Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 37

Kehidupan Adli Zafri benar-benar berubah. Bahagia, mulai menyelinap. Keperluannya terjaga. Indah sekali hidup apabila mempunyai seorang isteri. Prestasi Lily Dayana sebagai seorang isteri sangat baik. Walaupun macam-macaM perkara diarah, tanpa banyak soal tetap dilakukan tanpa bantahan. 

“Dah kenapa dengan anak ayah ni? Tersengih sorang-sorang?” Haji Hamka melabuhkan duduk di sebelah Adli Zafri.

“Tak ada apa-apa, ayah,” muka ditunduk rapat kerana malu.

“Macam mana, Adli? Dah puas rehat? Bila nak lapor diri?” Haji Hamka memulakan pertanyaan setelah sepi seketika.

“Ayah rasa, Adli mampu tak, galas amanah ayah?” bukanlah mahu berdalih. Keyakinan diri begitu nipis.

“Kalau tak mula, macam mana nak tahu mampu atau tak? Ayah yakin, anak ayah boleh punya. Lagipun, bisnes ayah tu bukanlah besar mana.”

Senyap.

“Macam mana, Adli?”

“Adli akan cuba, ayah,” dia tidak mampu mengelak lagi.

“Bagus. Macam nilah anak ayah.” Haji Hamka menepuk bahu anaknya. Semangat begini dia mahukan daripada anak muda seperti Adli Zafri.

“Ada satu perkara lagi, Adli.”

“Apa dia, ayah?”

“Ayah tengok, Lily pun macam dah sedia nak kerja balik.”

“Maksud ayah?”

“Dia dah lama cuti. Lagipun, ayah tengok dia dah makin sihat sekarang. Adli tak kisah kalau Lily kerja semula?” 

“Kalau dia nak kerja, takkanlah Adli nak halang. Tapi kenapa lama sangat dia cuti?”

“Nantilah ayah cerita pasal Lily. Dia dah jadi isteri Adli sekarang. Ayah harap, Adli jaga dia baik-baik. Bahagiakan dia. Jangan lempar dia ke sarang derita lagi.” 

Adli Zafri tergelak kecil.

“Kenapa gelak?” 

“Amboi ayah, pandai berfalsafah pula sekarang.” 

Haji Hamka juga turut gelak. 

“Jangan lupa pesan ayah. Layan Lily baik-baik.”

Adli Zafri mengangguk lemah.

Di sebalik tiang berdekatan, sepasang mata sedang melihat gelagat anak-beranak itu. Hanya memicingkan telinga mendengar perbualan mereka. 

“Boleh nasihat ajelah. Berjela-jela pun tak ada guna. Tetap aku jadi mangsa,” bisik Lily Dayana. 

Enggan berlama di sini dia melaju ke bilik encik tuan. Lily Dayana amat memahami prinsip encik tuan yang cerewet tentang kebersihan dan kekemasan. Dia tidak mahu mendengar sebarang leteran. Rimas.

Adli Zafri melangkah ke bilik. Senyum bangga dileret sebaik melihat biliknya kemas dan berbau harum. Diakui, si minah berpotensi menjadi isteri solehah. Senyuman terbantut sebaik melihat melihat Lily Dayana mendekati pintu.

“Kau nak ke mana?” 

“Ke dapur. Tolong ibu masak.”

“Duduk dulu. Aku nak cakap sikit.” 

Lily Dayana melangkah longlai. Dia melabuhkan duduk ke atas kerusi di meja solek. Muka tidak beriak ditayangkan khas untuk tatapan encik tuan. 

“Ayah ada cakap kat aku, dia nak kau kerja balik.”

“Okey.” 

“Okey? Kalau aku jadi bos, dah lama aku pecat kau. Suka hati kau cuti lama-lama. Kau ada share kat syarikat ayah aku tu?” 

Lily Dayana menghela nafas panjang. Dia memandang muka encik tuan dengan pandangan... haish geram. Cakar muka segak itu nanti, baru tahu! Tapi kukunya tidak pernah pun panjang. 

“Telinga letak kat mana? Dengar tak apa aku cakap!”

“Iya, dengar. Ada apa-apa lagi tuan nak cakap?” macamlah encik tuan akan jadi boss. Mulut disengetkan sedikit. Meluat.

“Untuk pengetahuan kau, tak lama lagi akulah boss kat syarikat tu. Jadi, bersedia dengan arahan aku. Faham!” 

Biji mata meluas pada mulanya kembali meredup. Hanya mengangguk lemah sebagai jawapan. Tidak habis-habis dengan perangai diktator. Lily Dayana melangkah pergi sambil mencebik mulut. 


***


Hampir setengah tahun berehat dari alam pekerjaan tanpa gaji. Adli Zafri dan Lily Dayana sudah sepakat, tidak mahu mendedahkan status perkhawinan mereka. 

