Terjaga di tengah malam. Dayana mengalihkan muka ke sebelah kiri. Dikerling suami sedang lena. Bibir mengukirkan senyuman kecil. Dia melihat ke arah perut. Perlahan-lahan cuba mengalihkan tangan Ammar Najjah yang memaut pinggang. Melangkah turun dari katil setelah berjaya.
Jam di dinding dikerling. Patutlah sunyi sepi. Pukul 3.30 pagi rupanya. Dia mengatur langkah dengan perlahan. Bimbang akan terhasil bunyi berkeriuk yang agak bising di atas lantai papan rumah atuk. Tidak mahu mengganggu lena saudara-mara yang lain nanti.
Sebaik berdiri di depan peti sejuk, dia membuka pintu. Laju tangan mencapai botol lalu dituang air kosong ke dalam gelas. Dia bergerak mendekati meja makan. Dengan perlahan-lahan, mengangkat kerusi kemudian duduk. Sedikit demi sedikit air diteguk. Nyaman terasa tekak saat air bersuhu sejuk menuruni tekak.
“Malulah kalau orang nampak.” Walaupun terkejut, Dayana hanya membiarkan tangan sasa di atas bahunya. Dia melentokkan kepala, di atas tangan itu.
“Apa kau buat!”
Dayana tersentak. Liyana? Dahi serta-merta berkerut.
“Kenapa, Lia?” tanya Dayana.
“Sampai hati kau, Yana?” Liyana terus berlalu dengan juraian air mata.
Dayana mengerutkan kening. Lantas berpaling. Besar anak mata sebaik melihat siapakah gerangan di belakangnya.
“Apa abang buat ni!”
“Abang...”
“Kenapa abang buat macam ni?” Dengan kasar Dayana menolak tubuh sepupunya. Ringan tangannya melayang lalu hinggap di pipi kiri Shahiman.
Senyap.
“Yana.” Shahiman memegang pipi. Terkejut dengan reaksi Dayana. Pertama kali dilihat begini.
“Abang dah melampau!” Sekali lagi mahu dilayangkan penampar tetapi tangannya ditahan.
“Shhh. Yana nak, semua orang bangun?”
Anak mata Dayana semakin besar. Tidak terkesankah Shahiman dengan tamparannya? Masih boleh berlagak biasa?
“Abang tak boleh lupakan, Yana. Abang tak mampu tipu hati ni. Reaksi Yana masa abang lamar Lia tadi, buat hati abang sakit. Kenapa tak nak bantah?” Shahiman mendekati pujaan hati.
Dayana melarikan diri. Entah bagaimana, tersilap langkah dan hampir terjatuh. Dalam keadaan serba kalut tanpa diduga, tubuhnya dipaut. Tergamam sebaik Shahiman mahu mencium pipinya. Dengan pantas, dua tangan dijadikan perisai sambil mata dipejam kuat. Tidak sanggup menghadap adegan menyalahi hukum.
Buk!
Tepat satu tumbukkan padu mengenai pipi kiri Shahiman. Tangan sedang memaut Dayana, serta-merta terlepas.
Dayana dengan pantas, bergerak menjauhi Shahiman dengan mengesotkan tubuh. Terkaku sebaik melihat Ammar Najjah muncul secara tiba-tiba dengan muka merah menyala.
“Kau, jangan kurang ajar dengan aku!” Shahiman berang.
“Kau, atau aku yang kurang ajar?” Ammar Najjah membalas dengan geram.
“Kau jangan lebih-lebih! Yana, aku punya!”
“Lebih-lebih? Kau dah hilang akal? Tu, bini aku!”
“Bini! Kau ingat, aku tak tahu? Kau dapatkan dia guna cara kotor. Kalau kau boleh, kenapa aku tak?”
“Kau merepek apa ni!” Ammar Najjah mengepal tangan.
“Aku, kenal dia dulu. Aku, cintakan dia. Tapi kau, dah rampas dia!” Shahiman mula mengaruk. Entah syaitan mana telah merasuk?
“Dia, dah jadi isteri aku. Kau tak ada hak, sentuh dia!”
“Aku peduli apa!”
Dengan tidak semena-mena, Ammar Najjah menerkam Shahiman.
Dayana tergamam.
“Berhenti!”
Senyap.
“Apa bising-bising ni!” Encik Zakaria mendekati.
“Ammar, Iman. Kenapa ni?” Encik Zakaria melihat muka mereka, satu-persatu. Bibir masing-masing, berdarah.
