JURIAH hairan. Sudah tiga hari
berturut-turut Wardina Amni tidak kelihatan di pekarangan sekolah dan di tempat
biasa mereka bertemu. Puas juga dia menanti kehadiran Mardiah Amna dan Faizul
Ikhwan, sayangnya mereka juga tidak kelihatan. Apakah mereka adik-beradik
bercuti kerana tidak sihat?
Juriah resah memikirkan perihal
cucu-cucunya. Hatinya juga berat mahu ke rumah Suriyana. Jiwanya agak tertekan
mahu bertemu mata dengan menantunya itu. Suriyana membuatkan hatinya tawar
untuk ke sana. Sikap kurang ajar Suriyana memang membungkal perasaan. Kalau
dikenang sikap Suriyana tempoh hari, hancur luluh hatinya. Namun mengenangkan
cucu-cucunya, tidak sampai hati untuk dia bersikap keras hati. Siraturahim yang
tegang, bisa putus bila-bila masa saja.
Malam tadi Juriah cuba menelefon
rumah Suriyana, namun sayang panggilan itu tidak berangkat. Akhirnya, dia memutuskan untuk pergi ke rumah
Suriyana. Hatinya sayu dan berbelah bahagi mengenangkan nasib Wardina Amni.
Kalau tiga hari anak itu tidak ke sekolah, dia tidak tahu bagaimana dengan
makan minum cucunya itu. Nasib Wardina Amni langsung tidak diketahuinya.
Demamkah? Sakitkah?
Juriah memarkir kereta agak jauh
dari rumah Suriyana, berhampiran dengan rumah Ainon. Lama dia memerhati
sekeliling rumah peninggalan arwah Osman. Suasana di sekitar rumah itu sunyi
sekali. Hanya sesekali bunyi kenderaan memecah keheningan pagi. Pintu dan
tingkap rumah itu kelihatan tertutup rapat. Kereta Honda Civic dan Volvo,
peninggalan arwah Osman tersadai lesu di bawah garaj. Kereta Toyota milik
Suriyana tiada di tempatnya. Sah, menantunya itu keluar. Tapi ke mana ya? Benak
Juriah laju berfikir sambil matanya terus memerhatikan sekeliling rumah itu.
Juriah melangkah keluar dari perut
kereta apabila diyakininya rumah besar itu tidak berpenghuni. Dia cuba membuka
daun pintu pagar, namun telah dimangga kemas. Juriah terhendap-hendap dari
celahan pintu pagar yang berkerawang tinggi, berceracak kukuh di tanah itu.
Tiada suara Suriyana dan cucu-cucunya, mahupun bunyi dari televisyen.
Tiga buah basikal milik
cucu-cucunya kelihatan bersandar di dinding rumah, dekat dengan bahagian dapur.
Benar seperti mana diduga, ketiga-tiga mereka tidak hadir ke sekolah. Tapi, ke
mana mereka pergi hari-hari sekolah begini?
Bunyi enjin kenderaan berhenti di
tepi keretanya membuatkan Juriah tersentak. ‘Surikah?’ tebak hatinya seraya
berpaling dengan rasa gundah. Berdepan dengan menantunya itu membuatkan
perasaan menjadi tidak enak. Apa pun yang Suriyana akan hamburkan sekejap
nanti, dia bersedia menadah telinga. Dia sudah maklum akan perangai Suriyana
yang pernah diserang angin meroyan itu.
“Kak Juriah!” Lunak mesra suara
Ainon menegurnya.
Juriah mengurut dadanya yang
berdebar kencang tadi.
“Lah... Ainon. Akak ingatkan siapa
tadi,” jawab Juriah membalas sapaan Ainon. Debar di dadanya mulai surut.
“Ingatkan siapa pulak, kak?” tanya
Ainon, mendekati tubuh Juriah. Mereka bersalaman.
“Akak ingatkan Suri tadi,” bisik
Juriah perlahan ke telinga Ainon.