Lily Dayana merasa lega, terus menyetujui cadangan itu. Bimbang akan ada batasan dengan kakitangan lain nanti. Dia mahukan suasana kerja yang baik. Hubungan rapat bagaikan sebuah keluarga. 

“Dah sampai.”

Lily Dayana tersentak, memandang sekeliling.

“Kau turun kat sini. Ingat. Jangan lambat masuk ofis pula.”

Lily Dayana mengangguk. Kereta dipandu encik tuan telah berhenti di perhentian bas. Tanpa berlengah, dia melangkah turun daripada kereta. Elok sahaja pintu kereta ditutup, laju kereta encik tuan meluncur pergi.  

‘Bertuahnya dapat suami macam ni. Romantiklah sangat,’ Lily Dayana mencebik. Langkah terus dihayun laju. Perhentian bas bukanlah jauh mana dengan pejabat. 

Ruang legar pejabat mentuanya, dipandang sebaik melangkah masuk. Banyak perubahan berlaku sepanjang ketiadaannya. Tersenyum Lily Dayana melihat persekitaran serba baru. Serta-merta membangkitkan semangat kerjanya. Begitu kemas dan tersusun rapi. 

“Jalanlah! Nak tunggu orang bentangkan karpet merah?” 

“Oi...” Lily Dayana menekup mulut dengan tapak tangan kanan. Tidak perlu menoleh, kenal sangat dengan si penyergah.

“Lekaslah. Ayah tengah tunggu kita.” 

Terus encik tuan membuka langkah dan Lily Dayana menurut dari belakang.

“Rindunya akak kat kau, Lily,” tubuh genit lantas dipeluk oleh Puan Maria, setiausaha ayah mertuanya. 

“Lily pun sama, kak,” pelukan balas diberi. 

Adli Zafri menyaksikan adegan itu, mencebik mulut. Ada peminat rupanya si minah ni.

Haji Hamka berdehem.

“Dah lama kami tak berjumpa, tuan haji. Biasalah.” Muka pemuda kacak berdiri di sebelah majikannya, dipandang lama oleh Puan Maria. 

“Anak bujang saya, Maria. Takkan tak kenal? Adli.” 

“Kak,” Adli Zafri menundukan sedikit kepala sebagai tanda menghormati setiausaha ayahnya yang telah lama berbakti.

“Maaf. Akak tak cam Adli.” Semakin kacak orangnya, Puan Maria bergetus dalam hati.

“Maria, tolong aturkan satu mesyuarat dengan semua staff pukul 11.00 nanti.” 

“Baik, tuan haji. Nanti kita sembang lagi, Lily,” sempat lagi dia berbisik kepada Lily Dayana sebelum melangkah keluar. 

“Kalau tak ada apa-apa, Lily minta diri dulu.” 

“Mailah buatkan kopi kat kami dua ni. Boleh tak, menantu ayah?” 

“Baik, ayah. Lily buatkan.” 

‘Kalau untuk ayah bukan setakat buatkan kopi, petik biji kopi pun aku sanggup.’ Lily Dayana menjeling encik tuan sebaik pandangan bersatu. Tanpa berlengah, dia berlalu.

Dua cawan kopi telah selamat dihidang tidak lama kemudian. Dia bergegas menuju ke pintu. 

“Lily nak ke mana?”

“Ke bawah. Nak tengok tempat.”

“Biarlah dulu. Duduk dalam bilik ayah ni sementara tunggu mesyuarat.”

Lily Dayana melangkah longlai ke arah sofa di dalam pejabat mentua. Mata, meliar ke sekeliling. Tidak tahu apa mahu dibuat di sini? Sudahnya, suratkhabar di atas meja kopi di depan disambar. Mengisi masa dengan membaca.

Lily Dayana melirik jam di tangan. Telah hampir waktu untuk menyertai mesyuarat. Dia meminta diri untuk beredar. Menuju ke tandas dahulu sebelum ke bilik mesyuarat. Suhu sejuk di dalam bilik pejabat ayah mentuanya terasa mencengkam hingga ke tulang hitam. 

Setelah selesai urusan di tandas, dia menapak keluar. Entah bagaimana, dia dirempuh dengan agak kuat di bahu hingga berpusing tubuh. 

“Aduh!” Lily Dayana memegang dahi yang mencium dinding. 

“Sorry, cik.” 

Lily Dayana perasan ada tangan mahu menyentuh bahu dengan pantas mengelak. Tidak berani mengangkat muka, memandang orang yang telah melanggarnya.

“Saya tak sengaja. Nak cepat. Tak perasan cik tadi.”

“Tak apa. Sikit aje.” Lily Dayana terus berlalu. 

Sebaik masuk ke bilik mesyuarat, segera dia mengambil tempat di belakang sekali. Tanpa diduga, pandangan bertembung dengan encik tuan. Boleh pula encik tuan menjegil. Pantas dia melarikan pandangan. Sudah kenapa dengan encik tuan? Ada masalah matakah? Elok saja tadi.

