Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 9.1

Dayana dan Liyana saling duduk berdekatan satu sama lain. Kedua-dua mereka kelihatan sangat lesu, lemah dan tidak berdaya.  

“Hah, sekarang macam mana dengan budak berdua ni? Aku, tak nak jaga,” Puan  Zaleha memulakan bicara. Digolek-golek tangan sebagai isyarat. 

“Apa ni, Leha? Tak baik cakap macam tu.” Encik Badri sedikit geram.

“Eh..eh awak ni.” Jelingan tajam diberikan sebagai balasan kepada suaminya yang berani mencelah.

“Leha, kesian kat budak berdua ni. Diorang dah jadi yatim piatu sekarang. Cuma kita yang diorang ada. Setakat nak jaga budak beruda ni, abang mampu.” Benar-benar tidak berpuas hati dengan kelakuan isterinya. Terang-terangan menunjukan rasa benci terhadap anak-anak adik iparnya. Tidak habis-habis dengan dendam. Dia tidak tahu bagaimana lagi cara untuk dia memadamkan api dendam isterinya?

“Abang... jangan nak memandai!” 

“Leha, abang...” Encik Badri terdiam sebaik isterinya menjegil luas.

Senyap.

“Macam nilah. Karia. Apa kata, kau yang jaga? Aku, tak kuasalah. Baik aku jaga rumahtangga aku aje.” Puan Zaleha menjeling ke arah dua beradik sedang duduk bersila tidak jauh darinya. 

Senyap.

“Leha, jangan macam ni.”

“Abang...” lagi luas matanya dijegil. Geram betul dengan suaminya yang tidak faham.

“Kak Leha. Tak habis-habis lagi? Apa lagi, akak tak puas hati?” Sikap penting diri kakak sulungnya, benar-benar menyakitkan hati.

“Kau, apa tahu? Bukan kau yang kena!” Puan Zaleha menjeling adik lelakinya.

“Kak, Abang Badri dah jelaskan. Dia, anggap Yah, macam adik sendiri. Sudah-sudahlah kak. Yah, dah tak ada. Sepatutnya kita yang hidup ni, tambah amal ibadat. Banyak-banyakkan bertaubat. Biar Yah pergi dengan aman kak. Amanah dia ni, kita kena jaga. Takkan dengan budak-budak, akak nak cemburu?” Encik Zakaria merengus halus. 

“Aku peduli apa!” Semakin kasar bahasa Puan Zaleha.

“Leha..Leha. Sampai bila Leha nak berdendam dengan Yah. Abang dah lama buang perasaan pada Yah. Bukan salah dia pun. Berapa kali abang nak jelaskan. Abang anggap Yah, macam adik. 28 tahun kita kahwin, takkan tak cukup untuk abang buktikan cinta pada Leha? Tak baik berdendam. Takut, lama-lama nanti dendam tu makan diri sendiri.” 

“Ah, Leha tak kira! Abang jangan memandai tawar diri jaga budak berdua tu. Biar Karia yang urus. Mak pun, jangan nak sibuk suruh diorang duduk dengan mak pula. Ingat, makan pakai mak, Leha yang tanggung!” 

Hajah Rokiah menunduk. Hatinya, sebak bercampur pedih. Ditombak dengan kata-kata berbisa anak sulungnya. Dengan lengan baju, air mata diseka.

“Tak apalah, Kak Leha. Biar saya uruskan. Memang Yah ada pesan, suruh saya tengok-tengokkan budak berdua ni kalau dia dah tak ada.” Encik Zakaria malas mahu bertegang urat. Keras kepala kakak sulungnya memang tidak pernah lembut dari dulu.  

Puan Salmah memaut bahu Liyana. 

Dayana memandang dengan menggunung perasaan sedih. Terasa diri sedang keseorangan. Dia rindukan dakapan emak. Mata dipejam. Air jernih bersuhu suam cuba dihalang daripada turun. 

‘Apa aku nak buat sekarang?’ rintih Dayana dalam hati. Dia berdoa, moga diberi petunjuk.

