Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 13

Krik, krik. 

Mahu mulakan bicara apa? Janggal betul. Dayana membuat senaman mata, melihat kawasan sekitar.

 “Jangan lupa tulis surat kat abang. Kalau boleh, hari-hari tau.” Shahiman melirik ke arah gadis di sebelah. Dari tadi senyap.

“Banyaklah duit orang nak beli setem.” Mulut disengetkan.

“Tak kira, tulis juga.”

“Jangan nak mengadalah, Abang Iman.”  

“Kenalah mengada-ngada. Nanti abang rindu.” Shahiman buat-buat merajuk.

Dayana menjulingkan mata ke atas. Kenapalah setuju ke sini tadi? Perangai keanak-anakkan sepupunya, memang mengjengkelkan!

“Janji tau, Yana.” 

“Pergilah cari calon buah hati abang kat luar sana tu. Cari yang cantik. Biar nampak sepadan dengan sepupu orang yang segak bergaya ni.” Sudah tidak kuasa dengan keletah merenyam mamat ulat bulu.

“Kenapa abang nak cari lain? Kan, kat sebelah abang dah ada. Cuma tunggu orang tu bagi lampu hijau. Lama dah abang tunggu dia.” Senyuman manis disimpul. 

Toing! Macam nak pengsan. Mata dijuling lagi ke atas. Memang aksi ini akan dibuat Dayana setiap kali berdekatan dengan sepupu. Geli-geleman. Bulu roma pun sudah mula meremang. Cepatlah masa berlalu. Biar cepat sikit mamat ulat bulu ni balik. 

“Macam mana? Setuju tak?” Shahiman masih lagi mengharap, buat-buat mimik manja.

“Oh, kat sini rupanya. Tak habis-habis dating. Tu, pak long panggil. Buat apa entah, sampai panggil tak dengar!” Berbulu mata Liyana melihat kemesraan dua insan itu.

 “Amboi, Lia. Tak ada insuran agaknya mulut tu? Siapa nak dating dengan abang kesayangan kau ni?” 

“Kalau tak dating, buat apa lagi!”

“Lia marah?” Shahiman menyampuk.

“Marah? Mana ada?” Senyuman manis dileretkan Liyana sebaik pandangan bertembung dengan Shahiman.

Malas mahu bertegang urat, Dayana bingkas bangun. Mula melangkah, mendapatkan pak long. Walaupun agak geram dengan Liyana, mujurlah kakaknya menjadi penyelamat. Biarlah Liyana pula, melayan kerenah mamat ulat bulu. Sudah tidak kuasa mahu melayan merenyam melampau Shahiman.

“Kau layanlah dia, Lia. Abang segala ulat bulu tu. Jangan dengan kau sekali miang, sudahlah.” Kedua bahu diangkat dan digoyangkan sedikit sebagai tanda geli. Langkah terus dihayun. 

Sebaik mendekati pak long,

“Ada apa-apa lagi Yana nak? Pak long, boleh belikan.”

Terkedu. Malu pula Dayana mahu meminta-minta.

“Jangan malu beritahu apa-apa yang kurang.” Encik Badri bagai dapat membaca reaksi Dayana. Mesti rasa janggal sedikit. 

Seperti dalam mimpi pun ada kerana jarang mendapat perhatian sebegini daripada pak long. Alangkah bagus jika mak long juga melayaninya mesra begini. Dia akan sentiasa mendoakan semoga mak long berubah satu hari nanti. Sejahat-jahat mak long, tetap darah dagingnya juga.

“Yana.”

“Semua dah cukup pak long. Apa pun, terima kasih banyak sebab sudi hantar kami.” Berbasa-basi dia. Kekok sebab jarang berbicara panjang dengan pak long.

“Nah, ambil ni. Buat belanja. Ingat, beritahu pak long kalau nak apa-apa. Jangan malu. Hari pun dah petang, pak long beransur dulu. Jaga diri baik-baik. Ni, nombor telefon pak long.” Encik Badri menghulur sekeping kad nama.

“Terima kasih pak long.”

“Ingat Yana, Lia. Jaga diri. Kalau ada apa-apa masalah, beritahu pak su. Pak su pun nak minta diri. Dekat raya nanti, pak su datang jemput.” Encik Zakaria lantas menghulurkan beberapa keping wang berwarna merah.

