Home Novel Cinta CINTA INI, tak seindah biasa.
CINTA INI, tak seindah biasa.
Azlina Ismail
7/8/2023 14:04:09
16,629
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Wafiq Zainal menyelak sedikit bidai di cermin bilik pejabat. Bimbang jika ada orang terperasan ulahnya dari luar. Lama matanya ditala ke arah seseorang di luar sana yang telah mencuit hatinya. Terlalu banyak persamaan. Dia menghela nafas. Semakin payah menghambat ingatan terhadap insan tersebut sejak kehadiran gadis di luar sana. 

Dia terkejut dengan bunyi kuakan pintu lantas dengan spontan mengalihkan tubuh, menghala ke sana.

“Apa kau buat kat situ, Wafiq?” 

“Tak ada apa.”

“Betul ni?” Keningnya bertaut dengan jawapan Wafiq Zainal.

“Tak ada apa-apalah. Kau pula, kenapa datang sini?” Cepat-cepat Wafiq Zainal mengubah topik perbualan dan menjauhi cermin. Kemudian besar pula mata apabila melihat lelaki yang masuk secara mengejut sudah berdiri di tempatnya tadi dan melakukan aksi sama.  

Mata redup Amzar sudah membulat. Dia sengih. Mula bergerak ke kerusi di depan meja Wafiq Zainal lalu melabuhkan duduk. Senyum sumbing, terkandung maksud perlian sudah dileretkan. Kening pula, dijongketkan berkali-kali. Tangan kanan dengan spontan diangkat lalu mengurut lembut janggut seciput di dagu. 

“Patutlah.”Amzar kembali menjongketkan kening berkali-kali sambil menyulam sengih. 

“Apa yang patutlah?” Wafiq Zainal buat-buat tidak nampak senyuman perli Amzar.

“Siapa tu? Orang baru?” Sengih Amzar makin lebar. Ada perkembangan positif nampaknya.

Wfiq Zainal mengangguk lemah sekali.

Amzar berdehem.

“Kau jangan fikir bukan-bukan, Amzar!” Geram pula Wafiq Zainal sebaik melihat senyuman di bibir Amzar diukir lebih nakal daripada tadi.

“Aku tanya aje. Tak kata apa-apa pun? Kau nak terasa kenapa, Fiq?” 

“Kau jangan nak merepek, Am. Kenapa datang bilik aku ni?” Wafiq Zainal buat mimik serius.

“Eh kau ni, macam tak biasa pula? Macam baru kenal aku. Selama ni, akukan memang selalu lepak kat bilik kau. Kau tak nyanyukan, Fiq?”

“Kata aku nyanyuk pula.” Wafiq Zainal mengherotkan mulut. 

Betul juga apa dikatakan oleh Amzar. Sejak kewujudan Safa Hawani, tergugat keamanan dan ketenangan hidupnya.

“Siapa budak baru tu, Fiq?” 

“Lah, tak habis lagi pasal dia?” Wafiq Zainal menghela nafas. Sedikit rimas dia.

“Tak salah kalau aku nak tahu, kan? Siapa dia, Fiq?”

“Safa Hawani.” Mendatar nadanya menjawab pertanyaan Amzar. 

“Cantik nama, macam orangnya juga. Kau tak berkenan, Fiq?” Amzar senyum senget.

“Berkenan? Tak ada maknanya bagi aku, Am. ” Wafiq Zainal mengetap gigi. Sedikit geram dia.

“Baguslah kalau macam tu. Kalau kau tak nak, aku ada peluanglah.”

“Kau jangan macam-macam, Am!” Wafiq Zanal merengus halus.

“Kau tak cemburukan, Fiq?”

“Kau dah kenapa, Am? Merepek apa ni?” Oktaf suara Wafiq Zainal tertinggi sedikit. Dia memandang tepat ke muka Amzar. 

“Okey. Macam nilah, Fiq. Kalau kau mengaku suka, aku cancel nak ngurat dia.”

“Bila aku kata suka? Jangan nak memandai-mandailah, Am!” 

“Hai, semacam punya hangin? Kau memang suka kat budak baru tu, kan?”

“Dahlah, Am. Aku banyak kerja ni!”

“Okey. Jangan menyesal kalau aku dapat dia... Adui!” Amzar menggosok lembut kepala yang menjadi mangsa balingan pemadam oleh Wafiq Zainal.  

“Padan muka!” Wafiq Zainal mengerutkan kening sebaik Amzar ketawa mengekek-ngekek. Dah merengkah? Cedera parah di kepalakah sahabatnya? 

