Home Novel Cinta HATIMU MILIKKU
Bab 47

Ayumi berhenti dari menyuap mi goreng mamak ke dalam mulut.Dilihatnya Dania hanya menguis-nguis nasi goreng di dalam pinggan tanpa langsung dijamah.


"Nia, kau okey ke tak ni?"

Ayumi menyentuh lengan Dania perlahan.Gadis itu terlihat sedikit tersentak lalu mengangkat wajah.


"Hah, apa kau cakap?"

Terkebil-kebil Dania memandang Ayumi.


"Aku tanya, kau okey ke tak..Dari tadi dok kuis-kuis je nasi tu.Tadi kata lapar."


"Err aku okey.."

Balas Dania antara dengar dan tidak.


"Kalau dulu aku nilah tempat kau nak mencurah segala isi hati kan.Ke sekarang ni aku dah tak diperlukan?"

Ujar Ayumi seakan merajuk.Mi goreng yang tinggal separuh ditolak ke tepi lantas mencapai segelas air limau sejuk dan dihirup rakus.


"Janganlah cakap macamtu Yumi.Sedih pulak aku dengar."

Dania melepaskan keluhan panjang dan menyandarkan tubuh di kerusi.




"Nia ni bila nak balik rumah Alvin?Dah sebulan kan kamu berdua kahwin.Alvin tak ada ajak kamu balik ke?"

Tanya Encik Iskandar sewaktu Dania baru hendak keluar dari rumah pagi itu.Alvin pula selepas subuh terus pulang ke rumah kerana masuk bertugas awal.


Pertanyaan Encik Iskandar itu benar-benar menyesakkan fikiran Dania.Entah apa lagi alasan yang harus dicipta setiap kali soalan itu diajukan.Sudahnya dia hanya mampu membisu.


"Alvin tu nampak je okey, nampak je macam tak kisah.Tapi kamu janganlah ambik kesempatan pulak atas kebaikkan dia.Ingat Dania, Alvin tu ada hak sepenuhnya ke atas kamu."


"Hello cik kak!Nak cerita ke tak ni?I'm waiting."

Ayumi memetik jarinya di hadapan wajah Dania yang sedang termenung.


Dania tersentak.Tubuhnya ditegapkan kembali menghadap Ayumi yang sedang berpeluk tubuh.


"Sorry, Yumi.Sebenarnya aku tengah fikir apa yang ayah aku cakap pagi tadi."


"Pasal apa?Macam serius je."

Ayumi jadi tidak sabar.Kerusi ditarik lebih rapat ke meja, bersedia untuk mendengar cerita yang bakal keluar dari mulut Dania.


"Ayah aku dah bebel pasal aku tak balik rumah Alvin.Kau rasa patut ke aku tinggal dengan dia sekarang ni?"

Dania gigit bibir.Sedar yang soalan sebegitu tidak sepatutnya diajukan.


"Oo pasal tu ke..Ingatkan ayah kau nak kahwin lagi."

Ayumi jongket bibir.Air limau sejuk yang masih tersisa dihirup hingga ke dasar.


"Kau ni, Yumi.Ada pulak ke situ.Orang tengah susah hati boleh pulak dia gurau yang tidak-tidak."

Dania tarik muka.Giliran dia pula memeluk tubuh, tanda protes.


" Alalaa sorry lah..aku cuma nak ceriakan suasana je.Dah kau tu serius sangat."

Ayumi ketap bibir menahan tawa.


"Aku rasa dah tiba masanya untuk kau bagi peluang pada Alvin dan pada diri kau sendiri."

Ayumi jadi serius tiba-tiba.


"Bagi peluang pada diri aku sendiri?Maksud kau?"

Dania cuba menaakul dalamnya kata-kata Ayumi itu namun otaknya seakan sudah membeku.


"Maksud aku, bagi peluang pada diri kau untuk rasa bahagia, rasa cinta..macam dulu."

Kata Ayumi dengan bersungguh-sungguh.


"Macamana aku nak rasa bahagia kalau cinta pun aku tak ada?"

Dania mengeluh lagi.Tubuhnya disandarkan kembali pada kerusi.


"Macamana cinta tu nak datang kalau kau langsung tak nak bagi peluang pada Alvin?Ya aku faham kau dengan Alvin macamana.Tapi sampai bila kau nak mengelak dari dia?Nak tak nak kau kena habiskan hidup dengan dia jugak kan?Habis tu kau sanggup ke hidup tersiksa dengan perasaan benci sepanjang hayat kau?"

