"Adibah aku ada bawa karipap pusing. Kau, tolong agihkan ya?” pinta Dayana. Dihulur bekas berisi karipap kepada Adibah.
Ketika dalam bas lagi, Sara sudah membebel padanya kerana terpaksa memegang bekas besar. Terkenang kembali, perbualannya dengan Sara semasa di dalam bas.
“Hish, sanggup kau pegang bekas ni. Kalau aku, kirim salam aje.”
“Kau ni, semua tak kena? Salah ke?” Dayana merengus halus.
“Taklah, tak seksa ke diri kau tu? Mana nak naik bas, nak pegang bekas lagi. Dahlah bas kita naik hari ni, penuh,” bebel Sara sebaik melihat betapa susah payah Dayana berdiri sambil memegang bekas.
“Nak buat macam mana. Aku dah berniat nak buat kenduri lepas kaki aku ni baik.” Bertuah betul Sara. Dalam membebel, sempat lagi mengunyah dua biji kuih karipap hasil air tangannya. Sabar sahajalah.
“Wah, sedap karipap ni. Mak awak buat ke, Yana?”
Bersepai lamunan Dayana hingga tersentak sedikit. Alahai yang memuji...
“Bukan mak dialah, Fahim. Kalau nak tahu, Yana ni, akar buat karipap pusing. Ni, dia kelim dengan tangan tau, bukan pakai acuan. Bukan setakat karipap, masak, menjahit, pendek kata macam-macam lagilah dia pandai buat. Korang tak rasa lagi asam pedas Yana. Lapar pula perut aku ni, terkenangkan asam pedas kau, Yana. Untunglah siapa kahwin dengan kau nanti.” Berjela-jela pujian Adibah.
‘Hai, lebih-lebih pula Dibah ni.’ Di siku lembut Adibah.
Adibah lambat-lambat ukir senyum sumbing. Kedua kening telah diangkat berkali-kali sebaik memandang Dayana. Dah memang betul semua kepakaran Dayana, takkanlah nak nafikan pula.
“Memang bertuahlah siapa dapat kahwin dengan Yana. Kalau sudi, esok bawalah lagi. Kalau hari-hari awak buat kenduri macam ni, mesti seronok. Kan Yana?”
Dayana sudah menjulingkan mata ke atas. Muka masam seperti tertelan sesudu cuka ditarik. Mulut, spontan dicebik. Cukup semua rencah untuk perasaan jengkel menjelma. Malas mahu melayan kerenah Irshad, dia mengangkat kaki. Duduk semula di kerusi.
‘Irshad, Irshad. Ahmad Fahim memandang Dayana. Ada satu tarikan pada muka itu. Dayana,berkulit gelap tetapi sangat manis orangnya. Mempunyai hidung mancung, mata pula sedikit bulat dengan alis mata lebat. Apabila senyum, tersangatlah manis dan dia perasan, Dayana punyai lesung pipit di pipi sebelah kiri. Entah kenapa, sangat jarang Dayana menyedekahkan senyuman manis? Seolah-olah, ada sesuatu menghalang. Sejak akhir-akhir ini, dia perasan, Irshad juga seolah-olah cuba menarik perhatian Dayana.
‘Nampaknya, aku dah ada pesaing. Tak boleh jadi kalau biar macam ni,’ desis Ahmad Fahim yang masih lagi leka memandang Dayana.