Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 23: Perkampungan Bunian

“Dah siang! Mereka belum balik lagi!” tutur Afiq geram.

Saiful yang sedang membelek-belek gitarnya mengangguk. Acha pula sudah tertidur. Kepalanya terlentok di atas bahu Afiq.

“Kita tunggu sekejap?” balas Saiful. Matanya sedang melihat keadaan di luar yang belum berhenti hujannya.

“Aku dengar cakap kau semalam. Kau kata kita tunggu sampai pagi. Aku dah ikut… tapi sampai sekarang, mereka belum balik lagi,” ujar Afiq.

Acha terkebil-kebil membuka matanya. Bunyi bising Afiq merungut Ummu dan Zaff yang belum pulang menggangu lenanya.

“Diaorang belum balik lagi ke awak?” tanya Acha.

Afiq mengangguk.

“Saya nak pergi cari dia,” tutur Afiq sambil bangkit.

“Saya nak ikut,” ujar Acha.

“Cepat bersiap!” arah Afiq.

Serentak itu, kelihatan seseorang berlari turun dari tingkat atas. Kapten Azrin dan Hakiman berlari deras.

“Ummu! Dia dengan seseorang!” kata Hakiman ketika melintas di hadapan Afiq.

Kapten Azrin dan Hakiman telah ditugaskan untuk membuat kerja pengawasan di atas banggunan Hotel Dino. Semalaman mereka berdua berada di atas sana. Mungkin mereka ternampak kelibat Ummu dan Zaff.

“Zaff ke?” tanya Afiq.

“Bukan! Orang lain!” jawab Hakiman.

Afiq mengangguk. Mereka bergerak ke arah pintu gerbang yang menghubungkan dunia luar dengan kawasan perkarangan hotel itu. Kelihatan Ummu sedang ditemani oleh seorang lelaki berjambang halus di wajahnya dan seorang perempuan yang berketinggian sederhana, berambut perang tetapi memakai cermin mata hitam sambil memegang lengan lelaki berjambang itu. Afiq kenal mereka berdua!

Razali Ahmad, rakan lamanya ketika belajar di Universiti Tun Dr Mahathir. Lelaki itu merupakan seniornya, beberapa semester lebih awal dan tua setahun daripada usianya. Jejaka yang terkenal ayat manisnya. Mencuri hati para gadis di UTDM ialah kebiasan buatnya. Bahkan, tidak keterlaluan kalau dibilang bahawa Amirul Hafeezmerupakan klon Razali Ahmad.

Afiq sebenarnya sangat menyesal memperkenalkan Razali Ahmad kepada Ummu. Masih segar di ingatan Afiq ketika Razali merayu kepada Afiq, memintanya untuk memperkenalkan kepada Razali mana-mana rakan perempuan Afiq yang cantik, yang boleh berlakon dalam filem pendek Razali, untuk assignmentnya. Ketika itu, dalam fikiran Afiq hanyalah Ummu rakan perempuannya yang cantik. Afiq tidak kenal sesiapa pun selain Ummu.

Namun siapa tahu, detik pertemuan antara Ummu dan Razali sebenarnya mencambahkan cinta pandang pertama. Afiq tidak kisah Ummu dengan sesiapa pun, asalkan Ummu bahagia. Tapi siapa juga dapat membaca takdir, Ummu dikecewakan oleh Razali. Habis madu, sepah dibuang. Hati yang diidamkan oleh banyak jejaka UDTM akhirnya hancur. Tapi, itulah Razali…

Gadis yang memakai kaca mata hitam yang berdiri di sebelah Razali merupakan seorang gadis buta. Orangnya cantik, kacukan Melayu-Inggeris. Rambutnya perang. Hidung mancung. Bibir merah, munggil. Namun, terhempasnya pesawat Boeing 777-300ER membuatkan gadis itu hilang pengelihatan. Sayang sekali. Lieyana Aripin, pemilik nama. Secantiknya orangnya juga.

“Mana Zaff?” tanya Afiq sebaik sahaja pintu gerbang itu terbuka luas untuk mereka.