“Malam-malam buta ni, apa korang buat kat dapur ni, hah?” Hajah Rokiah terkejut.
“Lily Dayana! Apa semua ni?”
Dayana tersentak! Mengapa pula dia yang ditanya oleh pak su?
“Kenapa tak jawab?”
Dayana masih diam. Bagaimana harus dia mulakan? Perlukah dia mengatakan bahawa, anak pak su punya angkara?
“Biar Lia beritahu, apa yang jadi!”
Senyap.
“Yana dengan Abang Iman...” muka ditekup. Liyana menangis. Tidak mampu meneruskan kata-kata. Hatinya hancur.
“Lia. Semua ni, salah faham.”
“Salah faham? Bukan main seronok aku tengok kau, bermesra tadi.”
“Bukan macam tu, Lia.”
“Aku tahu selama ni, Abang Iman ada hati kat kau,”
“Lia. Aku tak pernah suka dia.”
“Tipu!”
Tersentak Dayana.
“Apa aku nampak tadi, tak macam tu. Kau, memang pandai berlakon. Dah jadi bini orang tapi masih menagih kasih lelaki lain? Aku tak sangka, kau sanggup tikam aku, dari belakang!”
Senyap.
Dari dulu, Liyana cemburukan Dayana. Mengapa Dayana masih dikejar oleh Abang Iman, sedangkan sudah menjadi isteri orang. Kenapa?
“Lia, jangan percaya dengan apa kau nampak. Tak ada apa-apa antara kami.”
“Kau memang penipu!” Liyana geram.
“Aku tak tahu tadi tu, Abang Iman. Sebab tu, aku biar aje sebab ingat laki aku.”
“Kau buta? Laki sendiri, tak kenal?”
“Sumpah, Lia! Aku tak perasan. Aku...”
Pang!
Satu tamparan hinggap ke pipi kanan Dayana. Berpinar seketika pandangan. Pijar. Ada cecair panas mengalir keluar daripada bibir. Dikesat. Darah!
“Kenapa buat saya macam ni, Ammar?”
“Jangan bagi alasan bodoh! Takkan aku, kau tak kenal?”
“Ammar, saya betul-betul tak perasan.”
“Kau, perempuan jijik! Patutlah masa dia nak cium kau tadi, kau menyerah aje. Dasar perempuan murahan! Memang kau ada hubungan dengan dia, kan?”
“Tak. Kami hanya sepupu.”
“Setakat sepupu, ingat tak boleh kahwin?”
Makin kelu lidah Dayana mahu menerangkan apa terjadi. Patutkah membiarkan maruahnya, dipijak-pijak oleh Ammar Najjah? Patutkah Shahiman hanya membatukan diri?
“Kau sengaja goda dia, kan? Dari hari tu aku tengok, perangai merenyam kau tu.”
“Apa awak cakap ni, Ammar? Sampai hati, tuduh saya macam tu.”
“Dah terbukti. Depan mata aku, kau buat tak senonoh!”
“Apa saya dah buat? Apa!”
“Kau diam!” Ammar Najjah menarik rambut Dayana.
“Mana pergi tudung kau? Takkan tak tahu hukum. Rambut kau, untuk tatapan aku!”
Menyeringai kesakitan. Pedih kulit kepalanya. Terasa mahu tertanggal. Berhempas pulas meronta, melepaskan cengkaman Ammar Najjah. Sebaik berjaya, segera menjauhkan diri. Menggosok kepala bagi mengurangkan kesakitan.
‘Tergamak kau, Ammar. Buat aku macam ni.’ Air mata Dayana semakin laju mengalir.
Ammar Najjah bertukar menjadi ganas apabila dikuasai oleh perasaan cemburu. Dia mahu bertindak kasar lagi. Dayana didekati.
“Jangan tunjuk kuasa kau kat sini!” Shahiman menjadi penghalang, menolak Ammar Najjah dengan kasar.
“Kau, jangan menyibuk. Ini, hal rumahtangga aku!” Dia merengus kasar.
“Aku, lebih kenal dia. Kalau aku nak, lebih daripada tu aku boleh buat. Jangan harap, kau boleh dapat dia.” Shahiman tidak mahu beralah.
“Dia hak aku!”
“Aku bukan macam kaulah, lelaki dayus!” Shahiman semakin hilang sabar.