Nasihat Ayumi panjang lebar dengan harapan agar Dania dapat membuka mata dan hatinya untuk menerima apa yang telah tertulis.


Dania tidak membalas sebaliknya hanya memandang sayu wajah Ayumi.Entah kenapa hatinya tersentuh mendengar setiap bait kata sahabatnya itu.Kemudiannya pandangan kosong dilemparkan ke arah satu pasangan muda yang sedang asyik menikmati makan tengahari di restoran itu.Tanpa diduga, bayangan wajah Alvin yang tersenyum manis kepadanya pagi tadi memenuhi segenap ruang ingatan.



***********************



Dania menutup zip bagasi lalu kembali berdiri di hadapan almari pakaian yang hampir kosong.Gaun pengantin putih yang masih tergantung direnung sayu.


"Rizki..saya betul-betul rindukan awak.Setiap kali saya cuba buang awak dari hidup saya, hati saya ni sakit sangat-sangat."

Dania merintih.Diambilnya gaun pengantin dari gantungan dan didakap erat.


"Nia..dah siap kemas, sayang?"

Tersentak dengan teguran itu, Dania menggantung kembali gaun pengantin di tempatnya.Cepat-cepat diseka air mata yang hampir menitis ke pipi.


"Err..dah kot, bu."

Jawab Dania sambil cuba mengukir senyum.


"Nia okey ke ni?"

Puan Saida bertanya sebaik Dania datang menghampirinya dan duduk di sisi katil.


"Okey je, bu.Cuma nervous sikit.Yelah, nak duduk tempat baru kan.Tak taulah boleh sesuaikan diri ke tak."

Dania cuba menenangkan hatinya yang gelisah.


Sejak dia mengambil keputusan untuk tinggal bersama Alvin beberapa hari yang lalu, tidurnya tidak pernah nyenyak memikirkan hidup yang bakal dilalui selepas ini.Manakala di satu sisi yang lain pula, Alvin adalah orang yang paling bahagia dengan keputusan Dania itu.


"Nia dah buat keputusan yang betul.Ibu percaya Alvin boleh jaga Nia dengan baik.Hmm, sunyilah rumah ni nanti."


Puan Saida jadi emosi tiba-tiba.Berat hatinya mahu berpisah dengan anak satu-satunya, namun itulah hakikat yang harus ditempuh setiap insan yang bergelar ibu bila mana anak mereka sudah mendirikan rumah tangga.


"Ibu janganlah sedih, ada je masa Nia mesti balik sini.Kalau boleh hari-hari Nia nak balik sini jenguk ibu dengan ayah."


"Tak payahlah balik hari-hari nanti apa pulak kata Alvin.Rumah dia dengan rumah kita bukannya dekat."


"Ibu ni, Nia gurau jelah.Pasal Alvin tu ibu tak payah risaulah.Kalau Nia nak balik Nia boleh je kan balik sorang, tak perlu harapkan dia pun."

Dania senyum sumbing.


Kalau ikutkan hati sememangnya dia tidak mahu tinggal bersama Alvin.Namun apalah dayanya kini.Suami tetap suami.Hak tetap hak.Semua yang telah terjadi takkan mungkin diundur kembali.






"Kami pergi dulu ya ayah, ibu."

Kata Alvin lantas tunduk mencium tangan Encik Iskandar dan Puan Saida.


"Yelah, nanti dah sampai sana terus bagitau ayah ya."

Pesan Encik Iskandar kepada Alvin.


"Ingat Alvin, kalau ibu dapat tau Alvin buli anak ibu ni, siap Alvin."

Puan Saida pula memberi amaran dalam bercanda.


"Ish takkanlah saya nak buat macamtu, ibu.Silap haribulan saya yang kena buli."

Alvin ketawa.Yang lain juga turut sama ketawa kecuali Dania yang hanya diam membisu.


Setelah mengucapkan selamat tinggal, Alvin dan Dania masuk ke dalam perut kereta.Dan dalam sekelip mata, kelibat mereka hilang dari perkarangan rumah Encik Iskandar dan Puan Saida.


"Are you okay?Diam je dari tadi."

Tegur Alvin setelah hampir lima minit perjalanan.


"Okey."

Hanya itu yang keluar dari mulut Dania.


Sememangnya dia tidak berminat untuk berbual.Pandangan pula hanya dihalakan ke sisi cermin tingkap.Dania pejam mata.Keadaan jalan raya yang hanya disinari lampu malam meletihkan mindanya.