Razali mendongak melihat struktur yang tersergam indah di hadapan matanya. Dia tidak percaya banggunan sebegitu boleh wujud di atas pulau yang penuh dengan dugaan dan bahaya. Sayang sekali, Razali tidak menemui banggunan itu terlebih dahulu. Pastinya hidupnya akan lebih selesa daripada terpaksa bertarung dengan nyamuk setiap malam dan berpeluh, mengenangkan bahawa bahaya tidak pernah berhenti memburunya.

“Kita orang dah cari…” tutur Ummu. “Dia macam jadi orang lain. Buat semua benda ikut kepala dia.”

“Cerita kat aku apa yang berlaku,” sampuk Saiful yang berdiri di belakang Afiq. Dia kelihatan menolak ke tepi rambutnya yang basah dek air hujan yang sedang turun membasahi bumi yang hilang itu.

Seraya itu, Ummu terus memandang wajah Razali, meraih kekuatan untuk menceritakan apa yang berlaku. Menceritakan bagaimana Zaff yang dibakar oleh api cemburu. Menceritakan bagaimana Zaff hilang kawalan dan bertumbuk dengan Razali. Juga, bagaimana Zaff tiba-tiba membawa diri selepas tangan Ummu menyentuh pipinya.

***

Tengku Nizarif terpisat-pisat membuka matanya. Kepalanya terasa pening. Dia berada di dalam sebuah rumah kayu. Terdapat ayat Al-Quran tergantung di dinding sebelah katil tempatnya berbaring. Tangan kanan Zaff mencari dadanya yang ditembak oleh Qarin. Terdapat kesan hijau di luka tembakan itu. Aneh, peluru yang terbenam di dadanya seperti sudah dikeluarkan tanpa sedar.

Zaff bangkit, tetapi kepalanya masih tersisa rasa pening. Di manakah dia? Tempat itu kelihatan asing baginya. Dia tidak ingat bagaimana dirinya boleh berada di situ, namun kali terakhir yang diingatinya ialah bertemu dengan lelaki bertopeng bernama Qarin, kemudian atas nama Ummu, dirinya ditembak. Lalu, dirinya ditendang jatuh ke dalam arus sungai yang sedang menggila kerana hujan lebat.

Seseorang kelihatan memasuki bilik Zaff. Wajah ayu itu dikenali oleh Zaff. Tetapi, Ummu bukannya berbaju-T lengan panjang yang berwarna unggu, pakaian asasi Ummu. Tetapi, Ummu lengkap berbaju kurung. Rambutnya diikat sanggul.

“Awak dah bangun?” tutur Ummu.

“Aku kat mana ni?” tanya Zaff sambil melihat kelilingnya. “Bila pulak kau pakai baju kurung ni?”

“Awak kenal saya?” tanya Ummu sambil keningnya terangkat. Dia sedang membawa besen yang dipenuhi oleh air. Terdapat kain putih di dalam besen itu.

Zaff berasa pelik. Kemudian, Zaff tersenyum sinis.

“Aku dah tahu! Aku dah tahu! Fiq, ni mesti kerja kau, kan? Ali setan betul kau ni. Tak habis-habis nak kenakan aku!” Zaff cuba ketawa, menyakinkan dirinya bahawa Afiq merupakan dalang di sebalik semua itu.

“Siapa Fiq?” tanya Ummu.

“Afiq... Muhammad Afiq bin Zaki. Sahabat kau dan aku. Tak kenal?”

Ummu menggelengkan kepalanya. Serentak itu, masuk seorang lelaki yang kelihatan bertanjak, memakai baju melayu dan berseluar hitam. Zaff kenal lelaki itu. Amirul Hafeez bin Hamzah! Kasanova nombor satu Universiti Tun Dr Mahathir.

“Abang... lelaki yang abang jumpa hari tu dah bangun,” tutur Ummu.

Hafeez sedang berdiri sambil mengusap keris yang tersemat di dalam kain pelekat yang dijadikan samping itu. Senyuman manis jelas terukir di wajah Hafeez. Berbeza dengan Amirul Hafeezyang dikenali oleh Zaff. Hafeez tidak akan senyum di hadapannya. Adapun ialah senyuman sinis.

