Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 39

Lily Dayana termanggu-manggu berdiri di sisi kereta encik tuan. Serba-salah dia. Tidak boleh dengan sewenang-wenang buat seperti harta sendiri walaupun kepunyaan suami. Setiap pagi, dia hanya menaiki kereta ini dari rumah dan akan diturunkan di perhentian bas berdekatan pejabat.

“Masuklah!”

“Oh tuan sesat!” Lily Dayana menekup mulut. Bahang panas menyerbu muka.

“Yang kau tercegat lagi kat situ kenapa? Nak tunggu putera raja mana bukakan pintu?” Adli Zafri dengan gigih menyembunyikan tawa. 

Lily Dayana merengus halus. Nasiblah kereta ni berat. Kalau tidak, tuan dengan kereta akan dia lempar jauh-jauh. 

“Boleh tak kurangkan tabiat berangan kau tu?” 

Lily Dayana dengan spontan memusingkan muka sambil menjongketkan kening kiri.  Muka encik tuan dipandang hanya sekilas sebelum berpaling semula. Bila masa pula dia berangan?

“Naiklah. Nak tunggu apa lagi?”

Lily Dayana pantas meloloskan diri ke dalam kereta. Tubuh dihenyak lembut ke kusyen di bahagian penumpang. Terkial-kial sedikit ketika menarik tali pinggang keselamatan. Masa inilah mahu tersangkut. Dia mendecit pelahan.

“Mari. Aku tolong.” Tangannya ditahan. Adli Zafri memandang muka Lily Dayana. 

 “Saya boleh buat sendiri.” Tiada niat di hati mahu memegang tangan encik tuan. Lily Dayana segera melarikan pandangan ke arah lain. Tidak selesa.

“Aku cuma nak tolong,” Adli Zafri cuba bertenang. Jantungnya berdetak lain macam. 

‘Baik semacam pula encik tuan dengan aku? Suara, semacam punya romantik. Hesy seram!’ Lily Dayana menggoyangkan bahu sedikit.

“Kita nak ke mana, tuan?” ditanya pula soalan setelah keadaan dicengkam sepi ketika.

“Beli kasutlah,” walaupun tidak kasar nada, cukup untuk Adli Zafri tegaskan niat.

Lily Dayana mendiamkan diri. Memeluk tubuh yang disandar ke kusyen. Di dalam kepala sedang mencongak, jumlah ganti rugi perlu dibayar. Betapa sayangnya duit yang terpaksa dikorbankan nanti. Mengeluh dalam diam. Pasti dia akan ditertawakan oleh Sara jika sahabatnya tahu tentang perkara ini. 

Mesti Sara akan katakan kepadanya, “Takkanlah kahwin dengan lelaki berada, sikit pun harta suami kau tak merasa?” Ya, memanglah nafkahnya dibayar tapi tidak perlulah dibazirkan hanya untuk sepasang kasut yang... argh stress.

Kereta Adli Zafri meluncur perlahan memasuki ruangan parkir di sebuah pusat membeli-belah. Sepanjang perjalanan, masing-masing hanya melayan perasaan. Dia merasa tenang begini. Lebih elok dibiarkan keadaan berlalu sepi. Jika ada pertuturan antara mereka pasti pertelagahan akan mula merapati. 

Sebaik memasuki ruang parkir pusat membeli-belah dan elok kereta diparkir, dia melangkah keluar.

“Jom, turun. Kita dah sampai.” 

Lily Dayana bagaikan bermimpi. Tanpa sedar, sedikit melopong mulut. Encik tuan, membukakan pintu kereta untuknya. 

“Tutup sikit mulut tu. Masuk lalat nanti.” Adli Zafri sembunyikan senyum di hujung bibir. 

Lily Dayana melangkah keluar. Perbuatan baik encik tuan, mencengkam tangkai hatinya. Sudah mendapat hidayahkah encik tuan? Mimpi apa agaknya encik tuan malam tadi? 