Ammar Najjah bengang. Ego, semakin tercalar. Di dalam suasana tegang, tanpa sempat mengelak, Shahiman telah bertindak menumbuknya sekali lagi. Bibir, berdarah lagi.
Shahiman mula merapati, mahu merangkul Dayana.
“Tolong. Jangan susahkan orang lagi.” Dayana menolak tangan Shahiman dengan kasar. Sudahlah salah faham tadi belum terungkai. Mengapa harus menambah masalah?
“Yana” Tangan Shahiman mencapai lengan Dayana.
Dayana merentap lengan, meluru ke arah Ammar Najjah.
“Ammar, tolonglah.”
“Kau jangan berlakon baik depan aku, Yana. Kau dengan sepupu kau, sama aje. Kenapa aku tak nak percaya, apa Liyana cakap dulu?” Ammar Najjah menumbuk meja.
Dayana tersentak.
“Apa kau cakap kat Ammar, Lia?” Dayana keliru. Pipi pedih dan sedikit kebas, tidak dihirau. Pandangan mata, menikam muka Liyana.
“Lia?” tanya Dayana lagi.
“Pasal kau, dengan Abang Iman.”
Senyap.
“Aku tak buta. Dah lama aku tengok, korang lain macam. Aku pernah cerita kat Ammar. Nah, sekarang semua dah jelas.”
“Lia. Kenapa?”
“Aku sakit hati. Bila tiap kali tengok Abang Iman layan aku, tak macam kau. Kau pun aku tengok, sama naik. Melayan juga.”
Terkedu. Dayana tidak menyangka, Liyana cemburukannya? Selama ini, dia tidak pernah menganggap sepupunya, lebih daripada seorang abang. Hanya menganggap keakrabannya dengan Shahiman, adalah perkara biasa.
“Kalau dari dulu kau suruh aku jauhkan diri daripada Abang Iman, aku sanggup. Suruh putus saudara pun, aku sanggup, Lia.”
“Dah terlambat.” Liyana menjauhi Dayana.
Senyap.
“Ammar, dengar penjelasan saya.”
Ammar Najjah hanya berdiri memeluk tubuh. Sikit pun tidak menoleh, memandang muka Dayana. Sebaik tangan Dayana mahu menyentuh bahunya, dia menepis dengan kasar.
“Maafkan saya, Ammar.”
“Maafkan kau? Senangnya cakap. Dulu, dengan budak kat bandar tu. Berapa ramai lelaki kau dah goda? Dengan lelaki mana lagi, kau dah serah diri!”
Pang!
“Saya tak semurah tu, Ammar. Awak tak ada hak, hina saya!”
“Lily Dayana!”
Dayana tersentak.
“Kau sedar diri sikit. Ammar, sanggup kahwin dengan kau sebab nak lindungi kau.”
Dayana senyum sinis.
“Macam mana kami nak percaya, bila Lia dengan Ammar nampak perbuatan sumbang kau. Sanggup kau malukan kami lagi!” Encik Zakaria menggeleng lemah. Lepas satu, satu hal lain ditimbulkan oleh Dayana.
“Kenapa Yana yang dipersalahkan? Bukan Yana yang mulakan.” Dayana benar-benar tidak puas hati.
“Kau jangan biadap. Mak su tak sangka perangai kau teruk macam ni. Selalu bagi orang sakit hati. Orang kata, biarlah rupa buruk asalkan perangai cantik. Tapi kau, dua-dua buruk!”
“Ya, memang Yana buruk tapi Yana ada maruah. Orang buruk macam Yana, ada hak untuk hidup bahagia.”
“Kau...” Puan Salmah mengetap gigi.
“Ajar sikit anak mak su tu. Jangan jadi pengecut. Dah buat salah, kena berani mengaku.”
“Biadapnya kau!” Puan Salmah meluru, mahu menampar Dayana. Tergamam sebaik Shahiman menahan tangannya.
“Kenapa, Iman? Kenapa nak sebelahkan dia?”
Shahiman diam. Mendekati Dayana.
“Yana kalau kita terangkan macam mana pun, bukan orang nak percaya.”
“Abang Iman memang sengaja buat semua ni, kan? Saja bagi orang malu. Sengaja, hancurkan kebahagiaan orang, kan?”
Muka Dayana dipandang. Sahiman, tidak tahu mahu katakan apa? Tidak juga merancang kejadian ini. Dia sedih, melihat kesayangannya diserang bertalu-talu.