“Aku mesti dah gila... dunia ni... mesti sebuah ilusi!” tutur Zaff sambil menggelengkan kepalanya. “Korang semua tak wujud! Aku... sedang berhalunisasi!”

“Awak...” gumam Ummu.

Zaff tiba-tiba menolak Ummu ke tepi lalu berlari keluar dari rumah itu. Dia sampai di ruang tamu, berhenti sejenak sambil melihat keadaan rumah itu. Hanya terdapat beberapa buah kerusi kayu. Di dinding ruang tamu, tergantung sebuah lukisan yang melihatkan Ummu sedang duduk bersimpuh, memakai baju kebaya dan menyarung selendang halus di kepalanya, persis gadis melayu terakhir.

Kemudian, Zaff berlari keluar, menuruni tangga dan... langkah kakinya mati. Dia sedang berada di sebuah kawasan lapangan, di mana terdapat beberapa buah rumah pada pandangan matanya. Kawasan lapangan itu dikelilingi oleh hutan tebal. Kawasan perkampungan di situ sangat asing di mata Zaff.

“Awak...” panggil satu suara di belakang Zaff. Pantas Zaff menoleh.

Ummu sedang berdiri di muka pintu rumah kayu di belakang Zaff sambil ditemani oleh Hafeez yang masih bertanjak.

“Aku kat mana ni?” tanya Zaff. “Siapa korang berdua?”

“Amirul Hafeez bin Hamzah. Ini isteri aku, Ummu Habibah. Kau kat Kampung Perebah. Aku jumpa kau kat sana masa tengah menjala ikan. Kau cedera,” tutur Hafeez.

Zaff bagai diserang renjatan eletrik. Jadi... Ummu sudah berkahwin dengan Hafeez? Tidak! Ini semua gila! Sangat gila! Zaff akhirnya terduduk, keliru dengan takdir hidupnya.

“Ya ALLAH... kegilaan apa yang sedang kau timpakan pada aku?” tutur Zaff sambil memandang dada langit. Air matanya bercucuran jatuh.

***

Lapangan kosong di hadapan rumah Hafeez dipenuhi oleh kanak-kanak yang sedang asyik bermain antara mereka. Menurut Ummu, setiap petang, lapangan rumah mereka yang luas itu akan dikunjungi oleh anak-anak kecil yang merupakan anak kepada penduduk Kampung Perebah.

Ada sekumpulan budak lelaki yang berumur dalam lingkungan umur 9-10 tahun sedang bermain sepak takraw antara satu sama lain. Ada pula budak perempuan yang berumur 7 hingga 8 tahun sedang bermain ting-ting.

Pemandangan yang sedang dilihat oleh Zaff sangatlah jarang sekali. Hidup di bandar memang berbeza dengan suasana desa yang sedang dirasai oleh Zaff. Ketawa budak perempuan yang mengekeh apabila dikejar oleh rakannya membuatkan Zaff tersenyum. Hatinya tenang seketika melihat gelagat budak itu.

Zaff sedang memikirkan mengenai Hafeez yang perwatakannya yang bertukar 360 darjah, juga ingatan Zaff mengenai Ummu yang entah kenapa hilang akal memilih Hafeez sebagai... sungguh Zaff tidak punya kekuatan untuk mengungkapkan perkataan itu.

Sebiji bola takraw bergolek di hadapan Zaff lalu diikuti oleh seorang budak lelaki yang mengejar bola yang berhenti di kaki Zaff.

“Abang, mintak bola,” pinta budak lelaki itu.

Zaff mengangguk sambil tersenyum, dan budak lelaki itu tidak berganjak walau selangkah pun.

“Abang ni orang baru ke? Tak pernah nampak pun,” tanya budak lelaki tadi. Kemudian beberapa orang rakannya menyertai dari belakang.

“Ya. Abang orang baru kat sini dik,” jawab Zaff pendek.

“Betul ke mak saya cakap abang ni bukan dari dunia ni?” tanya pula rakan budak lelaki itu.

Zaff terdiam. Dia menoleh ke arah Ummu yang sedang membetulkan kancing baju melayu Hafeez lalu kembali menatap wajah budak lelaki tadi.