“Baguslah macam tu. Kaukan, adik kesayangan dia. Memang kaulah layak jaga. Belakang hari, pandai-pandailah, ya.” 

Dayana menarik nafas dalam-dalam. Mengumpul sedikit kekuatan untuk menggapai ketenangan. Sampai bila harus berdiam diri, diperli dan dihina oleh mak long? Sampai bila, harus biarkan keluarganya diperkotak-katikkan?

“Maaf sebab Yana mencelah...” 

Semua pasang mata dengan  spontan tertumpu ke arahnya. Seta-merta Dayana gugup. Nafas, ditarik panjang. Dia perlu bertenang. 

“Macam nilah, kalau betul pak su sayangkan kami, tak payah susahkan diri.”

“Apa maksud, Yana?” Hati Encik Zakaria mula ditebak risau apabila Dayana mula membuka mulut.

“Mak pernah kata, sesusah mana pun kita, jangan susahkan orang. Yana rasa... baik hantar kami kat rumah anak-anak yatim. Susah senang, biar kami sendiri tempuh.” 

Encik Zakaria menghela nafas panjang. Tebakkan risau tadi memang kena pada tempatnya. Dayana apabila mula bersuara...

“Tapi Yana...”  

“Yana dah buat keputusan, pak su.” 

Entah bagaimana, tiba-tiba datang satu keberanian dalam hati Dayana. Kasihan pak su, hanya bekerja di kilang kayu. Manalah mampu menanggung dia dan Liyana sedangkan Shahiman masih belajar lagi. Banyak komitmen perlu ditanggung oleh pak su. Mana mungkin dia bersetuju untuk menjadi beban kepada pak su nanti.

 “Jangan macam ni, Yana. Pak su ikhlas. Lagipun, arwah dah amanahkan korang pada pak su.” Dia cuba memujuk Dayana. Baginya, Liyana jenis menurut tapi Dayana agak tegas dan pandai memberi pendapat. Jarang sekali boleh disangkal walaupun nampak pendiam.

 “Macam pak su kata tadi, mak cuma suruh tengok-tengokkan kami. Bukannya suruh jaga...”

“Apa kau cakap ni, Yana? Ni, bukan masa nak main-main!” Puan Salmah menemplak. 

“Maaf, Yana bukan nak loyar buruk. Bayangkan kalau pak su tak boleh jaga kami dengan baik. Macam mana?”

“Habis, duduk rumah kebajikan tu, semua okey? Sempurna?” Encik Zakaria cuba menyangkal. Manalah tahu Dayana akan termakan pujukannya.

“Bukan nak kata duduk di rumah kebajikan, semua sempurna. Sekurang-kurangnya, nasib yatim piatu macam kami ni, terbela. Janganlah pak su terasa hati pula. Pak su baik pada kami selama ni. Tak macam orang lain. Tak terbalas jasa pak su sekeluarga. Banyak sangat pertolongan pak su, hulur pada kami.”   

Encik Zakaria menghela nafas panjang. Terkunci seketika mulut sebaik mendengar kalam, keluar daripada mulut Dayana. Memang payah mahu disangkal kata-kata bernas Dayana.

“Kau dengarkan? Dah dia kata nak tinggal kat rumah kebajikan, bagi ajelah. Yang nak susahkan diri, kenapa?” Puan Zaleha merengus halus. Berdesing telinganya.

Encik Zakaria menunduk manakala Puan Salmah, tersandar di kerusi sambil memicit kepala. Masing-masing terdiam. 

Air mata Hajah Rokiah sudah meleleh ke pipi yang berkedut. Dia sebak, mengenangkan nasib cucu-cucunya lebih-lebih lagi, Liyana. Dari tadi hanya mampu mendiamkan diri. Terlalu buntu mahu mengetengahkan pendapat. Terasa begitu kerdil dirinya tatkala ini.

Shahiman memandang ke arah Dayana dengan mata tidak berkelip. Terkejut dia dengan jawapan tidak disangka-sangka. Sangkanya, Dayana akan menerima pelawaan abah untuk tinggal bersama.