Dayana menyambut wang tersebut lantas memasukkan ke dalam poket baju kurung.  Dalam pada dia mahu bersalaman dengan mak su, dengan selamba Shahiman menghulurkan tangan. Terbeliak mata. 

“Cepatlah! Lenguh dah tangan abang ni.” Mana boleh melepaskan peluang keemasan ini. 

Dayana mendecit. 

“Eh eh, anak bertuah ni!” 

‘Hahaha, padan muka kau ulat bulu. Rasakan. Tulah, gatal sangat.’ Dayana ketawa dalam hati sebaik melihat telinga Shahiman telah dipiat oleh mak su.

“Auww, sakit mak.” Laju tangan Shahiman menggosok telinga.

“Tahu pun sakit. Merenyam betul.” Ditampar pula bahu anak bujangnya.

“Bukan Iman buat apa pun. Nak salam aje. Tu pun, salah?” Shaiman menyeringai menahan kesakitan. 

“Banyaklah kau punya tak salah. Menggatal aje tahu. Ei, geram mak. Dahlah, Yana. Jangan layankan sangat Abang Iman ni. Nanti, mak su kahwinkan cepat-cepat. Biar merenyam dia tu, kurang sikit.” Tajam jelingan Puan Salmah.  

“Yang tu, memang Yana setuju sangat.” Dayana sengih. Jarang sekali mak su berkata begini dengannya. Terubat sedikit hati dengan nada lembut mak su.

“Mak ni. Iman muda lagilah. Enjoy pun tak puas lagi. Lagipun, buat apa penat-penat cari calon untuk Iman? Kat depan mak. Tulah dia. Cuma calon menantu mak tu, tak cukup umur lagi. Bawak bersabar. Tak lari ke mana calon menantu mak tu. Kalau dia lari, kita tambat terus.” Shahiman mengenyit mata sebaik Dayana memandang. 

Dayana menjelir lidah sebagai balasan.  

“Loyar buruk pula dia. Dah, jom balik. Lia, mari.” Puan Salmah memeluk Liyana. Dengan Dayana, hanya tangan dihulur.

Dayana tidak terasa hati. Sudah lali dengan layanan begini. Jika mak su memeluknya seperti Liyana, akan pengsan pula nanti kerana terkejut.

Shahiman menuruti dari belakang. Sempat lagi menoleh, mengeyitkan mata bundarnya. Tanpa berlengah, menghadiahkan pula satu flying kiss khas buat Dayana. 

Dayana membulatkan mata. Tidak ada masa mahu terkedu. Apa lagi, dijelir lagi lidah sebagai balasan. Sebagai penambah rencah jengkel, jelingan tajam umpama belati telah dihadiahkan. Mengada-ngada! Menyampah!

Setelah kaum keluarga meninggalkan mereka, masing-masing melangkah masuk ke dalam bilik. Deretan tujuh buah katil dua tingkat saling berhadapan, dipandang silih berganti. Sedang di tangan masing-masing menjijit beg besar. 

Kini, mereka sedang bersila di hadapan almari dikhaskan untuk mereka. Kebetulan, terletak bersebelahan. Ligat tangan, menyusun pakaian masing-masing. 

Liyana, tersedu-sedan.

“Kenapa, Lia?” Dayana juga turut ditempias dengan kesebakkan Liyana. Berair sudah kedua mata.

“Aku rindu mak. Rindu, hidup kita yang dulu.” Tersekat-sekat nada Liyana.

“Lia, kita kena sabar. Selagi hidup, selagi itulah kita kena uji. Sekurang-kurangnya, kita ada juga tempat berteduh. Bayangkan nasib orang lain, lebih terseksa daripada kita.” Dayana menggosok bahu kiri Liyana.

Liyana kehilangan kata-kata. Pantas menyeka air mata. Ya, benar kata Dayana. Mengapa perlu berkeluh kesah sedangkan nasib mereka berdua sangat baik. Dia cuba membuka pintu hati, menerima adiknya sebagai sahabat akrab.



Previous: Bab 12
Next: 14.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.