“Abang daripada dunia yang bidadari masih belum menjadi milik sesiapa,” gumam Zaff sambil sempat menjeling ke arah Ummu.

“Bidadari tu apa?” tanya pula budak lelaki yang lainnya, dengan riak wajah kosong.

Serentak itu, Ummu sedang menuruni tangga bersama Hafeez. Pandangan Zaff fokus ke arah Ummu yang lengkap berpakaian baju kurung itu, Rambutnya diikat ekor kuda. Ayu...

“Fiq... kau tentu nak tengok apa yang aku lihat. Gadis melayu terakhir yang kau selalu katakan. Kali ni, dia betul-betul macam orang Melayu,” gumam Zaff lagi sambil tersenyum. Monolog dirinya sekadar untuk menenangkan jiwa yang bergelora dengan resah dek terperangkap di tempat aneh seperti itu.

Laungan azan daripada jauh sayup-sayup menyapa cuping telinga Zaff. Zaff mendongak, melihat langit biru sudah dicemari oleh cahaya oren yang bertompok-tompok. Indah di pandangan mata Zaff. Hari sudah mula menginjak senja menandakan bahawa maghrib sudah mula masuk. Tetapi, suara muadzin yang kedengaran di ruang angkasa itu benar-benar dekat dengan Zaff. Seolah-olah seperti Zaff mengenali pelaungnya.

“Anak lebai surau Sungai Kali. Lama dah tak dengar dia azan...” ujar Hafeez tiba-tiba dari belakang membuatkan Zaff pantas menoleh. Kelihatan Ummu sedang setia berdiri mengapit Hafeez.

“Siapa nama dia?”

“Afiq... baru balik daripada bermusafir,” balas Ummu pula.

Riak wajah Zaff lantas berubah sebaik sahaja nama Afiq hinggap di telinganya. Mustahil...

“Maghrib dah masuk. Jom kita ke surau?” ajak Hafeez.

“Orang yang azan tu ada kat sana?” tanya Zaff.

Hafeez mengangguk.

“Fiq....” gumam Zaff. Tidak sabar untuk berjumpa dengan Afiq, sahabat sehidup sematinya. Sahabat yang sanggup berbuat apa sahaja demi dirinya. Entah bagaimana lah Afiq di dunia Kampung Perebah itu. Apakah berbeza dengan Afiq yang dikenalinya ataupun masih sama? Afiq yang dikenali oleh Zaff adalah seorang lelaki yang gila-gila, pentingkan persahabatan dan yang paling penting, Afiq yang don’t give a damn what people said about him.

Sesekali, Zaff melemparkan pandangan menatap wajah Hafeez yang berkerut melangkah sambil membawa lampu minyak tanah yang menyala menerangi denai yang membawa kepada mereka satu-satunya surau di dalam Kampung Perebah.

“Berapa lama kau kenal Ummu?” tanya Zaff.

“Sejak aku kecil. Dia anak ketua kampung ni. Tok Junaidi,” tutur Hafeez pendek.

“Bila kahwin?” soal Zaff, pendek.

“3 bulan yang lalu. Dan dia sedang mengandungkan anak aku,” tutur Hafeez yang seperti tidak sabar-sabar untuk memberitahu perkara itu kepada Zaff.

Wajah Zaff pucat mendengarkan berita itu namun dia sempat menenangkan dirinya. Ya, rasa hatinya seperti disiat ketika itu. Namun, apakan daya...

“Kita dah sampai...” tutur Hafeez.

Sebuah surau dua tingkat sedang berdiri indah di hadapan mata Zaff,. Kelihatan ramai jemaah yang sedang memasuki surau itu. Masing-masing berpakaian serba putih, seperti dirinya. Seorang lelaki sedang berdiri di muka pintu sambil tersenyum memerhatikan rumah ALLAH sedang diimarahi oleh para hambanya.

“Fiq...”

“Ustaz!” panggil Hafeez dari jauh.

