Home Novel Cinta HATIMU MILIKKU
Bab 42

"Awak, walaupun saya akan jadi milik orang lain lepas ni, tapi percayalah hanya awak satu-satunya dalam hati saya.Takkan ada sesiapa boleh gantikan tempat awak.Walaupun awak tak ada di sisi saya, tapi percayalah hati saya tetap milik awak, selamanya."


Dania mengelus lembut gaun pengantin di atas riba sambil tersenyum.Didekatkan gaun pengantin ke wajah lalu dicium berkali-kali.


"Nia..pengantin dah sampai tu.Jom turun sayang."

Puan Saida yang muncul secara tiba-tiba mengejutkan Dania yang sedang berkhayal.Hampir terlepas gaun putih itu dari pelukan. 


"Ibu.."

Dania menatap sayu wajah Puan Saida yang berdiri di hadapannya.Tangan ibunya digenggam erat. 


"Nia..ibu faham perasaan Nia yang bercampur aduk sekarang ni.Tapi hari ni sepatutnya jadi hari yang paling bahagia dalam hidup Nia.Ibu tak nak tengok puteri ibu ni sedih macamni.Ibu pun sedih tau."

Puan Saida cuba memberikan semangat kepada Dania.Sayu hatinya melihat wajah sugul gadis itu di hari pernikahannya.


"Ibu yakin ke ini yang terbaik untuk Nia?"

Dania mengangkat muka memandang ibunya yang masih berdiri.


"Nia, cepat!Pengantin dah tunggu tu!"

Panggilan Ayumi yang menapak masuk ke ruangan bilik serta merta menghentikan drama sedih di antara Dania dan Puan Saida. 


Dada Dania kembali berombak mendengarkan kata-kata Ayumi. 


'Apa belum terlambat ke untuk aku batalkan perkahwinan ni?'

Sempat fikiran jahat menghasut dirinya saat itu. 


"Weh, Nia!Kau termenung apa lagi tu..Auntie tengoklah anak auntie ni, macam tak nak kahwin je.Cepatlah!"

Ayumi yang sudah hilang sabar menarik tangan Dania yang masih diam di katil. 


"Yumi..dah biar auntie yang bawak Nia turun.Kamu turun dulu ya."

Ujar Puan Saida yang kurang senang melihat perlakuan Ayumi yang seperti lebih sudu dari kuah.


"Tak pe, bu.Nia nak Yumi temankan Nia sekali.Jom."

Dania memegang kejap tangan Puan Saida dan Ayumi serentak. 




Bergetar seluruh tubuh Dania saat melangkah ke ruang tamu yang agak penuh dengan kehadiran tetamu terdekat.Sedikit pun dia tidak berani untuk mengangkat wajah.Jalannya juga dipimpin oleh Puan Saida menuju ke kerusi khas pengantin.Duduknya pula ditemani oleh Ayumi dan Puan Saida di kiri dan kanan. 


Alvin yang sudah bersedia di hadapan tok kadi tidak mampu menahan diri dari menatap bidadari di hadapan mata.Terpegun seketika melihat Dania yang begitu cantik mengenakan sepasang gaun pengantin putih ditambah dengan selendang yang menutupi rambutnya.Walau tiada secalit pun senyuman yang menghiasi wajah gadis itu, namun baginya Dania lah pengantin paling cantik di dunia. 


"Nia..senyumlah sikit..Janganlah masam sangat muka tu, tak manis tau orang tengok.Nanti diorang ingat kau kena paksa pulak."

Sempat Ayumi berseloroh.Cuba menceriakan hati sahabatnya.Dia faham benar kalau perkahwinan ini bukanlah perkahwinan yang diimpi-impikan oleh Dania selama ini. 


Dania memandang Ayumi dengan wajah keruh.Dia cuba untuk memahami dan menerima situasi yang sedang berlaku kini.Sedaya upaya dia mencuba untuk tersenyum namun entah kenapa senyuman yang cuba diukir terasa begitu pahit hingga menusuk dalam-dalam tangkai hatinya. 


"Yumi..aku tengah mimpi ke sekarang?"

Pertanyaan Dania kedengaran bagai angin yang berbisik di telinga Ayumi dengan senyuman kelat yang masih cuba dibentuk. 


"Syhh..dah nak mula tu."

Ayumi memberi isyarat supaya Dania memberikan perhatian kepada proses akad yang akan berlangsung beberapa detik saja lagi.Manakala Dania hanya tunduk dengan fikiran yang melayang entah ke mana. 


"Alhamdulillah, sayang.Nia dah bergelar isteri sekarang.Ibu bahagia sangat."

Puan Saida memeluk dan mencium pipi Dania yang masih kaku tanpa sebarang respon. 


"Tahniah sahabat.Aku turut bahagia untuk kau."

Giliran Ayumi pula memeluk Dania erat. 


Dania yang sedari tadi hanya kaku membisu terkebil-kebil memerhatikan wajah ceria Ayumi dan Puan Saida silih berganti.


"Senyumlah sikit sayang, kejap lagi nak sarung cincin ni."

Ujar Puan Saida lagi yang tidak dapat membendung rasa bahagianya. 