“Kau kenapa, Am? Pemadam aje pun. Takkan biul betul-betul?” Wafiq Zainal merengus halus kerana geram. Semakin rancak pula ketawa Amzar.

“Kau tahu tak, Fiq. Perangai kau macam budak-budak. Kau kalau berkenan, mengaku ajelah. Buat apa nak malu dengan aku?”

Wafiq Zainal sudah tidak tahan lalu turut serta gelak. Betul juga kata Amzar. Macam perangai budak-budak pula dia. 

“Sengallah kau, Am. Dahlah. Aku banyak kerja ni. Layan kau apa pun tak jadi. Pergi balik bilik kau. Menyemak aje kat sini!”

“Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama, dia aku kebas.” Amzar pantas melarikan diri ke pintu sebaik Wafiq Zainal mahu membaling sebatang pen ke arahnya.

“Ingat tu, Fiq. Kalau tergigit jari, sakit woo.” Pantas Amzar menutup pintu sebaik sebatang pen sudah melayang ke arahnya.

Wafiq Zainal semakin melebarkan senyuman. Amzar memang berperangai begini. Suka mengusik. Dirinya pula dikenali sebagai lelaki berhati batu. Datanglah perempuan walau cantik sekalipun, tidak akan cair bongkah ais di hatinya kecuali seseorang.



***



Safa Hawani sedang berlenggang berjalan. Destinasi tujuan ke mana lagi kalau bukan ke restoran berdekatan pejabatnya. Sudah waktu makan tengahari. Kerja, kerja juga. Waktu makan perlu dijaga. 

Hampir dua minggu berkhidmat di sini masih memegang gelaran solo. Maksudnya, tiada kawan. Kekoklah. Kebanyakan kakitangan di sini boleh dikategorikan sebagai senior. Rata-ratanya, berumur 30 puluh tahun ke atas. Dia pula bukanlah jenis peramah. Ramahnya, bertempat.

“Hai. Sorang aje?”

Safa Hawani berhenti melangkah lalu berpaling. Liar mata memandang keliling mahu memastikan adakah dia, orang yang ditegur? Kening bertaut sebaik melihat seorang lelaki tampan sedang mendekati. Sudah macam cerita dalam novel Kak Salbiah yang dibaca secara senyap pula babak sedang berlaku ini. Terkedu dia melihat lelaki itu tapi... 

‘Haish, sikit punya handsome mamat ni. Hati aku ni, betul-betul beku kot? Kenapa tak rasa berdebar-debar? Sekejap, dia tanya aku?’ Safa Hawani memandang lagi sekeliling untuk kepastian. Manalah tahu orang lain yang ditegur? 

“Saya tanya awaklah, Safa.”

“Encik... tahu nama saya?” 

“Safa Hawani, kan? Nice name. Macam orangnya.”

“Encik ni...” kening Safa Hawani sudah macam kuin lapis.

“Amzar. Panggil Am aje.” Senyuman menggoda dileretkan.

“Ada apa-apa boleh saya bantu, Encik Am?” Riak muka terkedu campur hairan dizahirkan Safa Hawani sebaik lelaki itu ketawa. 

“Janganlah berencik-encik dengan saya. Rasa macam tua pula. Panggil Am atau Abang Am?” Senyum menggoda semakin manis dileret.

Mulut Safa Hawani yang sudah suku melopong dikatup dengan cepat. Lelaki di depannya, siapa ya? Pantas mata dilirik ke arah jam di tangan. Habis terbuang 5 minit waktu makan tengaharinya melayan lelaki tidak kenali. Sekejap. Tidak dikenali? Baru terperasan, rasa-rasanya lelaki ini selalu bersama Encik Wafiq.  

“Am.” 

Safa Hawani dan Amzar pantas menoleh ke arah gerangan yang menegur. 

Semakin laju Wafiq Zainal mengatur melangkah. Berderau darahnya tatkala melihat Amzar bersama Safa Hawani.

“Kau buat apa kat sini?” Mata Wafiq Zainal melirik sekilas ke arah Safa Hawani.

“Saja. Tegur Safa.” Amzar buat muka selamba.

Wafiq Zainal menjeling. Memandai-mandai pula Amzar ni, mengurat Safa Hawani tanpa pengetahuannya. Dia mengetap gigi apabila Amzar mengenyit mata lantas dia menjegilkan mata sebagai balasan. 