Afiq kelihatan menoleh ke arah mereka. Langkah kaki Zaff mati sementara Hafeez berjalan penuh bersemangat ke arah Afiq. Zaff memerhatikan keadaan Afiq dengan mulut yang terlopong. Orangnya bercekak, membalut kepalanya dengan serban serta berjubah putih. Wajahnya kelihatan tenang.

“Alhamdulilah...” gumam Zaff tidak percaya.

“Orang baru ke Hafeez?” tanya Afiq.

“Saya jumpa dia tak sedarkan diri dengan kesan tembakan di dada. Bukan dari dunia kita barangkali,” balas Hafeez dalam keadaan berbisik.

Riak wajah Afiq lantas berubah sebaik sahaja mendengar bisikan Hafeez itu.

“Tapi... dia... dah lama kita tak terima tetamu macam dia,” ujar Afiq. “Kau ada tanggungjawab besar Hafeez. Jangan biarkan dia kembali. Dunia kita ni adalah tempat rahsia, terutama untuk manusia macam dia.”

“Tak akan saya nak tinggalkan dia menempah maut? Biar dia berbeza bangsa dengan kita, tetapi Islam mengajar hambanya untuk sentiasa menolong mereka yang di dalam kesusahan,” tutur Hafeez pula.

Afiq mengangguk setuju. Kemudian, dia menepuk bahu Hafeez lalu melangkah ke arah Zaff.

“Assalamualaikum saudara,” tutur Afiq memberi salam kepada Zaff yang terpingga-pingga apabila Hafeez dan Afiq saling berbual dalam nada berbisik. “Saya Afiq,” tutur Afiq memperkenalkan dirinya.

“Saya Zaff,” balas Zaff pendek. Terasa janggal memperkenalkan dirinya kepada mereka yang seharusnya mengenali dirinya. Oh dunia... kau bikin semua orang gila!

“Jom solat. Saudara jadi imam?”

Kening Zaff terangkat.

“Adat orang kampung kami. Orang baru atau tetamu akan diperlawa jadi imam,” balas Afiq apabila kekeliruan sedikit timbul pada riak wajah Zaff.

“Tak ada masalah...”

***

Suara Zaff mengalunkan ayat suci Al-Quran bergema di keliling surau. Merdu sahaja membuatkan makmum di belakangnya begitu menghayati setiap bait kalam ALLAH yang dialunkan penuh keinsafan. Terasa seperti diri terasing seketika dari lalai dunia yang membuatkan kita melupakan pada kekasih yang utama iaitu ALLAH, yang telah menciptkan kita.

Antara banyak jemaah di situ ialah Tok Junaidi sendiri yang seperti terkesan dengan ketokohan yang dipamerkan oleh Zaff. Sungguh, sudah lama dia tidak melihat seorang manusia yang seusia dengan Zaff mampu menjadi imam kepada solat, juga mempunyai bacaan ayat Al-Quran yang sangat merdu.

Lantas terfikir Tok Junaidi untuk menikahkan Zaff dengan anak perempuannya, yang sudah lama membujang. Kakaknya sudah diijabkabulkan dengan Hafeez, antara pendekar silat terkenal di Kampung Perebah.

“Assalamualaikum warrahmtullah...” Kedengaran suara Zaff memberikan salam.

Tok Junaidi tersenyum. Gara-gara Zaff, dia tidak kusyuk menunaikan solatnya.. Semoga ALLAH mengampunkannya. Zaff kelihatan sedang membaca doa selepas solat sambil diaminkan oleh para makmum dengan penuh kusyuk.

Usai sahaja solat, pantas Tok Junadi bertemu dengan Zaff.

“Assalamualaikum anak muda...” tutur Tok Junaidi.

“Waalaikumussalam,” balas Zaff yang sedang duduk di kaki tangga surau tersebut.

Tok Junaidi mengambil tempat duduk di sebelah Zaff tatkala semua jemaah surau sudah mula kembali pulang ke rumah. Zaff kelihatan termenung panjang, merenung nasibnya.

“Kenapa ni nak?” tanya Tok Junaidi.

“Saya rindukan rumah saya. Saya nak balik...” tutur Zaff.

“Apa kurangnya Kampung Perebah?” tanya Tok Junaidi.

