Home Novel Cinta HATIMU MILIKKU
Bab 31

"Kalau tak ada apa-apa lagi, awak baliklah."

Kata Dania kepada Alvin.Dia mula rimas apabila jejaka itu terus-terusan menatapnya.


"Awak nak mengelak dari saya lagi ke?"

Alvin mengecilkan mata memandang Dania.


"Bagi saya satu sebab kenapa saya nak kena mengelak dari awak?"

Dania senyum sinis.


Sebenarnya dia hanya berpura-pura saja depan Alvin bahawa dia langsung tidak terkesan dengan kata cinta yang dilafazkan semalam.Padahal dia sememangnya berniat untuk menjauhkan diri dari jejaka itu demi menjaga perasaan Ayumi.


"Saya boleh bagi dua sebab."

Kata Alvin dengan wajah serius.


"Apa?"

Tanya Dania seakan tidak sabar.Dalam hatinya hanya Tuhan saja yang tahu betapa dia mahu cepat-cepat beredar dari situ.Jauh dari Alvin.


"Yang pertama, sebab Ayumi.Dan yang kedua, sebab saya cakap yang saya cintakan awak."

Kata Alvin sambil menunjukkan isyarat nombor menggunakan jari.Matanya tajam merenung Dania.Wajahnya masih serius seperti tadi.


Dania mati kutu.Tidak tahu apa lagi yang harus dijawabnya.Alvin benar-benar tidak mahu melepaskannya.


"Kalau diam tu, betul lah kan?"

Alvin menghela nafas.Dia menjarakkan sedikit tubuhnya dari Dania.


"Dania, saya takkan paksa awak untuk terima cinta saya.Saya pun tau ini bukanlah waktu yang tepat.Tapi saya sangat berharap, awak akan bagi saya peluang untuk mengisi kembali kekosongan hati awak.Sebab dalam hati saya, cuma ada Dania Aulia.Sampai bila-bila."

Kata Alvin berterus terang.


Terharu dengan kata-kata itu, Dania mengangkat muka memandang Alvin.Benarlah sangkaannya selama ini yang Alvin telah lama menyimpan perasaan terhadap dirinya.


"Okey Dania.Saya balik dulu.Awak jaga diri, okey?"

Alvin tersenyum kelat lalu berlalu meninggalkan Dania yang diam membisu.Walaupun Dania tidak membalas kata-katanya, dia yakin hati gadis itu pasti tersentuh dengan apa yang diluahkan.


Setelah kelibat Alvin hilang dari pandangan, barulah Dania masuk ke dalam kereta.Lama Dania membatu sebelum menghidupkan enjin.Seakan masih tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya dari mulut Alvin.


Sewaktu hendak keluar ke jalan besar, Dania terpandangkan seseorang sedang tersandar di sebatang pohon berhampiran butiknya.Pada mulanya dia cuba buat tidak tahu saja, mungkin ada yang sedang melepaskan lelah di situ.Tetapi perasaannya jadi tidak enak.Dia kembali mengundurkan kereta ke arah lelaki itu.


"Adik, adik tak apa-apa ke?Kenapa duduk dekat sini?"

Sebaik turun dari kereta, Dania perlahan-lahan menghampiri lelaki yang sedang bersandar di pokok itu dengan sebelah kaki dibengkokkan.Diperhatinya lagi lelaki yang memakai pakaian sekolah itu tetapi wajahnya dipalingkan ke arah lain.


"Adik, adik okey ke?"

Sekali lagi Dania cuba menegur.


"Aulia.."

Asyraaf berpaling apabila mendengarkan suara Dania.


"Ya Allah, Asyraaf!"

Terlopong mulut Dania setelah mendapati pelajar sekolah itu adalah Asyraaf.


"Macamana awak boleh ada dekat sini, Asyraaf?Awak sakit lagi ke?"

Tanya Dania cemas.Wajah Asyraaf kelihatan pucat sekali.Dahi dan lehernya pula lenjun dibasahi peluh.


Asyraaf tidak menjawab pertanyaan Dania.Wajahnya berkerut menahan sakit sambil tangannya masih memegang dada.


"Takpe Asyraaf, saya bawak awak pergi hospital sekarang!"


Dania memandang ke sekitar namun tiada satu orang pun yang berada di kawasan itu.Kedudukan butik Dania yang agak jauh dari bangunan kedai yang lain menjadikan kawasan itu sunyi dari orang ramai pada waktu petang begitu.


'Alamak, macamana aku nak bawak dia pergi hospital kalau macamni?'

Dania semakin panik melihat Asyraaf yang mengerang kesakitan.Mahu tak mahu terpaksalah dia melakukannya sendiri.


"Asyraaf, awak bertahan ya?Kita pergi hospital sekarang.Awak boleh bangun tak?"

Dania bertanya dengan lembut.

Asyraaf mengangguk lemah kemudian dia cuba berdiri dengan memegang batang pokok.


Dania semakin bersimpati dengan keadaan Asyraaf.Tanpa berfikir lagi, dia memaut lengan Asyraaf lalu memimpinnya menuju ke kereta.


Hampir saja sampai di kereta, Asyraaf mula hilang keseimbangan.Demi menahan Asyraaf dari tumbang, Dania tanpa sengaja memeluk tubuh remaja itu.


Asyraaf yang semakin tidak berdaya, merehatkan kepalanya di bahu Dania.Tergamam seketika Dania dengan situasi itu.Tubuhnya terasa mengeras tiba-tiba.


Lalu dengan susah payah, Dania membuka pintu kereta dan mendorong perlahan-lahan tubuh Asyraaf masuk ke dalam.Setelah itu,dia bergegas masuk ke dalam kereta lalu memasangkan tali pinggang keledar untuk Asyraaf.