"Rumah kita ada kolam renang tau.Kolam ikan pun ada.Mesti awak suka."

Alvin cuba menarik perhatian Dania namun hampa apabila tiada sebarang respon yang diterima.


'Patutlah senyap.Mengantuk sangat ni.'

Alvin senyum-senyum sendiri apabila menyedari yang Dania sudah pun tertidur.





Hampir setengah jam perjalanan, akhirnya mereka sampai di rumah banglo dua tingkat.Alvin jadi serba salah untuk mengejutkan Dania yang masih tertidur pulas.Alvin keluar dari kereta dan bergerak ke tempat duduk penumpang lalu membuka pintu.Dengan berhati-hati, Alvin menanggalkan tali pinggang keledar yang dipakai Dania.Oleh kerana terlalu asyik memerhatikan wajah gadis itu, secara tidak sengaja tangannya terkena dada Dania.


"Awak nak buat apa ni?!"

Sejurus tersedar, bulat mata Dania memandang wajah Alvin yang hanya beberapa inci saja dari wajahnya.


"I'm sorry.Saya nak kejutkan awak tadi, tapi..'"


"Tapi apa?!Tepilah saya nak keluar!"

Bentak Dania lalu keluar dari kereta.Bengang apabila memikirkan yang Alvin sengaja mahu mengambil kesempatan ke atas dirinya.


"Err..jom kita masuk.Beg tu nanti saya ambik."

Kata Alvin terbata-bata.Risau hatinya melihat mood Dania yang tidak begitu baik.


Dengan kepala yang masih mamai, Dania membontoti langkah Alvin menuju ke pintu masuk utama.Liar matanya memerhati sekeliling kawasan rumah yang agak luas.


'Besar betul rumah ni.Macamana dia boleh duduk sorang-sorang eh rumah besar macamni?'

Ternganga mulutnya sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah.Mujurlah reaksinya itu tidak disedari Alvin.Dalam diam, dia menyimpan rasa kagum dengan apa yang dimiliki lelaki itu.


"Jom naik atas."

Pelawa Alvin sambil menjinjing dua bagasi di kiri dan kanan ke tingkat atas.


"Nilah bilik kita.I hope you like it."

Kata Alvin lagi dengan termengah-mengah namun bibirnya masih sempat mengukir senyum.


'Bilik kita?'

Dania telan liur.Seluruh badannya terasa mengeras tiba-tiba.


"Masuklah, sayang."

Alvin bersuara lagi apabila melihat Dania hanya berdiri kaku di muka pintu.


'Nia, kau kena ingat.Ni bukan rumah kau yang kau boleh buat peraturan sendiri.Nak tak nak kau kena hadap semua ni.'


Dania masih tidak berganjak dari tempatnya berdiri.Lemah terasa seluruh anggota badannya.


"Awak nak saya dukung ke?"

Alvin menghampiri Dania yang masih tercegat di situ lalu berbisik ke telinganya dengan senyum nakal.


Bagaikan didorong oleh satu kuasa, Dania meluru masuk ke dalam bilik lalu berpura-pura mendapatkan bagasinya padahal jantungnya bagai hendak gugur mendengarkan bisikan itu.


"Esok jelah kemas barang-barang tu.Nanti saya tolong awak kemas.Awak rehatlah dulu, okey.Saya pergi mandi dulu."

Ujar Alvin lalu tersenyum.


Dania hembus nafas lega sebaik saja kelibat Alvin hilang di sebalik pintu bilik air.Diperhatinya sekitar ruang bilik yang jauh lebih besar dari biliknya.Perlahan-lahan Dania menghampiri katil yang beralaskan tilam empuk dan tebal lalu merebahkan punggung di atasnya.Cadar lembut berwarna biru laut dan selimut tebal diusap-usap.Segalanya terasa begitu asing dan janggal baginya.Baru beberapa detik berada di situ, Dania sudah mula merindui rumahnya sendiri.


Dania bangun dan menuju pula ke arah langsir yang menutupi cermin kaca untuk ke balkoni.Angin malam yang dingin langsung saja menyapa kulit wajahnya saat pintu dibuka.Dania berdiri di balkoni sambil memerhatikan langit malam.Angin dingin yang semakin galak menampar tubuhnya dibiarkan saja.Sekurang-kurangnya dia mendapat sedikit ketenangan saat bersendirian di sini, tanpa Alvin.