“Kita nak buat apa kat sini, tuan?” mata Lily Dayana meliar ke sekeliling sambil berjalan.

“Main badminton.” 

Lily Dayana berhenti melangkah. Pantas menoleh. Muka encik tuan, diteliti. Tidak nampak pun seperti sedang berseloroh. Mungkin benar ada gelanggang badminton di sini? Melarikan pandangan pula sebaik muka encik tuan bertembung dengannya.

“Lily sayang,”

‘Sayang dia panggil aku.’ Lutut Lily Dayana terasa lembik. Patutkah dia pitam sekarang?

“Cubalah fikir. Ada tak orang buat gelanggang badminton kat tengah supermarket ni?” 

Senyap.

Mengekori dari belakang, Lily Dayana mencebik. Malas mahu membuka mulut lagi. Bimbang, kebendulannya akan makin terserlah nanti dengan pertanyaan merepek. Hidupnya selama ini bukanlah jenis berpeleseran ke mana-mana. Lebih banyak terperuk di rumah.

Waktu masih awal, tidak ramai orang mengunjungi pusat membeli-belah. Destinasi tumpuan encik tuan ke kedai kasut berjenama. Lily Dayana duduk di ruangan menunggu. Tangan, mencapai senaskah majalah. Helaian majalah kasut, diselak satu demi satu.

“Saya nak kasut ni,” Adli Zafri menyua kasut diingini kepada jurujual. 

Baginya, adalah satu kepuasan jika harga mahal setanding kualiti. Tahan lama dan lasak. Berbaloi dengan nilai ditawarkan. Jika membeli kasut murah, padanlah dengan harga. Pakai beberapa kali pasti akan rosak. 

“Berapa?” tanyanya pula.

“RM1,080.30 selepas diskaun 30% encik.” 

“Okey.”

“Sila tunggu di kaunter bayaran ya, encik.”

Adli Zafri mengangguk. Ketika menunggu, dia mengangkat muka. Muka ayu nun di sana, dipandang. Leka seketika dia melihat isteri. Dia senyum kecil. Sepanjang beberapa bulan berkahwin, Lily Dayana tidak pernah menyusahkan. Tidak pernah meminta-minta. Malahan, segala keperluannya terjaga. 

Entah bagaimana, Lily Dayana menoleh ke arahnya. Senyuman lebar telah dikuntumkan oleh isteri. Dia terpana. Manis sekali. Lesung pipit? Baru teringat. Isterinya memiliki lesung pipit di pipi kiri. Bagai kena pukau, terkaku seketika dia.

‘Kenapa aku tak sedar, kau cantik?’ Sejak pertemuan pertama, telah wujud satu perasaan aneh dalam diri. Tidak mampu dia mengolah bentuk perasaan tersebut. 

Adli Zafri akui, hati terusik. Kerana ego dirangka sendiri, dia menepis semua rasa yang mahu menempek. Semakin lama mengenali Lily Dayana, egonya semakin goyah. Kebelakangan ini, rangka ego kian rapuh. Penat pula mencipta ego. Terasa memakan diri.

“Encik, ni kasutnya.”  

Adli Zafri tersentak.

“Terima kasih.” Mujurlah dia masih mampu mengawal diri daripada terkejut. Pandai menasihati Lily Dayana, jangan selalu termenung kini dia pula. 

“Terima kasih encik. Sila datang lagi.” 

“Sama-sama.” 

“Jom,” ringan tangan Adli Zafri menarik tangan Lily Dayana sebaik didekati. 

Lily Dayana tersentak. Tangan di dalam genggaman encik tuan, dipandang sekilas. Serba salah. Mahu menarik kembali atau tidak? Sambil melawan getar kian mengasak di hati hanya membiarkan sahaja lalu berjalan beriringan.  

“Nak masuk sama, Lily?” Adli Zafri masih enggan melepaskan tangan lembut isteri. Tanpa sedar, semakin erat genggamannya.

“Tak. Saya tunggu kat luar.” 