“Suri dan budak-budak tu, tak ada
kut kak. Dah empat hari rasanya rumah tu tertutup rapat. Berkunci aje. Saya pun
tak tahu ke mana perginya mereka. Bangun pagi tu, tengok kereta Suri tak ada.
Saya pun sibuk sungguh tiga empat hari ni. Berulang-alik ke rumah anak dan
hospital. Cucu masuk hospital. Amalin pun berulang ke sekolah dari rumah
kakaknya.”
“Masuk hospital?” tanya Juriah
separuh terkejut.
“Ha’ah, kak... Demam panas dan
doktor sahkan ada jangkitan kuman kat paru-paru. Saya tolong tengok-tengokkan
cucu-cucu yang lain. Malam tadi pulak, saya bermalam di hospital pasal bayi
kecil kat rumah masih menyusu badan. Kembung perut sebab menangis. Kesian mak
budak-budak tu,” cerita Ainon membuatkan Juriah terlopong.
Tiba-tiba seraut wajah Wardina
Amni terlayar-layar di benaknya. Kisah cucu Ainon yang demam dan diserang kuman
di paru-parunya adalah sama dengan situasi yang pernah berlaku kepada Wardina Amni
suatu ketika dulu. Entah mengapa, perasaannya menjadi kacau-bilau. Rasa bimbang
dan takut melimpah ruah di tebing hati. Hatinya berbisik yang Wardina Amni amat
memerlukannya saat ini. Mungkinkah Wardina Amni sedang sakit?
“Kak, kenapa jauh termenung ni?”
tanya Ainon menyedari Juriah hanyut dalam lamunannya. Sentuhan tangan Ainon di
lengan Juriah, membuatkan Juriah malu sendiri.
“Akak terkenangkan si Dina dengar
cerita kau ni. Dia kan pernah demam dan pernah kena jangkitan kuman masa
hayatnya arwah Osman ada lagi.” Juriah berterus terang akan pertanyaan Ainon
itu. Sememangnya dia sangat rindu kepada Wardina Amni. Dia macam tak percaya
Suriyana membawa Wardina Amni ke mana-mana bersama. Selama ini, menurut cerita
Wardina Amni, tak pernah Suriyana mengajaknya ke mana-mana.
“Cucu Non tu, berapa tahun
umurnya?”
“Baru empat tahun, kak. Eh, jom ke
rumah saya! Boleh kita berborak panjang,” ajak Ainon.
“Tak apalah, Non. Akak datang nak
tengok cucu-cucu akak. Tanya khabar mereka. Dah banyak hari akak tunggu Dina kat
sekolah, tak muncul-muncul juga. Hati akak ni tak sedap saja, kenangkan dia.
Tak apalah, mungkin dia mengikut sama, emaknya ke mana-mana. Akak pun nak ke
kedai ni. Kau baliklah Non, berehat.” Juriah menasihati Ainon.
“Ya, kak. Memang ada hajat nak
tidur sekejap. Badan ni dah berasa sejuk panas pulak. Mujurlah menantu dapat
cuti hari ni. Biarlah giliran dia pula yang jaga budak-budak tu.” Ainon
menyambung cerita.
“Yalah, Non. Alhamdulillah...
boleh tukar-tukar berjaga. Kau tu kan ada darah tinggi. Tak boleh berjaga malam
selalu, tak boleh tak cukup tidur. Bahaya,” komen Juriah lagi.
“Kalau macam tu saya pergi dulu,
kak.” Ainon meminta izin dan mereka bersalaman.
WARDINA AMNI terbatuk-batuk,
cuba menahan lelah yang kian memerit dada. Sakitnya sudah tak tertanggung lagi
menyebabkan dia sukar menghela nafas. Liur di tekak kian kering dan pahit. Dia
berasa haus dan langsung tidak bermaya. Perutnya berbunyi-bunyi minta diisi.
