“Yana, nanti buat karipap pusing dalam dua ratus biji. Mak ingat, petang esok nak hantar kat surau hujung kampung. Kebetulan, orang kampung ni pakat kongsi buat kenduri arwah kat surau tu.”
“Dah lama kita tak buat kenduri arwah abah, kan? Bagus juga bila ada peluang macam ni.” Dayana menyeka air mata, tiba-tiba sahaja bergenang.
“Semalam Pak Cik Borhan datang beritahu pasal majlis tu. Sebab tu mak setuju nak tumpang sama. Ni, duit beli barang.” Puan Zakiah menyua beberapa keping not berwarna merah di dalam genggaman.
“Mak letak duit atas meja tu. Nanti Yana ambil.”
Dayana menyambung kembali tugas menyapu sambil mata menyoroti tubuh emak sedang berlalu meninggalkannya. Mana mungkin emak mampu mengadakan kenduri. Kekangan kewangan sering membantutkan niat emak. Masa tersangatlah pantas berlalu hingga enggan memperlahankan detik. Menjeling pun enggan sang masa itu. Hampir sebulan sudah mereka sekeluarga di kampung. Kerana asyik diulit dengan kenyamanan dan ketenangan suasana di kampungnya, langsung tak menyedari betapa cepat sang masa telah menghambat mereka.
“Ini,cucu Kiah?” Soalan biasa akan ditanyakan apabila setiap kali melihat Dayana atau Liyana berkunjung ke kedainya.
“Ya,” jawab Dayana ringkas sambil melingas mata ke sana sini mencari apa yang mahu dibeli.
“Atuk kau, sihat?” tanya Uncle AhChew lagi.
“Sihat, uncle.”
“Dah dekat sebulan uncle tak jenguk atuk kau tu. Uncle dengan arwah tok aki kau, memang baik dari dulu.” Tidak pernah dia lupakan jasa atuk gadis itu terhadapnya dan keluarga. Zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu suatu masa dahulu banyak memberi kenangan pahit buatnya. Arwah Haji Semanlah banyak membantu.
“Oh,” jawab Dayana. Bukanlah tak mahu melayan, masih tercari-cari lagi dua barang yang mahu dibeli. Terlebih ramah pula Uncle Ah Chew hari ini. Dia sudah lama tahu sejarah persahabatan antara tok aki dengan lelaki berbangsa Tiounghua itu.
“Nah, bagi kat atuk kau,” katanya lalu menghulurkan satu plastik berisi sedikit barang keperluan dapur kepada Dayana.
“Terima kasih, uncle. Jumpa lagi.”
Dayana melangkah keluar dari kedai setelah selesai membeli segala yang diperlukan. Kiri dan kanan tangannya, menjijit beg plastik. Walaupun berat, terpaksa juga mengangkat. Menyesal pula kerana tidak mengajak Liyana menemaninya ke kedai. Langkah diatur dengan kemas di bahu jalan raya yang lengang. Seboleh-boleh cuba mengelak semak samun agak meninggi daun-daunnya. Bimbang jika tersembunyi haiwan berbisa di celahan. Dedaunan kering yang gugur, lembab dan sedikit licin akibat hujan malam tadi dipijak dengan berhati-hati supaya tidak tergelincir. Sedang asyik berlenggang-lenggok, tiba-tiba kedengaran bunyi horn kereta. Kuat sangat bunyinya. Oleh kerana terkejut, lantas dia melompat sedikit ke semak yang tadi digeruni.
‘Siapa horn ni? Macam nak gugur jantung aku. Aku, ada silap jalan?’ Meliar mata memandang sekeliling dan sah... dia tidak melakukan apa-apa kesalahan lalu lintas.
‘Memang cari nahas betullah kereta ni... eh silap, pemandu. Kalau kereta boleh horn sendiri, aku lari dulu. Seram.’ Dayana menahan diri daripada ketawa. Dia menoleh ke arah kereta yang sudah di parkir di bahu jalan tidak jauh darinya. Sesusuk tubuh dengan bibir tersengih luas, sedang keluar membuatkan dia dengan pantas menyengetkan mulut sambil mata dijulingkan ke atas.
“Amboi, siap melompat sayang abang ni.”
‘Mulut dia ni kalau mula bercakap, ei geram aku!’ Dayana menggigit bibir.
“Bilalah nak berubah? Terkejut sikit, gelabah lebih.”