Amzar mahu ketawa namun cuba sedaya upaya menahan. Perangai Wafiq Zainal sangat melucukan.

“Safa tak pergi makan lagi?” Wafiq Zainal melihat Safa Hawani menggeleng.

Senyap. 

‘Haish, apa kena ni? Takkan hari ni 1 April? Patut tak aku kata hari ni, hari malang aku?’ Safa Hawani terkedu. Lain benar sikap Wafiq Zainal hari ini? Selalunya, menyombong memanjang. 

 “Safa, jomlah join kami. Bukan senang boss awak ni nak belanja, tambah-tambah perempuan macam... Auw!” Amzar menyeringai. Rusuk kirinya sudah menjadi mangsa sikuan tajam Wafiq Zainal.

“Safa nak ikut kami tak?” Wafiq Zainal bertanya dalam terpaksa.

“Lain kalilah, Encik Wafiq.”

Wafiq Zainal lega. Dalam masa yang sama, hampa dengan penolakan Safa Hawani.

“Janganlah malu, Safa. Boss awak ikhlas nak belanja.”

Wafiq Zainal melayangkan jelingan tajam ke arah Amzar.

“Lain kalilah.” Safa Hawani sedikit rimas.

Tanpa banyak soal, Safa Hawani mengorak langkah. Ada dia kisah dengan tanggapan dua lelaki itu. Dia tidak biasa menjadi perhatian. Seingatnya, mana ada lelaki berani dekat dengannya selama ini? Nak kena silat? Tidak dibuang lagi perangai meluat pada cinta walaupun belajar hingga ke menara gading. 

Meluat? Sebenarnya bukanlah meluat terus tapi... entahlah? Kadang-kadang terfikir juga olehnya, normalkah dia sebagai manusia biasa yang berjantinakan seorang perempuan, bersikap begini? Dia semakin melajukan langkah, semakin jauh dua lelaki itu ditinggalkan.

“Payah juga nak tackle budak baru tukan, Fiq?” Mata Amzar masih memandang gadis yang semakin menjauh itu.

“Bila aku kata senang?” 

Amzar pantas memandang rakan di sebelah sambil menjongketkan kening kanan.

“Oh, jadi betullah tekaan aku. Kau tengah ngurat dia.”

“Jangan nak serkap jaranglah, Am.”

Amzar gelak. Pada pandangannya, Safa Hawani agak berlainan. Walaupun tingkah terselit kasar namun masih terkawal. Hatinya kuat mengatakan, Wafiq Zainal menyimpan satu rasa terhadap gadis itu. 

Dia sebenarnya gembira melihat perubahan Wafiq Zainal semakin mengorak langkah setapak ke hadapan. Hati Wafiq Zainal yang selama ini sengaja dibekukan, dilihat mulai cair.  Satu perubahan yang baik.

“Habis tu, tak reti menuntut ilmu daripada aku, Fiq?”

“Ilmu apa?” Kening kiri Wafiq Zainal sudah berjongket.

“Buat-buat tanya pula. Ilmu tackle perempuanlah, Wafiq oi.”

“Eleh. Kau pun tak tertackle, ada hati nak ajar aku.” 

“Hello. Tengok mukalah beb. Tak payah tackle, aku senyum aje. Berduyun-duyun awek datang beratur tau.” Amzar gelak sebaik melihat sahabatnya mencebik mulut.

“Tengok muka kau, aku lagi handsome.” Padahal antara dia dengan Amzar, diakui, muka sahabatnya itu mampu menggetarkan hati perempuan walau dengan hanya sekali pandang. 

“Peluang dah ada depan mata, Fiq. Jangan biar lama-lama. Takut kau gigit jari nanti.”

“Kau ni, Am. Beria-ia sangat kenapa? Aku tak ada masa nak fikir hal cinta. Lagipun aku cuma...”

“Cuma apa? Mengaku ajelah hati kau dah tercuit.”

“Mana ada? Kau ni main tembak aje, Am.” Wafiq Zainal semakin tidak selesa dengan asakan Amzar. Walaupun apa dikatakan oleh sahabatnya betul. Ya, memang hatinya tercuit tapi sikit saja. Sikit saja.

“Jangan nanti kau putih mata sudahlah, Wafiq Zainal.” 

Mereka berdua berjalan beriringan akhirnya. 

Wafiq Zainal hanya memendam rasa. Malas mahu ambil pusing dengan sindiran Amzar. Masih terlalu awal untuk dia bertindak. Biarlah waktu menentukan segala-galanya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.