“Perjumpaan ni diadakan untuk memperkenalkan pengganti saya. Inilah bos baru kamu, Adli Zafri. Saya harap kamu dapat bekerjasama dengan anak saya. Harapan saya semoga syarikat ni akan lebih maju di bawah pimpinannya dengan bantuan daripada semua.” 

Tepukan gemuruh bergema. Haji Hamka memandang Adli Zafri dengan senyuman. Dia yakin, anaknya mampu menggalas tugas dengan baik. Bahu anak ditepuk lantas memberi isyarat untuk anaknya berucap.

 “Terima kasih, ayah. Walaupun pada mulanya agak berat hati saya terima amanah ini tapi apabila memandang muka anda semua, automatik saya mendapat suntikan semangat. Saya harap agar kita semua dapat bekerja dalam suasana selesa. Tradisi lama tetap diteruskan. Hubungan seperti keluarga akan terus dijaga. Selamat berkerjasama saya ucapkan.” 

Sekali lagi, bergema bunyi tepukan. 

Setelah hampir setengah jam, semua bersurai. Masing-masing kembali ke tempat kerja.

“Kau nak ke mana?”

Lily Dayana baru menapak dua langkah, berhenti. Dia mendecit perlahan. Apa lagi encik tuan mahu? Ingatkan, bolehlah dengan senang mengelak jika di pejabat. Dia berpaling, melangkah longlai mendekati encik tuan. 

 “Kenapa dahi kau tu?” dari tadi benjolan kecil di dahi si isteri sedikit menganggu tumpuan Adli Zafri.

Lily Dayana pantas menyentuh dahi. Terlupa akan dahinya.

“Kenapa?”

“Tak ada apa-apa.” Mengapa encik tuan nak ambil kisah pula? Bengkak kecil di dahinya, digosok lembut.

“Aku, suami kau. Apa jadi kat kau, aku kena tahu. Faham!” geram pula Adli Zafri. Sah-sah ada benjolan, boleh pula si isteri berdalih.

“Adli, Lily. Mari,” panggil Haji Hamka. 

Mereka berdua merapati Haji Hamka.

“Ayah nak kenalkan, ni Andrew. Pengurus Pentadbiran dan Kewangan kita. Andrew, ni anak lelaki saya. Yang tu, Lily Dayana. Dia...”

“Pembantu saya,” sampuk Adli Zafri memotong cakap Haji Hamka. 

“Oh, awak rupanya. Pasal tadi tu, maaf. Nak saya bawa pergi klinik? Nampak besar benjol kat dahi tu.” 

Lily Dayana tersentak serta-merta tangan melekap ke dahi. Lelaki inikah melanggarnya tadi? 

“Lily, okey tak?” Haji Hamka terus memandang dahi Lily Dayana. 

“Sikit aje, ayah. Tak payah risau.” Berdenyut pula dahinya ketika ini. Adoi.

“Saya minta maaf. Kalau tadi awak bagi saya tuamkan, taklah bengkak macam ni.” Andrew mendekati Lily Dayana. 

Lily Dayana tersentak dengan mata meluas. Tidak lama, menunduk pula. Menggenggam kedua tangan sendiri.

Adli Zafri berdehem.

“Tak apa, encik. Saya boleh buat sendiri. Terima kasih.” Lily Dayana merasa kurang selesa.

“Betul ni?” 

Lily Dayana mengangguk laju. Sekilas memandang muka encik tuan. Dijeling tajam pula oleh encik tuan sebagai balasan. Pantas menunduk lagi.

“Elok aje saya tengok. Taklah sampai pengsan. Terhantuk sikit aje. Kan, Lily?” Adli Zafri menyampuk. Boleh tahan minah ni. Tidak boleh jadi! Kena kawal selalu.

“Andrew tanya tu. Nak pergi klinik tak, Lily?” Adli Zafri menjegil sebaik Lily Dayana mengangkat muka, memandangnya.

“Tak. Tak payah, encik.”

“Tak payah berencik. Panggil, Andrew,” dia menghulur tangan. 

Terpinga-pinga Lily Dayana. Kes berat ni. Nak sambut atau tidak?

“Adli Zafri,” bertindak menjadi penyelamat. Menyambut huluran tangan Andrew. 

“Okeylah, Andrew. Nanti kita jumpa lagi.” Adli Zafri memandang Lily Dayana pula.

“Tunggu apa lagi. Jomlah!” 

‘Ei, sabar ajelah aku dengan encik tuan ni. Dahi dia pula yang benjol nanti,’ terkumat-kamit mulut Lily Dayana sambil berjalan. Dari belakang, tengkuk encik tuan menjadi tumpuan matanya. Kalaulah dia boleh cekik tengkuk itu...

 
















Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.