Mata mengecil. Dengusan halus sudah mula kedengaran di hidung Dayana. Apa hal mamat ni?
“Hai, dah bertukar jadi patung, sayang abang ni?” Dia mahu mencuit hidung mancung itu tetapi tidak mengenai sasaran. Pantas sahaja Dayana mengelak.
“Siapa tak terkejut kalau dah bunyi horn tu mengalahkan horn lori. Boleh luruh jantung orang ni, tau tak!” Terkeluar hamburan namun masih terkawal nada. Boleh pula Dayana mendengar Shahiman ketawa. Gigi sudah diketap kuat. Hatinya panas!
“Alah, sorrylah.” Senyuman bertujuan untuk menggoda semakin manis dileretkan.
“Sorry, naik lorilah!”
“Sayang abang ni, marah nampak?”
Dayana mencebik. Meremang pula bulu roma mendengar perkataan sayang. Euw!
“Nasiblah orang tak ada sakit jantung. Kalau tak, dah lama masuk hospital. Silap haribulan, boleh ‘jalan’terus. Nanti masuk suratkhabar, ‘seorang gadis mati sebab terkejut bunyi horn kereta’. Boleh macam tu?” Tajam jelingan dituju khas buat Shahiman yang semakin kuat ketawa.
“Pagi-pagi dah buat abang gelak. Pandai Yana buat kelakar.”
“Kelakar?” Dayana merengus.
“Abang baru habis exam. Semalam baru sampai. Dapat tahu mak ngah ada kat sini, terus ke mari.” Sempat lagi Shahiman mengenyitkan mata. Alah Dayana, bukan pandai marah sangat.
‘Tak tanya pun!’ Dayana menjeling sambil mencebik.
“Dah, jom. Kita balik sekali. Lama tak jumpa. Rindu dekat sayang abang ni.”
‘Rindulah sangat. Gatal!’ getus hati Dayana pula.
“Mata tu, dah kenapa? Terkenyit-kenyit dari tadi. Masuk habuk?” Dayana menjeling lagi.
Semakin menjadi-jadi pula kenyitan Shahiman. Haish, geram Dayana dibuat. Menyesal pula menegur. Walapun menyampah, tetap juga mendekati kereta Sahaiman lalu duduk di bahagian penumpang sebaik pintu dibuka. Barang-barang yang dipegang, diletak di atas riba.
Shahiman cepat-cepat melangkah ke bahagian pemandu. Biarlah Dayana nak kata apa pun, asalkan ada perbualan, sudah memadai.
Sebaik kereta Shahiman memasuki perkarangan rumah atuk, lekas-lekas Dayana turun. Melajukan langkah ke pintu dapur rumah atuk. Menyesal pula menumpang kereta Shahiman. Kata nak tolong angkatkan barang tetapi dengan tangannya sekali telah ‘diangkat’. Haish gatal. Merenyam betul!
“Mak ngah ingat siapa tadi? Mak dengan abah sihat? Kenapa tak datang sama?”
“Abah kerja, mak ngah. Mak kirim salam kat semua.” Dia merapati mak ngah dan atuk, menyalam tangan mereka.
“Dah makan?” Hajah Rokiah nampak cucu lelakinya menggeleng.
“Tu, bawah tudung saji ada nasi lemak pagi tadi.”
Shahiman menapak ke meja makan.
“Lia, apa kau buat kat atas tu? Ni, Abang Iman kau datang!” pekik Hajah Rokiah. Cucu bertuah betul.
Kedengaran bunyi lantai papan berkeriut akibat dipijak. Terjengul muka Liyana di ambang pintu yang memisahkan antara dapur dan ruang tengah rumah atuk. Dia melebarkan senyuman manis sebaik ternampak Shahiman berdekatan meja makan. Kembang mekar bunga rindu di hati sebaik melihat pemuda yang diidami selama ini, di depan mata.
“Sini, tolong hidang makanan kat Abang Iman kau ni.” Hajah Rokiah kemudiannya menyulam senyum penuh makna.
“Dah lama sampai, Abang Iman?” Lembut nada Liyana. Demi sahaja mendengar atuk menyebut nama Shahiman, bergegas dia turun. Mujurlah kaki tidak tersadung di bendul pintu tadi.
“Tunggu apa lagi. Ajak Abang Iman kau tu, makan,” suruh Hajah Rokiah lagi.
