut nak tanya emak. Hari ni, kami semua jadi bisu. Nak masuk
dapur minum air masak pun takut. Kalau ayah ada kat rumah kan best!
***
Dina hairan kenapa emak terlalu kerap
keluar lewat malam. Tiap-tiap malam mak keluar naik kereta warna putih tu. Dina
takut nak tanya ke mana mak pergi. Dina takut kena tengking. Kena sumpah
seranah. Cukuplah mak melayan Dina dengan baik sekarang ni. Dina takut kalau
nakal-nakal, nanti tak pasal-pasal kena piat. Dina rasa mak dah mula sayang kat
Dina sekarang ni, tak macam dulu-dulu. Dulu, Dina tahu yang mak hanya sayangkan
abang dan kakak. Walaupun Dina tak tahu kenapa, tapi Dina harap sangat yang mak
akan sayangkan Dina macam ayah sayangkan kami semua. Dina sangat sayangkan mak
walaupun mak tak pernah pun nak peluk cium Dina macam mak peluk cium kakak dan
abang. Mak Dina cantik sangat. Tapi malam ni, mak ke mana? Dina cukup risau
keselamatan emak. Di luar gelap-gelita. Macam-macam orang jahat ada. Ya ALLAH, Ya TUHANku, ENGKAU lindungilah
emak. Semoga dia selamat walau di mana saja dia berada. Amin.
***
Tepat pukul 11.15
minit malam. Malam ni, emak keluar lagi. Kereta putih tu, kereta yang sama
datang jemput emak. Emak bersolek dan pakai cantik-cantik. Mak makin cantik
dengan baju merah tu. Dina tertanya-tanya ke mana mereka pergi. Dina runsing
sangat fikirkan hal mak. Dina tak boleh tidur risaukan mak.
***
Sudah banyak hari ayah tak balik-balik.
Malam ni, ayah telefon tanya khabar kami. Dina ingat nak beritahu ayah pasal
emak, tapi tak berani. Dina rasa mak dengan lelaki tu macam ada hubungan sulit.
Hisy, berdosa Dina fikir mak jahat macam ni! Tak mungkin! Tak mungkin! Anak
yang baik takkan fikir mak ayahnya jahat. Tapi, Dina tak sanggup tengok mak dan
lelaki tu berpegangan tangan! Dan sudah berapa kali mak balik rumah jam tiga,
empat pagi.
Osman
terpempan membaca coretan anaknya itu. Dia menelan liur, cuba menghadam segala
apa yang dibacanya tadi dengan rasa payau dan pahit. Perasaannya berbahang
tiba-tiba. Wardina Amni menulis sesuatu yang membuatkan perasaan ingin tahunya
makin menggunung.
***
Kenapa ayah tak
balik-balik lagi ni? Hari-hari Dina tunggu ayah balik. Ayah tahu tak, Dina
takut sangat dengan mak. Sakit telinga Dina ni bila hari-hari kena piat dengan
mak. Mak cakap Dina macam-macam. Macam besar sangat kesalahan Dina. Dina hanya
tanya mak, bila ayah nak balik pun, mak maki hamun Dina. Mak memang tak
sayangkan Dina. Memang, bukan hari ni sejak dulu lagi mak memang tak pernah
sayangkan Dina. Sayang mak pada Dina hanya depan ayah. Depan abang, kakak dan
Mak Cik Kiah. Mak tak tahu betapa Dina sayang sangat kat mak. Boleh tak mak
sayang Dina macam mak sayangkan abang dan kakak?
***
Hari ni, Dina
sedih sangat. Sebab hal semalam, mak langsung tak ajak Dina makan nasi.
Laparnya Tuhan saja Yang Tahu.
Dahlah pagi tadi cuma minum air masak aje. Mak pun tak bagi duit belanja. Mak
seperti sengaja tak bagi Dina duit belanja. Tak macam kakak dan abang.
Mak lupa atau
buat-buat lupa? Masa nak pergi sekolah tadi pun, mak langsung tak endahkan
tangan Dina yang nak salam dengan mak. Macam ni, ke kalau mak dah tak sayangkan
anaknya? Kat sekolah pun Dina makan roti aje. Nasiblah ada kawan baik macam Akif.
Akif pinjamkan Dina duit untuk beli roti. Terima kasih, Akif.
Dina janji esok
Dina akan bayar duit Akif. Dina ada
tabung. Kejap lagi Dina akan keluarkan duit untuk bayar duit Akif dan
untuk belanja hari esok. Tak apalah, mungkin ini adalah cara mak nak denda Dina
supaya Dina jadi anak yang baik.
***
Dina rasa Dina
ada buat salah yang Dina tak tahu. Dina nak saja tanya pada kakak dan abang
kut-kut mak ada cakap sesuatu pasal Dina. Tapi, kakak dan abang nampaknya tak
mahu kawan dengan Dina dah. Masing-masing seperti tak suka dengan Dina. Kakak
pun Dina nampak masam aje. Tension memanjang. Abang pun macam tu. Tak tahulah
sama ada kakak dan abang marahkan Dina atau dia orang pun turut sama kena marah
dengan mak. Dina cuba nak bercakap dengan Mak Cik Kiah yang nampak sibuk
menyapu di laman rumah, tapi isyarat Mak Cik Kiah yang suruh Dina masuk
membuatkan Dina makin jadi tak tentu arah. Mungkin Mak Cik Kiah pun takutkan
mak sebab Dina pernah nampak beberapa kali yang dia pernah ditengking mak. Ya Allah, Dina tak sukalah suasana macam
ni!