Namun ketenangan yang diperolehi hanyalah seketika apabila Alvin datang mendekatinya.


"Kenapa duduk dekat luar ni, sejuklah sayang."

Alvin berdiri di sisi Dania sambil memandang gadis itu penuh minat.


Dania tidak mengendahkan Alvin.Hatinya masih inginkan ketenangan.Apatah lagi panggilan 'sayang' oleh Alvin dirasakan terlalu janggal untuk diterima.


"Awak nak tau tak, Dania.Dulu saya selalu duduk sorang-sorang dekat sini tengok langit malam sambil fikirkan awak dan bayangkan wajah awak.Dan sekarang ni orang yang selalu saya fikirkan dan bayangkan ada dengan saya.Sama-sama tengok langit dan bulan.Indah kan aturan Allah."


Alvin senyum lalu memandang ke langit.Kemudian pandangannya dialihkan kembali kepada Dania yang masih membisu.


"Saya nak masuk tidur."

Akhirnya Dania bersuara.


"Dania.."

Panggil Alvin perlahan saat Dania mahu meninggalkannya.


"Apa lagi?Saya letih, nak tidur.Esok jelah kita cakap, okey."

Dania memandang Alvin sekilas lalu berpaling untuk menuju ke katil sebelum langkahnya terhenti.


"Esok jangan kejut saya subuh.Saya tak solat."

Dania berpesan seraya berpaling pergi.


Alvin melepaskan keluhan panjang.Langit kelam tanpa bintang direnung dengan pandangan kosong.


'Tamakkah aku, ya Allah?Setelah Engkau mengabulkan permintaanku untuk memiliki Dania, sekarang aku inginkan pula dia membalas cintaku.Adakah aku hambaMu yang tidak bersyukur?'


Alvin meraup wajah dengan rasa kecewa lantas beristighfar sebanyak-banyaknya dalam hati.Setelah merasa tenang, barulah dia masuk ke dalam semula.Dengan perlahan dia menghampiri Dania yang sudah pun berselubung selimut.Kemudian dia bergerak pula ke arah suis lampu.Dan kini bilik itu hanya disinari cahaya lampu tidur di sudut atas dinding katil.


"Good night, sayang."






Tersedar dari lena, Dania memerhati sekitar bilik tidur yang suram kerana cuaca agak mendung pagi itu.Alvin pula sudah tidak kelihatan.


'Dah pergi kerja ke?'


Telefon bimbit di atas meja kecil dicapai.Jam di telefon baru menunjukkan pukul tujuh setengah pagi.Dania menguap sambil memeriksa aplikasi Whatsapp.


"Saya pergi kerja dulu.Sorry sebab tak kejutkan awak.Anything you need just call me, okay?Have a nice day."


Pesanan dari Alvin dibaca sekali imbas lalu turun dari katil.Sewaktu membetulkan cadar dan selimut, matanya terpandang akan dua bagasi yang diam di sudut dinding.Lantas dia teringat akan kata-kata Alvin malam tadi yang mahu membantunya mengemas.


'Lambat lagi kau nak tolong aku.'


Dania sungging bibir.Sambil menuju ke bilik air, dia bernyanyi-nyanyi kecil.Lapang terasa dadanya apabila Alvin tiada di rumah.


Usai membersihkan diri, dengan rambut yang masih basah Dania turun ke tingkat bawah.Perutnya sudah mula terasa lapar.Laju matanya menetapkan dapur sebagai sasaran.


Peti ais dua pintu dibuka rakus.Bulat matanya apabila melihat isi peti yang penuh dengan pelbagai jenis barangan.


"Mak aii, dia ni memang nak aku jadi tukang masak ke apa kat rumah ni?"

Ngomel Dania sambil tangannya sibuk membelek barang-barang di dalam peti.Bermula dari peti sejuk beku hinggalah ke ruang simpanan sayur-sayuran.


Hilang rasa untuk menyediakan sarapan pagi tatkala terfikirkan tentang apa yang perlu dimasak untuk Alvin nanti.Dania mengeluh panjang lalu duduk menongkat dagu di meja dapur.


"Kenapalah hari ni cuti pulak."

Rungut Dania lagi.


Saat itu matanya terpandang akan tudung saji empat segi yang agak besar saiznya di atas meja.Kerana rasa ingin tahu, Dania membuka tudung saji itu sebelum matanya terbeliak untuk ke sekian kalinya.


'Nasi lemak daun pisang..karipap putar..'