“Mak, abah. Maafkan Iman. Tak ada perempuan lain dalam hati Iman selama ni. Hanya Yana. Iman nekad. Kalau Yana diceraikan, Iman akan kahwin dengan Yana!”
Bulat mata Dayana memandang sepupunya. Gila! Dia mengetap gigi, menahan rasa geram sudah mendidih dari dalam. Tangan mencengkam sisi baju dengan kuat.
“Iman! Kau dah kenapa? Dia tu, bini orang. Lia, kau nak letak mana?” Dari dulu Puan Salmah mahu menjaga Liyana tetapi kakak iparnya, tidak memberi izin.
“Sudah! Selesaikan hal ni. Iman, jangan naikkn darah atuk. Kau lamar Lia, buat apa? Atuk tak kira. Kau tetap kena kahwin dengan Lia.”
“Tak ada sesiapa boleh paksa Iman. Iman tetap nak kahwin dengan Yana!” Shahiman bertekad. Apa nak jadi, jadilah.
“Abang Iman. Sampai hati buat Lia macam ni. Selama ni, Lia sukakan abang.” Liyana menyembamkan muka ke bahu mak su.
“Abang tetap dengan pendirian abang, Lia.”
Jawapan Shahiman ibarat sebutir peluru, dilepaskan tepat mengenai kepala Dayana. Rasa pedih di muka, menjalar ke seluruh tubuh. Luahan Shahiman, benar-benar membunuh rasa hormatnya.
“Ammar, percayakan saya.” Sekali lagi Dayana cuba merayu. Hampa. Ammar Najjah menolak kasar tubuhnya.
“Orang dah tak percaya, buat apa terhegeh-hegeh. Jom, ikut abang. Kita keluar dari sini.”
Dayana menepis tangan Shahiman yang memaut bahu.
Ammar Najjah naik berang. Menerpa dan kembali bertumbuk dengan Shahiman.
Di dalam kekalutan, Dayana cuba meleraikan. Tanpa disangka-sangka tumbukan padu Ammar Najjah singgah di perutnya. Dia terduduk sambil menekan perut. Terasa senak hingga pandangan sedikit kabur.
“Apa kau dah buat?” Shahiman dengan pantas menerpa. Kepala Dayana diangkat dan diletak di atas riba. Sebak melihat kesayangannya mengerang kesakitan.
“Iman. Ke tepi. Jauh dari dia!”
Shahiman buat tidak endah.
“Kerana dia, habis porak peranda keluarga kita ni. Kecil-kecil tak nak mati. Dah besar, menyusahkan orang.” Puan Salmah merengus.
Dayana tidak berdaya. Kesakitan mula menjalar ke seluruh tubuh. Nafas tersekat-sekat. Air mata merembes dengan laju. Apa sudah jadi dengan keluarganya?
Puan Salmah yang berang, menghampiri.
“Apa mak buat ni?” Shahiman menepis tangan emak yang mahu menampar Dayana.
“Tengok bang. Pasal anak saudara awak yang tak kenang budi ni, anak kita dah pandai melawan. Apa kau dah buat pada anak aku, hah!”
Air mata Dayana terus-terusan mengalir. Sampai hati mak su, menengkingnya.
“Kau dengar sini Lily Dayana binti Hamid! Bersaksikan semua di sini, aku ceraikan kau.”
Hajah Rokiah mengurut dada sambil beristighfar. Mujurlah tiada penyakit jantung. Walaupun marah dengan perbuatan cucunya, perkara masih boleh dibawa berbincang.
“Sampai hati awak buat saya macam ni, Ammar.”
“Aku ceraikan kau, Yana!”
“Saya dah tak tahu nak terangkan macam mana lagi. Bila kebenaran terbongkar satu hari nanti, awak melutut depan saya sekali pun, saya takkan terima.”
“Aku, melutut depan kau? Takkan jilat balik ludah akulah. Perempuan kotor macam kau, bagi percuma pun aku tak hadap!”
Dayana menarik nafas panjang. Ammar Najjah, memperlekehkan maruahnya. Sakit akibat tamparan dan tumbukkan sudah kebas. Sakit di hati, semakin melebarkan rekahan luka. Dia terus berlalu dengan juraian air mata.
Shahiman menghampiri bilik. Dari celahan pintu tidak bertutup rapat, melihat Dayana sedang mengemas pakaian sambil teresak-esak menangis. Ada masa, menggosok pipi. Ada ketika menggosok perut. Kasihan Dayana. Dia menghela nafas panjang. Tubir matanya, panas.
