Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
15.3

Suasana raya diselubungi kesedihan. Di mana-mana, Dayana terlihat bayangan emak. Dalam masa sama, rasa sesak, lemas dan entah apa lagi rasa perlu dilayankan dalam hati. Shahiman... argh, begitu menyeksa jiwa raga. Kalau boleh disingkirkan sang penyemak dari rumah atuk, sudah lama dilakukan. 

Kenapa perlu Shahiman ada sama? Menyibuk betullah. Padahal tahun ini, sepatutnya giliran rumah Tok Said, ayah kepada mak su. Menyemak sungguh. Lemas betul. Dilayan salah, tidak layan lagilah. 

Dia juga sedikit hairan dengan perubahan mendadak mak long. Menjadi ramah-tamah tanpa disangka-sangka. Janggal pula. Lama pula, mak long bertandang ke rumah atuk kali ini. Selalu, jangan haraplah. Duduk tidak sampai sepuluh minit, sudah mahu pulang. 

“Lia, Yana. Tak teringin, beraya kat rumah mak long?”

Dayana menjongketkan kening sebaik Liyana memandangnya.

Liyana hanya menjongketkan bahu. 

Pelik? Demamkah mak long? Semacam pula rasa apabila mendengar nada dan tutur lembut mak long. Terpacak bulu roma bukan kerana rasa seram tapi.. entahlah. Memang semacamlah Dayana rasakan. Lantas dia mengambil gelas berisi air sirap lalu membawa gelas ke mulut. 

“Korang tak pernah jejak kaki kat rumah mak long. Nanti petang, balik sekali dengan mak long. Nak tak?” 

Semua terpaku. Memandang Dayana.

“Yana, kot iya pun terkejut, janganlah melampau sangat. Tahulah mak long, dah jadi baik.” Encik Badri gelak hingga senak perut.

Dayana lambat-lambat sengih. Bukanlah kerana ajakan mak long membuatkan dia begini. Sebenarnya, ketika sedang meneguk air, terasa seperti ada sesuatu sedang menggesel di kaki. Disebabkan oleh rasa geli bercampur terkejut dengan spontan tersembur air sirap di dalam mulut. Sebaik melihat ke bawah meja, sah... kaki mamat ulat bulu sedang membuat onar. Dia memanggung kepala, memandang muka Shahiman dengan geram. 

‘Nasiblah bukan air panas aku minum. Kalau tak, padan muka!’ Dayana mengetap gigi. 

“Iman, Iman. Kesian, tak pasal-pasal mandi air sirap. Nasib baik bukan kami duduk depan tu tadi. Nasib kaulah. Hahaha!” Encik Badri sambung gelak sampai berair kedua mata.

Dayana meleret senyuman lebar. Puas hati. Nak gambarkan bagaimana ya? Senyum serta-merta terbantut tatkala melihat Shahiman sengih. Sudahlah tu, siap kenyit-kenyit mata pula. Haish geramnya! Gigi diketap kuat.

‘Ceh, sempat lagi menggatal. Cucuk mata tu karang.” Mata Dayana, kecil besar jadinya.

“Apalah kau ni, Yana! Naya Abang Iman tau. Biar Lia tolong lapkan muka abang.” 

Dayana menjuih bibir. Nak termuntah. Menyampah!

Liyana bergegas mengambil sehelai tuala bersih lalu dengan gaya ayu mengelap muka Shahiman. Marah dengan perangai Dayana. Selalu melayan Abang Imannya dengan kasar.

Shahiman mengukir senyuman manis kepada Dayana. Lagi bertambah lagak mengada-ngada digayakan, tatkala mukanya sedang dilap oleh Liyana kerana mahu membuat Dayana cemburu.

Dayana menjelirkan lidah. Loya tekak. 

“Habis kotor baju Abang Iman!” Liyana melanjutkan marah.

“Jangan marahkan Yana, Lia. Yana tak sengaja. Kan, sayang?” Dikenyet pula mata. Sengaja menambah rencah gatal.

Dayana menarik nafas dalam-dalam. Sabar.

“Ha ah, orang tak sengaja. Kalau sengaja, baik sembur dengan air paip terus. Kan, Abang Iman?” 

“Semburlah dengan apa pun. Abang rela, Yana.” 

Mata dijulingkan ke atas. Ketawa lagi kuat pula Shahiman. Stress Dayana! 

‘Aku serius, main-main pula. Dah tak betul agaknya dia ni?’

Riuh-rendah suasana dengan gelak tawa. 

Dayana pula, menahan geram dalam hati. Balik-balik, dia juga yang kena. 

Puan Salmah menjegil sebaik mendekati Shahiman. Bukan tidak nampak kaki anak bertuah, merayap di kaki Dayana. Geram sungguh dengan kerenah merenyam anak bujangnya. Sudah lama diperhatikan kelainan layanan Shahiman terhadap Dayana. Tidak berkenan dari dulu. Dia sudah merancang, ingin menjodohkan Shahiman dengan Liyana. Nampaknya, sesuatu perlu dilakukan untuk menjauhkan Shahiman daripada Dayana. 


Previous: 15.2
Next: 15.4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.