Home Novel Cinta HATIMU MILIKKU
Bab 38

"Nia, bangun sayang.Dah asar ni!"

Puan Saida duduk di sisi katil sambil mengoyangkan badan Dania.Terpisat-pisat Dania membuka mata.


"Ibu.."

Dania yang masih mamai menggosok-gosok mata.Gaun pengantin yang berada dalam pelukannya, sudah pun jatuh ke bawah kerana ditolak tanpa sedar.


"Ibu simpankan ya?"

Puan Saida mengutip gaun di atas lantai lalu menuju ke alamari pakaian.Dania yang masih berbaring hanya memerhatikan gelagat ibunya dengan mata kuyu.


"Dah, bangun.Solat asar.Balik tadi terus tidur ke?Tak mandi dulu?"

Bebel Puan Saida lalu kembali duduk di sisi katil.


"Arghh!"

Dania duduk memegang pipi yang kembali sakit.Tanpa sengaja tangannya tersentuh pipi sewaktu membetulkan rambut yang berserabut.


"Kenapa tu?" 

Tanya Puan Saida.


"Tak ada apa.Kuku terkena muka.Sakit."

Dania sedaya upaya menyembunyikan pipinya dari dilihat Puan Saida.Rambut panjangnya dijuntaikan menutupi separuh muka.


"Nia mandi dulu."

Kata Dania lalu menuju ke bilik air.Puan Saida masih tercegat di situ memerhati gerak geri anaknya.


"Dah siap solat, turun bawah ya!"

Laung Puan Saida kemudian turun ke bawah semula.


"Aduh, macamana aku nak sorok muka ni.."

Dania kembali melihat wajah di cermin setelah selesai mandi dan menunaikan solat asar.Kesan merah masih saja kelihatan.


"Kalau tak turun ibu teriak-teriak pulak.Macamana ni?"

Dania garu kepala.Alasan apa yang harus direkanya andai ibu dan ayahnya bertanya.Puas merenung diri di cermin, akhirnya Dania mengambil keputusan untuk turun saja ke bawah.Baru beberapa tapak kakinya menuju ke pintu, telefon bimbitnya menerima kiriman masuk.


Sepantas kilat Dania mengeluarkan telefon bimbit yang masih berada di dalam beg tangan.Sungguh dia terlupa langsung tentang Asyraaf.Berdebar dadanya saat membuka kiriman dari Fikri.


"Assalamualaikum, Dania.Maaf lambat bagi khabar.Alhamdulillah, Asyraaf dah sedar tapi keadaan dia masih lemah.Mungkin dia terpaksa ditahan di ICU beberapa hari.Kalau ada perkembangan terbaru saya akan update lagi."


Dania menarik nafas lega setelah mendapat khabar dari Fikri.Namun rasa gundah dan bersalah tetap saja menghantui selagi dia tidak berjumpa dengan remaja itu.




Jam sudah bergerak ke pukul dua belas tengah malam.Dania masih duduk termanggu di atas katil.Puas dia cuba untuk melelapkan mata namun gagal.Hingga saat ini belum juga ada khabar dari Fikri berkenaan Asyraaf.


Setelah berkira-kira, akhirnya Dania menghantar pesanan kepada Fikri.


"Saya nak tengok Asyraaf esok, boleh?"


Setelah kiriman dihantar, Dania berbaring dan memandang syiling.Wajah Asyraaf yang pucat kembali terbayang di mata.Tatkala itu, perasaan bersalah semakin menghimpit diri.


Dania menutup muka dengan kedua tapak tangan.Kemudian dia bangun semula dan duduk bersandar di kepala katil.


"Kenapalah tiba-tiba semua ni terjadi pada aku?Kalaulah aku tak kenal dengan Asyraaf, tentu aku tak perlu nak lalui semua ni."

Rintih Dania sendiri.Sebelah tapak tangan diletakkan pula pada pipi kiri.Rasa sakit sudah beransur hilang, namun rasa sakit kerana diperlakukan seenaknya oleh Puan Melinda masih berbekas di hati.


Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi.Kiriman masuk pantas dibacanya.


"Belum masanya, Dania.Kalau Asyraaf dipindahkan ke wad sekali pun, saya tak yakin awak boleh tengok dia.Puan Melinda mesti tak nak tengok awak ada dekat dengan Asyraaf.Maafkan saya, Dania.Buat masa ni biarkan Asyraaf sendiri.InshaAllah bila keadaan dah pulih nanti, saya bawa Asyraaf jumpa awak."