***
Malam ni, Dina penat
sangat. Tak sedar bila masa tertidur lepas solat maghrib tadi. Masa bangun tadi
pun, kain sembahyang masih melilit kat badan. Kalau ayah ada, bolehlah kita
sekeluarga jemaah bersama-sama. Dina rindu nak bersolat dengan ayah. Dina masih
ingat pesan ayah supaya jangan tinggal solat. Ni pun Dina baru sudah sembahyang
isyak. Dah pukul 12.00 malam. Kakak pun dah terbongkang. Rumah pun dah sunyi
sepi.
Perut Dina ni
lapar sangat, berkeriut-keriut bunyinya. Dari tengah hari balik sekolah, Dina
makan sikit aje. Dina sedih sebab semua orang tak pelawa Dina makan. Dina buat
muka selamba ambil pinggan dan bubuh nasi. Tapi Dina tahu, gaya mak pandang
Dina, mak memang tak senang Dina ada kat situ. Abang dan kakak pun sama.
Masing-masing berborak tetapi langsung tak pedulikan cakap-cakap Dina. Kenapa
ya? Apa salah Dina? Puas Dina fikir kut-kut Dina ada buat mak marah atau kecik
hati.
Aduh, perut Dina
memang lapar sangat ni! Dina nak kena makan sikit. Ada kerja sekolah yang Dina
kena siapkan. Jadual pun tak tukar lagi. Dina kena pergi dapur, ambil makanan,
tapi Dina betul-betul takut. Buatnya mak jerkah Dina macam mana?
Fuh, selamat!
Rupanya mak dah keluar. Dina dah intai bilik mak tadi, kosong. Ni, Dina tengah
makan biskut buat alas perut. Kejap lagi Dina kena cepat-cepat siapkan kerja
sekolah. Sebelum mak balik, semua kena siap. Kalau mak tengok lampu bilik ni
terpasang, mati Dina. Mesti mak fikir Dina mengintai perlakuan ***** mak!
***
Dina marah sangat
bila tengok lelaki tu berani-berani pegang tangan mak. Mak pulak bukan main
lagi gembira. Dina tak tahu kenapa mak tergamak buat semua ni pada ayah. Dina
takut ayah marah dan sedih tengok mak macam ni. Dina tak mahu keluarga Dina
porak-peranda macam keluarga Akif. Dahlah Akif anak tunggal, mak ayahnya pula
bercerai.
Kata Akif, ayah
ceraikan maknya sebab kata ayahnya mak Akif perempuan jahat. Tinggallah Akif
dengan datuk dan neneknya. Adakah mak Dina pun jahat macam mak Akif? Inikah
jahat yang ayah Akif maksudkan? Kalau mak dan ayah bercerai, macam mana? Dina
nak duduk dengan siapa? Abang dan kakak? Tidak, Dina tak sanggup tengok mak
ayah bercerai!
“Hai bang, buat apa tu?” Satu suara kedengaran
menerobos masuk ke cuping telinga Osman.
Osman
tersentak. Suriyana tercegat di muka pintu dengan wajah yang masih mengantuk.
“Suri?
Tak tidur lagi ke?” Osman menyapa mesra. Dia berlagak selamba meskipun tubuhnya
menggeletar hebat membaca luahan perasaan anak gadisnya tadi.
Mengenangkan
setiap baris perkataan yang terungkap di sebalik bauran emosi Wardina Amni,
hatinya turut luluh. Betapa Wardina Amni sedang berperang hebat dengan emosi
sendiri. Anak kecil itu berdepan dengan tekanan yang bukan sedikit. Wardina
Amni terpaksa berdepan dengan layanan hambar ibunya. Perkataan perempuan jahat
yang dimaksudkan Wardina Amni tadi cukup membuatkan darah Osman tersirap.
Antara
percaya dengan tidak, Osman terpaksa meletakkan dirinya di persimpangan
hakikat. Segala apa yang ditulis Wardina Amni tak mungkin satu rekaan. Tak
mungkin anak kecil itu sedang mengarang cerita, semata-mata mahu memburukkan
ibu sendiri meskipun dia punya impian untuk menjadi seorang penulis.
Tak
mungkin anak yang bersopan dan lembut berbicara itu pandai menipu. Kalau dia
nak menipu, kepada siapa? Sedangkan buku nota ini adalah luahan perasaannya.
Malah, nampaknya buku nota ini sengaja disoroknya di bawah bantal, di tepi
dinding.
Ya
ALLAH... berikan aku kekuatan untuk berdepan dengan semua ini. Andai kata
Wardina Amni di pihak yang benar, selama ini ternyata Suriyana
memperbodohkannya. Isterinya itu sudah berani-berani berlaku curang kepadanya.
Apakah selama ini memang ternyata dia lelaki dungu hanya kerana termakan pujuk
rayu isteri? Hanya kerana buta dengan kasih sayang dan cinta isterinya yang
penuh kepura-puraan. Apakah cakap-cakap orang tentang Suriyana benar belaka,
bukannya fitnah? Apakah Mahmud dan Ainon juga tidak beromong kosong?
“Eh,
abang ni... kita tanya dia boleh termenung pulak!” Suriyana bertanya lagi
sambil menapak ke dalam bilik.
Menyedari
keadaan itu, Osman segera menyorokkan buku nota Wardina Amni di bawah bantal
peluk anaknya. Mujurlah kedudukan Osman ketika itu sedang membelakangi tubuh
isterinya.
“Abang
saja datang jenguk anak-anak. Say good night kat dia orang.” Osman
bangun dari birai katil dan mendapatkan isterinya.
“Jomlah,
kita tidur. Abang pun mengantuk sangat dah ni,” ajak Osman sambil mematikan
suis lampu bilik tidur anak-anaknya. Mereka pun berlalu ke kamar tidur.