Ya! Banyak kurangnya! Aku tidak memiliki Ummu!

“Saya cuma nak balik. Tiada yang kurangnya di Kampung Perebah. Semuanya sempurna pakcik,” balas Zaff.

“Rumah anak kat mana?” tanya Tok Junaidi.

“Pulau Eurasia, Malaysia,” balas Zaff.

Berkerut dahi Tok Junaidi mendengarkan nama yang disebutkan oleh Zaff.

“Pakcik tak tahu pun tempat tu wujud. Di mana Eurasia dan Malaysia?”

Zaff sekadar mengeluh. Dia dah agak benda itu akan berlaku. Dia sedang berada di sebuah tempat yang sangat asing bagi dirinya. Tempat yang di mana bukan untuk diriya. Dia rindukan Afiq, Ummu dan rakan-rakannya yang lain.

“Pakcik dah cakap dengan Hafeez. Malam ni, Zaff tidur rumah pakcik? Lagi selesa. Tak baik kita kacau rumah tangga anak pakcik,” gumam Tok Junaidi lagi. Zaff sekadar mengangguk.

Ya ALLAH.... betapa beratnya dugaan yang kau berikan kepada hambamu ini. Berikanlah kekuatan untuk aku hadapinya.

***

“Kita berehat di sini,” tutur Saiful sambil memberi isyarat kepada anak-anak buahnya. Namun, Afiq tetap melangkah sambil menolak semak samun yang sedang berSarang di hadapan mata mereka.

“Fiq!” panggil Ummu dari jauh.

“Korang nak berehat, rehatlah. Aku nak cari Zaff!” balas Ummu sambil menebas semak samun dengan parang di tangannya.

“Pergi kejar dia,” arah Saiful.

Ummu mengangguk.

“Fiq!” panggil Ummu sambil mengejar langkah kaki Afiq.

“Apa lagi yang kau nak?” tanya Afiq.

Ummu termengkelan.

“Kenapa ni awak?” tanya Ummu.

“Kau sanggup tinggalkan sahabat kau Zaff semata-mata si Razali tu? Kau tak ingat apa yang dia buat pada kau?” tanya Afiq bengang.

“Sekejap... awak dah ingat siapa Razali?” tutur Ummu yang seakan-akan tidak percaya.

Afiq terdiam. Ada memori yang sedang melayang menyentuh benaknya. Memori yang telah lama terbenam tiba-tiba timbul. Pantas pandangan Afiq hinggap di Razali yang sekadar duduk berehat di atas sebatang kayu balak pada waktu yang sudah mula menginjak malam.

“Aku ingat siapa dia....” tutur Afiq.

“Siapa?” tanya Ummu penuh berharap. Ini ialah petanda bahawa ingatan Afiq bukan kekal hilang. Memori Afiq semakin bercambah saban hari.

“Lelaki yang telah mempermainkan hati kau!” gumam Afiq lalu menolak Ummu yang menghalang jalannya.

“Fiq...”

***

Imbas Kembali...

Kereta Produa MyVi berwarna hitam kilat itu sedang tersergam indah di hadapan Apartmen Danau Emas, rumah sewa yang menjadi tempat sewa Ummu dan rakan-rakan sekuliahnya sementara menuntut di Universiti Tun Dr Mahathir.

Seorang lelaki berjambang halus sedang menunggu di dalam kereta sambil menunggu seseorang keluar. Razali Ahmad kelihatan tidak senang duduk memerhatikan suasana sekelilingnya. Dia memerhatikan jam di tangannya.

“Lambat...” gumam Razali.

“Raz!” panggil seorang gadis yang sedang berlari dari jauh, menghampiri kereta Perodua Myvi hitam itu. Razali tersenyum melihat kemunculan buah hatinya itu.

“Lambatnya. Sampah-sampah...” ujar Razali.

Ummu ketawa mendengarkan ungkapan “sampah-sampah” yang lahir dari bibir Razali. Ummu tidak terasa walau sekelumitpun dengan ucapan itu. Sebenarnya, ianya satu bentuk gurauan antara mereka. Sejak mereka belum lagi bernama kekasih.

