Sepanjang perjalanan ke sekolah, mata Dayana puas menatap keindahan alam. Berbeza dengan pemandangan semasa di bandar. Di persekitaran, penuh dengan pepohon hijau. Maklumlah, kawasan kampung. Sangat mendamaikan jiwa.
Jiwa lara dan duka, cuba diubati. Bukan mudah mahu menyesuaikan diri. Dicuba semampu mungkin. Personalitinya perlu diubah. Senyuman, dileret panjang. Hiruk-pikuk teman sekelas, sedikit mencuit hati. Bertuah kerana mendapat teman baru yang baik dan mudah mesra.
“Baiklah, saya akan edar keputusan ujian PEKA yang lepas. Izwani, sila edarkan buku penyata ni pada semua.” Cikgu Arman sempat lagi menilik wajah para pelajar, satu persatu.
Izwani bingkas bangun mendapatkan guru kelas dan mengambil buku penyata pelajar. Mula mengedar buku-buku tersebut mengikut nama.
Panjang leher Syifa mengintai buku penyata milik Dayana sebaik dibuka. Besar mata sebaik terpandang markah tertera di dalam buku temannya.
“Kau biar...”
“Oh betul!” Tercampak buku penyata.
Haba panas menyerbu ke muka Dayana. Satu kelas sedang memerhatikannya tanpa berkelip mata. Tapi tidak lama pun kerana gamat kelas dengan bunyi ketawa. Lebih-lebih lagi, Syafi. Terbahak-bahak ketawa.
Dayana memandang Ammar Najjah, teman sebelah Syafi yang selalu dengan lagak tenang. Hanya sejongket senyum di hujung bibir pemuda itu semasa dia memandang secara sekilas. Syifa jiran di sebelah sedang sengih, dijeling tajam.
“Apa hal tu, Yana, Syifa?”
“Tak ada apa-apa, cikgu.” Sekali lagi Dayana memandang Syifa yang kali ini menggaru kepala berlapik tudung pula.
“Kau dah kenapa, Syifa?”
“Maaflah. Mana aku tahu kau ada penyakit latah?” Gigih Syifa menzahirkan sengih di bibir.
Dayana berdehem. Nak buat macam mana, perkara sudah terjadi.
“Tahniah kepada semua. Walaupun ada keputusan yang kurang memuaskan, saya harap anda cuba lagi nanti. Saya bangga dengan salah seorang daripada kamu di sini. Walaupun ni hanyalah ujian asas, prestasinya sangat membanggakan saya.”
“Wah, biar betul? Siapa tu? Mesti saya, kan cikgu?” Syafi bersuara. Gamat suansana dengan gelak secara berjemaah.
“Ya, tapi tu dulu, Syafi. Sekarang, kamu dah ada pesaing. Lagi hebat.” Cikgu Arman sengaja mengusik.
“Bukan saya?” Syafi buat muka sedih. Ingatkan, cikgunya hanya mahu berlawak.
‘Siapa terlebih pandai daripada aku? Takkan Ammar? Syifa? Itu mustahil.’ Syafi berteka-teki dalam hati.
“Bukan.” Cikgu Arman semakin merapikan simpulan senyum. Apa salahnya, mengusik sekali-sekala. Selalu, Syafi gemar mengusiknya dan pelajar lain.
“Cikgu, cakaplah siapa?” Syafi semakin ingin tahu.
“Pelajar yang saya maksudkan tu... Dayana.”
Spontan semua mata terarah padanya. Dayana menunduk.
“Tahniah, Yana. Bolehlah kau ajar aku. Seronoknya, dapat kawan pandai.” Tidak tahu pula Syifa bahawa Dayana budak pandai.
Bila ditanya tentang keputusan peperiksaan lalu, jawab Dayana, “bolehlah.” Pandai betul simpan rahsia.
“Syifa, puji sikit-sikit dahlah,” bisik Dayana.
Syifa sengih lagi. Kalaulah dapat pujian begini, mahunya tinggi bak bangunan sekolah tiga tingkat ini, dia melompat. Habis satu sekolah nanti akan dicanang tentang kebijakkannya. Tetapi, yang pandai bukan dia.