Untuk apa menyesal sekarang? Semuanya sudah terlambat. Dayana, telah bergelar janda secara tidak rasmi. Sukakah dia dengan status baru Dayana? Yang pasti, selepas habis edah, Dayana akan dijadikan permaisuri hatinya.
“Dah siap kemas, Yana?” Diberanikan diri, melangkah masuk. Takkan sesekali mengalah demi memenangi hati si pujaan.
Dayana hanya mendiamkan diri. Malas mahu melayan. Kerja menyusun baju ke dalam beg diteruskan. Terasa sengal seluruh tubuh. Onar dicipta oleh Shahiman, kenapa pula dia yang mendapat balasan? Sungguh tidak adil! Kenapa harus dia sahaja dipandang serong?
“Yana.”
Lama Shahiman menantikan respon.
“Kita pergi sama-sama.” Shahiman mendekati.
“Tak payah!” Dayana bingkas bangun selepas menarik zip beg. Mengangkat beg, keluar dari bilik.
“Biar abang tolong.”
Dayana menepis tangan sasa itu.
Langkah diatur menuju ke ruang dapur. Dayana menghampiri atuk, menghulur tangan. Walaupun salamnya disambut tetapi dengan pantas atuk menarik tangan. Begitu juga dengan Liyana dan pak su. Mak su, langsung tidak mahu memandang mukanya.
“Maafkan saya. Halalkan makan dan minum, selama saya jadi isteri.” Dayana mahu meraih tangan Ammar Najjah, ditepis dengan kasar.
“Maafkan saya, Ammar.” Dayana sebak. Ammar Najjah masih enggan memandangnya.
Dayana tidak mahu membuang masa lagi. Daripada berterusan memalukan diri, merayu pada yang tidak sudi, lebih baik angkat kaki.
“Terima kasih atas pertolongan pak su selama ni. Maaf. Yana tak dapat balas jasa pak su.”
“Pandai-pandailah jaga diri.” Tidak memandang muka Dayana semasa berkata-kata. Mengapa begitu banyak dugaan datang sejak menjadi penjaga kepada Dayana. Encik Zakaria mengeluh panjang.
Sebaik sampai di pintu, Dayana menoleh. Hampa. Tiada sesiapa, memandangnya. Pagi masih muda. Ke mana harus dia pergi? Bas awam pun belum memulakan perkhidmatan. Tanpa berlengah, dia menyarung kasut. Mula melangkah ke laman. Beg digalas ke bahu. Berhati-hati mengatur langkah dalam suasana gelap.
“Sayang, ikut abang.”
Dayana tersentak. Menjeling tangan yang kini sedang memegang beg di tangannya.
“Abang akan selalu kat sisi, Yana.”
Sepatah Dayana tidak menjawab. Hanya membiarkan sahaja. Fikiran sedang buntu.
“Iman, masuk!”
Tempikkan emak, tidak diendahkan Shahiman. Selama ini, dia banyak bersabar dengan kerenah emak. Selalu melayan Dayana mengalahkan anak tiri. Terlalu melebihkan Liyana hingga naik rimas kerana disogok dengan kelebihan Liyana.
“Dia yang nak keluar dari rumah ni, Iman. Tak ada siapa halau. Biar dia pergi sendiri!”
“Abang Iman!” Liyana terjelepuk di muka pintu. Tergamak lelaki yang digilai sepenuh hati, meninggalkannya. Jika dengan perempuan lain, dia masih boleh lagi terima hakikat. Mengapa harus dengan Dayana? Adiknya?
“Iman. Mak kata, masuk. Kau dah pekak!” Puan Salmah semakin hilang sabar.
Shahiman terus menarik tangan Dayana menuju ke kereta. Membuka pintu di bahagian penumpang. Sebaik Dayana masuk ke dalam kereta dan beg pakaian diletak di bahagian tempat duduk belakang, dia berjalan ke tempat pemandu. Pintu kereta sudah suku terbuka, ditahan oleh sepasang tangan.
“Jangan kau pun jadi kurang ajar. Masuk!”
“Iman tak nak, mak.”
“Baik. Sekali kau keluar, jangan jejak kaki kat sini lagi!”
“Mak, maafkan Iman. Selagi mak tak terima Yana, Iman takkan balik. Iman pergi dulu. Maafkan Iman. Halalkan makan minum Iman.” Shahiman masuk ke dalam kereta lantas menutup pintu. Mengaum bunyi enjin kereta sebaik dihidupkan.