Liyana mendekati Shahiman ketika itu sedang mengangkat tudung saji,
“Wah, asam pedas.” Shahiman teruja.
“Tu, baki lauk semalam, bang. Ni,nasi lemak tadi. Abang nak tak?” Nasi lemak berbaki dua bungkus di dalam pinggan disua lebih dekat.
Shahiman menahan.
“Abang nak makan nasi dengan lauk asam pedas ni. Yana masak, kan?” Dia senyum lebar sebaik melihat Liyana menggangguk. Sudah lama tidak merasa masakan Dayana. Lapar pula perut padahal banyak dia makan sebelum ke mari.
“Nah, air.” Liyana menghulur segelas air teh suam.
“Tak nak makan sama?” pelawa Shahiman sebaik melihat Dayana melintas didepan meja makan. Sempat lagi mengenyitkan mata saat pandangan bersatu.
“Orang dah kenyang.” Satu jelingan tajam umpama belati dihadiahkan sebagai balasan tambahan.
‘Agaknya, bapak segala habuk dalam mata dia, tak hilang lagi kot. Menyampah!’ gerutu Dayana.
Dengan segera memalingkan muka lantas mengatur langkah. Malas betul mahu melayan kerenah merenyam Shahiman. Rimas. Pernah juga beberapa kali gurauan Shahiman melibatkan hati dan perasaan. Sebab itulah, dia merasa janggal dengan kemunculan Shahiman. Malas mahu ambil pusing, dia meneruskan kerja.
Peristiwa beberapa bulan lalu, mula mengisi ruangan memori Dayana.
“Mak ngah, Iman nak tumpang tidur kat sini semalam dua. Nak tengok kawan-kawan main kayak. Teringin nak main kayak balik tapi tak boleh pula.”
“Kenapa?”
“Abah bising nanti. Ni, kalau abah tahu Iman kat sini, jenuh tadah telinga dengar ceramah percuma abah tu.”
Shahiman mengeluh hampa. Kecederaan di bahu dialami beberapa bulan lepas akibat kemalangan semasa berkayak, membataskannya untuk aktiviti yang amat diminati. Dia selalu mencuri peluang, menyaksikan rakan-rakan membuat latihan. Ada juga sekali, dia turun ke latihan. Oleh kerana masih terasa sakit, dibatalkan niat.
Puan Zakiah menggosok lembut bahu anak saudara di sebelah. Sama-sama sedang menonton televisyen. Shahiman, anak buah paling rapat dengannya. Sudah seperti anak sendiri.
“Kalau dah tahu nak kena marah, jangan buat. Tinggallah lama mana pun, mak ngah tak kisah.”
Liyana duduk tidak jauh dari situ meleret senyuman. Hatinya teramatlah seronok.
Dayana turut ada berdekatan hanya memicingkan telinga. Sikit pun tidak menyampuk. Jika perkataan ‘tak boleh’ mampu dikatakan pasti akan dilakukan. Dia agak malu dengan kehadiran Shahiman di dalam rumah. Tidak bebas mahu melakukan apa-apa. Kalau dahulu, masing-masing masih kecil, tidak tahu apa-apa tetapi kini, batasan perlu dijaga walaupun mereka bersaudara. Malas mahu berlama, dia berlalu. Lebih baik menyudahkan bacaan buku yang dipinjam dari perpustakaan sekolah.
Dayana sedang asyik membaca di laman rumah. Angin sepoi-sepoi bahasa betiup pada malam ini sangat mendamaikan jiwa, membuai-buai diri hingga leka. Walaupun bukan buku cinta sedang dibaca, cerita mengenai sejarah perjuangan wira-wira negara pada suatu masa dahulu dapat dihayati dengan sebaik mungkin. Suasana damai begini sangat bagus untuk ketenangan.
“Kuss semangat!” Nafasnya laju. Mahu semput Dayana kerana diasak rasa terkejut.
“Hehehe.”
“Apa ni? Nak bagi orang putus nyawa cepat!”
Mujurlah tidak disilat susuk itu walaupun dia tidak pernah menuntut sebarang ilmu persilatan. Ada juga masuk wad nanti. Mana tidak, tiba-tiba terasa hembusan angin suam-suam kuku, menyentuh telinga kiri. Apabila menoleh, mak ai muka Shahiman begitu hampir sekali dengan mukanya. Hanya dipisahkan beberapa inci sahaja. Kalau terlajak sikit, mahunya...ah, tak nak bayangkan. Seram juga pada mulanya hingga meremang bulu roma kerana menyangkakan apalah tadi. Manalah tahu, kalau-kalau makhluk dari alam lain menempek di sebelah.