Seakan terjaga dari lena, Dania mengangkat wajah memandang ke hadapan.Matanya langsung terpaku ke arah sesusuk tubuh yang amat dikenalinya.Alvin kelihatan segak sekali mengenakan baju melayu putih lengkap bersampin.Lelaki itu kelihatan sedang sibuk bersalam-salaman dengan tetamu yang berada di sekelilingnya.Senyuman lebar tidak lekang menghiasi wajah manisnya. 


"Nia, kau okey tak ni?"

Ayumi memerhatikan sekitar dahi Dania yang mula dipenuhi peluh renek.


"Yumi, boleh tak bawak aku naik atas?Aku rasa tak sedap badan lah.Aku.."

Dania mengenggam kuat lengan Ayumi.Tubuhnya terasa lemah tiba-tiba, pandangannya juga perlahan-lahan mulai kabur.Dan akhirnya Dania rebah di ribaan Puan Saida. 


"Nia!!"






Alvin merenung wajah polos Dania yang masih tidak sedarkan diri dengan penuh kasih.Tangan Dania digenggam erat sedari tadi seakan tidak mahu dilepaskan.Sesekali sebelah tangannya lagi mengelus lembut rambut Dania yang terjuntai ke dada.Dibawanya pula tangan mulus Dania ke bibir lalu dicium kejap.


Dan seakan kisah dongeng, tindakkan Alvin itu akhirnya berjaya membawa Dania kembali ke alam nyata setelah agak lama berlayar ke alam mimpi.


"Awak?!Apa awak buat dekat sini?!Macamana awak boleh ada dalam bilik saya ni?!"

Bagaikan terkena kejutan elektrik, Dania bangun dan bersandar di kepala katil dalam keadaan yang masih tidak begitu stabil.Rasa malu dan marah bercampur baur tatkala menyedari yang dia hanya berduaan dengan Alvin di situ.


"Dania..tenang dulu.Tadi awak.."

Dengan perlahan Alvin mendekatkan lagi tubuhnya dengan Dania,cuba untuk menjelaskan apa yang telah berlaku sebentar tadi.


"Keluar!Saya kata keluar!"


Seperti orang hilang akal, berulang kali Dania menolak tubuh Alvin yang masih enggan berganjak dari sisi katil.


"Astaghfirullahalazim, Nia!Bawak mengucap nak, kenapa Nia cakap macamtu dekat Alvin?"


Dan seperti yang diduga, jerit pekik Dania didengari Puan Saida yang sedari tadi gelisah menanti di bawah bersama tetamu yang masih bersisa.Ayumi juga kelihatan turut berada di samping Puan Saida. 


"Haahla, Nia.Kesian Alvin dia risau gila dekat kau tau tak?Kenapa nak mengamuk macamni?"

Sampuk Ayumi.Geleng kepala dia melihatkan Dania yang masih saja memperlakukan Alvin seperti orang luar.


"Kau cakap apa ni Yumi?Terang-terang Alvin salah kan?Macamana kau boleh biarkan je Alvin masuk bilik ni tanpa izin aku?"


Ayumi tepuk dahi mendengarkan Kata-kata Dania, persis seperti orang yang baru terjaga dari koma dan hilang ingatan.


"Kau ni dah kenapa, Nia?Takkanlah baru pengsan sekejap dah hilang ingatan kot?Alvin ni suami kau.Baru je tadi akad nikah.Takkan kau tak ingat apa-apa?"

Ayumi semakin hilang sabar dengan sikap Dania yang tidak masuk dek akal.Sekilas dia menjeling Alvin yang hanya membisu dengan wajah yang keruh. 


Dania merenung lama wajah Ayumi sebelum beralih kepada Puan Saida hinggalah pandangannya terhenti pada wajah Alvin.Dia cuba untuk memproses semula kata-kata Ayumi namun itu hanyalah membuatkan kepalanya kembali memberat. 


"Ibu, Nia nak rehat.Kepala Nia sakit."

Ujar Dania sambil memegang kepala yang berdenyut.Badannya direbahkan kembali secara perlahan-lahan. 


"Takpe, Dania.Awak rehatlah dulu ya.Auntie, lepas Dania makan, pastikan dia makan ubat ya.Saya keluar dulu, jumpa tetamu dekat bawah."

Kata Alvin seraya bangun dari katil.Dipandangnya lagi wajah Dania yang sudah pun memejamkan mata.


"Alvin, auntie mintak maaf ya.Auntie tau Alvin kecil hati dengan sikap Nia.Auntie harap Alvin sabar ya."

Ujar Puan Saida yang masih tidak percaya dengan apa yang dilakukan Dania terhadap menantunya sebentar tadi. 


"Takpe, auntie.Saya faham.Saya turun dulu."

Sebelum berlalu, Alvin sempat menoleh sekali lagi ke arah Dania.Sedikit pun dia tidak ambil hati atas perlakuan Dania yang agak keterlaluan terhadap dirinya.


'Kalau selama ni aku boleh bersabar untuk mendapatkan kau, takkan hal kecil macamni pun aku tak mampu nak hadap?This is just the beginning, Dania.'



 

Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ain Arumi