Kiriman dari Fikri benar-benar menyesakkan dadanya.Lain yang diharapkan, lain pula yang jadi.Namun Dania cuba memujuk hatinya dengan berfikiran positif.Mungkin dengan apa yang terjadi akan menjarakkan Asyraaf darinya.Dan mungkin lebih baik jika mereka tidak lagi berhubung.


'Maafkan saya, Asyraaf.Mungkin ini yang terbaik untuk awak.'



                            ***********



"Mai, sini kejap!"

Shazana menggamit Maisarah yang sedang sibuk membelek fail pada rak kabinet.


"Apa?Tak nampak ke aku tengah sibuk ni?"

Kata Maisarah tanpa menoleh ke arah Shazana.


"Mesti kau terkejut beruk bila tengok ni!"

Kata Shazana lagi sambil menarik Maisarah.Kemudian dia menghulurkan telefon bimbitnya kepada Maisarah.


"Apa benda kau ni, Sha.."


"Tengok betul-betul siapa perempuan dalam video tu."


"Siapa ni?Hah?"

Mata Maisarah terpaku pada seraut wajah yang agak dikenalinya sedang berpelukan dengan seorang lelaki di tempat awam.


"Ini..Dania Aulia kan?Mana kau dapat video ni?"

Bulat mata Maisarah memandang Shazana.


"Mana aku dapat tu kau tak payah tanyalah..Yang penting sekarang ni apa perempuan ni tengah buat."

Jawab Shazana dengan senyum sinis.


"Tengok apa tu?"

Izzati yang muncul tiba-tiba di antara mereka turut menyelit untuk melihat rakaman video tersebut.


"Siapa ni?Artis ke?Apasal macam tak kenal?"

Tanya Izzati selamba.Mukanya didekatkan pada skrin telefon bimbit yang masih berada dalam genggaman Maisarah.


"Hish, sibuk lah kau ni!"

Pantas Shazana merampas telefon bimbitnya dari Maisarah.


Izzati menjuihkan bibir dan menjeling Shazana lalu duduk di kerusinya.


"Siapa lelaki tu, Sha?"

Maisarah kembali bersuara.Matanya dihalakan kembali pada telefon bimbit di tangan Shazana.


"Yang tu aku tak taulah pulak.Yang pasti bukan Doktor Alvin kaulah."

Jawab Shazana bersahaja.


"Boleh tahan jugak perempuan ni kan?Nampak macam perempuan baik-baik.Hmm yelah..siapa yang boleh menilai dari luaran semata kan?"

Shazana senyum mengejek.Matanya turut tertumpu kembali pada rakaman video tersebut.


Maisarah hanya diam.Masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.Baru beberapa minggu yang lalu Shazana bercerita mengenai perlakuan Dania dan Alvin di hadapan hospital.Dan kini dia dikejutkan pula dengan perlakuan Dania yang tidak senonoh bersama lelaki lain.


"Kesian Doktor Alvin kan?Kau rasa kalau dia tengok video ni macamanalah ek?Agak-agak dia mengamuk tak?"

Shazana ketawa sambil membayangkan wajah Doktor Alvin yang sedang marah.


"Video apa?"

Alvin yang muncul secara tiba-tiba memeranjatkan mereka berdua.


"Eh, doktor!Doktor ni suka terkejutkan kitorang kan?"

Shazana sedaya upaya menyembunyikan perasaan gugupnya manakala Maisarah hanya tunduk memandang meja.


"Saya dengar awak sebut nama saya tadi.Video apa yang awak maksudkan?Boleh saya tengok?"

Tanya Alvin sambil memandang wajah Shazana.


"Err tak ada apalah, doktor.Doktor salah dengar ni..mana ada saya sebut nama doktor.Kan Mai, kan?"

Jawab Shazana tergagap-gagap lalu mencuit lengan Maisarah.


"Baik, kalau awak berdua tak nak bagi saya tengok takpe.Nanti saya akan laporkan kepada pihak pengurusan yang awak berdua bergosip dan main handphone waktu kerja."

Gertak Alvin.


"Eh, Doktor Alvin!Janganlah macamtu.Okey, okey saya bagi doktor tengok.Tapi doktor kena janji jangan tanya apa-apa pada saya."

Kecut perut Shazana mendengarkan ugutan Alvin itu.


Alvin tidak mempedulikan permintaan Shazana sebaliknya menyuakan tapak tangan kepada Shazana dengan wajah serius.Dengan teragak-agak Shazana menyerahkan telefon bimbitnya ke tangan Alvin.