Wardina Amni memandang sekeliling
biliknya yang kini dibolosi sejalur cahaya pagi. Dia mengecam situasi dalam
keadaan kepalanya yang masih berdenyut-denyut kuat. Pandangan matanya
berpisat-pisat. Dia cuba menggagahkan
diri, mengangkat tubuhnya yang dirasakan sakit, kebas dan nyilu. Namun
kepalanya yang pusing membuatkan dia gagal untuk berdiri.
Wardina Amni berusaha mengengsot
badannya yang lesu. Dia mendekati daun pintu bilik dan menguaknya perlahan.
Sedaya upaya, dia cuba menggerakkan tubuhnya yang lemah ke dapur, mahu meneguk
segelas dua air masak.
Tiba-tiba Wardina Amni tersentak.
Sayup-sayup kedengaran di cuping telinganya suara orang bercakap. Dia cuba
mengecam, siapa empunya suara itu? Meskipun kecungapan, dia gesa-gesa
mengengsot badan ke tepi daun pintu dapur. Telinganya melekap di daun pintu,
mahu memastikan telahannya benar. Dia mahu tahu siapa orang yang bercakap-cakap
di luar pagar rumahnya itu.
Wardina Amni cuba untuk bangun, memaut tangan
di tombol pintu demi mencari sokongan tubuhnya yang lemah. Namun apakan daya,
tubuhnya yang lemah membuatkan dia terlonglai kembali ke lantai. Dia kelelahan.
Sambil mengurut dadanya yang perit, bibirnya tidak sudah-sudah mengucap dua
kalimah syahadat dan puji-pujian kepada Yang Maha Esa dengan harapan diberi
kekuatan oleh-Nya.
Dalam keadaan terbaring, dia
mengharapkan Allah akan
memberikannya keajaiban. Semoga DIA, membuang segala rasa sakit dan
menghidupkan semangat juga tenaganya yang hilang entah ke mana. Seminit dua,
Wardina Amni masih berjuang, berusaha menongkat tubuh, mahu bangun dan membuka
daun pintu dapur.
‘Eh, itu suara nenek dengan Mak Cik
Ainon! Nenek datang kat sini ke?’ bisik hatinya rawan setelah diyakini suara
orang yang bercakap-cakap itu ialah suara Juriah dan Ainon.
“Nenek, tolong Dina. Mak Cik
Ainon…” panggil Wardina Amni. Namun suaranya terlalu lemah meskipun dia berasa
sudah terlalu kuat dia menjerit memanggil Juriah.
Dia sedaya upaya mahu bangun dan
terus memanggil nama neneknya. Beberapa kali. Dia perlukan ubat, makanan dan
perhatian seseorang dalam keadaan tubuhnya yang langsung tidak berdaya. Dia
mahu minta pertolongan Juriah agar membawanya keluar dari rumah itu.
Hatinya sudah tawar dilayani
sebegini oleh penghuni rumah ini. Hatinya hancur lebur mengenangkan betapa rasa
benci Suriyana membuatkan dia mengusung derita.
Sebelum demamnya melarat, dia ada
juga mengintai-ngintai rumah Ainon dan memanggil wanita itu, namun kelihatan
rumah itu tidak berpenghuni. Puas sudah dia berikhtiar, mahu keluar dari rumah
itu, namun fikirannya buntu. Gerigi besi dan pintu depan juga belakang rumahnya
dimangga dari luar.
“Ya Allah... berikanlah aku kekuatan. Nenek... Mak Cik Ainon....
Dada Dina sakit sangat ni. Nenek, dengarlah suara Dina. Nenek, dengarkah suara
hati Dina yang amat memerlukan nenek. Tolonglah Dina ,nek. Mak Cik Ainon, Dina
ada dalam rumah ni. Dina tak sihat, tolonglah, Dina...” tangis Wardina Amni
bersama rasa perit yang masih menghimpit dada.
Namun apabila disedarinya tiada
lagi suara orang bercakap-cakap, sesak di dada kian menjadi-jadi. Deruman suara
kereta yang berlalu pergi membuatkan harapan Wardina Amni punah begitu saja.
Dia yakin benar, Juriah mahupun Ainon
sudah pun berlalu pergi dari situ.