Walaupun terkejut, masih terkawal. Dipandang lagi tangannya. Masih serba salah mahu menarik atau tidak? Pertama kali, encik tuan memanggilnya Lily dengan nada lembut. Semacam pula dia rasakan. Mencanak naik bulu roma. Hesy, seramlah. 

“Duduk kat sini. Jangan ke mana-mana. Aku masuk, sekejap aje.” Adli Zafri menuntun Lily Dayana ke kerusi kayu panjang berdekatan.  

Lily Dayana mengangguk lembut. Hanya memandang encik tuan menghilang ke dalam butik pakaian lelaki. Bukan gayanya membeli-belah di tempat mewah begini. Lebih selesa ke kedai yang menawarkan harga berpatutan. Jika elok di mata dan harga ditawarkan berbaloi, itulah pilihannya. 

Semak kepala memikirkan jumlah wang yang akan dikeluarkan untuk menggantikan kasut encik tuan. Lantaklah. Nak buat macam mana? Dia juga bersalah tapi kenapa tetap encik tuan tidak faham tabiatnya? Selalu sangat encik tuan menyergahnya tidak kena gaya.

Kaki berjuntai di kerusi kayu panjang, dihayun perlahan. Kini panjang leher memandang ke aras bawah dari dinding kaca di hadapan. Senyuman kecil menghiasi bibir. Seronok melihat gelagat manusia di bawah. 

Terpandang ke arah sepasang suami isteri di bawah sana. Gelagat suami, memegang tangan isteri sedang sarat mengandung, menarik minatnya. Pasti pasangan bahagia. Lily Dayana menghela nafas. Bukan mengeluh, entahlah? Cemburu? Sakit hati? Tidak juga.

Sebak menyapa. Mengapa kebahagiaan tidak mahu melekat dengannya? Akan adakah peluang untuknya mengecapi kebahagiaan? Air mata terbit, diseka dengan pantas. Untuk apa merungut? Dia yang memilih hidup bersama Adli Zafri. Untuk apa impikan suasana romantis sedangkan dari awal, dia sedia maklum risiko perlu ditanggung. 

Dia memanggung kepala. Mata bersuhu suam, dikelip berkali-kali. Buat apa menyalahkan takdir. Nafas panjang ditarik kemudian dihela perlahan. Memanjatkan kesyukuran kerana masih ada insan maish sudi menerimanya. Menjaganya bagai anak sendiri. Dia menghela nafas lagi.

“Yana.” 

Lily Dayana terkedu. Ibarat terkena renjatan elektrik, tubuhnya kejung. Kening bertaut. Hati berdebar-debar. Suara itu... 

“Yana, kan?”

Senyap.

“Yana.” 

“Encik silap orang kot.” Lily Dayana enggan berpaling. Hatinya ditambat risau hingga semakin laju detak jantung. 

“Jangan tipu, abang. Yana, kan?” 

“Kan saya dah cakap, bukan!” dia masih membelakangkan orang menegur. 

“Kenapa Yana tak nak pusing? Pandang abang.” 

Lily Dayana membesarkan mata sebaik si penegur bediri di sebelah lebih dekat. Dengan spontan dia menoleh.

“Yana,” jika tidak memikirkan batasan, tubuh genit akan dipeluk. Pencarian selama ini, telah berhasil. Dia mengucapkan syukur dalam hati.

Mata Lily Dayana membulat. Penegur, semakin dekat.

“Jauhkan diri encik daripada saya.” 

“Yana. Abang Badrul ni.” 

“Jangan dekat. Kalau tak, saya jerit!” 

Badrul akur. Sebenarnya, dari tadi dia mengekori sebaik terlihat Lily Dayana. Mengapa hingga ke sini Lily Dayana membawa diri? Tidak terjangkau oleh akal fikirannya yang biasa dengan apa menimpa Lily Dayana selepas menghilangkan diri. 

“Yana. Takkan dah lupa kat abang? Kami semua rindukan Yana.” 

Senyap.