Berkerut dahi Alvin tatkala menyaksikan perlakuan sumbang seorang gadis yang amat dicintainya.


"Mana awak dapat video ni?"

Tanya Alvin tanpa memandang Shazana.Matanya langsung tidak dialihkan dari skrin telefon bimbit.


Shazana tidak menjawab sebaliknya hanya menundukkan wajah begitu juga dengan Maisarah yang sudah pucat lesi.


"Saya tanya mana awak dapat video ni?Siapa lagi yang dah tengok?!"

Tanya Alvin kembali dengan nada suara yang ditinggikan.


Izzati dan beberapa lagi staff yang berada di situ turut terkejut mendengarkan suara Alvin.Seketika mereka saling berpandangan lalu kembali menyambung tugas masing-masing.


"Err saya yang ambil video ni semalam masa dekat taman.Hanya saya, Maisarah dan Izzati je yang tengok."

Akhirnya Shazana terpaksa mengaku.


"Send pada saya video ni lepas tu awak delete, okey?Saya tak nak dengar ada yang bercerita pasal video ni lagi, faham?"

Kata Alvin kemudian melangkah pergi dengan hati yang sebal.


Terkebil-kebil Shazana dan Maisarah di situ.Kemudian mereka sama-sama terduduk di kerusi.


"Habislah aku.."

Shazana pegang kepala.Kemudian dia mencari nombor Alvin lalu menghantar video tersebut.


"Kau dah padam ke?"

Tanya Maisarah perlahan kepada Shazana.


Shazana hanya mengangguk lemah.Kesal rasanya kerana tidak berhati-hati sehingga tertangkap oleh Alvin.


Maisarah bangun dan bergerak ke rak kabinet yang menyimpan pelbagai jenis fail untuk menyambung kembali pekerjaannya yang tergendala sebentar tadi.


Sewaktu menyelak fail di tangan, wajah Dania muncul kembali di ruang mata.Timbul rasa simpatinya terhadap Alvin.Melihatkan reaksi Alvin tadi, menguatkan lagi teorinya bahawa Alvin sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan Dania.Tidak mustahil jejaka itu sedang dicurangi oleh insan yang dikasihinya.


Dan tiba-tiba, bibirnya mengukir sebuah senyuman yang hanya dia seorang yang mengerti maksudnya.




Alvin menumbuk meja berkali-kali.Hampir saja telefon bimbitnya dihempaskan ke lantai setelah melihat kembali rakaman video tersebut.


"Baru beberapa hari aku tak ada dengan kau, kau dah buat perangai macamni.Ini ke Dania Aulia yang aku kenal?Ini ke Dania Aulia yang Rizki cinta separuh mati?"


Alvin tidak dapat mengawal emosinya.Habis segala barang yang berada di meja ditolak jatuh ke bawah.Kot putih yang tersarung di badan ditanggalkan lalu dibuang ke lantai.Kemudian dia merapatkan punggungnya ke meja.Rambutnya diraup berkali-kali.Dia benar-benar kecewa saat itu.


"Riz, apa yang harus aku lakukan untuk tunaikan janji aku pada kau?Kenapa semakin sulit rasanya untuk aku dapatkan Dania?"



                             **********



"Nia, aku pergi dulu tau.Kalau aku lambat tak payah tunggu aku ya?"

Kata Ayumi sewaktu hendak keluar dari butik untuk berjumpa supplier.


"Okey, Yumi.Hati-hati.Apa-apa call!"

Balas Dania yang sedang sibuk menukar baju pada patung.


Hampir satu jam Ayumi meninggalkan butik, loceng di pintu berbunyi.Dania yang baru hendak mengemas untuk pulang, berlari-lari anak mendapatkan tetamu di pintu.


"Alvin."

Terkejut Dania menerima tetamu yang tidak disangka-sangka.


Alvin tercegat di pintu dengan wajah serius.Tanpa mempedulikan Dania yang menghalangi laluannya, dia melangkah masuk ke dalam butik.Dania pula terpaksa berundur ke belakang untuk memberi laluan kepada Alvin.


Alvin kemudiannya menutup kembali pintu butik.Wajah Dania ditatap sepuas-puasnya bagi menghilangkan rasa rindu.Namun rasa  kecewa yang melebihi rasa rindunya membuatkan dia tidak mampu untuk tersenyum kepada gadis itu.


