Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 19

Dayana menyangkut dagu di lengan. Sedang termenung di sisi jendela sambil duduk di kerusi. Merenung jauh ke laman, mengenangkan nasib diri. Air mata tanpa sedar meleleh ke pipi, diseka. Betapa kelam kabut hidupnya beberapa minggu lepas. 

Nafas panjang ditarik kemudian dihela. Sedikit tenang, memandang pepohonan menghijau di halaman. Sejuk mata dan kepala memandang panorama indah ciptaan Ilahi. Mengapalah hidupnya tidak boleh setenang dan sedamai ini? Nafas, sekali lagi dihela panjang. Terasa bahu disentuh, dia memalingkan muka. Menatap susuk tubuh sedang berdiri di belakang.

“Ayah mentua Yana datang.” Puan Kalsom melabuhkan duduk di sebelah. Diusap lembut kepala Dayana.

Ayah mentua? Argh, perit hati mendengar perkataan itu.

“Yana, dengar tak?” Digoyang lembut pula bahu Dayana.

“Buat apa datang? Suruhlah balik!”  

“Tak baik cakap macam tu. Pergilah jumpa. Kesian kat ayah mertua Yana tu.” 

“Habis, Yana ni, tak kesianlah,” Terasa hati, Dayana.

Puan Kalsom menarik nafas panjang. Dia perlu berlembut. Jiwa muda di depannya sedang kuat memberontak. Jika perkara seumpama ini berlaku kepada dirinya, tidak tahulah bagaimana tindakan yang akan diambil? 

“Yana, adakala hidup ni, tak seperti yang kita rancang. Yana, buka mata luas-luas, sayang. Apa jadi ni, kehendak Ilahi. Mak Som yakin dengan percaturan Maha Esa untuk Yana. Yana akan bahagia.”

Dayana menarik nafas dalam-dalam. Amarahya, belum surut. Rimas sebenarnya. Mengapa ya, keluarga Ammar Najjah terutama ayah mentua tidak mahu melepaskannya? Selalu bertandang ke sini, memujuknya pulang. Tidak bolehkah biarkan, dia hidup aman damai sendirian? 

“Yana sekarang dah jadi milik orang. Tempat Yana, bukan kat rumah Mak Som ni. Ikutlah diorang balik, ya sayang.” Dibelai rambut ikal mayang Dayana. 

Puan Kalsom tidak rela melepaskan Dayana. Apakan daya. Dia tidak punyai hak. Dayana bukan miliknya walaupun kasihnya ibarat kasih ibu terhadap anak.

“Yana tak nak. Biarlah Yana duduk kat sini. Nak balik kampung, orang tak suka. Mak Som pun, nak halau Yana?” Dayana memeluk erat Puan Kalsom. Air mata berjuraian ke pipi. Ibarat hidup dalam buangan. Dihukum tanpa perlu dibicarakan apatah lagi disiasat.

“Jangan macam ni, sayang. Tempat seorang isteri, kat sisi suami. Yana mesti tahukan, tanggungjawab isteri macam mana? Ni, Mak Som pun dah kongsi saham dosa dengan Yana tau. Sorok bini orang.” 

 “Kenapa dengan Mak Som ni? Beria-ia halau Yana. Mak Som tahukan, macam mana kami kahwin?” 

“Mak Som tak terniat nak halau Yana. Apa pun, Yana dah sah jadi isteri dia. Terimalah dengan hati terbuka. Sampai bila Yana nak menyorok daripada kenyataan? Sampai bila Yana nak menyalahkan takdir?”

Senyap.

Menarik nafas panjang sambil memejam mata. Perlahan-lahan nafas dihembus. Kata-kata mak angkatnya, banyak yang betul. Dayana perlu kuat, hadapi kenyataan. Jauh di sudut hati, sedikit terkilan sebenarnya. Terlalu muda untuk menggalas gelaran isteri. Apakan daya, takdir tersirat telah disuratkan untuknya.

“Yana minta maaf. Banyak lukakan hati Mak Som. Maaf kalau Yana terkasar bahasa.” Dirangkul kemas tubuh sedikit gempal di depan. 