“Kita nak ke mana?” tanya Ummu yang melabuhkan punggungnya di sebelah Razali.

“Saya nak cakap sesuatu dengan awak...kita tak akan kemana-mana...”

“Buat penat aje saya pakai cantik-cantik kalau kita tak akan ke mana-mana!” ujar Ummu merajuk.

“Hubungan kita tak akan ke mana-mana. Kita putus!” Pendek sahaja ucapan Razali.

Ummu menoleh dengan sangat perlahan-lahan sambil senyuman palsu terukir di wajahnya.

“Raz bergurau kan?” tutur Ummu cuba untuk tersengih.

Razali Ahmad menggelengkan kepalanya.

“Kita kena putus!” Razali Ahmad berkeras.

Riak wajah Ummu bertukar pucat. Tangan Razali dicapainya. Namun, Razali pantas menarik tangannya daripada pegangan Ummu.

“Kenapa ni awak? Saya ada buat salah apa-apa?” tanya Ummu. Matanya mula berkaca.

Razali Ahmad menggelengkan kepalanya.

“Habis tu kenapa?” tanya Ummu.

“Anggaplah kita tak ada jodoh!” balas Razali.

“Tapi saya sayangkan awak...”

Razali sekadar tersenyum.

“Maafkan saya...”

***

Razali Ahmad tergolek apabila diterkam oleh Afiq. Buku teks yang sedang dibawa dengan tangannya bersepah di atas lantai manakala gadis yang berkaca mata dan berkulit putih melepak itu termengkelan melihat Afiq yang entah dari mana muncul lalu bertindak gila.

“Kau dah kenapa ni Fiq?” teriak Razali apabila Afiq sedang duduk di atas tubuhnya. Di tangan kiri Afiq, kelihatan patung teddy bear berwarna merah jambu.

“Kau tahu benda apa ni?” tanya Afiq.

“Teddy bear yang kau nak kasi kat Ummu dulu?”

Afiq mengangguk.

“Apa kena mengena dengan aku?” tanya Razali.

Kali ini, Afiq pula tersenyum sinis.

“Memang tak ada kena-mengena sebab kerana engkau yang suruh aku jangan kasi benda ni, aku simpankan. Sebab aku hormat perasaan kau terhadap dia. Aku hormat janji kau pada aku yang kau nak jaga dia macam nyawa kau! Aku undur diri aku! Aku undur diri aku! Tapi...”

“Bunga bukan sekuntum!” pintas Razali.

Bam! Pipi Razali Ahmad ditumbuk oleh Afiq.

“Dengar sini Raz!” tutur Afiq dengan mata yang merah menyala.

“Bunga macam Ummu...”

Tumbukan dilayangkan oleh Afiq lagi.

“...hanya ada sekuntum sahaja di dunia ni!”

Mulut Razali sudah berlumuran darah. Namun, Razali masih kekal tersenyum sinis, merenung Afiq yang semakin dibakar barannya.

“Bodoh. Sebab perempuan seorang kau dah jadi macam ni? Aku tak hadap Ummu kau tu!”

“Kurang ajar kau!” teriak Afiq.

Koridor Kampus Universiti Tun Dr Mahathir sudah dipenuhi dengan orang ramai yang tertarik untuk melihat adegan pergaduhan antara Afiq dan Razali. Adegan yang berputik hanya kerana seorang gadis.

Kedengaran suara seorang lelaki yang berkaca mata berbisik ketika memerhatikan situasi itu ketika orang ramai sedang meleraikan pergaduhan itu.

“So childish...” gumam Naim.

“Cinta dan perempuan Naim. Perang Troy tak akan berlaku kalau tidak kerana dua orang lelaki jatuh cinta pada seorang wanita,” jawab pula Echad yang sedang berdiri di sebelah Naim.

“Dah. Jangan bawak perangai jiwang kau pulak. Kita ada kelas Cik Mia ni, Jom?” ajak Naim. Echad mengangguk.

Saiful Hawiz yang kebetulan melintas tempat kejadian itu sekadar tersenyum sinis sambil meniti satu perkataan di bibirnya.

“Trouble maker...”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.