“Pak su, keputusan Yana muktamad. Rasanya, Lia pun setuju, kan?” Dayana langsung menoleh ke arah Liyana. Lambat-lambat dia melihat Liyana mengangguk.  

“Cuma satu Yana nak minta tolong. Pak su carikan rumah kebajikan untuk kami.”  

Dayana tidak sanggup tinggal dengan pak su. Dia segan benar dengan anak lelaki tunggal pak sunya. Kalau tingkah laku anak bujang pak sunya molek, dengan hati terbuka dia akan menerima tawaran itu.  

Encik Zakaria termenung, memikirkan cadangan Dayana. Berat rasa hati hendak mengikut cadangan Dayana. Setelah menimbangkan beberapa perkara, terpaksa juga dia bersetuju. 

“Kalau dah tu Yana nak, pak su akan carikan. Pak su harap, korang dapat sesuaikan diri kat sana nanti.” Sudah habis daya dia mahu memujuk. 

“Kami akan cuba, pak su. Bukan kami tak balik langsung. Cuti sekolah, kami baliklah sini.” Dayana semakin beria-ia mengusulkan cadangan. 

Encik Zakaria mati kata-kata. Dayana, seperti arwah kakaknya, keras kepala. Betul juga seperti kata Dayana, isterinya kurang senang dengan Dayana dan terlalu melebih-lebihkan Liyana. Pasti suatu hari nanti akan timbul masalah.

“Mak su, kalau Lia tak serasi tinggal kat sana nanti, boleh Lia tinggal dengan mak su?” 

Dayana terus saja menoleh, memandang ke arah Liyana. Mata dibesarkan. 

Liyana pula dengan pantas memalingkan muka, takut dengan jegilan Dayana. Walaupun kakak, dia tidak berani melawan kata-kata Dayana. Dayana tidak seperti dirinya, mudah terikut-ikut.  

“Rumah mak su, sentiasa terbuka untuk Lia. Ingat, beritahu mak su kalau tak suka tinggal kat sana.” Puan Salmah mengusap lembut belakang badan Liyana. Cadangan Dayana terpaksa diikut. Tambahan pula, suaminya pula menyokong. Dia juga mati akal mahu memujuk.

Hajah Rokiah sebak. Andai dia punyai kuasa dan kudrat, mahu sahaja dia menjaga mereka berdua. Walaupun membeza-bezakan kasih antara kedua cucunya, dia sayangkan mereka berdua. Bukanlah dia membenci terus Dayana tetapi entahlah?

Suasana sepi seketika di mana masing-masing sedang melayan perasaan. Dayana hanya memandang ke arah Liyana dan mak su. Sumpah, perasaan cemburu dan iri hati dengan layanan berat sebelah mak su, mula terbit. Kadang-kadang, pernah dia mempersoalkan takdir, mengapa harus ada perbezaan antara dia dengan Liyana? Menyedari berdosa, pantas dia beristighfar. Cuba menjauhkan segala hasutan syaitan yang suka menyesatkan manusia. 

“Kalau dah tak ada apa-apa, aku nak balik. Pandai-pandai kaulah Karia, uruskan budak berdua ni. Leha balik dulu mak. Ingat pesan Leha tadi.” Sambil berjalan ke muka pintu, dia mencebik ke arah dua beradik itu. 

Hajah Rokiah hanya mampu memandang muka cucu-cucunya dengan muka sugul. Hatinya sangat sedih dan lelah, seiring kudratnya dengan usia yang semakin dimamah waktu.

“Mak, saya balik dulu. Maafkan Leha, mak. Badri harap, mak tak ambil hati dengan apa dia kata tadi.” Lembut nada Encik Badri lantas diraih tangan emak mentua lalu menunduk sedikit, mencium tangan tua yang banyak menabur jasa. Sikap isterinya... hatinya sedikit kecewa. Perangai lemah-lembut emak mentuanya dan Zakiah, tidak diwarisi langsung oleh Zaleha. 


Previous: Bab 8
Next: Bab 9.2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.