Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
20

Dayana menelan air liur. Hati, berdebar kuat. Masih sempatkah, melarikan diri? Mata dipejam, nafas ditarik dalam-dalam.

“Hah, sampai pun. Nak kena tunggu orang jemput, baru nak datang!” 

Dayana berhenti melangkah. Semakin kuat tangannya mencengkam tali beg.

“Irah.” 

“Tak betul apa saya cakap, bang? Nak kena melutut, pujuk-rayu, baru nak datang!” 

Semakin menunduk Dayana. 

“Sudahlah, Irah. Ammar, bawa Yana masuk.” Encik Shukri memberi isyarat. 

Ammar Najjah dengan spontan menarik tangan Dayana. Bulat mata si isteri sedang memandang, tidak diendah. Pertama kali tangan lembut berada di dalam genggaman. Sudahlah tu, dipegang tanpa was-was pula. Bahagianya, dapat berjalan berpegangan tangan. 

“Jangan berani sentuh saya!” Dengan kasar Dayana merentap tangan sebaik masuk ke dalam rumah.

“Maaf.” Ammar Najjah terpinga-pinga seketika. Kemudian, mengisyaratkan Dayana supaya mengikuti.

“Ini, bilik saya.” Pintu bilik Ammar Najjah terkuak dengan luas sebaik tombol dipulas.

Senyap.

Dayana merengus halus sebaik menapak masuk. Berdiri tegak. Tangan, mencengkam tali beg. Amarah, cuba disalurkan ke situ. 

‘Yana, maafkan saya.’ Ammar Najjah berusaha mengawal. Tangan diangkat, semakin dekat dengan bahu Dayana yang membelakangkannya tetapi terhenti. Tangan digenggam dan ditarik kembali. Tidak mahu menambah kemarahan Dayana.

“Yana. Kat depan tu, almari baju untuk awak. Rehatlah. Saya keluar dulu.” Dia bergerak ke pintu. Tombol pintu dipulas. Sebaik menapak keluar, pintu ditarik. Masih berdiri di depan bilik sambil tangan mengusap pintu yang sudah tertutup.

“Maafkan saya, Yana,” rintihnya kemudian berlalu pergi.

Ammar Najjah mendekati emak di ruang tamu.

“Ammar, bawa mak ke bandar.”

“Ayah mana, mak?”

“Ke kebun.”

“Dah, jom kita gerak. Lambat nanti.” Puan Munirah berpaling.

“Mak tunggu Ammar kat depan dulu, ya.” 

Pintu bilik, diketuk perlahan. Tanpa menunggu lama, tombol dipulas. Mata Ammar Najjah membesar sebaik melihat Dayana masih berdiri dengan memegang beg. 

“Yana,” Ammar Najjah berhenti melangkah. Menghela nafas perlahan. 

“Yana, jangan rasa kekok. Buatlah macam rumah sendiri.” Risau melihat keengganan Dayana bergerak walau seinci.

“Yana, saya dengan mak nak keluar. Ayah pula, ke kebun. Ambillah masa. Sesuaikan diri awak. Jangan rasa terasing. Saya, dah siapkan makanan untuk awak kat dapur. Makan, ya.” Ammar Najjah memberanikan diri, mendekati. Beg di tangan Dayana, diambil. Lega, isteri tidak melawan. Dia bergegas keluar. Perlu memberi ruang kepada Dayana. 

Dayana masih lagi membatu. Lenguh terasa di kaki. Kerana ego, masih berdiri. Telinga, menangkap bunyi deruman enjin kereta. Lega. Sekurang-kurangnya, dapat bersendirian. Dia berpaling, mendekati pintu. Setelah menutup pintu, bersandar seketika. 

Mata, memandang sekeliling bilik. Dia senyum sinis. Anak orang senang, tunggal pula tu. Maka layaklah memiliki bilik sebesar dan semewah ini. Dia melangkah longlai menuju ke katil. Berteleku di sisi katil. Mata, mula merah. 

‘Apa perlu aku buat sekarang? Ke mana patut lari?’ Dayana mula sedu-sedan. Muka, dilentok di atas tangan. Air mata, berjujuran jatuh.

Fikiran serabut. Hala tuju hidupnya, kabur. Di usia begini, sepatutnya dia menikmati zaman remaja dengan bebas dan riang. Tapi mengapa perlu diikat dengan ikatan yang tidak pernah didambakan buat waktu ini? Mengapa perlu dirantai tanpa rela? Mengapa? Dayana tenggelam dalam tangisan. 


Previous: 19.1
Next: 20.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.