“Dah sampai.”
Dayana tersentak. Leka mengelamun hingga tidak sedar sudah berada di hadapan rumah. Sayu rasa hati sebaik melihat rumah, tersergam di depan mata. Terlalu banyak kenangan pahit dan manis bersama emak, terpahat di rumah ini.
Dia merapati rumah. Tangan, membuka mangga di pintu. Sebaik pintu terkuak, dia melangkah masuk. Pilu, hiba, bertapak di hati. Laju air mata, turun membasahi kedua pipi. Dia terduduk di lantai.
“Sabarlah. Yana kena redha. Biar mak ngah pergi dengan tenang. Abang, akan sentiasa kat sisi Yana.”
Lembut kata-kata menyapa halwa telinganya. Tanpa disedari, dia melentokkan kepala ke bahu Shahiman yang duduk di sebelah.
“Apa korang buat ni!”
Shahiman dan Dayana menoleh. Mata masing-masing sudah membesar.
“Tak manis kalau orang nampak. Kau Iman, harapkan besar aje! Cubalah guna akal tu sikit!” Membahang hati. Berbulu mata apabila melihat adegan kurang menyenangkan hati.
‘Alamak! Bila mak su sampai? Apa aku dah buat ni?’ Lekas-lekas menjauhkan diri daripada Shahiman. Menyesal. Terlalu mengikut hati yang lara, kesilapan telah dicipta. Tidak menyedari langsung, Shahiman memaut bahunya.
“Mak, jangan ingat bukan-bukan. Kami bukan buat apa-apa.”
Puan Salmah menjegil sebaik pandangan bertembung dengan Shahiman.
“Abah mana?” Shahiman tanpa berlengah, berlalu pergi.
“Ma..maaf mak su.” Dayana juga, mengatur langkah pantas.
“Tak boleh jadi ni!” Puan Salmah merengus,
Sebaik melangkah meninggalkan mak su, Dayana mendekati pak su sedang duduk berehat di bangku di halaman rumah.
“Pak su,”
Encik Zakaria berpaling. Kening diangkat sebagai balasan.
“Lusa, Yana nak ke sekolah.”
“Nanti pak su hantarkan.”
“Kalau macam tu, Yana masuk dulu.”
Encik Zakaria memandang Dayana. Dia telah berjaya mendapatkan rumah anak yatim untuk dihuni oleh kedua anak saudaranya. Bila mengenangkan mereka berdua akan berpindah ke sana, berdebar-debar rasa hati. Apa dirancang, tidak menjadi. Terpaksa menelan, menghadam kata-kata Dayana yang enggan tinggal bersama. Nafas panjang, dihela.