Semakin selesa dengan kehidupan di tempat baru. Hakikat hidupnya dan Liyana menjadi yatim piatu semakin dapat diterima. Hubungan diantara Dayana dengan penghuni asrama sangat baik dan akrab begitu juga dengan rakan-rakan di sekolah.
Satu sekolah tahu, dia dan Syifa bagaikan pasangan kembar siam. Walhal kembar Syifa adalah Syafi. Kiasan demi kiasan dilontarkan oleh Ammar Najjah, dia buat tidak endah. Bukankah mereka masih muda? Belajar pun belum habis lagi. Mengapa perlu hal berkasih sayang mahu diterbitkan?
Dayana sedikit terleka. Duduk di kerusi batu, di bawah sepohon pokok di tepi padang sekolah. Dimanfaatkan waktu terluang dengan membaca buku yang dibawa. Syifa, seorang pustakawan maka perlulah ke perpustakaan untuk menyelesaikan hal berkaitan.
Sedang menyelak helaian berikutnya entah bagaimana sehelai kertas berserta sekeping gambar, terjatuh. Pantas mengutip. Terbulat mata. Bagaimana boleh berada di dalam buku teksnya? Menyandar ke kerusi. Muka Ahmad Fahim, dipandang lama.
“Kenapa seksa diri awak, Fahim? Saya tak minta, awak tunggu saya.” Dayana memejamkan mata yang sudah bersuhu suam.
“Wow. Hensemnya.”
Dayana tersentak. Cuba merampas kembali gambar Ahmad Fahim daripada tangan Syifa.
“Siapa ni, Yana? Buah hati kau?” Syifa menilik muka kacak di dalam gambar.
“Tak payah sibuklah, Syifa.” Berjaya juga Dayana merampas gambar tersebut.
“Alah, beritahu ajelah. Janganlah malu-malu. Takkan tak bangga, ada buah hati hensem macam tu? Kalau akulah Yana, satu sekolah aku canang.” Syifa senyum sumbing.
“Ish, kau ni. Memandai aje. Kawan lama akulah.” Dayana merengus perlahan.
“Kalau kawan, takkan sampai kirim gambar? Tu, siap dengan surat bagai. Kau biar betul, Yana?” Syifa pandang tepat ke muka Dayana.
“Sejak bila jadi kesalahan kalau kawan nak hantar gambar? Dahlah, Syifa. Malas nak layan kau.” Dayana meletak kembali gambar ke dalam buku. Dia bingkas bangun. Mula melangkah. Berada bersama-sama Syifa, bimbang jika diasak dengan soalan demi soalan yang dia sendiri tidak punyai jawapan.
Dayana tersentak.
“Awak ni kenapa, Ammar?” Mujurlah tidak tersembam ke dada Ammar Najjah. Boleh pula muncul secara tiba-tiba. Muka di depan, dipandang sedikit geram.
“Apa hubungan awak dengan lelaki tu?” Ammar Najjah memandang tepat ke muka Dayana.
“Lelaki mana?” Dayana terpinga-pinga.
“Dalam gambar tu.”
“Kenapa awak nak tahu?” Dayana mengerut kening.
“Awak kawan saya, Yana.”
“Kawan sekalipun, tak payah sibuk dengan hal peribadi saya.” Dayana mulai geram.
“Awak, masih cintakan dia?”
Dayana menghela nafas.
“Sudahlah, Ammar. Ke tepi. Saya nak lalu.” Dayana malas mahu melayan. Entah apa-apalah perangai Ammar Najjah.
Melihat keengganan Ammar Najjah memberi laluan, Dayana mengorak langkah. Mengambil jalan di tepi. Membulat mata, memandang pemuda itu.
“Apa ni, Ammar?” Dengan kasar Dayana merentap lengan daripada cengkaman Ammar Najjah. Ringan tangan melayangkan penampar tetapi ditahan. Lekas-lekas Dayana menarik tangan.
“Ingat, Yana. Saya takkan lepaskan awak. Saya akan pastikan, kita akan terikat sampai bila-bila.” Ammar Najjah terus melangkah pergi. Apabila perasaan cemburu menguasai, dia hilang kawalan diri. Dayana, sudah dicap sebagai milknya.
Dayana masih memerhatikan Ammar Najjah. Mengapa dengan Ammar Najjah? Dia geram dengan perlakuan kasar tidak disangka-sangka. Sewenang-wenang memperlakukannya begini. Air mata, diseka dengan hujung jari.