Dayana memandang cermin di sisi kanan. Panorama di luar kereta sedang meluncur lebih menarik minatnya untuk dipandang. Beginilah ragam, setiap kali menaiki kereta. Lebih gemar menghadap keindahan alam.
“Ayah tahu, Yana masih marah. Yana berhak marah tapi perkara dah berlaku, nak. Ayah harap, Yana dapat terima kehadiran kami dalam hidup Yana.”
Senyap.
“Ayah tak nak paksa. Ayah terima dengan hati terbuka kehadiran Yana dalam keluarga kami. Yanalah, menantu ayah.”
Menantu? Dayana terasa mahu tercekik air liur sendiri. Gelaran ‘menantu’, lehernya bagai dijerut kuat hingga sesak nafas. Ayah? Gelaran yang telah lama dibisukan. Tergeliat lidah mahu menyebut perkataan ‘ayah’. Buntu. Keliru. Mengapa harus bala ini, datang serentak? Mengapa?
“Yana,”
Dayana tersentak.
“Kita singgah asrama dulu. Ambil barang-barang awak kat sana.”
Dayana hanya membisu sebagai balasan. Langsung tidak mengalih muka, memandang Ammar Najjah. Tengkuk dan matanya masih statik, memandang cermin.
Sebaik tiba di bilik asrama di rumah kebajikan, Dayana meluru ke arah Liyana.
“Lia.’ Pelupuk mata Dayana panas. Berkali-kali mengelip mata. Mata, menjelajah ke seluruh muka Liyana.
“Kau sihat, Yana.”
Dayana mengangguk lemah.
Liyana menatap muka sembap adiknya. Tidak pernah lagi melihat adiknya begini. Terbit rasa kasihan namun apakan daya. Perkara sudah terjadi. Mana mungkin diundur kembali.
“Lia, aku dah mungkir janji kat mak. Aku janji, nak jaga kau tapi...” Dayana sebak. Tidak mampu meneruskan kata-kata.
“Dah, jangan nangis.” Walaupun kekok, berusaha memujuk Dayana. Bahu adiknya, ditepuk lembut.
Dayana melihat beg pakaian miliknya yang telah siap dikemas oleh Liyana. Dia menarik nafas dan menghembus perlahan. Liyana akan pulang ke kampung. Bagaimana pula dengan dirinya? Tidak layakkah mengikut Liyana?
“Aku minta maaf, Lia.” Digenggam tangan Liyana. Muka, ditunduk semakin rapat. Air mata, menitik ke tangan.
“Kau jangan risau pasal aku. Jaga diri kat tempat orang, tau.” Liyanan mengerling Dayana sekilas. Walaupun sedih, dia lega kerana Dayana telah dimilki. Peluangnya untuk lebih rapat dengan Shahiman semakin cerah.
“Lia, aku...”
“Tak payah kau risaukan Lia. Mak su boleh jaga dia. Kau tu, pandai-pandailah nak hidup lepas ni!”
Dayana sebak. Perlukah dia dilayan seperti ini? Ditombak dengan kata-kata bisa mak su.
“Sudahlah, Yana. Kau sekarang dah ada suami. Jaga elok-elok laki kau tu. Jalan ni yang kau pilih. Apa lagi kau nak harapkan daripada kami? Itulah, masa buat tak nak fikir risiko.”
Kata-kata mak su, argh... dadanya terasa ngilu. Kata-kata yang menikam diri kemudian disimbah pula luka dengan air dicampur perahan limau. Menggigil tubuh Dayana menahan asakkan pedih.
“Mak su, Yana tak salah. Yana tak buat apa-apa.”
“Salah atau tak, perkara dah jadi. Sendiri buat, sendiri tanggunglah.”
Hasrat Puan Salmah mahu memisahkan Dayana dengan anaknya terlaksana juga tanpa perlu membuat rancangan. Dialah yang beria-ia memujuk suami supaya menikahkan Dayana. Mujurlah kehendaknya dituruti tanpa banyak soal. Tambahan pula, suami sedang dalam keadaan marah. Semakin galaklah menjadi batu api. Mencurah minyak ke dalam api hingga marak.
Dayana bungkam. Mengapa dari dulu, mak su sering mencari kesalahannya? Mengapa dia, dibenci oleh mak su?
“Lia, jaga diri.” Tanpa berlengah, Dayana mengangkat beg. Mengatur langkah longlai.
“Yana.”
Kejung tubuh Dayana tatkala mendengar suara memanggil. Dia berhenti melangkah. Tali beg, digenggam kuat sambil memejam mata. Air mata, cuba ditahan daripada keluar.
“Abang bawakan beg.” Bergegas mengambil beg daripada tangan Dayana.
Dayana hampir terjatuh. Membulat mata sebaik tangan Shahiman memegang bahu. Segera menjauhkan diri.