“Opss, maaf. Tak sangka, Yana terkejut.”
Anak mata Dayana membesar. ‘Kenapa itu jawapan dia? Ada juga makan penampar aku nanti. Ei, geramnya. Boleh pula sengih. Meluat!’ Dia memandang muka Shahiman dengan pandangan tidak puas hati. Naik turun nafas menahan geram. Bibir bawah, digigit kuat.
“Wanginya sayang abang ni.?” Shahiman buat-buat tidak nampak reaksi marah Dayana.
“Tak boleh, kalau tak kacau? Orang tak sukalah!” Dayana tidak berkenan dengan perangai ulat bulu Shahiman. Lain macam benar kebelakangan ini. Adakah wayar dalam kepala Shahiman sudah putus hingga tidak tahu membezakan perkara elok dan tidak?
“Yana makin lawalah. Nasib baik sekolah lagi. Kalau tak, hari ni juga abang suruh mak dengan abah masuk meminang.” Dia masih dengan lagak selamba.
“Agak-agaklah nak perli pun! Mana ada lawa-lawa? Orang ni, tetap Dayang Senandung. Kalau iya pun, tu, Lia ada. Pergilah kat dia!” Geram cuba dikawal. Ada juga kena jerkah dengan lantunan suara tahap maksima nanti.
“Dayang Senandung kalau lawa macam ni, abang pun nak.” Shahiman ketawa kecil.
Dayana menjulingkan mata ke atas. Jawapan Shahiman membuatkan dia berfikir, adakah makhluk ciptaan Tuhan di sebelah sedang buang tabiat?
“Abang puji pun tak suka?”
Dayana menjulingkan lagi mata ke atas. Memang sah, fius dalam kepala Shahiman terbakar. Boleh pula sengih, sedangkan meter marahnya, di paras maksima. Tunggu nak meletup sahaja. Lagi kuat bibir bawah digigit. Kecil bagaikan semut dia melihat makhluk di depan.
‘Kenapalah dia ada dalam rumah aku? Ei, tak kuasa betul nak melayan perangai gatal dia ni!’ Dayana merengus halus.
“Abang nak buat macam mana lagi, ya? Bagi Yana, sukakan abang?”
“Abang Iman,”
“Ya sayang...”
“Tolonglah. Tu, Lia ada kat dalam. Pergilah ngurat dia.”
“Hai, nak pass abang kat Lia pula? Mana boleh perasaan abang ditukar ganti, Yana? Bukan pakai bateri tau hati abang ni. Bila dah lemah, tukar baru. Takkan tak sudi? Lama dah abang simpan perasaan ni. Tak kesian kat abang?”Pasti Dayana sedang membebel dalam hati duga Shahiman. Ada dia kisah? Suka benar dia melihat muka Dayana dalam keadaan sekarang. Comel sangat!
‘Ei, dia nikan. Ni yang malas layan mamat sengal. Jiwang karat pula tu. Siap buka falsafah entah apa-apa? Tahulah pelajar kursus Elektrikal, siap masuk perkataan bateri bagai. Entah litar apa pula dia nak sebut nanti? Huh, boleh sakit jiwa aku kalau lama-lama mengadap muka dia ni.’ Dayana merengus halus.
“Yana,” Shahiman sedikit resah dengan kebisuan Dayana. Marah betul-betulkah?
“Apa-apa ajelah. Abang Iman simpanlah hati dan perasaan abang tu, pada orang yang sudi. Ramai lagi kat luar sana, beratur nak kat Abang Iman. Orang ni, tak layak untuk abang. Selamat malam.”
“Nak ke mana tu?” Shahiman mengeluh hampa.
Dayana melangkah pantas menuju ke bilik. Pertanyaan Shahiman tidak diendahkan. Lagi cepat sepupunya pulang, lagi bagus. Barulah dia boleh rasa bebas, aman dan makmur. Sesak, semak, lemas dan entah apa lagi dia rasa, semuanya bercampur baur selagi Shahiman berada di rumahnya.
Shahiman hanya mampu melihat Dayana melangkah pergi.
‘Sabar,’ kata hatinya.