Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
11.1

Shahiman mengukir senyum. Gadis bertakhta di hati sedang termenung. Di tangan Dayana, sehelai baju sedang dipegang. Dia melangkah perlahan-lahan, mendekati pujaan hati. 

“Rajin sayang...” 

 “Opocot mak kau!” Baju sedang dipegang, tercampak. Pantas berpaling ke belakang.  Mata dikecilkan sebaik melihat si penyergah sedang sengih.

“Rajin sayang abang mengemas.” Shahiman melebarkan senyuman, membariskan gigi yang tersusun rapi.

“Apa ni! Tak reti bagi salam dulu!” Degupan jantung menjadi laju hingga mahu tertanggal dibuat. 

“Lupa.” Sambil mulut menyengih, muka monyok Dayana menjadi tatapan. Comel.

“Lupa?” Dia merengus halus. 

“Sejak bila, sayang abang pandai melatah?” 

“Sejak besok.” Dia menjelir. 

Shahiman gelak.

“Orang serius, dia main-main pula.” Tidak kuasa mahu melayan. 

“Jawapan dia, tepat, padat dan menyengat lagi.” Pantas jarinya mencuit hidung mancung Dayana. 

“Ini dah lebih. Main cuit-cuit hidung orang pula!” Dia merengus lagi. Ada juga bertukar jadi naga nanti. 

Malas menunggu lama, bingkas bangun. Ke laman rumah, duduk di bangku kayu panjang. Emak, sengaja letak bangku panjang di sini. Selalunya pada waktu petang, ada sahaja jiran akan datang bersembang dengan emak.

Pandangan dialih ke pintu di sebelah kiri. Di ambang pintu inilah, emak selalu duduk bersandar sambil menjahit. Melayan jiran-jiran yang menyinggah. Air mata menitis. Rindu terhadap emak semakin menggunung di dalam hati.

“Yana, jangan macam ni.” Dia mengambil tempat di sebelah Dayana. Kesedihan pujaan hati ibarat racun, perlahan-lahan meresap masuk ke dirinya.

Dayana berusaha menolak lembut tangan Shahiman. Semakin kemas pula pautan. Bingkas berdiri kerana kebetulan, terdengar suara memberi salam. Mata, spontan membesar sebaik menoleh. Dengan cepat melangkah, mendekati sahabat-sahabat yang dirindui. Satu-persatu tubuh mereka dipeluk. Sebaik mata bertembung dengan Ahmad Fahim, dia terkedu. 

Ahmad Fahim, terpaksa menyembunyikan riak cemburu. Siapa agaknya pemuda bersama Dayana? Apa pula hubungan dengan gadis pujaannya? Hati, kurang senang melihat adegan ‘kemesraan’ sebentar tadi. Dia memandang Irshad di sebelah. 

“Siapa kat sebelah Yana tu?”  Disiku Irshad.

Irshad hanya menjongketkan bahu

“Yana, kau tetap dengan keputusan nak pindah? Tinggal aje kat sini, tak boleh?” Adibah bersuara setelah keadaan sepi agak lama.

Senyap.

“Mak aku, kan ada. Kami semua, boleh tengok-tengokkan kau.” Adibah berusaha memujuk.

“Bukan tak nak ikut cadangan kau, Dibah. Aku tak mampu. Siapa nak jaga kami?”

“Kan ramai kat sini boleh tolong?” 

“Sampai bila, korang nak tolong aku?” Dia memandang Adibah.

“Tapi Yana...”

“Dibah, kau doakan aku.” Sebak. Kalau boleh, tidak mahu berpisah dengan rakan-rakannya. Apa boleh dia lakukan? 


Previous: 10.2
Next: 11.2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.