Hati Shahiman sakit melihat muka sembap di depan. Kesayangannya, pasti banyak menangis. Tangan kiri dikepal. Kecewa dengan keengganan abah menikahkannya dengan Dayana. Dia rela jadi pengganti. Terasa kerdil diri kerana tidak dapat melindungi pujaan hati. Dia juga, tidak mampu menjadi anak derhaka.
‘Yana!’ Menggigil tubuh Shahiman tatkala bergema nama itu di segenap sanubari.
Sepasang mata sedang melihat. Cemburu, semakin galak menyemarak ke sanubari. Langkah pantas diatur, mendekati.
“Biar saya bawa beg Yana.” Laju tangan dihala ke arah beg di tangan Shahiman.
“Kau, apa hal?” Shahiman menolak bahu Ammar Najjah. Beg, dihempas ke lantai.
“Saya tak cari gaduh.” Ammar Najjah cuba bertenang.
“Kau, jangan nak tunjuk baik kat sini.” Shahiman mengepal penumbuk.
Ammar Najjah senyum sinis. Tanpa menunggu lama, beg Dayana disauk.
“Kau...”
“Berhenti!”
Tersentak. Buku lima Shahiman hampir singgah ke muka Ammar Najjah. Perlahan-lahan dia menurunkan tangan.
“Iman. Jangan buat hal.” Encik Zakaria memegang bahu anaknya.
Shahiman berlalu pergi. Beg Dayana yang sempat dirampas, dihempas lagi. Merah muka menahan marah. Ikutkan hati, mahu sahaja membawa lari Dayana.
“Ammar, pak cik minta maaf. Abang Iman kamu, tak bermaksud nak berkasar. ”
Ammar Najjah hanya diam. Beg Dayana diangkat dan dia berlalu pergi.
“Yana.”
Dayana tidak mengangkat muka, memandang pak su.
“Pak su tahu, Yana marahkan pak su. Pak su terpaksa. Semua ni, untuk kebaikan Yana. Untuk keluarga kita.” Encik Zakaria menghela nafas panjang.
Sesal. Ya, ada sedikit rasa itu terbit. Kerana marah, diprovokasi pula oleh isterinya, langkah drastik telah diambil. Dia sangat sayangkan Dayana. Apa boleh buat? Dia tidak boleh menarik kembali apa yang telah terjadi.
“Yana. Pak su sayangkan, Yana,”
“Kalau sayang, pak su tak buat Yana macam ni?”
Senyap.
“Maafkan pak su.” Encik Zakaria sebak. Rasa bersalah semakin menghimpit diri. Tangan, memegang bahu Dayana. Tersentak saat anak saudaranya mengelak.
“Atuk kirim salam. Atuk, rindukan Yana. Nanti, balik rumah atuk, ya.”
Dayana diam. Memaku diri. Masih tidak memanggung muka, melihat pak su. Hatinya benar-benar sakit. Tanpa menunggu lama, lantas berpaling. Bukan berjalan tetapi terus berlari. Tidak mampu menghadap pak su lagi.
“Yana,”
Dayana hilang imbangan apabila lengan disambar. Hampir sahaja menyembah ke bumi. Sepasang tangan memaut bahu, menyelamatkannya. Sebaik mengenali sang penyelamat, semakin bulat biji mata.
“Apa Abang Iman buat ni?” Dayana lantas menjauhkan diri.
“Kita lari dari sini, sayang.”
“Abang dah gila!”
“Jangan tinggalkan abang, sayang.” Tangan Dayana cuba diraih.
“Jangan macam-macam.” Dayana bertindak menjauhkan diri.
“Tolong, sayang. Dengar cakap abang. Kita pergi jauh dari sini.” Shahiman enggan mengalah.
“Jangan buat kerja gila. Abang Iman sedar tak, orang dah ada suami?” Mengaku juga Dayana walaupun perit.
“Yana kahwin, bukan atas dasar cinta, kan?”
Senyap.
“Cinta atau tak, benda dah jadi. Tolong doakan orang bahagia.” Lekas-lekas Dayana berpaling, memulakan langkah.
“Abang akan suruh dia, ceraikan Yana!”
Terhenti langkah Dayana. Mata membulat. Perlahan-lahan, berpaling.
“Jangan tambah luka kat hati orang. Abang dengan abah abang, tak ada hak campur hidup orang lagi.” Tanpa berlengah, Dayana bergegas pergi.
Shahiman tergamam. Kata-kata Dayana... pelupuk mata, panas. Dunia, dirasakan gelap. Adakah ini, titik penamat baginya? Adakah Dayana akan semakin jauh? Adakah ini, saat perpisahan? Mata dipejam. Beberapa titik air jatuh.
‘Yana.’ Nama dijerit dalam hati.