Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
14.1

Masih sibuk menyesuaikan diri. Masih tercari-cari rentak untuk menjadi sebahagian daripada penghuni di sini. Hanya mereka berdua sahaja datang dari bandar. Kebanyakkan penghuni di rumah kebajikan ini datang dari kampung berdekatan. 

Kadang-kadang, tidak terlayan oleh Dayana dengan pandangan sinis penghuni lelaki tambahan pula yang sebaya, terhadapnya. Selalu membandingkan dirinya dengan Liyana. Sedaya upaya cuba berlagak tenang walaupun menjeruk rasa sedih. Dia bertekad. Tidak mahu menjadi dirinya yang lama. 

Hampir saban malam, tidur bertemankan air mata. Merindui kehidupan lalu, dipenuhi dengan suka dan duka bersama emak. Walaupun hidup susah, jelas bahagia. Dia dan Sara saling berutus surat. Hari ini, telah sampai surat ketiga daripada Sara. Walaupun sudah beberapa kali membaca, tidak jemu. 

 Dia sedang berbaring di atas katil sambil di tangan memegang surat, membaca untuk kali kelima. Air mata, diseka dengan jari. Tanpa berlengah, dia melipat kembali helaian surat itu. Panjang karangan Sara. Hampir tiga muka surat. Terselit bersama, sekeping gambar. Menambahkan rencah lawak, Sara siap letak pelekat nama lagi. 

“Sara, Sara. Macamlah aku tak kenal kawan-kawan kita.” Menggeleng perlahan. Tersenyum melihat keletah rakan-rakan di dalam gambar. Lama dipandang, muka tenang Ahmad Fahim. Turut sama terselit dalam potret itu. Lelaki pertama berjaya mengusik hatinya walaupun hanya seketika. 

“Maafkan saya, Fahim. Biarlah masa yang tentukan,” bisik Dayana. 

Hubungan antara dia dengan penghuni asrama lain semakin baik. Kadangkala, terhibur juga hati dukanya dengan telatah comel mereka. Liyana akrab dengan Hanis sejak dari mula lagi. Dia pula lebih selesa bergaul secara terbuka dengan penghuni lain. Nak dikata rapat dengan Latifah, tidak juga. Padanya, bolehlah kalau setakat mahu dibuat peneman berbual tapi untuk berkongsi rahsia, payah sikit. 

Malam kian kelam. Selesai membuat kerja rumah, masing-masing mengemas ruang tengah bilik dan menuju ke katil. Katil Dayana dan Liyana terletak bersebelahan. Mereka berdua memilih untuk tidur di bahagian atas kerana kasihankan adik-adik. Bimbang terjatuh pula. Maklumlah, masing-masing tidur dengan gaya boleh tahan lasak. 

Setelah lampu dipadam dan memastikan semua telah tidur, Dayana mengambil kesempatan untuk menulis surat. Mujurlah lampu di blok sebelah menerangi ruangan di tempat dia menulis. Surat Sara, perlu dibalas. Sebatang pen sudah di dalam genggaman dan kini pantas tangan menari-nari di atas kertas putih. Banyak perkara perlu dikongsikan dengan Sara.

Selesai menulis, dia mengemas peralatan dan kembali semula ke katil. Dengan penuh hati-hati memanjat katil dua tingkat tanpa membuat bising kerana bimbang mengganggu teman di tingkat bawah. Tanpa menunggu lama, sebaik beberapa minit merebahkan kepala, dia hanyut ke alam mimpi.


Previous: Bab 13
Next: 14.2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.