Betapa menghargai jasa Puan Kalsom yang sudi menerima kehadirannya. Betapa besar kasih sayang seorang ibu dicurah terhadapnya. Sedangkan sanak-saudaranya... ah, malas ambil pusing. Mak long, hanya mak long yang selalu menghubunginya kebelakangan ini. 

“Yana kemas barang-barang, ya. Tak baik bagi orang tunggu lama-lama.” Dikucup kepala Dayana. Tubuh kurus dirangkul erat-erat. 

Betapa sayang mahu berpisah namun apakan daya, Puan Kalsom redha. Dia bangun, menuju ke pintu. Berdiri sebentar, berpaling melihat Dayana. Pelupuk mata basah, dikelip mata berkali-kali lalu meneruskan langkah.

 “Patut tak, aku ikut keluarga dia? Mak, tolong Yana.’ Dipejam mata. Nafas ditarik dalam-dalam. Malas mahu menyesakkan fikiran, dia mula mengemas pakaian. Satu-persatu baju dilipat secara perlahan-lahan. 

Puan Kalsom menatang dulang menuju ke ruang tamu. Setelah selesai menghidang minuman, dia duduk di sofa bertentangan dengan dua beranak yang masih menanti Dayana.

“Jemput minum.” Puan Kalsom menyua cawan lebih dekat.

“Macam mana? Yana setuju, ikut saya balik?” Encik Shukri gusar. Tanpa jemu berusaha memujuk Dayana. Dia tidak menyalahkan sifat keras kepala Dayana. 

“Tak payah risau. Saya dah berjaya pujuk dia. Budak tu, anak yang baik. Hatinya lembut.”

“Mak Som. Boleh saya tolong Yana?” Sedikit gagap Ammar Najjah.

“Pergilah. Bilik kat hujung sana.” Nak ditahan, suami Dayana juga.

Ammar Najjah melangkah ke arah yang diberitahu. Dia berhenti sebaik sampai. Terkedu. Kali pertama melihat Dayana tanpa tudung di kepala. Sebaik Dayana menoleh dan pandangan mata saling bertembung, dia terpana. Air liur dengan laju menuruni ke tekak hingga bergerak halkum.

“Kenapa awak ada kat sini?” 

Ammar Najjah terkejut.

Dayana bergegas ke pintu. Ringan tangan menolak pintu tapi Ammar Najjah menahan dengan tangan. Dia merengus sedikit kasar.

“Biar saya tolong awak.”

“Tak payah! Saya boleh buat sendiri.” 

Ammar Najjah melangkah masuk juga. Beg pakaian Dayana di atas katil telah siap dizip, diangkat lalu diletakkan di sisi katil.

“Awak tak faham? Saya boleh buat sendiri.” Bergegas mendekati, mahu merampas beg bajunya. Entah macam mana, Dayana tersepak sesuatu.

Ammar Najjah dengan laju menyambut bahu Dayana. Mata, saling bertembung. 

Dengan pantas Dayana menolak tubuh sasa itu. Tanpa sengaja, dia memegang kepala. Tudung? Alamak, terlupa pakai tudung.

“Awak boleh keluar tak, Ammar? Tolong ya.” Muka garang diketarakan oleh Dayana. 

“Baik. Beg ni, biar saya bawa sekali.”

Sudah habis daya Dayana mahu menegah. Lantaklah. Bukan sesiapa suruh pun. Pantas tangan menutup pintu. Bengang. Senang-senang sahaja Ammar Najjah melihat dia tanpa lapik di kepala. Menyenget sana sini mulut kerana membebel secara berbisik. Setelah selesai bersiap, dia melangkah keluar dengan berat hati. 

“Itu pun menantu ayah.” Encik Shukri meleretkan senyuman. Lega rasa hati.

“Yana pergi dulu, Mak Som.” Tubuh emak angkat, dipeluk erat.

“Jaga diri elok-elok, Yana.” Belakang tubuh Dayana digosok perlahan. Kepala si manis, dikucup lembut begitu juga pipi.


Previous: 18
Next: 19.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.