Kecur air liur Dania saat itu.Tanpa memikirkan apa-apa lagi, Dania mengambil sudu dan pinggan lalu disuakan nasi lemak ke dalam mulut.


"Nasib baik aku tak masak apa-apa lagi.Awatlah dia tak bagitau aku yang dia dah sediakan breakfast."

Bebel Dania sambil mulutnya laju mengunyah nasi lemak.


Selesai makan, Dania langsung naik ke tingkat atas untuk mengemas barang-barangnya.Dia perlu menyelesaikannya sebelum Alvin pulang ke rumah.Siap saja mengemas, Dania turun semula ke tingkat bawah.Tidak sabar rasanya untuk menjelajah ke sekitar ruang rumah.Apa yang paling membuatnya jadi tidak sabar adalah kolam renang yang diceritakan Alvin sewaktu berada di dalam kereta malam tadi.


Sebenarnya waktu itu, dia hanya berpura-pura tidur untuk mengelak dari terus berbual dengan Alvin sebelum dia benar-benar tertidur.


Teruja Dania sewaktu berada di hadapan kolam renang.Rasanya ingin langsung terjun ke dalam air saat itu.Matanya tertumpu pula pada sebuah kolam ikan yang cantik yang terletak tidak jauh dari kolam renang.Jaraknya hanya dibatasi dengan gazebo bersaiz sederhana.


Dania duduk di tepi kolam renang dengan kaki seluar disinsing hingga ke paras lutut.Kakinya dilunjurkan ke dalam air.Terdetik di hatinya saat itu betapa ruginya Alvin tinggal sendirian di rumah yang sesempurna ini.



*********************



Alvin mendail nombor telefon Dania berkali-kali namun tiada jawapan.Hatinya mula dipagut resah.Bermacam-macam fikiran buruk bermain di kepalanya.Tanpa berfikir panjang, kot putih yang tersarung pada tubuh ditanggalkan lalu kunci kereta direntap kasar.


"Vin!Nak pergi mana?"

Doktor Imran yang kebetulan berada di bawah sewaktu Alvin hendak mendapatkan keretanya menyapa lelaki itu yang kelihatan tergesa-gesa.


"Aku keluar sekejap.Apa-apa kau tolong cover aku eh!"

Balas Alvin seraya memecut Audi nya laju.


Sepanjang perjalanan, Alvin tidak henti mendail nombor isterinya namun masih tidak berjawab.Alvin panik.Rambutnya diraup ke belakang berkali-kali.Tanpa menghiraukan jalan raya yang agak sesak tengahari itu, Alvin memecut selaju yang dia mampu dengan niat mahu segera sampai ke rumah.


Tiba saja di rumah, Alvin melaung memanggil nama Dania sambil naik ke tingkat atas.Pintu bilik tidur utama dibuka namun Dania tiada di situ.Setelah memeriksa kesemua bilik di tingkat atas, Alvin turun semula ke bawah.Diperiksanya pula ruang dapur, tetap saja kelibat Dania tidak ditemui.Hanya tinggal satu tempat saja lagi yang tidak diperiksanya iaitu kawasan belakang rumah.


Dada Alvin berombak hebat menahan marah saat matanya terpandang susuk Dania yang sedang duduk santai di tepi kolam ikan.


"Dania!!"

Alvin berjalan menghampiri Dania sambil mengetap bibir.


"Alvin, bila awak balik?"

Dania berdiri menghadap Alvin dengan perasaan yang tidak enak.Jelas kelihatan lelaki itu sedang menahan perasaan marahnya.


"Awak tau tak saya cari awak bagai nak gila?!"

Alvin menghamburkan rasa marahnya yang bercampur rasa bimbang.Namun nada suaranya masih berjaya dikawal.


"Kenapa awak cari saya?"

Tanya Dania dengan teragak-agak.Kecut perutnya melihat wajah Alvin yang begitu serius.


"Saya call awak banyak kali tapi awak langsung tak jawab.Tau tak betapa risaunya saya dekat hospital tadi?!"

Alvin bergerak beberapa langkah lagi ke arah Dania dengan wajah berkerut hinggakan kedua-dua keningnya bercantum.


Dania telan liur yang terasa pahit.Lidahnya mengeras sejurus menyedari punca Alvin berkelakuan seperti itu.Peluh dingin dirasakan mengalir di setiap anggota badan.Nafasnya terasa sesak pada saat Alvin berada begitu hampir dengannya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ain Arumi