"Kalau awak datang ni semata nak tengok saya macamtu, lebih baik awak balik.Sebab saya pun dah nak balik."

Kata Dania dengan perasaan sebal.Baru saja dia hendak merasa tenang tanpa diganggu, kini Alvin muncul kembali di hadapan matanya.


"Dania!"

Alvin memegang tangan Dania saat gadis itu berpusing ke belakang.


"Alvin, apa ni?!"

Terkejut dengan tindakkan spontan jejaka itu, Dania merentap tangannya dari cengkaman Alvin.


"Apa awak buat masa saya tak ada?"

Belum reda rasa terkejut dengan perlakuan Alvin sebentar tadi, Dania dikejutkan pula dengan pertanyaan aneh dari jejaka itu.


"Apa saya buat?Perlu ke saya maklumkan setiap apa yang saya buat pada awak?!"

Dania sudah hilang sabar dengan sikap Alvin yang selalu menyakitkan hati.Belum selesai isu melamar, sekarang Alvin mahu menujukkan kuasa veto nya pula.


Rasa tercabar dengan kata-kata Dania, Alvin merapati Dania sambil merenung tajam ke dalam mata gadis itu.


"Kenapa Dania?Kenapa sikit pun awak tak boleh nak hargai perasaan saya ni?"

Kata Alvin sambil bergerak lagi menghampiri Dania.


Sedikit demi sedikit Dania berundur ke belakang ketika Alvin kian menghampirinya sehinggakan tiada lagi ruang untuk dia bergerak.


"Alvin, kenapa dengan awak ni?"

Dania sudah mula cuak dengan kelakuan Alvin.Jejaka yang selalu tersenyum, selalu sabar dengan sikap dinginnya kini bertukar menjadi seorang lelaki yang agresif dan menakutkan.


"Siapa lelaki tu?Dah berapa lama awak jalinkan hubungan dengan dia?"

Alvin kembali bersuara.


"Saya tak faham apa yang awak cakap ni, Alvin!"

Dania sudah tidak sanggup untuk berada dalam situasi itu.Tubuh Alvin yang begitu hampir dengannya menyesakkan dada.Tubuhnya yang terhimpit ke dinding menyukarkannya untuk melarikan diri dari Alvin.


"Jawab soalan saya.Siapa lelaki yang awak peluk dekat taman tu?!"

Tanya Alvin lagi dengan perasaan marah.Meluap-luap rasa cemburunya saat terbayangkan perlakuan Dania dalam rakaman video tersebut.


"Alvin, saya tak tau macamana awak boleh tau pasal tu.Tapi saya rasa awak dah salah faham."

Terketar-ketar Dania menjawab pertanyaan Alvin.


"Its okay kalau awak tak nak jelaskan.Untuk pengetahuan awak Dania, saya dah pun berjumpa kedua orang tua saya di Melbourne.Dan mereka sudah pun memberi restu untuk kita berkahwin.Saya akan hantar rombongan meminang minggu ni jugak."


"Apa?!Tapi, saya.."


Alvin meletakkan jari telunjuknya di bibir.Kemudian dia kembali bersuara.


"Saya tak dapat bayangkan bagaimana perasaan ibu dan ayah awak kalau mereka tau apa yang anak kesayangan mereka buat di belakang mereka selama ni."

Alvin mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar lalu membuka rakaman video tersebut dan ditunjukkan kepada Dania.


"Mana awak dapat video ni?!"

Terkejut bukan kepalang Dania melihat rakaman video itu.Dia cuba merampasnya dari genggaman Alvin namun Alvin lebih pantas menyembunyikannya.


"Jadi awak nak gunakan video tu untuk ugut sayalah?"

Berombak dada Dania memandang Alvin yang tersenyum senget.


"Tergantung."

Alvin mendekatkan lagi mukanya ke wajah Dania lalu tersenyum penuh makna.


"Saya tak sangka awak orang yang macamni, Alvin."

Merah mata Dania menahan rasa sedih dan marah yang bercampur aduk.


"Kadang-kadang manusia boleh berubah sekelip mata bila merasa tercabar.Dan saya, akan buat apa saja untuk miliki awak."

Setelah selesai berkata, Alvin berlalu meninggalkan Dania terkontang kanting.


'Dugaan apa lagi yang Kau berikan padaku, Ya Allah.'


Terduduk Dania di lantai dengan sikap Alvin yang di luar jangkaan.Setitis demi setitis air mata gugur membasahi wajah.

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ain Arumi