“Pak su Yana, dah tak ada. Keluarga Yana... abang harap, Yana baliklah ke kampung.”

Lily Dayana terkedu. Hatinya menangis sebaik mendengar khabar sedih tentang pak su. Dengan gigih menyembunyikan rasa hiba yang semakin mencengkam hati. Terasa pedih. Mata dipejam sekejap. Tangan mencengkam sisi baju dengan kuat hingga tapak tangannya pucat.

“Yana tak kesiankan semua kat kampung?” 

“Saya, tak ada kena mengena dengan mereka.” Lily Dayana mahu berlalu pergi tetapi lengan baju disambar lagi oleh Badrul. Pantas berpaling.

“Kenapa berubah sampai macam ni, Yana? Perkara dah lama berlalu. Baliklah, Yana.”

“Encik tak faham bahasa? Lepaskan!” turun naik nafas memandang muka Badrul. Dengan cepat merentap lengan bajunya.

Badrul tergamam. Lily Dayana di depannya seperti orang lain.  

“Yana. Kenapa ni?” 

“Saya dah kata, encik salah orang.”

Badrul enggan mengalah. Dia mengejar Lily Dayana. 

Lily Dayana hampir terjatuh kerana berhenti secara mengejut. Bengis muka, memandang Badrul yang berjaya memintasnya. 

“Kau ni, memang tak faham bahasa?” Lily Dayana merengus kasar. 

“Yana,” tidak berkelip mata Badrul, memandang gadis di depan. Benarkah Lily Dayana?

“Yana...”

“Kenapa ni, sayang?” Adli Zafri terus memaut bahu Lily Dayana. Dipandang muka ayu, sedikit pucat dengan kerutan di dahi. 

“Awak siapa? Ni, hal saya dengan Yana.” Badrul terkejut dengan kemunculan lelaki itu.

“Saya, suami dia.”

“Suami? Yana dah rujuk semula?” Badrul mengerutkan kening. Bukankah Shahiman mengatakan, Lily Dayana telah bercerai? 

Adli Zafri tersentak. Rujuk? Bila pula minah ni, kahwin? Semakin berkerut kening. Tangan diturunkan daripada bahu dan tangan Lily Dayana menjadi sasaran. Tangan sejuk isteri, digenggam agak kuat. Mengapa banyak perkara dia tidak tahu tentang Lily Dayana?

Lily Dayana memandang ke arah lain. Malas mahu menjawab. Dia mahu menangis. Mata dan hidung mula terasa panas. Semakin tidak selesa dengan keadaan tangannya di dalam genggaman Adli Zafri.

“Awak kenal isteri saya?” Adli Zafri memandang muka orang asing di depan. Kacak orangnya. Memandang sekilas isteri di sebelah. Boleh tahan minah ni. Ramai peminat. Tidak boleh jika dibiarkan.

“Sebenarnya Yana dengan saya...”

“Saya nak ke tandas,” tanpa berlengah Lily Dayana membuka langkah. Walaupun tidak tahu di mana letaknya tandas, lantaklah. Asalkan boleh menjarakan diri, dia rela. Dia perlu mencari ruang untuk bernafas. Perlukan ruang untuk menenangkan diri seketika.

Adli Zafri mahu mengekori tetapi lengannya disambar. Muka orang asing, dipandang. 

“Kita perlu berbincang,” Badrul melepaskan lengan Adli Zafri.

Badrul duduk di kerusi yang diduduki oleh Lily Dayana sebentar tadi. Menoleh sekilas ke kanan, ruang kosong yang diisi oleh lelaki dikenali sebagai suami Lily Dayana.

“Saya Badrul,” dia menghulur tangan. 

“Adli Zafri,” menunduk sedikit sebaik menyambut salam Badrul.

Senyap.

“Dah lama kenal isteri saya?” 

Badrul mengangguk lemah.

Adli Zafri hanya senyap. Menjadi pendengar tekun cerita Badrul mengenai kisah Lily Dayana. Hatinya tercuit.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.