"Aulia.."

Asyraaf memanggil Dania dengan mata terpejam.Nafasnya turun naik.


"Tahan Asyraaf, saya bawak awak ke hospital sekarang!"

Dania cuba menenangkan diri untuk tidak panik saat itu.


"Ya Allah, kau selamatkanlah Asyraaf, Ya Allah.Janganlah terjadi apa-apa pada dia."

Dania berdoa perlahan.Gadis itu terlalu takut sehingga menitiskan air mata.


Walaupun perlahan, Asyraaf masih dapat mendengar kata-kata Dania.Perlahan-lahan dia membuka sedikit mata lalu memandang ke arah Dania yang sedang memandu.Dilihatnya gadis itu menyapu air mata.Seketika kemudian, pandangannya menjadi gelap tiba-tiba.


"Asyraaf!Asyraaf!"

Dania kembali panik setelah menyedari Asyraaf sudah tidak bergerak.Tanpa berlengah, dia memberhentikan kereta di bahu jalan untuk memeriksa keadaan Asyraaf.


"Asyraaf!Bangun Asyraaf!"

Dania menggoncang-goncangkan tubuh Asyraaf namun remaja itu tetap tidak berkutik.Dengan berdebar-debar, Dania merapatkan telinganya ke dada Asyraaf.


"Alhamdulillah, dia masih hidup!"

Dania lega bukan kepalang.

Kemudian dia meraba-raba poket seluar Asyraaf untuk mencari telefon bimbit milik remaja itu.


"Ada pun.Alamak!"

Dania cuba membuka telefon itu untuk menghubungi keluarganya tetapi gagal kerana telefon itu telah ditetapkan dengan kata laluan.


Dania memandang wajah Asyraaf dengan perasaan kecewa.


"Apa aku buat ni?Sepatutnya aku fikirkan dulu nyawa Asyraaf!Bodoh!"

Dania mengetuk kepalanya lalu mengerakkan kembali kereta menyusur ke jalan raya.Telefon bimbit Asyraaf diletakkan di ribaannya.


Beberapa minit kemudian, telefon bimbit Asyraaf berdering.Nama Abang Fikri terpapar di skrin.


"Abang Fikri?"

Pantas Dania menjawab panggilan itu.


"Hello, Raaf!Raaf dekat mana ni tak balik-balik lagi?Tadi Raaf kata nak balik dengan kawan.Mama Raaf dah risau ni!"

Belum sempat Dania bersuara, suara Fikri kedengaran keras di hujung talian.


Bibir Dania bagaikan terkunci mendengarkan suara cemas Fikri.Teragak-agak untuk dia menjawab.Seketika dia menoleh Asyraaf yang masih tidak sedarkan diri.


"Hello!Asyraaf!Dengar tak?"

Suara Fikri bergema lagi.


"Err, ya, ya!Maaf, Asyraaf sekarang ni dalam perjalanan ke hospital.Encik ni abang Asyraaf ke?"

Tersekat-sekat Dania membalas.


"Hospital?!Kenapa dengan Asyraaf?Awak siapa?"

Suara Fikri mula kedengaran panik.Soalan Dania sudah tidak dipedulikan lagi.


"Encik, sekarang ni bukan masa untuk soal jawab.Saya mintak encik datang ke Hospital Permata Indah sekarang jugak!"

Kata Dania dengan sedikit keyakinan.Kemudian dia mematikan telefon.Dijelingnya Asyraaf sekilas lalu kembali fokus pada pemanduannya.



                      **************



Fikri gosok kepala.Tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kepada Puan Melinda tentang Asyraaf.Pasti majikannya itu sangat terkejut dan panik.


"Hah, macamana Fik?Dapat call Asyraaf?"

Puan Melinda sudah pun bercekak pinggang di muka pintu.


"Err, Puan Melinda.Kita kena pergi hospital sekarang."

Fikri bersuara gugup.Tidak berani untuk mengangkat muka memandang majikannya itu.


"Hospital?Siapa pulak yang sakit?"

Bulat mata Puan Melinda memandang Fikri.


"Asyraaf, puan.Tadi saya call dia tapi perempuan yang jawab.Dia kata dia dalam perjalanan untuk bawak Asyraaf ke hospital."

Fikri sudah seram sejuk.Pasti dia akan dimarahi oleh Puan Melinda dan Tuan Haykal kerana gagal menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.


"Apa?!Macamana boleh jadi macamni?!"

Puan Melinda mula panik lalu memegang kepala.


"Raaf, Raaf macamana Fik?!"

Puan Melinda bertanya lagi lalu menghampiri Fikri dengan perasaan marah.


"Saya pun tak tau, puan.Lebih baik kita ke hospital sekarang."


Pangg!!


Puan Melinda menampar Fikri sekuat hati.


"Ini semua salah kau!Tuan Haykal upah kau untuk jaga Asyraaf, tapi apa kau buat?!Kalau jadi apa-apa pada anak aku, jangan harap kau nak kerja dekat sini lagi!"

Mencerlang mata Puan Melinda memandang Fikri yang tunduk memegang pipi.


"Bawak aku pergi hospital sekarang!"

Arah Puan Melinda lalu masuk semula ke dalam rumah.


Tanpa berlengah, Fikri menuju ke kereta.Dikesatnya air mata yang cuba ditahan sejak tadi.Fikri benar-benar bimbangkan Asyraaf saat itu.Remaja itu sudah pun dianggap seperti adik kandungnya sendiri.Rasa kesal dan bersalah menguasai fikiran kerana telah lalai dalam menjaga Asyraaf.Andai saja dia tidak terlalu menuruti kemahuan Asyraaf, pasti remaja itu tidak akan sakit lagi.


Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ain Arumi